29 Januari 2010

TENTERA AKHIR
ZAMAN.

Raub 1976.

Di rumah hijau.

Aku sendirian ketika itu. Teman-teman yang lain seperti Junit, Wan, Piei dan Bakar meronda entah ke mana. Mereka memang selalu keluar meronda terutama pada hujung-hujung minggu begini. Akulah yang selalunya menjadi penunggu rumah, kerana aku memang kurang suka merayau tidak menentu. Inilah tabiatku sejak dulu-dulu lagi, suka memerap di dalam rumah.Aku hanya keluar bila perlu sahaja. Kalau keluar meronda pun hanya sekali-sekala sahaja. Sebab itulah orang-orang dikampungku memanggil aku teruna pingitan.

Rumah hijau tempat kami menyewa mendapat namanya kerana cat dinding papannya yang berwarna hijau. Rumah tersebut yang letaknya di tepi jalan di No 37 Jalan Lipis, Raub, menjadi rumah yang nampak hidup dan berseri apabila kami guru-guru muda yang baru menamatkan latihan perguruan menyewa di situ. Sebelum ini rumah itu sepi dan suram sahaja dan ada orang berkata, orang tidak berani tinggal di rumah itu kerana keras. Dikatakan penghuninya iaitu tuan punya rumah tersebut yang tinggal sendirian, mati keseorangan di rumah itu. Difitnahkan rumah tersebut bagaikan berhantu kerana ada orang melihat kadang-kadang lampunya menyala sedangkan tiada orang di rumah; dan dikatakan juga orang pernah terlihat seolah-olah ada orang tua bagaikan tuan rumah tersebut sedang mengambil wudhuk pada paip air di luar rumah di tepi jalan!

Itulah cerita-cerita yang disampaikan kepadaku oleh Cik Rokiah yang menjadi kerani di sekolah tempat aku bertugas iaitu SMJK (C) Chung Ching.

Di antara kami berlima, hanya aku seorang sahaja yang mengajar di SMJK (C) Chung Ching sedangkan kawan-kawanku yang lain semuanya mengajar di SMJK(C) Sungai Ruan.

Hamdi, temanku yang mengajar di SK.Raub, tiba-tiba muncul bertandang ke rumah sewaku, sewaktu aku sedang duduk melongo di muka pintu menghadap jalan raya memerhatikan kereta lalu-lalang. Hamdi tidak tinggal bersama kami, tapi menyewa bilik di rumah Mak Cik Mendi sejauh kira-kira 500 meter dari rumah sewaku.

Hamdi menceritakan kesahnya pada malam tadi menonton filem Mandarin `Five Shaolin Master’, sebuah filem pertarungan yang hebat. Dia pergi bersama Yim rakannya yang juga menyewa bilik di rumah Mak Cik Mendi. Yim tinggal sebilik bersama Dol, teman sekerja dengan Syarikat Securicor Sdn. Bh.

`Engkau tahu apa jadi pada Yim bila selesai menonton filem itu?’, Hamdi bertanyaku. Aku terkebil-kebil. Aku memang telah pun menonton filem pertarungan yang sangat hebat itu sebelumnya.

Hamdi lalu menceritakan, sebaik sahaja sampai di halaman rumah Mak Cik Mendi, Yim menjadi sangat terangsang oleh filem tersebut. Jiwa pendekar dalam dirinya mendesak-desak untuk memencak. Dia terus membuka pencak!

`Aku tak boleh tahan, Hamdi!’, jerit Yim. Pada ketika itu jam 12.40 pagi.

`Aku tak tahan lagi! Aku geram! Aku geram!’, jeritnya lagi.

Yim memencak dengan cukup hebat. Dia menyepak dan menendang udara terbuka dengan hebat bertubi-tubi. Sambil memencak dengan tangkas itu dia menjerit kepada Hamdi:

`Serang aku Hamdi! Serang aku! Serang!!!’

`Habis, engkau tak cuba?’, aku menguji kejantanan Hamdi.

`Aku tak berani ! Mana aku pandai bersilat !’

`Megat Terawis !’, Yim tiba-tiba bertempik menyebut nama seorang Pahlawan Melayu Purba sambil memencak itu. Dia menendang udara sambil badan berpusing-pusing.Kehebatan pencaknya memang memukau. Hamdi belum pernah melihat pencak sebegitu tangkas.

`Serang aku! Serang!!’, dia bertempik lagi, mencabar Hamdi dalam pencak yang ganas itu.

`Jebat !’, dia bertempik lagi.Hamdi melihat dengan sedikit debaran di dada.Cemas dan khuatir.

`Jebat!!’, Yim bertempik lagi dan tiba-tiba dia membuka pula sebuah pencak yang lebih hebat. Hamdi dapat saksikan Yim seolah-olah sedang bertempur kerana bagaikan dia bukan sahaja menyerang tetapi dia juga bagaikan menangkis serangan.

`Apa maksudnya dia menyebut nama-nama orang lama itu?’, aku bertanya ingin tahu.

`Entah!’, jawab Hamdi sepatah.

`Silat apa ya?’, aku bertanya Hamdi. Akan tetapi yang sebenarnya pertanyaan itu lebih kepada diriku sendiri yang mula membayangkan ada suatu keanehan yang perlu aku ketahui. Aku sedikit hairan dengan corak tari pencak yang digambarkan oleh Hamdi itu.Pantas, tangkas dan lincah dan ini merangsangku untuk menyelidikinya.

`Entah! Aku tak tahu namanya’.

`Silat gayungkah?’

Hamdi menggeleng-geleng.

`Bukan’, jawabnya. `Tapi bila aku tanya dia, dia kata dia memakai silat panglima!’

`Silat panglima?’

`Silat Megat Terawis, Silat Hang Jebat, Silat Hang Tuah, Megat Panji Alam dan banyak lagi’

Aku mendengar informasi itu dengan sedikit takjub dan tertanya-tanya mengenai Yim yang belum aku kenali, tetapi memiliki kebolehan bersilat berbagai-bagai persilatan panglima silam. Aku tidak pernah mendengar nama persilatan seperti itu.

Sebagai seorang anak muda yang memiliki sistem pertahanan diri yang aku yakini keupayaannya, aku terasa ingin untuk mengenali anak muda yang dikatakan mewarisi siri-siri persilatan panglima Melayu itu. Aku begitu teruja untuk berkenalan dengannya.Bukanlah untuk mengujinya, dan jauh sekalilah dari mencabarnya, tapi ingin berkenalan dan berteman bagi meluaskan pengalaman.