31 Mac 2010

20. Panglima-Panglima Purba

Tok Itam atau Panglima Hitam adalah panglima yang memegang amanah persilatan semua panglima-panglima yang terkumpul di sana. Panglima-panglima yang terkumpul di sana pada waktu itu (1977) selain Hang Tuah lima bersaudara ialah Megat Terawis, Panglima Megat Panji Alam dan adiknya Megat Kembar Ali. Selain itu ialah Tok Janggut, Serban Hijau, Panglima Awang, Lebai Man, Haji Man, Haji Salleh, Haji Wan Ndik, Panglima Wan Ndik, Gayung Lanang, Alang Daik, Panglima Gayung, Panglima Ali Lawak, Panglima Ah Chong, Pendekar Tujuh Belas, Tok Tua, Pak Wan Selampit, Panglima Puteh (Johor), Panglima Puteh (Perak), Alang Daik, Panglima Harimau Berantai, Panglima Galoh, Panglima Melati, Panglima Monyet, Panglima Tok Nading, Panglima Hang Nadim, Raden Putera, Panglima Naga Mengaum, Panglima Gagak Di Rimba, Panglima Nayan, Panglima Merah, Panglima Kilau, Panglima Petani dan ramai lagi.

Semua panglima-panglima tersebut dikumpulkan di tempat yang Yim maksudkan iaitu di sekitar Gunung Jerai. Cuma Lebai Man yang tetap tinggal sendirian di Jerantut. Begitu juga Haji Man dan Haji Salleh. Mereka tinggal di Bentong.

Selain itu terkumpul juga puteri-puteri seperti Mahsuri, Puteri Hijau, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang, Puteri Saadong, Dang Raya Rani, Dang Anum, Puteri Che Puteh, Puteri Mayang Mengurai, Mayang Mas, Mayang Sari, Puteri Cempaka, Puteri Melor, Puteri Mastura, Puteri Lela, Puteri Chitra Dewi, Puteri Bongsu, Puteri Mawar, Puteri Dewi, Puteri Cepaka Sari, Puteri Lela Sari, Puteri Kembar, Puteri Ratna Dewi, Puteri Ratna Sari, Puteri Mala Dewi, Puteri Melati, Puteri Dang Melati dan Puteri Melor. Kebanyakan mereka adalah dari Indonesia. Semua puteri-puteri tersebut memiliki kebolehan bersilat yang hebat yang kebanyakannya menjadi asas tarian-tarian Melayu. Sebagai contoh, tari silat Puteri Mayang Mas seratus peratus bagaikan tari Inang Melayu.

Melalui pencak silat puteri-puteri tersebut fahamlah aku bahawa rupa-rupanya tarian Melayu yang lemah-lembut pada zaman dahulu penuh dengan bunga-bunga silat yang bila terpaksa dan keadaan memaksa akan segera berubah menjadi sebuah persilatan yang hebat. Oh! Indahnya silat Melayu dan indahnya tarian Melayu.

Selain di Tanah Melayu, di perguruan di Indonesia terkumpul di sana ialah Si Pitung, Si Gondrong, Si Buta, Kutokan Dewata, Panglima Semambu Kuning, Si Bongkok, Raden Wijoyo, Coyoboyo, Kumbalik, Pasak Kuda, Sumur Tujuh, Panglima Kuntau Jawa, Panglima Sumur Hitam dan ramai lagi.

Mereka – panglima-panglima tersebut - semuanya adalah sumber persilatan Melayu dan Jawa. Dari merekalah munculnya berbagai-bagai nama silat yang masyhur di Tanah Melayu dan juga di Janah Jawa apabila mereka melatih pencak.

27 Mac 2010

19. Silat-Silat Panglima

Pada suatu malam Tok tiba-tiba mempersembahkan silat-silat panglima. Sebelum ini para panglima yang telah datang pernah mempamerkan seni persilatan mereka kepada kami.Kadang-kadang melalui Panglima Hitam sahaja silat-silat tersebut dipersembahkan. Ada kelainan-kelainan tersendiri di antara berbagai-bagai persilatan tersebut.

Silat Panglima Hitam pergerakannya tersangat lincah dan pantas terutama pergerakan tangan. Pergerakan yang lincah ini menyebabkan musuh agak sukar untuk melancarkan serangan kerana pesilat akan sentiasa bergerak lincah bagaikan dirinya berada di segenap penjuru untuk membuat serangan. Tangannya tidak terbuka lebar seperti persilatan Hang Tuah dan Hang Jebat.

Persilatan Hang Tuah sebaliknya pula tersangat tenang dan setiasa bersedia menanti sebarang bentuk serangan.Ketenangan corak silat ini menyebabkan setiap serangan sentiasa menepati sasaran kerana sukar untuk ditangkis musuh. Selain itu musuh cukup sukar untu menepati sasaran kerana keadaan yang teramat tenang dan sentiasa berwaspada. Serangan dari sifat ketenangan sangat merbahaya kepada musuh.

Hang Jebat pula teramat keras dan garang. Bila serangan dilakukan ianya tersangat keras dan hebat sehinga kebanyakan serangannya membinasakan. Tidak ada musuh yang dapat menahan serangan Hang Jebat. Inilah tiga persilatan tertinggi mengatasi semua persilatan panglima-panglima yang lain.

Silat Pak Wan Selampit nampak lebih lembut dan begitu berhati-hati. Silat Panglima Ah Chong mirip seni kung fu. Silat Tok Tua pula memang sesuai dengan namanya kerana nampaknya sedikit membongkok dan merendah tubuhnya.Silat ini sangat sesuai untuk melancarkan serangan dari bawah. Silat Si Pitung teramat unik kerana bentuk tangannya ketika bertempur tidak terbuka seperti silat Melayu. Sebaliknya tangannya sentiasa berada tegak di hadapan dada bagaikan dua batang tongkat yang akan menangkis apa jua serangan yang bakal tiba. Silat si Gondrong lebih luas sebaran tangannya berbanding dengan silat si Pitung.

Kelainan-kelainan kecil ini dapat aku kesan terutama perbezaan di antara Silat Melayu dengan Silat Jawa.

Bila Panglima Hitam meminta kami cucu-cucunya membuat terkaan kepada berbagai-bagai persilatan panglima yang dipamerkan olenya, ternyata aku bagaikan dapat meneka kesemuanya dengan tepat berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Justru tiba-tiba Panglima Hitam memanggil aku ke tengah gelanggang. Dia meminta aku membaca al Fatehah, Qulhu dan berselawat Nabi saw sebanyak tiga kali. Kemudian dia meminta aku menadah tangan sambil kepala menengadah ke langit. Lepas itu dia suruh aku berzikir Allah.Allah.Allah. Aku mengakuri semua perintahnya.

`Kusyukkan!’, Tok Itam memerintah. Aku lantas mengkyusyukkan zikir.

Wan, Piei dan Dol tekun memerhati apakah yang bakal terjadi kepadaku. Aku pun ternanti-nanti jua apakah yang mungkin terjadi.

`Pertebalkan zikir’, Tok Itam memberi perintah seterusnya.

Aku mengusahakan sedaya mungkin. Sejurus aku begitu. Tapi tidak ada apa-apa yang berlaku.

`Kusyukkan! Pertebalkan!’, Tok Itam memberikan perintah selanjutnya. Tapi ternyata usahanya gagal kerana aku tetap berdiri dengan tangan dan kaki yang keras bagaikan kayu. Aku tidak tahu apakah maksudnya kerana dia tidak menerangkan kenapa aku dimintanya berbuat begitu sehinggalah berakhirnya sesi latihan itu.

24 Mac 2010

18. Semua Akan Dibinasakan.

`Bila jadi perang tahun 1980 nanti, apa pendapat cucu?’, Tok Itam merenung cucu-cucunya seorang demi seorang.

`Apakah patut dihapuskan sehingga tidak tinggal seorang orang kafir pun di tanah air kita ini?’

Kami berpandangan sesama sendiri. Kami semuanya begitu terkejut dan tergamam dengan pertanyaan itu. Aku yang serba sedikit belajar sejarah peperangan di dalam Islam – adab-adab berperang di dalam Islam – merasakan peperangan yang bakal berlaku seharusnya berlaku dengan adil, di bawah keadilan Islam. Kanak-kanak tidak boleh dibunuh, begitu juga orang-orang perempuan dan orang-orang tua yang tidak berdaya. Peperangan di dalam Islam bukanlah satu bentuk kezaliman, penganiayaan dan penindasan, sehingga semuanya akan dibinasakan, yakni harta-benda dan manusia, tetapi adalah untuk meletakkan keadilan bagi menggantikan kezaliman yang begitu berkuasa sebelumnya.

Peperangan adalah bermaksud untuk menegakkan keadilan Islam. Peperangan juga adalah atas maksud dakwah dan jihad tanpa kezaliman dan penganiayaan.

Bila kami semua berdiam diri, tok lalu berkata.

`Para datuk semua telah bersepakat, bila berlaku peperangan nanti, kita tidak akan biarkan tinggal walau satu benih kafir pun’

Kami semua amat tergamam.

`Anak-anak di dalam buaian pun kita akan bunuh. Kita tak mahu ada kafir lagi di sini. Biarlah negeri ini menjadi negeri Melayu yang diduduki hanya oleh orang-orang Melayu sahaja’.

Kami semua tergamam lagi.

Memang kami telah diberitahu sebelum ini oleh tok, sewaktu peperangan pada zaman darurat 1946 dahulu, sewaktu Kuminis Bintang Tiga memerintah selama dua minggu, kekejaman kuminis terhadap orang-orang Melayu berada pada tahap yang tidak ada taranya. Para alim ulama dilarikan ke dalam hutan dan disembelih. Anak-anak di dalam buaian dilambung dan diradak dengan benet. Waktu itu adalah waktu balas dendam terhadap orang-orang Melayu yang tidak menyokong perjuangan Bintang Tiga pada zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Ini sejarah hitam yang telah terakam dalam sejarah hubungan kaum sebelum merdeka.

Bila bangkit Panglima Salleh di Batu Pahat, Aki Abu Jamal di Batu Malim, Raub dan beberapa orang lagi di beberapa tempat lain, kebangkitan tentera Selendang Merah tersebut adalah untuk menghapuskan semua orang-orang kafir.

Aku masih ingat Pak Abu bin Darasan di Endau Johor yang merupakan murid kanan Panglima Salleh menerangkan bahawa Panglima Salleh berhasrat untuk menghapuskan semua orang-orang Cina di Negeri Johor, tetapi Sultan Johor pada ketika itu dan Dato Onn Jaafar telah campur tangan meminta supaya Panglima Salleh membatalkan niat balas dendamnya tersebut.Justru terpaksalah Panglima Salleh menamatkan peperangan. Demikian juga rakan-rakannya di Raub dan di Perak. Kalau kebangkitan Melayu ini tidak disekat oleh Sultan dan pemimpin politik Melayu ketika itu, aku tidak pasti apakah masih ada lagi orang-orang bukan Islam di Tanah Melayu ini.

`Pada ketika itu sultan telah berjaya menggagalkan’, tok menyambung bicara.`Tapi pada kali ini tok rasa, tidak ada sesiapa lagi yang akan menghalang. Kita tidak akan tinggalkan benih kafir lagi di negara ini’

Begitulah kesimpulan tok.

Menurut kata tok seterusnya, semua orang beriman ada kalimah di dahi masing-masing. Inilah yang menyelamatkan mereka ketika terjadi peperangan kerana semua persenjataan tok termasuk parang-parang terbang akan membinasakan sesiapa sahaja yang tidak memiliki kalimah. Sistem peperangan tok-tok panglima purba dapat melmbezakan siapa yang ada kalimah dan siapa yang tidak ada – membezakan diantara kafir dengan Islam. Keistimewaan ini memudahkan kebinasaan kafir.

`Kalimah di dahi itulah yang menjadi pembeza yang menyelamatkan’, begitu kata tok mengakhiri penerangannya.

20 Mac 2010

17. Gerak Cepat.

`Dalam persilatan datuk, ada empat jenis gerak cepat’, Tok Itam menjelaskan setelah kami berhenti rehat dari latihan. Sambil duduk-duduk itu, dan sambil makan-makan dan minum-minum, sebagaimana biasa tok akan terus berceloteh.

`Cepat yang pertama ialah Cepat Kilat’, tok meneruskan penerangannya.`Cepat Kilat ialah memiliki pukulan samada kaki dan tangan yang tersangat pantas. Dalam satu sinaran kilat, kita boleh melepaskan sehingga lima pukulan’

`Pantasnya’, puji Wan

`Memang!’

Kami cukup bangga mendengar kepantasan serangan tersebut.

`Cepat yang kedua ialah Cepat Bunyi’, tok meneruskan bicaranya.`Cepat Bunyi sangat berguna bila bertempur di dalam gelap.Apabila mata tidak boleh melihat Cepat Bunyi dapat mengesan arah datangnya serangan’

Kami kagum pula dengan Cepat Bunyi.

`Pernah dengar kesah Panglima Harimau Berantai?’

`Pernah’, kami menjawab serentak.Kesah panglima tersebut ada difilemkan.

`Dalam keadaan dia telah cedera dan matanya buta, dia tetap boleh bertarung menewaskan musuhnya. Begitu juga Panglima Si Buta dari Indonesia’

`Si Buta dari Gua Hantu?’, Piei bertanya.

`Ada orang buat wayang bukan?’, tok bertanya kembali kepada Piei. Piei mengangguk

`Kalau cucu memiliki Cepat Bunyi, cucu boleh bertarung dalam keadaan mata tertutup.Nanti, bila sampai masanya, cucu semua boleh cuba bertarung dalam keadaan mata tertutup.Tutup mata dengan kain hitam dan lepas itu bertarung’

Kami terasa cukup bangga dan bagaikan tidak sabar menanti saat boleh bertarung dalam keadaan mata tertutup.

`Cepat yang ketiga ialah Cepat Angin’

Kami memandang tok dengan penuh kagum mengenai rahsia kehebatan silat Melayu yang sedang tok huraikan sekarang.

`Cepat Angin adalah untuk menimbulkan rasa gerun dan gementar kepada musuh.Sebelum kita tiba, musuh akan ketakutan mendengar nama atau berita ketibaan kita. Mereka akan mengalami suasana bagaikan ketibaan ribut.Menderu.Kalau musuh lemah semangat, dia akan cabut lari begitu sahaja’

Dan Datuk Panglima Hitam tersenyum bila mengakhiri kalimat itu.

`Cepat yang terakhir ialah Cepat Air. Cepat Air berguna apabila bertarung dengan musuh di dalam air. Tak ramai orang boleh bertarung di dalam air. Silat tok bleh bertempur di dalam air. Sebab itulah kalau cucu pernah mendengar kesah orang pada zaman dahulu, bila mereka sukar atau tidak dapat menewaskan musuh di atas darat, mereka akan mengheret pertarungan ke kawasan yang berair. Satu lagi kelebihan Cepat Air ialah kita boleh mengesan di mana musuh melalui air yang mengalir’

Selepas menamatkan penerangan mengenai keistimewaan jenis-jenis cepat itu, tok lantas meminta kami memilih satu sahaja sebagai pilihan.

`Cucu?’, tok lalu menghalakan kepada Wan.

Dengan pantas Wan menjawab.

`Cepat Kilat’

`Cucu?’, aku pula ditanya.

Aku lantas menjadi serba salah kerana niat di hati mahukan Cepat Kilat, tapi Wan telah mendahuluinya. Aku lalu terfikir-fikir dan akhirnya dengan hati yang sedikit kesal dan ragu-ragu aku lalu menjawab.

`Cepat Angin’

`Cucu’

`Cepat Bunyi’, jawab Piei

`Cucu?’

`Cepat Air’

Malam itu aku tidur dengan rasa yang cukup kecewa kerana tidak memilih Cepat Kilat.Aku kecewa kerana aku tidak lebih dahulu ditanyai oleh tok untuk membuat pilihan.

Kekesalanku itu aku luahkan kepada Yim pada keesokan harinya. Yim yang memang terlebih akrab denganku berbanding dengan rakan-rakannya yang lain menerangkan, aku tidak perlu gusar kerana semua Gerak Cepat tersebut adalah milik Panglima Hitam.Maksudnya keempat-empat Gerak Cepat itu akan dianugerahkan kepada semua anak-anak muridnya kerana kesemua Gerak Cepat itu menurut Yim adalah pakaian semua yang mencapai taraf panglima.

17 Mac 2010

16. Hamdi Melangkah Undur.

Setelah beberapa siri latihan, Hamdi yang sentiasa memberikan alasan untuk tidak hadir berlatih pencak, akhirnya dia dipaksa hadir juga. Dia yang tinggal sendirian menyewa bilik di rumah Mak Cik Mendi kelihatan makin hilang semangat untuk berpencak. Ketangkasannya yang agak rendah dalam gerakan akrobatik pada aksi jatuh bergulingan, dan kesakitan akibat darinya menyebabkan dia ada alasan untuk ponteng. Setelah beberapa kali gagal menghadirkan diri, tok akhirnya meminta Dol dan aku memujuknya untuk datang dalam sesi latihan.

Dan pada malam ini Hamdi dipaksa datang tapi latihan pencak tidak dapat dibuat bila Hamdi tiba-tiba memberikan keputusan yang menggemparkan.

`Saya tak mahu bersilat lagi, tok’, itu katanya.

`Kenapa?’, tok bertanya.

`Saya sibuk’.

`Sibuk?’

`Banyak kerja sekolah. Nak periksa buku murid-murid’

Tok diam sambil merenungnya.

`Saya tak cukup masa’, tambah Hamdi lagi.

`Cucu Wan boleh buat?’, tok cuba memujuk

`Si Piei boleh dan cucu ini pun boleh. Kenapa cucu tak boleh?’, sambil tok menepuk bahuku kerana aku memang duduk betul-betul di sebelah kanan tok.

`Mereka pun kerja macam cucu juga’,tambah tok seterusnya.

`Mereka lain, tok’

`Lain?’

`Mereka minat! Tapi saya tak minat bersilat’

`Cucu tak minat?’

Hamdi menggeleng-geleng.

`Cucu tak minat silat?’

Hamdi masih menggeleng-geleng.

`Ini silat peperangan Hamdi’, . Wan membantu tok menasihatkan Hamdi. `Bukan seperti silat lain!’

Hamdi tetap bungkam sambil wajah memandang lantai papan.

`Habis kalau berlaku perang, bagaimana cucu mahu menghadapinya?’, tok tiba-tiba bagaikan mengugut.

Hamdi terdiam. Aku lantas memberi motivasi dan perangsang kepada Hamdi.Begitu juga Wan. Tapi Hamdi tetap menggeleng-geleng.

`Cucu kena faham’, tok berkata setelah usahaku dan Wan gagal.`Belajar silat ini bukan sahaja untuk pertahanan diri, tetapi adalah untuk perang.Untuk membela agama, bangsa dan negara. Cuba cucu bayangkan betapa besarnya pahala kalau berlaku fisabilillah dan cucu terlibat sama mempertahankan agama, bangsa dan negara’

Hamdi masih berdiam diri.

`Cuba cucu fikir’, tok berkata lagi.`Orang lain bersusah-payah untuk mencari ilmu persilatan. Tapi sekarang silat datang ke rumah cucu.Tak payah cucu pergi jauh-jauh mendaki bukit dan gunung, meredah lembah dan belantara untuk mencari ilmu. Tak perlu! Tak payah bertapa untuk mendapatkan ilmu. Ilmu datang ke rumah. Cuba cucu fikir baik-baik’

Tok berhenti sebentar melihat kesan kata-katanya kepada Hamdi. Hamdi masih berdiam diri.

`Sekarang ibarat hujan sedang turun dengan lebat, cucu’,tok memujuk lagi.`Cucu tak perlu susah-susah.Cucu cuma perlu ambil baldi dan tadah. Air akan mengisi baldi tersebut sehingga penuh. Cuba cucu fikir baik-baik’.

Tapi ternyata si Hamdi tetap muktamad dengan keputusannya. Kami cukup kecewa. Apakah rancangan tok untuk melahirkan ganti bagi Hang Tuah Lima bersaudara akan gagal? Itu yang sertamerta terdetak dalam mindaku.

Bila bangun pagi Yim memberitahuku pada malamnya Hang Tuah lima bersaudara datang ke rumah kami. Semuanya mengalirkan air mata. Hang Tuahlah dilaporkan begitu banyak menitiskan air mata kerana cukup kecewa dengan Hamdi kerana menurut Yim dia telah bersumpah akan mencurahkan seluruh ilmunya kepada anak-anak cucunya.

16 Mac 2010

15. Yim dan Rakan-Rakan Pencaknya.

Pada ketika kami berlima dipersaudarakan, pelajaran seni silat tempur Yim dan rakan-rakannya telah pun tamat. Pada ketika itu mereka sedang dalam sesi-sesi terakhir untuk menjalani pertandingan merebut tempat pertama, kedua dan seterusnya. Justru pertandingan silat tempur sedang dilangsungkan dengan giatnya di tempat datuk.

Yim tidak memberitahu kami berapa ramaikah jumlah mereka semuanya.Bila kami bertanya adakah Yim kenal mereka,Yim memberitahu dia memang kenal mereka semuanya tetapi sama-sama tidak pernah mengetahui dari mana asal masing-masing dan di mana mereka tinggal.

Di atas dunia pun mereka tidak pernah terserempak.

Selain perguruan di Tanah Melayu, ada pula perguruan di Indonesia di bawah pimpinan para panglima di sana.Ada ketikanya Yim pernah dibawa ke Indonesia untuk melawat perguruan di sana. Begitu juga para panglima di sana kadang-kala datang ke perguruan di Tanah Melayu.

Kesemua anak-anak murid dari kedua-dua perguruan dipersiapkan untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang berlaku baik di Indonesia atau di Malaysia.

Apabila kami lima bersaudara dibentuk, tumpuan persilatan para datuk adalah kepada kami pula. Demikian kata Yim. Dalam erti kata lain,walaupun mereka diasuh secara yang lebih istimewa kerana dibawa ke alam lain, tetapi tumpuan sekarang adalah kepada kami berlima saudara, kerana kami akan dimasyurkan sebagai ganti Hang Tuah lima bersaudara.

Semuanya adalah dari perancangan perguruan – seruan perguruan dari mahaguru.

13 Mac 2010

14. Siapa Yim?

Yim menerangkan bahawa ada di kalangan panglima telah diminta oleh guru untuk mencari cucu pilihan masing-masing untuk dibawa ke alam mereka bagi diajar berpencak.Inilah yang berlaku selama bertahun-tahun kepada Yim dan rakan-rakannya.

Yim menceritakan bagaimana saat pertama dia berkenalan dengan tok. Dia lari meninggalkan rumah kerana tidak sanggup lagi menanggung perangai panas baran ayahnya. Dia lari meninggalkan Alor Star dan akhirnya menumpang sebuah lori yang dalam perjalanan ke selatan. Bila sampai di Muar dia meneruskan perjalanan yang tak ketahuan mengikut kakinya.

`Tok berkenan kepadanya kerana dia tidak mencuri’, begitu kata Tok Itam.`Tok ikuti dia.Tok tahu dia cukup lapar dan dahaga. Tapi dia tidak mencuri.Dia menghilangkan hausnya dengan hanya meminum air aip di tepi jalan’, demikian Tok Itam menerangkan sejarah bagaimana Yim menjadi cucu kesayangannya.

Bertahun-tahun Panglima Hitam meneliti kesesuaian cucu kesayangannya itu untuk diambil bagi diberi latihan persilatan.

Pada ketika itu Yim baharu sahaja tamat sekolah rendah. Setelah keletihan dalam perjalanan dia tertidur di sebuah bangsal tempat memesen getah. Badan yang letih setelah perjalanan yang begitu jauh serta perut yang lapar menyebabkan dia tertidur dengan lenanya tanpa mempedulikan nyamuk yang berkenduri besar pada sepanjang malam tersebut.

`Bangun! Bangun!’, Yim tiba-tiba terdengar seruan pada pagi-pagi subuh itu. Yim yang masih belum puas tidur tidak menghiraukan seruan itu.

`Cucu! Cucu! Bangun....’, terdengar lagi seruan itu.Suara yang terdengar begitu lembut dan penuh kasih sayang.

Yim lalu mencelikkan matanya sedikit. Dalam keadaan mata yang masih mengantuk itu, dia agak sukar untuk mencelikkan mata. Tapi dia tetap berusaha. Dia tidak melihat apa-apa.Kabus pagi agak tebal dan kegelapan masih berkuasa.Lalu dia cuba melelapkan matanya kembali. Ketika hampir terlayang, dia terdengar sekali lagi seruan.

`Cucu....Bangun....!’

Bila terdengar sekali lagi suara itu, Yim baru perasan bahawa dirinya sedang diseru. Dia lantas duduk. Matanya memandang ke hadapan. Dia bagaikan terlihat satu objek seakan-aka sebuah bayang yang kabur. Dia mengamati lagi. Rupa-rupanya semakin diamati semakin jelas bayangan itu. Akhirnya pandanganya semakin jelas dan terang. Ada satu lembaga yang besar dan tinggi berpakaian hitam seluruhnya sedang berdiri di hadapannya.

Itulah saat pertama Yim melihat Panglima Hitam.Tok Itam menenangkan Yim dan mengatakan dia tidak usah bergusar hati kerana dia berada dalam perlindungan. Panglima Hitam mengatakan dia akan menjaga keselamatannya.Yim akhirnya dipungut oleh seseorang ketika dia berjalan di pinggir jalan lalu dijadikan anak angkatnya.

11 Mac 2010

13. Bila Mati.

`Bila kita mati, kita kenal dan tahu siapa-siapakah yang melawat kita’, tok menerangkan.

Tajuk ini dibualkan apabila kami memberitahu tok mengenai kematian anak pak imam masjid Daerah Raub yang mati lemas di Jeram Besu. Itulah satu-satunya anak pak imam tersebut, seorang pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah – kalau tak silap Sekolah Menengah Mahmud - yang berkelah bersama rakan-rakannya. Dengan itu terbukalah kesah bila mati – bila kita mati nanti.

`Tapi kita tidaklah pula tahu bahawa pada ketika itu kita sebenarnya telah mati’, tok meneruskan penerangannya.

Kami mendengar penjelasan tok dengan penuh perhatian.Maklumlah kesah yang kami percaya tok telah mengalaminya sendiri.

`Sewaktu jenazah kita dimandikan’, tok berkata seterusnya.`Kita akan berkata kepada diri sendiri.Kasihan rupanya orang kepadaku. Dimandinya aku. Begitulah juga sewaktu dikafankan. Kita akan lihat sendiri tubuh kita dikafankan’

`Tapi tok, ketika itu kita tahu tak kita sebenarnya telah mati?’

`Tidak!’, dan tok memandang kepada Wan yang bertanya.

`Cuma kita merasakan orang kasihan kepada kita apabila kita melihat diri kita dimandikan dan dikafankan’

`Heran ya?’

`Kita melihat diri kita sendiri tetapi tidak pula kita tahu bahawa kita telah mati’, tok melanjutkan huraiannya.

`Ketika tubuh kita disembahyangkan dan dimasukkan ke dalam keranda, kita masih lagi melihatnya. Tetapi apabila sampai masa untuk mengusung keranda, ketika pak imam berseru al Fatehah di tangga, pada ketika itulah kita tidak melihat lagi dan tidak mengetahui apa-apa....’

Kemudian tok meneruskan bicaranya.

`Tahu bila kita tersedar?’

Kami semua terkebil-kebil.

Tok lalu menerangkan bahawa ketika antara sadar dengan tidak sadar, kita terdengar bagaikan suatu keriuhan dan suara-suara yang tidak begitu jelas.Seolah-olah kita bagaikan terkhayal. Ketika itu kita bagaikan seolah-olaah antara mimpi dan jaga. Dalam suasana begitulah tiba-tiba nama kita diseru.

`Ya Abdul binti Aminah’, misalnya. Tiga kali nama kita diseru dan cukup kali ketiga kita pun sedar sepenuhnya – bagaikan terbangun dari tidur. Pada ketika itulah kita akan tertanya-tanya di manakah kita sekarang kerana ketika kita terbangun – macam bangun dari tidur juga - kita tidak lagi berada di tempat biasa.Masa itulah kita mendapati kita berselimut dengan kain kapan dan ronga-ronga hidung dan mulut disumbat dengan kapas.Pada ketika itulah baharulah kita sedar, bahawa kita telah mati’

Kami semua diam dan sangat keseraman dengan kesah yang amat menyeramkan itu.

Tok menerangkan bahawa kita memang mendengar bacaan talqin dari pak iman di atas kubur. Apabila bacaan talqin telah siap, sebaik sahaja tujuh langkah orang-orang di perkuburan meninggalkan kita, pada saat itu kita akan mendengar satu suara memberi salam.

Tok menerangkan bahawa sebelum Munkar dan Nankir tiba untuk soalan kubur, yang datang terlebih awal ialah al Quran. Al Quran datang dengan memberi salam dan akan menemani kita. Selepas al Quran diikuti oleh amalan baik. Al Quran duduk di bahagian kepala kita dan amalan baik duduk disebelah kanan kita. Kita menjadi sangat tenteram dengan al Quran dan amalan baik.Ini bagi roh yang baik.

Amalan jahat berupa sejenis makhluk yang sangat menjijikkan.Makhluk yang menjijikkan dan berbau busuk mengaku dialah diri kita yang selama di dunia kita tidak menjaganya dengan baik dan sekarang dia datang untuk menemani kita.Kita menjadi teramt takut serta benci kepadanya dan tidak mahu dia menemani kita, tetapi kita tidak mampu menghalaunya. Hal ini berlaku kepada manusia yang tidak hidup berpandukan ajaran Islam.

Bila semuanya sudah tiba, pada ketika menanti ketibaan Munkar dan Nankir, kita akan berada dalam kesunyian yang tidak ada tolok bandingnya.Tidak ada apa-apa bunyi dan suara pun. Pada masa itu ketika menunggu.....kita akan berada di puncak resah dan gelisah. Bahkan di puncak ketakutan dan keseraman.

Kalau roh yang jahat, Munkar dan Nankir akan datang dengan terlebih dahulu memberikan satu tempikan suara yang sangat menakutkan lebih dahsyat dari bunyi halalintar membelah bumi!

Bagi yang beramal soleh, mereka tetap tenang dan tenteram.

09 Mac 2010

12. Akar Putus Sendiri.

`Tok diperintahkan oleh guru untuk mengumpulkan semua panglima-panglima, pendekar-pendekar dan pejuang-pejuang serta penunggu tanah air’, demikian tok memberikan maklumat mengenai misinya sejak dahulu hingga sekarang.

`Kita sedang cari mana lagi yang lain-lain’, Tok Itam berkata merujuk kepada panglima-panglima dan pejuang tanah air yang lain, yang berserakan muncul silih berganti zaman berzaman di seluruh tanah air. Pada waktu itu (1977) menurut senarai nama-nama yang Yim terangkan, panglima dan pendekar yang terkumpul baru dalam sekitar 40 orang.

`Ramai lagikah tok?’, Wan bertanya

`Ramai lagi’

`Bila berperang nanti apakah semuanya akan terlibat tok?’

`Mesti!’, tok bernada tegas.`Inilah yang sedang tok usahakan. Bukan panglima dan pendekar sahaja, tapi semua!’

`Semua?’

Kami terkebil-kebil kerana tidak memahami maksud semua itu. Tok lalu menjelaskan.

`Cucu tak tahu’, tok berkata seterusnya.`Ada orang pada zaman dahulu yang pergi bertapa dan sampai sekarang terus-menerus kekal dalam pertapaan’

`Sampai sekarang?’, Piei terkejut.

`Sudah beratus-ratus tahun?’, Wan pula terkejut.

`Ya! Sampai sekarang’, tok terus bernada tegas.`Di antara mereka ada yang telah bersebati dililit oleh akar-akar kayu. Tidak dikenali lagi. Tapi bila sampai masanya nanti, akar-akar tersebut akan putus dengan sendirinya. Mereka akan terbang keluar lalu mengamuk membunuh musuh-musuh negara’

Kami terkelip-kelip mendengar maklumat yang tidak dijangka samasekali itu. Tidak terlintas sedikit pun di dalam minda, ada orang yang bertapa mengamalkan ilmu kebatinan sehingga ke peringkat tidak kembali lagi. Benarkah? Tapi aku tidaklah bertanya kepada tok maklumat yang lebih lanjut walaupun tok mengatakan di dalam hutan di sebelah ulu kampung kelahiranku pun ada orang yang dia maksudkan. Merekalah pejuang-pejuang tanah air.

`Cucu semua bila tamat silat tok nanti, bolehlah belajar silat Hang Tuah pula’, tok membuat cadangan.

`Silat tok bila boleh tamat?’, aku bertanya.

`Lambat lagi’

Aku pun menjangkakan memang lambat lagi sebab pada tahap sekarang baru latihan fizikal. Baru memantapkan langkah. Aku teringat pesanan tok sewaktu latihan, tari silat tok lembut tetapi pantas. Sewaktu latihan tok selalu memperingatkan langkah latihan bagi tari silatnya lembut bagaikan lenggang tari inang.

`Tari inang sebenarnya adalah tari silat’ begitu kata tok.

`Tapi bila Panglima Hitam marah, tari inang akan berubah menjadi tari yang tangkas dan ganas’,tok berkata seterusnya.

Dan tok lalu berdiri membuka pencaknya.Kami semua sama-sama menyaksikan tari silatnya yang tangkas penuh dengan serangan kaki dan tangan yang cukup merbahaya. Serupalah sebagaimana yang Hamdi pernah melihat silat Megat Terawis dan silat Hang Jebat pada suatu malam dulu yang menyebabkan terbongkarlah kepada aku rahsia persilatan Yim.

`Bila bertemu musuh, tok pesankan begini’ kata tok setelah selesai menunjukkan seni persilatannya yang tangkas, ganas dan merbahaya itu.

`Berkat pengajaran guruku Panglima Hitam, engkau tidak akan dapat menewaskan aku’, begitu amanat tok. Kami lantas menghafal pesanan itu.

`Tapi silat tok yang tadi lain macam nampaknya!’, Wan tiba-tiba memprotes bagaikan tidak berpuas hati.

`Tak sama dengan yang tok ajarkan kepada cucu’, aku pula menambah kata.

Tok Itam tersenyum.

`Tok ada dua jenis silat.Yang cucu tengok tadi ialaah silat luar biasa’

`Silat luar biasa?’

Kami terkebil-kebil mendengar penjelasan tok.Ini bererti silat yang tok ajarkan kepada kami hanyalah silat biasa kerana langkah silat kami teratur satu-satu sedangkan silat yang tok tunjukkan sebentar tadi bagaikan kakinya tidak berjejak di bumi dan kedua-dua belah tangannya menerawangi udara bagaikan kipas berputaran. Kaki dan tangannya tangkas mangkas, lincah dan pantas.

`Tapi ingat, jangan sekali-kali mencari musuh’, tok berpesan seterusnya..

`Kalau musuh yang mencari?’

`Cubalah elakkan’.

Tok memberi pesanan selanjutnya supaya sebelum tidur membaca al Fatehah dan tepuk bantal tiga kali.

`Nanti cucu akan dengar bunyi tapak kaki musuh yang datang. Tum! Tum! Tum! Satu batu lagi cucu sudah terjaga’

06 Mac 2010

11. Kesah Tok Itam

Selepas latihan pencak kami memang sentiasa bersembang. Kadang-kadang bersimbang lebih lama dari latihan. Tok sentiasa menceritakan kesah-kesahnya. Kesahnya bersama panglima-panglima purba lain yang terkumpul. Mereka adalah golongan yang terkumpul dan terpilih yang dikumpulkan pada satu kawasan yang bagaikan ada dinding dan tembok. Dinding dan tembok yang menjadi sempadan penghalang kepada semua mereka yang telah terkumpul dari keluar secara bebas ke dunia luar. Dinding tersebut juga menjadi penghalang dari sebarang makhluk jin, orang halus, orang buniyan dan sebagainya termasuk manusia dari memasuki kawasan mereka.

Tok menceritakan semua panglima dan pendekar yang terkumpul di situ tidak boleh keluar kecuali dengan keizinan guru. Cuma Tok Itam seorang sahaja yang ada sedikit kebebasan. Tok mengakui bahawa pergi merayau-rayau ke alam luar – dunia manusia – adalah seronok. Sejak terbiasa dengan cucu-cucunya seramai lima orang, tok sentiasa berpeluang keluar dan dengan demikian terdedahlah kepadanya alam dunia. Alam dunia yang lebih menyeronok dan mengasyekkan berbanding dengan zamannya yang lalu. Sejak merasa seronok dengan dunia yang telah berwajah baru, berbanding dengan dunia pada zaman lampau, tok sentiasa mencari helah untuk keluar sendirian mencuri-curi takut diketahui guru.

`Selalunya tok pergi ke mana?’, aku bertanya.

`Tak tentu.Kadang-kadang ikut cucu Rahim.Kadang-kadang ikut cucu’

Wah! Seronoknya aku bila tok berkata begitu.Seronoknya kalau tok ada menemaniku.

`Bila nak masuk semula ke dalam, tok akan mengintai di mana guru berada.Tok tak masuk ikut pintu utama kerana pengawal tahu. Jadi tok terbang ikut jalan yang lain. Tapi itulah yang tok hairankan, tiba-tiba tok akan di sapa.Ke mana tadi? Bila tok berpaling, rupa-rupanya guru tiba-tiba sahaja berada di situ. Tok pun hairan, bagamana guru boleh tahu dan secara tiba-tuba sahaja berada di situ’.

`Jadi bagaimana jadinya tok, bila diketahui guru, tok keluar tanpa izin?’

`Tersengih-sengih ajelah. Malu’, dan tok ketawa. `Tapi tok berilah alasan. Melihat cucu misalnya...’

Demikian kesah Tok Itam yang diberi kepercayaan, tapi nakal juga mencuri-curi keluar dari alam/kawasan tempat mereka dikumpulkan tanpa keizinan guru.

.

02 Mac 2010

10. Menghantar Haruman Ke Kubur.

Dan bila bercakap soal ziarah kubur, tok memberi pesanan supaya menziarahi kubur selalu .

`Bila cucu menziarahi kubur, atau bila lalu di kawasan perkuburan, cucu jangan lupa beri salam’.

Pada ketika itu aku belum pernah lagi memberi salam bila sampai ke kawasan perkuburan Islam dan tidak pun tahu bahawa umat Islam yang masih hidup dianjurkan supaya memberi salam. Pada ketika itu aku belum lagi dapat memahami erti mati dan tidak begitu mengetahui bahawa alam kubur adalah juga alam penghidupan.

`Apa kelebihannya?’, Dol bertanya.

`Bila cucu bagi salam, cucu umpama menghantar harum-haruman yang sangat wangi ke alam perkuburan’.

`Caranya?’, Dol bertanya lagi.

`Macam biasa juga. Assalamualaikum ya ahlul kubur!’, tok berkata.`Atau boleh juga `assalamualaikum waliwalidaiyya. Tapi selepas beri salam, cucu kenalah jawab sendiri pula salam itu’

`Jawab macam mana?’

`Waalikummussalam warahmatullahi wabarokaatuh’

`Kenapa jawab sendiri pula?’, Wan bertanya.

`Sebab cucu tak dengar jawapan mereka!’

Kami mengangguk mendengar penerangan itu dan di dalam hati ada keazaman untuk melakukannya.

`Beri salam tiga kali’, tok berkata lagi.`Si mati di dalam kubur adalah umpama orang yang berada di dalam kehausan di padang pasir. Apabila cucu menghadiahkan al Fatehah atau Qulhu kepada mereka, umpama cucu menghadiahkan air kepada orang yang sedang kehausan. Bayangkan betapa besarnya pahala yang akan cucu perolehi’, tok bagaikan berceramah.

`Tiap-tiap orang ahli kubur akan mendoakan untuk cucu’. Tok menambah.

`Bila hadiah dari cucu sampai kepada mereka, mereka sangat bergembira dan saling bertanya siapakah orang yang memberikan hadiah itu, anak siapakah dia dan akan mendoakan pula untuk cucu.Bayangkan betapa besarnya rahmat untuk cucu didoakan oleh roh-roh si mati yang tak terkira ramainya’

`Apa yang mereka doakan tok?’

`Mereka mendoakan supaya orang yang menghadiahkan doa dan Qulhu atau al Fatehah dan sebagainya akan cepat mati’

`Ha!’, kami semua tersentak.

`Tak mahulah begitu’, Dol bagaikan membantah. Tok Itam tersenyum.

`Yang sebenarnya cucu’, tok memulihkan perasaan kami.`Orang yang mati muda, adalah lebih baik bagi mereka sebab tidak sempat banyak membuat dosa. Tidak ramai orang yang panjang usianya bertambah amalnya. Yang ramainya adalah semakin panjang umurnya semakin banyak berbuat dosa dan maksiat. Maka sebab itulah didoakan supaya orang yang baik-baik tidak panjang usianya kerana dikhuatiri banyak membuat dosa’

Kami terdiam mendengar penjelasan itu. Ada juga logiknya. Agaknya sebab itulah bila seseorang itu mati mendahului rakan-rakan yang lain dikatakan `Tuhan sayang kepadanya sebab itulah diambilnya’.

`Lagi satu perkara cucu’, tok berkata lagi.`Orang beriman tidak suka lama-lama tinggal di dunia ini’

`Kenapa?’

`Dunia adalah penjara bagi orang beriman...’

`Penjara?’

`dan surga bagi orang-orang kafir. Tahu kenapa?’

Kami sekadar berdiam diri.

`Orang beriman memang rasa terpenjara’ tok melanjutkan.`Sebabnya, dengan mati roh yang terpenjara di dalam jasad akan bebas – bebas untuk kembali meninggalkan penjara badannya dan dunianya yang sempit.Kembali kepada Tuhan dan alam yang maha luas’.

Tok merenungi kami.

`Sebaliknya, orang-orang kafir sangat seronok dengan kehidupan dunia. Mereka seronok menjamu nafsu mereka. Ini menunjukkan bahawa tanda iman ialah tidak menyukai kehidupan dunia tapi sebaliknya menyukai akhirat’.

Kami mendengar sambil menghadham juadah rohani itu.Dunia bukan tempat yang perlu rasa asyek dan terpesona.Biarkan orang-orang kafir sahaja begitu.Orang Islam sentiasa perlu merasakan dunia ini adalah penjara yang perlu ditinggalkan, tetapi mestilah dengan menyediakan perbekalan yang secukupnya.

Sungguh seronok mendapat tip agama dari orang yang telah menempuh alam kematian ini.Begitu fikirku dan barangkali begitu jugalah teman-teman yang lain.

`Kalaulah ada anak durhaka’, tok berkata lagi.Kali ini isu yang lain pula.`Atau katakanlah cucu sendiri durhaka....Tapi bukan tok suruh begitu ya?’

Tok lalu memandang kami dengan senyumaan.Kemudian menyambung.

`Katakanlah cucu tersilap, lalu durhaka dengan emak.Belum sempat cucu meminta ampun, tok nak tanya, masih bolehkan cucu meminta ampun kepada emak cucu?’

Kami terkebil-kebil.Tidak tahu apa nak jawab.Ibu telah meninggal duni, jadi bagaimana mahu meminta ampun? Kalau minta ampun pun, ibu sudah tidak ada lagi atau telah menjadi mayat di telan bumi! Jadi bagaimana mahu meminta ampun? Menyelinaplah rasa takut yang bukan kepalang.Perlahan-lahan hatiku berdoa semoga aku tidak menjadi anak yang durhaka kerana anak yang durhaka haram mencium baunya syurga.

`Boleh tak minta ampun daripada orang yang telah meninggal dunia?’, tok menyoal lagi.

Aku memandang Wan.Wan juga memandangku.Piei duduk mewajah lantai. Kami hanya mampu berdiam diri.

`Boleh....!’, Tok menjawab sendiri.

Jawapan tok menyebabkan kami bagaikan tersentak.Bagaimana? Tapi apa pun, sepatah perkataan tok tadi memberikan harapan yang setinggi gunung.

`Cucu pergilah ke kubur emak..’

Kami terkebil-kebil menanti penjelasan selanjutnya.

`Dan minta ampunlah di situ’

`Dia tahukah tok?’

`Tahu! Dia tahu dan dia dengar..Banyak-banyakkanlah hadiahkan al Fatehan dan Qulhu dan doakanlah untuk mereka.Ramai orang tak tahu perkara ini’.

Dan tok memandang wajah kami yang kembali berseri dan cukup berpuas hati dengan penerangannya itu.

`Sebenarnya cucu, setiap orang yang nak mati, biasanya telah mengampunkan dosa semua orang-orang yang tersayang.Lebih-lebih lagilah kalau ibu dan bapa....Jadi tak payahlah risau’

Kami cukup berpuas hati dengan penjelasan dari tok itu.Rupa-rupanya bagaikan tidak ada erti perpisahan atau persempadanan antara yang hidup dengan yang mati. Roh di alam barzakh tetap tahu siapa-siapakah yang melawat mereka dan mendoakan mereka.Yang terputus ialah suara dan pandangan mata dari orang yang hidup terhadap yang mati.Demikian tok menerangkan selanjutnya.

Begitulah keadaan kami, cucu-cucu Panglima Hitam. Selepas berpencak, kami akan bersembang.Tok akan bercerita dan berkesah.Sambil minum-minum ayak gunung dari jenis-jenis air yang disebutkan tadi atau samada Pepsi Cola atau Coca Cola, FN, Orange dan sebagainya sambil juga makan-makan, Tok akan sentiasa memberikan nasihat agama dan ceramah kepada kami. Kadang-kadang tok menceritakan kesahnya pada zaman yang lalu. Panglima Hitamlah yang sentiasa datang kerana dia melatih kami pencaknya. Ada juga ketikanya panglima-panglima yang lain ingin berkunjung.Tok Itam akan memberitahu kaami bila ada mana-mana panglima lain yang ingin berkunjung.Kadang-kala kami sendiri yang meminta panglima berkenaan untuk datang kerana ada kalanya kami ingin menyelongkar sejarah dan kesah-kesah mereka semasa hidup di dunia dahulu.

Antara yang kami panggil ialah Panglima Harimau Berantai yang sejarahnya kami ketahui melalui filem, dan cedera sehingga buta matanya dalam pertarungan. Dan bila dia datang memang dia dalam keadaan buta.Kami juga pernah memanggil Tok Janggut untuk mengetahui kesahnya, betulkah dia yang digantung oleh Inggeris.Ini berpunca dari kesah bilamana Tok Itam menerangkan bahawa Tok Janggut tidak mati di tali gantung. Tok Itam menerangkan, memang benar Tok Janggut tercedera dalam pertempuran dengan Inggeris tetapi dia dapat melarikan dirinya jauh ke dalam hutan. Yang digantung oleh Inggeris sebenarnya adalah seekor kambing jantan....yang dinampakkan zahirya menyerupai Tok Janggut.

Lantaran maklumat yang Tok Itam sampaikan, lantas kami panggil Tok Janggut yang pekat dengan dialek Kelantan untuk mengesahkannya. Tok Janggut menerangkan selepas cedera, dia memang melarikan diri jauh ke dalam hutan dan akhirnya terkumpul bersama dato-dato yang lain.

Begitulah juga kesah Hang Tuah. Dia sebenarnya memang ghaib setelah kecewa dengan kematian Hang Jebat.

Pada akhir perbualan pada malam-malam seumpama malam itu, tok meminta kami membuat lawatan menziarahi Makam Habib Noh di Singapura, melawat Pulau Besar iaitu pulau nostalgia persilatan Hang Tuah lima bersaudara, menziarahi makam panglima-panglima di selatan dan di Melaka iaitu perjalanan dari Raub ke Singapura ikut jalan Mersing Johor Baharu, terus ke Pulau Besar dan Melaka. Tok meminta kami membuat perancangan untuk perjalanan menjejaki kesan datuk-datuk panglima.