09 Jun 2013

TEMAN BERKASIH DI JALAN ALLAH


TEMAN BERKASIH DI JALAN ALLAH
(Disiarkan dalam Majalah FARDUAIN Edisi 17
Dalam  tamadun materialisme yang bernaung di bawah falsafah dan ideologi barat yang  sangat bercanggah dengan Islam, teman berkasih di jalan Allah hampirlah bagaikan tidak ada untuk ditemui.Tamadun barat Yahudi  yang  menjadi tamadun dunia dan telah berkembang subur termasuk  juga di negara ini, telah menjadikan jalinan persahabatan di kalangan umat Islam  tidak lagi dibina di atas asas keagamaan  tetapi  banyak disebabkan oleh berbagai-bagai faktor lainnya.Keikhlasan sejati  dalam  hubungan persahabatan yang  diasaskan oleh agama yang menjadi pegangan jiwa para  Sahabat rh, ulama-ulama salaf dan hamba-hamba Allah yang saleh pada zaman-zaman yang terdahulu, bagaikan tidak ada lagi dalam kehidupan majoriti masyarakat Islam kini,  kerana persahabatan kebanyakannya  terbina di atas  asas adanya kepentingan tertentu yang tidak bernaung kepada sifat ikhlas kerana Allah Taala atau lillahi Taala.
Apabila anda adalah `seseorang’ dalam sesebuah organisasi atau komuniti,  anda akan di kelilingi  oleh ramai teman dan sahabat. Atau apabila dia adalah `seseorang’  dalam sesebuah organisasi dan komuniti, maka anda juga akan berminat untuk berkenalan dan bersahabat dengannya.Semuanya  berkisar kepada peri  pentingnya  anda atau peri pentingnya seseorang itu kepada anda. Bersahabat di atas adanya kepentingan bukanlah persahabatan yang ikhlas kerana apabila hilang kepentingan maka lunturlah persahabatan.Persahabatan yang tidak dibina diatas asas ikhlas semata-mata kerana Allah tidak mungkin boleh mencapai tahap   teman sejati.
Teman sejatilah makna bagi  bersaudara atau berkasih-sayang di jalan Allah.Sebagaimana dikehendaki oleh perkahwinan akan  hak-hak yang wajib disempurnakan untuk menegakkan perkahwinan, maka begitulah ikatan persaudaraan dan persahabatan.Saudara atau temanmu itu mempunyai hak atasmu tentang harta dan jiwa, lidah dan hati, dengan kemaafan dan doa,keikhlasan dan kesetiaan, dengan tidak meringan-ringankan  dan meninggalkan sifat mengambil berat atau mengambil tahu  terhadap teman.
Nabi saw bersabda: ‘Bahawa seorang laki-laki berkunjung kepada saudaranya  pada jalan Allah.Maka Allah mengirimkan malaikat kepadanya untuk menanyakan:`Kamu hendak ke mana?’
Laki-laki itu menjawab: `Mahu mengunjungi saudaraku si anu’
Lalu malaikat itu bertanya lagi: `Apakah keperluanmu kepadanya?’
Laki-laki itu menjawab: `Tidak ada’
Malaikat itu menyambung: `Kerana kefamiliankah di antara kamu dengan dia?”
Laki-laki itu menjawab: `Tidak’
Malaikat itu bertanya pula:`Kalau begitu apakah sebabnya?’
Laki-laki itu menjawab:`Aku mencintainya pada jalan Allah’
Lalu malakat itu menyambung:’Sesungguhnya Allah Taala telah mengutus aku kepadamu untuk menerangkan bahawa Dia mencintaimu kerana cintaMu  kepadaNya.Dan telah diharuskanNya sorga untukmu”.
Perhatikanlah bahawa mencintai teman pada jalan Allah yang tidak bersandarkan kepada apa-apa kepentingan adalah bererti cinta kepada Allah dan demikian pula akan asbab untuk mendapatkan pula  cinta Allah.Berkasih kerana Allah pada peringkat terendah adalah  dengan menempatkan teman seperti `pelayan atau budakmu’ yang engkau memenuhkan seluruh hajat keperluannya tanpa diminta, secara percuma,  apabila engkau ada memiliki kelebihan dari keperluanmu, dan ada keupayaan untuk memberi apa-apa jua pertolongan kepadanya baik berupa kewangan, kebendaan, tenaga, nasihat,kemahiran,kepakaran dan sebagainya.Demikianlah taraf seorang ‘teman’ dijalan Allah sebagaimana mulianya kedudukan seorang `orang gaji’ di jalan Allah.
Atbah al Ghallam datang kepada temannya dan meminta empat ribu tapi diberikan dua ribu.Beliau lantas meninggalkan orang itu sambil berkata:`Engkau memilih dunia daripada Allah.Apakah engkau tidak malu bahawa engkau mendakwakan persaudaraan pada jalan Allah dan  engkau mengatakan kata-kata itu tadi?”.
Inilah tingkat terendah dari tiga tingkat darjat dalam persaudaraan dan berteman  pada jalan Allah. Sehingga dikatakan orang yang berada pada tingkat terendah seperti teman Atbah al Ghallam ini tidak seharusnya bergaul dengan dia di dunia ini. Bandingkanlah kemuliaan berteman pada jalan Allah dalam zaman kemuliaan dan keagungan roh Islam berbanding kehidupan berteman dalam masyarakat pada  akhir zaman ini, apakah masih ada terbinanya konsep berteman pada jalan Allah?
Inilah maksud hak-hak dalam persaudaraan dan berteman yang termaktub hak dalam harta, yang tidak akan ada sesiapa jua mampu mempraktikkannya selain oleh hamba-hamba Allah yang tulin, yang telah meninggi darjat imannya pada paras ihsan atau hamba-hambaKu yang saleh.Orang-orang Islam biasa yang memiliki kualiti iman yang rendah yang belum terhias  dengan sebanyak-banyaknya  sifat mahmudah hampirlah  mustahil untuk berada pada darjat berteman dan berkasih-sayang di jalan Allah.

Teramat jauhlah bagi mereka yang digelumati oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dan dengki, curang, penipu,pembohong, khianat, mungkir janji, berpura-pura, suka mengumpat,  suka memfitnah dan bermuka-muka atau; lebih-lebih lagilah  mereka yang telah terjerumus jauh ke dalam lembah kehidupan maksiat dan dosa-dosa besar,  kefasikan, munafik, zalim, kufur dan yang seumpamanya.
Berteman sejati sesungguhnya  termasuk dalam ‘tujuh orang yang dinaungi oleh Allah pada naunganNya pada hari yang tidak ada naungan selain dari naunganNya’.Abu Idris al Khaulani berkata kepada Muaz:`Sesungguhnya aku mencintai engkau pada jalan Allah’.Maka menjawab Muaz:`Gembiralah kamu kiranya! Gembiralah kamu  kiranya! Maka sesungguhnya aku mendengar Rasulullah saw bersabda:”Akan diletakkan segolongan manusia beberapa kerusi di keliling `Arasy pada hari kiamat., di mana pada wajah mereka itu seperti bulan pada malam purnama raya, di mana manusia lain gentar dan mereka tidak gentar dan manusia lain takut dan mereka tidak takut.Mereka itu adalah wali-wali Allah yang tidak ada pada mereka ketakutan dan kegundahan”
Lalu orang menanyakan:”Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”
Nabi saw menawab: “Mereka itu adalah orang-orang yang berkasih-kasihan pada jalan Allah”
Dan Abu Hurairah ra menerangkan berkaitan  hadis tersebut:”Sesungguhnya di keliling `Arasy itu beberapa mimbar dari nur, di mana  di atas mimbar itu suatu kaum pakaiannya nur dan wajahnya nur. Mereka itu bukanlah nabi-nabi dan orang mati syahid.Mereka itu disenangi oleh nabi-nabi dan orang syahid’.
Lalu para Sahabat bertanya:`Wahai Rasulullah.Terangkanlah kepada kami siapakah mereka itu?’
Maka Nabi saw menjawab: `Mereka itu adalah orang-orang yang berkasih-kasihan pada jalan Allah, sama-sama duduk pada jalan Allah dan kunjung mengunjung pada jalan Allah’.
Persahabatan dan persaudaraan yang ikhlas pada jalan Allah sememangnya tidak harus dicemari oleh adanya sebab kepentingan dan keperluan yang berkisar kepada maksud duniawi.Misalnya kerana seseorang itu berpangkat dan berjawatan, ada kuasa dan pengaruh, ada kekuatan kebendaan dan kaya-raya, ada ilmu dan kemahiran, ada bakat dan sebagainya. Persahabatan yang terjalin di atas asas-asas sedemikian sebenarnya terbina di atas asas yang palsu dan tidak ikhlas  kerana mengharapkan imbalan, pulangan  dan balasan dan pada hakikatnya tidak bernilai di sisi Allah.Maka teman-teman yang ramai pada ketika itu adalah teman-teman biasa yang hanya bersifat sementara; sementara ada kepentinngan dan keperluan.Ini bukan lillahitaala namanya.
Carilah teman sejati atau kenalilah teman sejati yang datang kepada anda ketika anda bukan siapa-siapa  dan bukan apa-apa.Datang kepada  anda ketika anda bukan seseorang atau bukan siapa-siapa – anda adalah anda yang serba tidak ada apa-apa; dan persahabatan dengan anda tidak berubah baik waktu anda senang dan susah, sihat atau  pun  sakit; bahkan dialah juga yang datang menemani anda ketika anda dalam keadaan tidak ada apa-apa atau ketika tidak ada sesiapa, sanggup  bersusah-payah  dan bersakit bersama anda.Inilah teman sejati sehidup semati – teman berkasih di jalan Allah – yang kalau kita memilikinya semoga, insyaallah, termasuklah dalam golongan yang tujuh yang mendapat  naungan `Arasy Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan