05 Ogos 2013

Masih Adakah Teman Bersaudara di Jalan Allah?


(Disiarkan dalam majalah FardhuAin Edisi 19) 

Bersaudara atau tepatnya ikatan tali persaudaraan  adalah bersahabat sesama mukmin atas kehendak  sendiri yakni bukan persahabatan  kerana kebetulan sebagai tetangga, kebetulan sebagai teman sepersekolahan atau sepermainan. Berteman atas sifat kebetulan sedemikan sebenarnya adalah sekadar berteman biasa sahaja.
Ikatan persahabatan yang terbina atas kehendak dan pilihan sendiri adalah seumpama mengikatkan tali perkahwinan antara suami-isteri.Sebagaimana suami-isteri, teman juga mempunyai hak atas harta dan jiwa, lidah dan hati, dengan kemaafan dan doa, keikhlasan dan kesetiaan, dengan tidak meringan-ringankan atau meninggalkan sifat mengambil berat serta mengambil tahu  terhadap teman.
Nabi saw menyerupakan dua orang yang bersaudara itu dengan dua tangan kerana kedua-duanya tolong menolong atas sesuatu maksud.Maka kedua-duanya dari satu segi adalah umpama orang seorang, yang menghendaki untuk bersama-sama bagi berkongsi suka-duka, sehati sejiwa dalam menghadapi  keperluan bersama pada masa sekarang dan masa depan. Sabda Baginda saw:`Dua orang yang bersaudara itu adalah seumpama dua tangan yang satu membasuh yang lain”.
Seorang lelaki datang kepada Abu Hurairah ra seraya berkata: ` Saya ingin bersaudara dengan engkau pada jalan Allah.Maka Abu Hurairah menjawab:` Tahukah engkau apakah hak bersaudara itu?’ Orang itu menjawab:`Beritahukanlah kepadaku akan hak itu’.Abu Hurairah menerangkan:`Bahawa tidaklah engkau lebih berhak dengan dinarmu dan dirhammu daripadaku’.Orang itu menyambung:`Aku tidak akan sampai kepada tingkat itu’.
Ali bin Husin ra berkata kepada seorang lelaki:`Adakah  kamu sanggup, seumpama seseorang yang memasukkan tangannya ke dalam  saku baju temannya, lalu ia mengambil  apa-apa sahaja yang dia kehendakinya dengan tidak seizin temannya?’Laki-laki itu menjawab: `Tidak!’ Lalu Ali bin Al Husin menyambung:`Kalau begitu tidaklah kamu bersaudara’.
Abu Sulaiman ad Darani berkata: ‘Aku mempunyai seorang teman di Irak.Maka aku mengunjungnya pada setiap musibah yang menimpa atas dirinya. Pada suatu waktu aku mengatakan kepadanya:`Berikanlah sedikit kepadaku dari hartamu’.Lalu diberikan dompetnya kepadaku.Maka aku mengambil dari dompet itu apa-apa saja yang aku kehendaki.Pada suatu hari yang lain aku datang lagi kepadanya lalu aku mengatakan:`Aku memerlukan sesuatu!’ Maka dia menjawab:`Berapakah yang kamu kehendaki?’Maka keluarlah kemanisan persaudaraannya dari hatiku.
Maka demikianlah hakikat berteman atau bersaudara pada jalan Allah pada tahap yang paling asas dan rendah!
Bersaudara atau berteman pada jalan Allah pada tingkat yang lebih tinggi ialah menempatkan teman pada tingkat setaraf dirimu sendiri dan merelakan berkongsikan harta engkau dengannya.Fathul-Maushuli datang ke tempat temannya dan kebetulan temannya itu tidak ada di rumahnya.Lalu Fathul-Maushuli menyuruh isteri temannya mengeluarkan peti simpanan wang.Maka isteri temannya mengeluarkan peti wang dan menyerahkannya kepada Fathul Maushuli. Lalu Fathul Maushuli membukanya  dan mengambil menurut hajat keperluannya.
Maka budak temannya itu melaporkan  kepada tuannya mengenai kelakuan Fathul Maushuli.Lalu tuannya berkata:`Jikalau engkau benar, maka engkau merdeka kerana Allah’, kerana kegembiraannya dengan apa yang diperbuat oleh Fathul-Maushuli tadi.
Diriwayatkan bahawa Masruq mempunyai banyak hutang dan temannya Khaitsamah juga mempunyai hutang. Maka orang yang meriwayatkan itu menceritakan  bahwa Masruq lalu pergi membayar hutang Khaitsamah, sedangkan Khahitamah tidak mengetahuinya.Dan Khaitsamah sendiri pula, pergi membayar hutan Masruq, sedang Masruq tidak juga mengetahuinya.
Tingkat tertinggi dalam berteman ialah  memberi keutamaan kepada  teman, lebih daripada diri sendiri.Engkau mendahulukan keperluannya di atas keperluanmu! Inilah darjat orang-orang siddikin yang merupakan darjah penghabisan dari orang-orang yang berkasih-kasihan di jalan Allah.Abu `Ali ar Ribathi berkata:`Aku menemani Abdullah ar Razi untuk memasuki sebuah desa.Maka beliau berkata:`Haruskah engkau amir atau aku?’Lalu aku menjawab:`Tuanlah’.Maka Abdullah ar Razi berkata seterusnya:`Haruslah engkau patuh kepadaku’.Lalu aku menjawab:`Ya, baik’.Maka beliau lalu mengambil sebuah keranjang rumput dan mengisikan ke dalamnya segala barang perbekalan kami  berdua.Kemudian dia mengangkat keranjang itu lalu dipikulnya di atas bahunya. Melihatnya berbuat demikian lalu aku katakan kepadanya:`Serahkanlah kepadaku biar aku yang membawanya’. Maka beliau menjawab:`Bukankah aku telah mengatakan:`Aku amir! Maka engkau harus patuh?’.
Pada suatu malam  kami ditimpa hujan.Maka beliau berdiri melindungi kepalaku sampai pagi dengan meletakkan pakaian diatas kepala kami sedangkan aku duduk sahaja di bawahnya yang membolehkan aku tercegah  daripada terkena basah hujan.Maka aku mengatakan di dalam hatiku:`Semoga kiranya aku mati, dan tidak lagi  akan mengatakan : ‘Engkau amir!’
Demikanlah darjah persahabatan  tertinggi dari seorang siddikin setaraf Abdullah ar Razi!
Bandingkanlah kemuliaan berteman pada jalan Allah dalam zaman kemuliaan dan keagungan roh Islam,  berbanding kehidupan berteman dalam masyarakat pada  akhir zaman ini – sewaktu Islam telah menjadi dagang -  apakah masih ada terbinanya konsep berteman pada jalan Allah? Masih adakah teman-teman sejati? Masih adakah kualiti orang-orang Islam sedemikian setelah umat sekarang berada dalam bencana moral,  krisis adab dan akhlak yang sedemikian dahsyat?
Semoga adalah bagi yang memilikinya!