20 Mac 2010

17. Gerak Cepat.

`Dalam persilatan datuk, ada empat jenis gerak cepat’, Tok Itam menjelaskan setelah kami berhenti rehat dari latihan. Sambil duduk-duduk itu, dan sambil makan-makan dan minum-minum, sebagaimana biasa tok akan terus berceloteh.

`Cepat yang pertama ialah Cepat Kilat’, tok meneruskan penerangannya.`Cepat Kilat ialah memiliki pukulan samada kaki dan tangan yang tersangat pantas. Dalam satu sinaran kilat, kita boleh melepaskan sehingga lima pukulan’

`Pantasnya’, puji Wan

`Memang!’

Kami cukup bangga mendengar kepantasan serangan tersebut.

`Cepat yang kedua ialah Cepat Bunyi’, tok meneruskan bicaranya.`Cepat Bunyi sangat berguna bila bertempur di dalam gelap.Apabila mata tidak boleh melihat Cepat Bunyi dapat mengesan arah datangnya serangan’

Kami kagum pula dengan Cepat Bunyi.

`Pernah dengar kesah Panglima Harimau Berantai?’

`Pernah’, kami menjawab serentak.Kesah panglima tersebut ada difilemkan.

`Dalam keadaan dia telah cedera dan matanya buta, dia tetap boleh bertarung menewaskan musuhnya. Begitu juga Panglima Si Buta dari Indonesia’

`Si Buta dari Gua Hantu?’, Piei bertanya.

`Ada orang buat wayang bukan?’, tok bertanya kembali kepada Piei. Piei mengangguk

`Kalau cucu memiliki Cepat Bunyi, cucu boleh bertarung dalam keadaan mata tertutup.Nanti, bila sampai masanya, cucu semua boleh cuba bertarung dalam keadaan mata tertutup.Tutup mata dengan kain hitam dan lepas itu bertarung’

Kami terasa cukup bangga dan bagaikan tidak sabar menanti saat boleh bertarung dalam keadaan mata tertutup.

`Cepat yang ketiga ialah Cepat Angin’

Kami memandang tok dengan penuh kagum mengenai rahsia kehebatan silat Melayu yang sedang tok huraikan sekarang.

`Cepat Angin adalah untuk menimbulkan rasa gerun dan gementar kepada musuh.Sebelum kita tiba, musuh akan ketakutan mendengar nama atau berita ketibaan kita. Mereka akan mengalami suasana bagaikan ketibaan ribut.Menderu.Kalau musuh lemah semangat, dia akan cabut lari begitu sahaja’

Dan Datuk Panglima Hitam tersenyum bila mengakhiri kalimat itu.

`Cepat yang terakhir ialah Cepat Air. Cepat Air berguna apabila bertarung dengan musuh di dalam air. Tak ramai orang boleh bertarung di dalam air. Silat tok bleh bertempur di dalam air. Sebab itulah kalau cucu pernah mendengar kesah orang pada zaman dahulu, bila mereka sukar atau tidak dapat menewaskan musuh di atas darat, mereka akan mengheret pertarungan ke kawasan yang berair. Satu lagi kelebihan Cepat Air ialah kita boleh mengesan di mana musuh melalui air yang mengalir’

Selepas menamatkan penerangan mengenai keistimewaan jenis-jenis cepat itu, tok lantas meminta kami memilih satu sahaja sebagai pilihan.

`Cucu?’, tok lalu menghalakan kepada Wan.

Dengan pantas Wan menjawab.

`Cepat Kilat’

`Cucu?’, aku pula ditanya.

Aku lantas menjadi serba salah kerana niat di hati mahukan Cepat Kilat, tapi Wan telah mendahuluinya. Aku lalu terfikir-fikir dan akhirnya dengan hati yang sedikit kesal dan ragu-ragu aku lalu menjawab.

`Cepat Angin’

`Cucu’

`Cepat Bunyi’, jawab Piei

`Cucu?’

`Cepat Air’

Malam itu aku tidur dengan rasa yang cukup kecewa kerana tidak memilih Cepat Kilat.Aku kecewa kerana aku tidak lebih dahulu ditanyai oleh tok untuk membuat pilihan.

Kekesalanku itu aku luahkan kepada Yim pada keesokan harinya. Yim yang memang terlebih akrab denganku berbanding dengan rakan-rakannya yang lain menerangkan, aku tidak perlu gusar kerana semua Gerak Cepat tersebut adalah milik Panglima Hitam.Maksudnya keempat-empat Gerak Cepat itu akan dianugerahkan kepada semua anak-anak muridnya kerana kesemua Gerak Cepat itu menurut Yim adalah pakaian semua yang mencapai taraf panglima.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan