(Disiarkan dalam Majalah FARDUAIN Edisi 18)
Sifat sombong dinamakan juga sifat
bangga diri atau takbur.Sesungguhnya tiadalah seseorang itu menyombongkan diri
kecuali manakala ia membesarkan
dirinya.Dan ia tidak membesarkan dirinya kecuali dia merasakan bahawa dirinya
memiliki salah-satu daripada sifat-sifat kesempurnaan iaitu kesempurnaan
keagamaan dan kesempurnaan keduniaan.Kesempurnaan keagamaan bersabit soal ilmu sementara kesempurnaan
keduniaan ialah berkaitan dengan keturunan, kecantikan, kekuatan dan kekuasaan,
pangkat dan kebesaran, banyak harta, banyak pembantu dan pengikut.
Dengan memiliki ilmu yang tinggi, baik ilmu duniawi atau ilmu agama menyebabkan seseorang itu merasa bangga dengan ilmunya
sehingga merasakan dialah yang paling berilmu lalu enggan mendengar pendapat
yang berlainan teristimewa dari orang biasa yang rendah kelulusan dan darjatnya.
Orang-orang yang memiliki ilmu agama juga, kalau tidak memiliki hati yang
ikhlas dan makrifah, akan bersifat demikian terutama kalau dia seorang
abid, akan beranggapan bahawa dialah
yang terlebih baik berbanding
orang-orang yang lemah amalnya.
Apabila ada di dalam hati perasaan merasakan diri sendiri `lebih’ berbanding
dengan orang lain, maka itulah membesar diri namanya; dan akan menyebabkan
orang lain dipadang hina dan rendah. Akhirnya hilanglah sifat tawadhuk, sedangkan
inilah sifat yang sangat utama sebagai seorang hamba di sisi Allah yang insyaallah
akan menghakis sepenuhnya sifat sombong.Orang-orang kafir, oleh kerana tidak
mengenal Pencipta dirinya menjadi kafir akibat
tidak mahu merendahkan dirinya
dengan Allah, lalu enggan mengakui Allah sebagai Tuhan tetapi sebaliknya mengambil tuhan-tuhan lain
selain Allah. Ada juga jenis kafir yang
mengakui Allah dari sudut Rububiyah tetapi mengengkari dari sudut
Ubudiyah dan Uluhiyyah. Mereka
menyembah Allah tetapi
enggan tunduk kepada Syariat Allah dan Syariat Nabi Muhammad saw lalu
mengamalkan sistem hidup yang lain, menyembah Allah tetapi mengabdi juga kepada
tuhan-tuhan selain Allah dengan maksud
taat setia kepada akal, nafsu, pemimpin, sistem atau ideologi.
Kepada mereka Allah mencela
dengan firmanNya: “Sesungguhnya
Dia tidak menyukai orang-orang yang sombong” (An Nahl:23).
Dan firmanNya lagi: “Sesungguhnya orang yang menyombongkan
dirinya dari menyembah Aku,akan masuk neraka Jahanam dengan kehinaan” (Al
Mukmin:60).
Maksud menyembah dalam ayat di atas
ialah kerelaan dan keikhlasan jiwa untuk tunduk mematuhi tauhid Rububiyah,
Uluhiyyah dan Ubbudiyah.
Orang-orang yang bersifat sombong dapat dilihat
dari pergaulan dan cara hidup sehariannya.Cara dan gaya dia berbicara, nada
suara dan bahasa serta liuk-lagaknya. Boleh juga dikesan melalui memek
wajahnya, air mukanya dan sinar matanya.Selain itu boleh juga dikesan melalui gaya berjalannya, gaya
duduk dan berdirinya, gaya berpakaiannya, kenderaan, rumah, perhiasan diri dan
perhiasan rumahnya.
Orang-orang yang menyombongkan diri itu teradatnya tidak mahu
menyapa, tidak mahu bertegur-sapa, atau
disapa oleh orang-orang yang rendah di matanya, tidak ada ramah tamah, tidak mahu memberikan senyuman dan masam
mukanya, bila berjalan tidak mahu memandang orang-orang di kanan dan kiri,
selalu buat-buat tidak nampak
teristimewa apabila nampak
orang-orang yang memang dikenali tapi
tidak setaraf dengannya, enggan mendahului salam atau menjawab salam, tidak mempedulikan atau tidak mengacuhkan
orang-orang yang tidak dikenali walaupun lalu dihadapannya.
Orang-orang yang sombong
amat suka dihormati, diraikan,
diutamakan, didahulukan, diberi pujian
dan sanjungan. Kalau tidak diberikan layanan yang diharapkannya, atau terkurang
keraian untuknya, nescaya akan masamlah
mukanya, merahlah wajahnya dan akan tergambarlah kebencian diwajahnya, atau akan terus mengeluarkan kata-kata kemarahannya yang kesat, mengejek, mencerca dan menghina atau terus sahaja meninggalkan majlis dan tidak
akan bertegur sapa lagi sehingga putuslah silaturrahim.
Bagi anak-anak yang selalu tidak mengacuhkan perintah, suruhan, teguran dan larangan terutamanya
dari ibu-bapa dan orang-orang yang wajib dihormati, wajiblah dididik, ditegur,
dimarah dan didenda supaya tidak ada seberat biji sawi pun sifat sombong, bangga diri dan
takbur.Jadikan kesah berikut sebagai bekalan:
Dari Abu Salmah bin Abdul Rahman yang
mengatakan:’Telah berjumpa Abdullah bin Amr dengan Abdullah bin Umar di atas
bukit Safa.Lalu keduanya berhenti sejenak.Kemudian Abdullah bin Amr pergi
dan Abdullah bin Umar terus berdiri di
situ dan menangis.Lalu mereka (orang-orang yang berada di situ)
bertanya:”Apakah yang menyebabkan engkau menangis, hai Abu Abdul Rahman?”
Abdullah bin Umar menjawab:”Itu!” Yakni Abdullah bin Amr mendakwakan, bahawa ia
mendengar Rasulullah saw bersabda:’Barangsiapa ada dalam hatinya seberat biji
sawi dari takbur nescaya ditelungkupkan
oleh Allah Taala dalam api neraka
mukanya’.
Nabi saw bersabda:`Tidak akan masuk
sorga orang yang di dalam hatinya seberat atom dari kesombongan’.
Dari Abu Bakr Al-Hadzali (wafat 67H)
yang mengatakan:”Sewaktu kami berada bersama Hassan al Basri, tiba-tiba lalu
dekat kami Ibnul-Ahtam yang bermaksud ke al-maqsyurah di kanan mihrab masjid.Ia memakai baju jubah
sutera yang berlapis-lapis pada betisnya.Dan terbuka baju qabanya.Ia berjalan
dengan menyombong.Tatkala Hassan al Basri memandang kepada Ibnul-Ahtam, lalu beliau
mengatakan:”Cis! Cis! Kembang hidungnya, melipat lembungnya dan memalingkan
pipinya! Ia memandang pada dua lembungnya.Hai orang dungu! Engkau memandang
kepada dua lembung engkau, pada nikmat yang tidak disyukuri dan tidak
diingati.Yang tidak diambil padanya dengan perintah Allah dan tidak
dilaksanakan hak Allah daripadanya.Demi
Allah! Bahawa seseorang berjalan menurut tabiatnya, yang bergoncang badannya,
sebagaimana bergoncangnya badan orang gila.Pada setiap anggota dari anggota
badannya itu nikmat Allah.Dan setan menoleh kepadanya”.
Maka didengar oleh Ibnul-Ahtam, lalu ia
kembali dan meminta maaf kepada Al Hassan al Basri ra.Maka Al Hassa al Basri
menjawab:”Janganlah kamu meminta maaf kepadaku.Bertobatlah kepada
Tuhanmu.Apakah kamu tdak mendengar firman Allah Taala?:`Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya
engkau tiada dapat menembusi bumi dan takkan sampai setinggi gunung’ ( Al
Israa:37)
Diriwayatkan bahawa Mathraf bin Abdullah
bin Asy-Syukhair melihat al Mahallab.Dia itu menyombong memakai baju jubah
sutera.Lalu Mathraf mengatakan:”Hai hamba Allah! Ini adalah perjalanan yang
dimarahi Allah dan RasulNya”
Lalu Al Muhallab menjawab:”Apakah engkau
tidak mengenali aku?”
Mathraf menjawab:”Ya, aku kenal engkau!
Permulaan engkau itu air hanyir (nutfah) yang berubah.Dan kesudahan engkau itu
bangkai yang busuk.Dan engkau di antara yang dua itu membawa taik”
Maka
Al-Muhallab lalu dari situ dan meninggalkan perjalanannya yang demikian.
Nabi saw bersabda:’Barangsiapa menarik
kainnya dengan angkuh, nescaya Allah tidak memandang kepadanya pada hari
kiamat’
Maka kiaskanlah sifat sombong oleh Ibnul-Ahtam dan al Mahallab, dengan lain-lain bentuk kesombongan yang
semuanya adalah pada kadar seberat biji
sawi atau seberat atom.