27 Ogos 2012

Janji Demokrasi


Janji Demokrasi
Seharusnya sebuah realiti manusiawi
Dan tidak seharusnya sebuah mimpi di siang hari
Andai pemimpin pendukungnya manusia insani
Yang hidupnya mencari reda Ilahi.

Kita tidak seharusnya lagi dibuai lena yang panjang
Setelah sekian lama dihempas dilambung gelombang
Dek kerana demokrasi dipimpin petualang
Yang seronok meletakkan Islam jauh di belakang
Dan kita dibiar mengejar bayang-bayang

Kini telah tiba saatnya untuk berdiri
Membangunkan ummah untuk membina realiti
Bahawa Janji Demokrasi wajib ditepati ditaati
Kerana di belakangnya wajah Islam sedang senyum menanti
Kerana Islam hanya akan gah dan unggul Setelah berakhir era demokrasi

07 Ogos 2012


Tutup Dua Pintu Syaitan RAKUS dan DENGKI.
(Disiarkan dalam majalah FARDUAIN Edisi 14)

Rakus berpunca daripada kecintaan kepada dunia iaitu apabila  hati sangat berkiblat kepada dunia.Hati yang berhadap kepada dunia sangat mencintai usaha pengumpulan wang dan harta, perhiasan, kemewahan, hiburan dan bersenang-senangan.
Dunia yang dimaksudkan dalam bahasa Tasauf ialah apabila terganggu aktiviti  menuntut ilmu akhirat, terabai amal dan ibadah atau jihad kerana berbimbangkan kepada bujukan  duniawi.Dalam kesah Nabi Musa as dengan Iblis dalam riwayat sebelum ini, Iblis menerangkan kepada Nabi Musa as supaya manusia sedar  dan tahu  peranan Iblis  apabila seseorang berada di medan perang.Pada saat  tersebut Iblis akan membisikkan ke dalam hati anak Adam supaya  berbimbang dan khuatirkan isteri dan anak, harta-benda atau apa-apa  jua yang disayangi di dunia.Lantas pada ketika itu seseorang  yang terpedaya dengan bisikan tersebut akan menjadi khuatir, gementar dan takut kepada kematian lantas melarikan diri dari medan perang.Itulah dunia!
Andaikata ditakdirkan  sewatu melarikan diri itu musuh berjaya membunuhya, maka tercapailah hasrat iblis kerana mati seseorang dalam keadaan demikian adalah mati dalam kebinasaan.
Firman Allah Taala:”Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). Barangsiapa yang membelakangi  mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah dan tempatnya ialah neraka jahanam.Dan amat buruklah tempat kembalinya (Al Anfaal:15-16)
Lalu alangkah ruginya seseorang anak Adam, apabila seluruh ibadah dan amal soleh yang dikerjakan sepanjang hayat sebelum ini,hancur menjadi debu yang berterbangan kerana mati dalam kebinasan yang berpunca dari penyakit cinta dunia!
Apabila seseorang itu rakus terhadap tiap-tiap sesuatu nescaya kerakusan itu membutakan dan menulikannya.Sabda Nabi saw:Kesukaanmu kepada sesuatu membutakan dan menulikan kamu’.
Cinta itu buta.Demikian  kata-kata hikmah.Bukan mata yang buta, tetapi akallah yang buta yang tidak lagi dapat berfikir secara waras, logik dan rasional.Akal tidak lagi boleh menaakul, mencerna dan menilai baik dan buruknya terhadap sesuatu perkara. Bukan telinga yang tuli tapi   akallah yang tuli kerana tidak lagi mahu mendengar sebarang teguran, pandangan dan  nasihat.
Orang rakus tidak peduli lagi peringatan dan slogan: ikut hati mati, ikut nafsu lesu, ikut rasa  binasa. Dorongan dalaman dari hati yang bernafsu besar, gelojoh, tamak dan tidak pernah merasa cukup dan puas,  akan menjadikan orang rakus sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai angan-angan dan impian.Tidak peduli lagi dosa dan mungkar,  perbuatan hina dan keji, dosa atau pahala.Mereka yang rakus akan sanggup berbohong, menipu, rasuah, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah, menabur fitnah dan lain-lain sifat mazmumah.
Diriwayatkan Nabi Nuh as tatkala memasuki kapalnya lalu membawa masing-masing berpasangan, jantan dan betina sebagaimana yang diperintah oleh Allah Taala.Lalu ia melihat di dalam kapal itu seorang tua yang tidak dikenalinya.Nabi Nuh as bertanya:”Apakah yang menyebabkan engkau masuk ke mari?”.Orang tua itu menjawab:”Aku masuk untuk mendatangkan bencana kepada teman-temanmu.Lalu hatinya bersamaku dan  badannya bersama  kamu”.Lalu Nuh as  berkata:”Keluar dari kapal ini, hai musuh Allah! Engkau sesungguhnya terkutuk!”.Lalu Iblis itu berkata:”Lima perkara yang membinasakan manusia dan aku akan ceritakan kepada engkau tiga perkara daripadanya dan yang dua perkara tidak akan aku ceritakan”.Lalu Allah Taala  menurunkan wahyu kepada Nuh as bahawa:”Engkau tidak memerlukan yang tiga perkara itu.Dan hendaklah diterangkan kepada engkau yang dua perkara lagi”.Lalu Nuh as bertanya kepada Iblis tersebut:”Mana yang dua perkara itu?”. Iblis menjawab:”Keduanya yang tidak membohongi aku.Keduanya yang tidak menyalahi aku.Dengan keduanya manusia  itu binasa : rakus dan dengki.Dengan sebab dengki, aku terkutuk dan aku menjadi setan terkutuk.Adapun rakus maka telah dibolehkan  bagi Adam sorga seluruhnya, selain  sepohon kayu.Maka aku memperoleh hajatku daripadanya disebabkan kelobaannya”.
Ketahuilah bahawa tidak ada dengki kecuali atas nikmat.Apabila Allah Taala memberikan nikmat kepada orang lain, maka menjadi kebiasaan orang-orang yang bersifat dengki  menyukai hilangnya  nikmat tersebut daripada orang yang didengkinya itu. Firman Allah:
`Jikalau kamu beroleh kebaikan, menyedihkan kepada mereka dan kalau ditimpa kesusahan, mereka girang kerananya’ (Ali Imran:120)
Dengki  juga membuta  dan menulikan  seseorang. Disebabkan buta dan tulilah,  pendengki  tidak memilih siapa bulu dan sasarannya kerana  yang didengki biasanya bukanlah orang-orang asing tetapi selalunya ialah adik-beradik sendiri, saudara-mara sendiri, sahabat sendiri atau jiran tetangga sendiri.Pada saat ini hilanglah persahabatan atau silaturrahim apabila syaitan telah berjaya menguasai hati melalui pintu dengki.
Dengki sebenarnya termasuk sebahagian impak dari dendam dan dendam pula termasuk sebahagian impak dari marah.Jadi dengki cucunya marah dan marah adalah neneknya dengki.Dari sifat  dengki akan bercabang-cabang pula kepada berbagai-bagai sifat tercela lainnya.Kedengkian akan membawa kepada umpatan, celaan, membuka rahsia dan menyebutkan keburukan-keburukan nama orang  yang didengki.Inilah hadiah-hadiah yang dihadiahkan kepada orang-orang yang didengki disebabkan  sakit hati atas nikmat yang Allah kurniakan kepada orang lain.Walhal Allah Taala telah menetapkan qadhaNya bahawa  Dia telah melebihkan sebahagian hambaNya dari sebahagian yang lain.Ada yang dijadikan berpangkat tingi, kaya-raya dan senang-lenang.Ada yang biasa-biasa sahaja dan ada pula yang ditakdirkan hidup susah dan melarat.Semuanya yang tersebut penuh dengan hikmah dalam rahsiaTakdirNya.Maka manusia diwajibkan jangan menyalahi atau memarahi takdir.
Apabila anda dengki, anda dengan demikian menghadiahkan kebaikan-kebaikan dan amal-amal kebajikan anda kepada orang yang anda dengki.Sehingga anda menemuinya di akhirat di mana anda menjadi muflis yang diharamkan dari nikmat syurga sebagaimana anda diharamkan dari nikmat itu di dunia.Demikanlah Nabi saw bersabda:”Dengki itu memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering”.
Bahawa dengan kedengkian ertinya anda telah marah kepada qadhaNya.Anda benci kepada nikmatNya yang dibahagi-bahagikanNya di antara hamba-hambaNya.Dan dengan dengki anda benci kepada keadilanNya yang ditegakkanNya pada kerajaanNya dengan hikmahnya yang tersembunyi.
Dengki kepada Adam as yang dilantik menjadi Khalifah di muka bumi dan perintah sujud kepadanya, Iblis dengan segala keturunannya menjadi setan terkutuk.Demikian juga Qabil yang dengki kepada adiknya Habil yang dikahwinkan dengan adiknya yang lebih jelita, berakhir dengan tragedi pembunuhan Habil oleh abangnya sendiri.
Dengki dan rakus adalah pintu besar bagi Iblis menguasai hati anak Adam.Justru menjadi wajib fardhu ain  membuang kedua-dua pintu besar Iblis tersebut dari menjadi sifat orang-orang mukmin kerana melaluinya akan berkembang subur lagi beraneka sifat kekejian.