18 September 2010

73. Pertarungan Kebatinan.

Seperti yang diberitahu pada siang tadi, Guru Ketiga datang lagi pada malam ini. Kedatangannya pada malam ini adalah khas bagi memastikan kemantapan dalam persilatan setelah tadi siangnya dimampatkan dengan zikir bersamanya.

`Malam ini semuanya telah dibukakan kepada cucu’, tok berkata.`Malam ini cucu boleh bertarung sesama sendiri. Tok nak tengok sampai setakat mana sekarang kebolehan cucu berpencak dan bertempur sesama sendiri’

Tok berkata sambil berjalan berlegar-legar di keliling gelanggang di dalam rumah hijau itu. Guru Ketiga nampaknya lembut dan tenang.Walaupun pada malam ini nampak seolah-olah tugasnya adalah berat iaitu untuk melihat hasil kesaktian tugas pada waktu siangnya tadi, tapi dia nampak tetap tenang mengatur langkahnya. Ketara benar perbezaannya dengan watak panglima yang kadang-kadang berwatak tegas, keras dan garang terutama Hang Jebat atau Wan Ndik.Guru Ketiga nampak lembut dan memang lemah-lembut, tenang dan berhati-hati

Piei dan Dol diminta beraksi terlebih dahulu. Lantas mereka berdua menadah tangan memohon dianugerahkan persilatan. Sejurus kemudian aku dapat menyaksikan Dol nampaknya memencak dengan langkah-langkah yang cukup mantap dan kemas. Tangannya juga kelihatan kemas dan tangkas sambil sekali-sekala menepuk pehanya. Aku melihat bentuk silat yang dibukanya barangkali silat Hang Jebat atau Hang Tuah kerana kedua-dua persilatan tersebut mempunyai banyak ciri persamaan.

Sejurus sahaja kemudian Piei juga memencak dengan tangkas dan garang. Aku bagaikan tidak pernah melihat Piei berpencak sekeras dan segarang itu. Aku tidak dapat menduga silat siapakah yang dibukanya tetap berat sangkaan ku, dia membuka pencak Panglima Serban Hijau yang memang menjadi kesukaannya.

Aku menjadi cukup berangsang dan bersemangat melihat aksi Dol dan Piei yang sedang saling serang-menyerang dan sepak-menyepak itu.Mereka bertempur dengan cukup ganas bagaikan mereka benar-benar bermusuhan. Wan nampaknya terangsang juga. Guru Ketiga yang berdiri di sebelah kanan ku nampak tenang sambil meneliti pertarungan yang berlangsung dengan sengit itu.

Aku tahu guru mengawasi takut kalau-kalau pertarungan menjadi semakin ganas kerana kalau telah mencapai tahap ganas tertinggi; menurut penjelasan Yim sebelum ini, pemencak akan terbang. Dinding rumah papan akan menjadi lembut bila dilanda tubuh pemencak yang berada di kemuncak seni dan dengan demikian terpaksalah kami akan memaku kembali dinding yang robek seperti sebelum ini apabila para panglima bertempur mempamerkan aksi pertarungan mereka. Inilah barangkali yang sedang diamati oleh guru kerana menurut Yim kalau sudah `terisi’ sepenuhnya, tidak akan ada kemampuan mana-mana panglima sekalipun untuk mengawalnya. Cuma Guru dan Petanda sahaja yang boleh menyekatnya.

Sejurus Guru Ketiga membiarkan Dol dan Piei beraksi dengan kemas dan tangkas itu. Sama-sama tangkas dan kemas. Sama-sama serang-menyerang dan sama-sama balas-membalas serangan. Menurut Yim/tok juga, apabila terkena sebarang serangan secara automatis permainan taraf panglima akan menjadi kian ganas. Sejurus memerhati dan mengamati dengan saksama, akhirnya Guru Ketiga meluru ke hadapan lantas menyapu belakang Piei dan Dol sambil berkata:

`Cukup cucu! Cukup!’

Piei dan Dol lantas mengaminkan tangan ke muka masing-masing.

`Bagus!’, puji Guru. Aku pun menunjukkan ibu jari tanda hebat kepada Piei yang sekilas pandang memandang ku.

`Bagaimana?’, Guru Ketiga bertanya kepada Dol dan Piei.

Piei dan Dol tersenyum puas. Tergambar air muka kepuasan pada wajah mereka. Tidak pernah lagi sebelum ini mereka berpencak dan bertarung dengan sedemikian sengit. Sesungguhnya aku belum pernah melihat permainan mereka berdua sehebat seperti sekarang.

`Atuk tengok, cucu berdua sudah cukup bagus. Tok bangga!’

Piei dan Dol tersenyum riang. Aku lantas menunjukkan tanda jempul sekali lagi kepada mereka berdua. Aku melihat aksi mereka tadi dengan sediikit rasa gusar dan khuatir, seolah-olah aku bagaikan tidak lagi mampu untuk menghadapi kehebatan taraf persilatan mereka.

`Ha! Cucu berdua pula!’, Guru Ketiga memberi perintah kepada aku dengan Wan.

Perintah yang dinanti-nantikan itu aku sahut dengan semangat yang cukup tinggi membara. Segera aku masuk ke gelanggang dengan diikuti oleh Wan.Dada ku ada sedikit rasa berdebaran kerana aku tahu Wan tentunya akan cukup hebat pada malam ini. Kalau Dol dan Piei yang selama ini nampak agak lemah, tetapi pada malam ini telah menjadi begitu hebat, tentulah Wan yang memang telah sedia hebat akan pasti mempamerkan kehebatannya yang maksima. Inilah yang sedikit menggusarkan ku.

Namun aku segera menjadi insaf dan tabah; tidak perlu gusar! Aku perlu membuang seluruh kegusaran itu. Aku tidak perlu gusar kepada kehebatan lawan! Inilah yang dato-dato yang membimbing persilatan selama ini sering berpesan.

`Jangan gentar kepada kehebatan lawan walaupun nampak garang, tangkas, lebih besar atau lebih tinggi. Silat rohani dato-dato merentasi semua sempadan ini. Tidak ada beza samada besar atau kecil dan tinggi atau rendah’, begitu Jebat meperingatkan.

Aku menadah tangan memohon silat yang ganas – itu yang dipesan oleh Guru Ketiga. Aku memohon silat dari panglima yang hebat iaitu Panglima Awang. Sejurus kemudian aku dapat merasakan seluruh tubuh ku telah mengalir satu sentuhan seni yang cukup memberangsangkan. Lantas aku dengan Wan saling berhadapan dan rupa-rupanya tidak mempunyai masa bertangguh lagi, dengan tangkas kami saling melancarkan serangan sepakan. Berlakulah sepak-menyepak, tepi-menepis, elak-mengelak, tendang-menendang dan parang-memarang dengan hebatnya. Dalam satu pergelutan pertarungan jarak dekat yang amat pantas dan hebat itu, aku tiba-tiba terasa tubuh ku terpusing ke belakang oleh satu asakan yang cukup kuat bertenaga dan dalam sekelip mata aku dapat merasakan hujung jari kaki Wan sempat menyerang aku dari arah belakang di celah kelangkang sehingga menyentuh telur ku.

`Aduh!’, aku terjerit di dalam hati. Aku terasa cukup sakit walaupun itu cuma satu sentuhan yang sedikit.

Aku teringat pesanan tok, kalau sakit oleh terkena serangan, boleh diminta pada saat itu juga untuk mengeluarkan kesakitan itu. Cepat-cepat aku memohon kesembuhan. Wan pada ketika itu berada dalam jarak kira-kira tiga meter di hadapan.

Tiba-tiba tangan ku bagaikan bergetaran.Kedua-dua belah tangan ku tiba-tiba berada di bahagian bawah perut sambil nafas ku syuhud lalu perut ku dikempiskan dan seretak dengan itu nafas mengesak. Aku bagaikan meluahkan sesuatu dengan hembusan nafas kepada Wan melalui kedua-dua belah tangan yang terdampar. Wan tiba-tiba ku lihat bagaikan menyangga dengan kedua-dua belah tangannya - bagaikan sedang menampan sesuatu. Bergetaran dan bergoncangan kedua-dua belah tangannya bagaikan orang yang menggigil kesejukan. Aku mengulangi sekali lagi teknik yang sama dan sekali lagilah tangan Wan bergetaran.

`Jangan minta permainan batin!’, Guru bersuara.

`Cucu ta minta, tok!’, aku membantah. Memang aku tidak meminta permainan batin, tapi sekadar meminta kesembuhan.

Aku lantas melangkah seperti biasa tetapi bukan dalam langkah pencak.Badan ku terasa panas. Aku menjadi semakin geram dan berangsang.Bila sampai di tepi dinding aku tiba-tiba melepaskan rasa geram ku lalu menendang dinding dengan belakang kaki ku.

`Bruuummmm!!’, lima keping papan dinding rumah hijau jatuh ke tanah. Beberapa keping yang lain bergantungan sambil berayun-ayun menanti jatuh. Cahaya gelap malam di luar menerpa ke dalam rumah.

`Jangan ikutkan panas! Tenang cucu! Tenang’, Guru Ketiga memberi teguran.

Sejurus kemudian aku berpencak kembali dan kami telah berjaya melaksanakan satu tanggungjawab pertarungan yang cukup hebat untuk beberapa jenak sebelum Guru menepuk dan merangkul aku dengan Wan tanda supaya menamatkan persilatan.

Sambil berehat setelah badan dibasahi peluh, Guru Ketiga berkata:

`Malam ini memang dibukakan semuanya untuk cucu, termasuk kebatinan’

`Tapi cucu tak minta, tok!’, aku bagaikan masih berusaha mempertahankan diri dari dipersalahkan.

`Kebatinan memang dibuka’, tok menjelaskan.`Bagaimana rasa cucu tadi?’, tok bertanya kepada ku.

`Cucu telah pernah meminta gerak permainan batin sebelum ini, tok.Seronok!’

`Cucu?’, Wan pula ditanya.

`Sejuk!’, Wan mengaku. `Sejuk tangan cucu, bagikan terkena air batu’

Tok tersenyum.

`Permainan batin cuma dibuka pada malam ini sahaja. Selepas ini akan disimpan kembali. Tapi dia tetap bersama cucu pada sebarang waktu bila-bila diperlukan’

13 September 2010

72. Ijazah Restu Guru

Yim telah memberitahu, sampailah masanya guru pula yang datang untuk memantapkan batin dan jiwa. Yang datang ialah Guru Ketiga.

`Tok datang untuk memantapkan batin dan meningkatkan pencak’, Guru Ketiga menerangkan.`Cucu semua perlu berzikir’.

`Di mana tok?’

`Di sini. Di hadapan tok’

Sebelum ini Yim telah memberitahu kami,kalau jiwa kita masih belum bersih kita akan jadi mengelabah bila berzikir di hadapan guru dan akan berlaku ha-hal yang kadang-kadang memalukan. Di hadapan guru kita menjadi lemah tanpa upaya kita mengawalnya. Kalau tidak terjadi demikian – ertinya kalau jiwa telah bersih dari kekotoran dan kekejian, semuanya akan berjalan dengan baik dan teratur bahkan cantik jadinya.

Di hadapan Guru, Piei diminta berzikir. Tok duduk dalam silanya dengan telunjuk kanannya tegak berdiri sambil matanya terpejam. Tok berada dalam kusyuk dan konsentrasi. Zikir Allah, Allah secara lisan dilisankan oleh Piei.Mulanya baik dan jelas sebutan lisan kalimah suci terebut, tetapi sejurus kemudian Piei tiba-tiba tidak dapat menyebutnya dengan baik. Kepalanya sahaja yang terhangguk-hangguk bagaikan kepala itik serati sedang berjalan, tetapi tidak ada lisan kalimah yang terzahir. Nampak begitu ketara Piei dalam kepayahan untuk menyebutnya. Akhirnya Guru meminta Piei berhenti.

Sampai pula giliran Dol.Seperti Pei juga, pada mulanya kalimah dapat dilisankan tetapi sejurus kemudian, lafaz Allah bertukar bunyinya.Dol bukan sahaja sukar untuk menyebut kalimah Allah tetapi kalimah tersebut bertukar bunyi bila dizahirkan.

`All...All..la...la...lah...lahhh...ella....ell..ell..lll..lllaaa...llllaaaah’

Bila upacara berzikir telah selesai,Guru Ketiga lantas memberi komen. Piei dan Dol diminta segera bertaubat di atas dosa-dosa yang lalu.

Aku diberi komen oleh Guru Ketiga sama seperti Wan dan kami mengakhiri upacara berzikir dengan gerak badan dan cara yang sama.

Pada mulanya aku berzikir secara lisan dengan sebutan kalimah yang baik. Lama-kelamaan zikir di lidah bertukar ke otak dan serentak dengan itu dalam keadaan mata terpejam, aku dapat merasakan seluruh anggota tubuh ku bagaikan bergerak. Pada mulanya aku menyangkakan akan membuka pencak tetapi dengan tidak di sangka-sangka, tangan kanan ku menghulur ke depan ke arah Guru Ketiga. Tangan ku lantas menyambut tangan Guru yang sedia menanti huluran tangan ku. Kami berjabat tangan dan selepas itu aku membuka mata ku. Aku melihat Guru Ketiga dengan senyumannya yang manis memandang ku.

`Bagus!’ begitu pujinya.

`Siapa yang bersungguh-sungguh, dia akan mendapatnya’, dia berkata seterusnya.

Demikianlah juga Wan yang menamatkan zikir dengan cara yang sama seperti ku.

Yim memberitahu sewaktu dia berzikir di hadapan Guru dahulu – di tempat tok, dia mengakhirkan zikir dengan laungan azan.

`Selepas zikir dengan tok, cucu-cucu semuanya akan mendapat ujian’, Guru Ketiga berkata lagi.

`Ujian?’, Wan bertanya dan wajah kami semuaya sertamerta diselubungi kebimbangan.

`Ujian macam mana, tok?’, aku tak sabar ingin tahu.

`Macam-macam’

Dan wajah Guru Ketiga yang manis dalam senyuman memandang kami seorang demi seorang.

`Mungkin bergaduh. Mungkin kemalangan...’

Kami lantas berpandangan sesama sendiri. Terasa juga gementarnya bila mendengarnya.Lebih-lebih lagilah bila bersabit dengan kemalangan.

`Selepas ini cucu-cucu juga akan diberikan mimpi. Sekarang pun atok tahu, ada di antara cucu telah mula diberi mimpi. Bila mendapat mimpi jangan ceritakan kepada sesiapa pun, kecuali kepada dato-dato sahaja’.

Seperti selalunya kami memang menyediakan kueh-mueh, air manis dan/atau kadang-kala air tawar sahaja untuk dinikmati bersama tok.Pada kali ini kami menyediakan Rootbeer. Kami mempelawa guru menjamah.Tiba-tiba guru berkata dengan kalimat yang amat mengejutkan.

`Tok tak makan’

`Tak makan?’, spontan Piei bertnya.Piei agak terkilan kerana dialah yang menjadi penajanya pada kali ini.

`Tok sudah kenyang?’, Dol pula bertanya.

`Tok memang tak makan’, Guru Keiga menegaskan lagi.

Kami tercengang dengan penjelasan tok itu.Aku lantas bertanya.

`Kenapa?’

`Tok memang tak makan’

Kami terkelip-kelip.

`Kalau begitu,minum sahajalah’, aku mempelawa ramah.

`Tok pun tak minum’

Kami kian terkejut. Tak makan dan tak minum? Kami berpandangan sesama sendiri.Tiba-tiba Wan bertanya.

`Kalau tak makan dan tak minum, bagaimana? Tok tak laparkah?’

Tok sekadar tersenyum.

`Makam tok ke atas, tak makan dan tak minum’, tok memberikan penjelasan. Wajah kami yang kecewa dipandangnya.

`Kejap lagi, cucu panggilah panglima.Biar mereka makan’

Selepas kata-kata itu,tok pun meminta izin untuk pulang. Kami amat tergamam dengan peristiwa yang tidak pernah terfikir itu.Kanapa tok yang di dalam martabat Guru dan Mahaguru tidak makan dan tidak minum?

Pada masa itu aku tidak mendapat jawapannya.

(Setelah aku menelaah Ihya dan Sirrul Asrar, aku mengesyaki mereka adalah dalam martabat tertinggi. Orang-orang pada martabat tertinggi mendapat syurga tertinggi - tanpa madu, susu dan istana – martabat Zat semata-mata. Waallah huaklam. Itulah keyakinan aku dulu berdasarkan dua buah kitab tersebut)

07 September 2010

71. Perang Kebatinan.

Tok memberitahu bila berlaku Perang 1980 nanti, kami bukan sahaja akan menggunakan senjata yang akan didatangkan secara ghaib, tapi pada masa itulah seluruh kebatinan akan digunakan.

Ilmu batin milik panglima yang dikurniakan kepada kami tidak boleh digunakan sembarangan. Semua ilmu tersebut pada hakekatnya berada di dalam simpanan dato-dato – di tangan Mahaguru. Setiap kami diberikan persilatan tanpa kebatinan tetapi kebatinan akan didatangkan pada bila-bila masa sahaja mengikut keperluan. Tetapi apabila berlaku perang pada tahun 1980 nanti, seluruh kebatinan akan diperturunkan sepenuh-penuhnya. Pada masa itulah kami boleh bertempur dengan menggunakan senjata atau boleh juga mengunakan semata-mata kebatinan.

Bila mendengar penjelasan dari tok tersebut, tergeraklah di hati ku untuk meminta bagaimanakah bentuk pertarungan kebatinan.Pertarungan tanpa senjata telah begitu kerap digunakan. Begitu juga pertarungan bersenjata dan Tok Itam telah begitu berpuas hati dengan prestasi kami.

Pertarungan kebatinan cuma sekadar mendengar bicara dato dan kami belum pernah lagi dipelawa untuk menggunakannya.Lantas aku secara senyap-senyap cuba untuk mengalaminya – mengalami perang kebatinan.

Sejurus mengkyusukkan diri, maka datanglah permainannya.Aku membiarkan diri ku dalam keasyekan kebatinan – keasyekan serangan kebatinan.

Langkah pencaknya tidaklah sama seperti pertarungan tangan kosong atau bersenjata. Tidak banyak pergerakan kaki dan tangan tetapi rupa-rupanya serangan kebatinan meluncur melalui nafas dan hembusan. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Bukan sahaja berkali-hali bahkan berterusan dan dari semua sudut serangan. Rupa-rupanya serangan kebatinan sangat dahsyat datangnya dari tangan yang dikombinasi dengan nafas dan hembusan. Bukan sahaja dari tangan, bahkan dari sepakan dan libasan kaki juga. Aku amat teruja dan mengaguminya.

Tangan kanan dan kiri mempunyai berbagai-bagai teknik serangan kebatinan. Dalam posisi apa pun tangan tetap memiliki corak serangan kebatinan. Dalam posisi apapun hembusan nafas dari mulut dan hidung cukup membinasakan.

Pergerakannya tangkas.Ertinya kalau dalam keadaan tidak bersenjata, serangan kebatinan cukup berdaya untuk menjadi senjata.

Aku sangat berpuas hati dan gembira. Cuma yang aku tidak dapat terka, berapa jauh serangan kebatinan boleh dilancarkan. Berapa jauh jarak musuh dapat dijangkau. Dan bila serangan dilancarkan berapa ramaikah korban serentak.

Ini tentulah menunggu perang baharulah dapat disakasikan kesaktiannya.

02 September 2010

70. Pertarungan Bersenjata

Setelah pertarungan dengan tangan kosong telah kian mantap, tok lalu meminta kami berlatih memantapkan diri dengan menggunakan senjata pula. Pertarungan dengan menggunakan senjata terserahlah kepada kami iaitu samaada mahu menggunakan keris, parang,lawi ayam dan kerambit atau pedang. Semua kemahiran persilatan tersebut ada dalam persilatan semua panglima.

Setelah berbincang sesama sendiri, kami membuat keputusan untuk menggunakan keris. Kami akan bertarung sesama sendiri dengan menggunakan keris.

`Sebenarnya cucu, kita tidak begitu perlu membawa senjata’, tok mengatakan .`Biarkan lawan sahaja yang bersenjata’.

`Jadi ertinya kita melawan mereka dengan tangan kosong, tok?’, begitu pertanyaan ku kepada tok. Tok yang membimbing persilatan senjata kali ini ialah Hang Tuah iaitu setelah beberapa kali di bawah seliaan Tok Itam.

`Terpulanglah! Tapi tok lebih suka merampas senjata musuh sehingga musuh mati di tangan senjata sendiri’

`Senjata makan tuan!’, Wan bernada gembira.

`Nanti bila bertarung dengan permainan pencak senjata, cucu lakukan semuanya sekali’.

`Maksud tok?’

`Gunakan semua jenis pertarungan; pertarungan sesama menggunakan senjata dan pertarungan dengan tangan kosong melawan orang yang bersenjata’.

Kami seronok mendengar kehebatan yang bakal kami tempuhi.

`Pertarungan melawan orang bersenjata memang seronok kerana cucu nantinya akan berjaya merampas senjata dari tangan lawan. Di sini banyak menggunakan teknik tangkapan’

Dengan pesanan-pesanan tersebut maka kami bersedia untuk berlatih bertarung dengan menggunakan senjata.Tok lantas meminta kami mengeluarkan senjata yang telah dibeli pada pekan sehari pada siang tadi.Nasib baik Piei dapat mencarinya iaitu senjata mainan yang terdiri dari keris plastik.

Sebagaimana biasa kami akan meminta apa-apa persilatan yang kami kehendaki tetapi pada kal ini adalah permainan senjata. Dengan senjata terhunus di tangan, Piei dan Dol memulakannya. Disebabkan kami telah begitu maju dalam menerima sinaran gerak, aku dapat menyaksikan pertarungan senjata antara Dol dan Piei nampak lebih mencemaskan berbanding dengan pertarungan tangan kosong.

Pertarungan senjata ada gerak seninya tersendiri. Ada tepis, ada kilas, ada tangkap dan kilas, ada serangan menerusi tangan yang memegang senjata serta juga serangan tangan kosong selain sepak dan terajang.Ertinya pertarungan bersenjata mempersembahkan pakej pertarungan yang lebih lengkap, lebih berseni berbanding silat pertarungan dengan tangan kosong.Justru lebih seronok untuk ditonton kerana lebih mencemaskan. Pada ketika inilah rupa-rupanya muncul pelbagai aksi - bergulingan dan gerak akrobatik, tangkap-menangkap, cekak-mencekak, pulas-memulas berlaku. Aku dapat menyaksikan Piei dan Dol bagaikan sama-sama hebat dalam aksi mengunakan senjata.

Tiba giliran aku dengan Wan.Bila pertama kali pertarungan ini aku gunakan, aku sudah dapat merasakan keindahan seninya. Aku dapat merasakan langkah pencak pertarungannya begitu berbeza dengan cara pertarungan tangan kosong. Seni gerak tangan yang bersenjata rupa-rupanya begitu lincah dengan tipu-helah, di samping kaki yang juga lincah mengatur langkah. Gerakan tangan begitu seni bagi memperdaya atau mengelirukan lawan.

Wan juga tidak kurang lincahnya. Sewaktu aku sedang ternanti-nanti bagaikan akan menyerang lantas Wan tiba-tiba menyerang ku.Aku dapat merasakan keindahannya – keindahan bagaimana aku mengelak sambil menepis serangan bertubi-tubi kali; sambil juga menyerang. Tikam-menikam, tepis-menepis, elak-mengelak dan tangkap-menangkap berlaku dengan begitu pantas sehingga akhirnya tanpa aku sedari badan ku rebah ke lantai dan Wan menerpa ku dengan pantas. Rebah bukan kerana tewas tetapi adalah sebahagian dari cara pertahanan. Dan dengan satu gerakan mengelirukan dari kaki, aku berjaya berdiri dengan pantas dan anehnya aku tiba-tiba berada dalam langkah yang cukup bersedia untuk menyerang Wan yang terlentang pula kini di atas lantai. Entah bagaimana dari badan yang rebah rupa-rupa aku telah berdiri dan cukup bersedia untuk menyerang. Sepantas kilat aku menerkam untuk menikam dada Wan yang bagaikan terdedah tiada pertahanan, dan persis pada saat itulah kaki kanan Wan menolak tangan kanan ku sehingga aku terdorong melepasi kepalanya lalu jatuh dengan gerak akrobatik di hujung kepalanya di tepi dinding.

Permainan ditamatkan setelah baju kami berdua basah oleh peluh. Tok sangat berpuas hati.

`Gila aku! Gila!’

Begitu kata tok kepada Yim – seperti dikatakan oleh Yim kepada kami - oleh seronoknya dia bila melihat aksi aku dengan Wan terutama ketika Wan bagaikan telah tertewas tetapi masih sempat menyelamatkan dadanya dari tikaman melalui sanggaan kaki kanannya!

Pertarungan menggunakan senjata – seninya sungguh menakjubkan! Kalaulah seni ini boleh dipamerkan, tentulah sangat mempesonakan. Tapi pertarungan silat ini bukan untuk pameran dan mainan.

Tok telah memberi pesanan, seni silat ini bukan silat mainan dan jangan dibuat mainan.


30 Ogos 2010

69. Bertarung Dengan Panglima Hitam

Permainan pencak kami telah semakin mantap.Tidak ada lagi waktu menunggu lama-lama untuk mendapat sentuhan pencak. Tidak perlu lagi menadah lama-lama dan ternanti-nanti kedatangan seninya. Niat dan angkat tangan saja, dan dalam sekejap masa sahaja akan adalah seni gerak. Bahkan kalau tak mahu tadah tangan pun tak mengapa. Kami terus sahaja boleh membuka pencak dan berpencak mengikut sekehendak kami pada sebarang ketika. Pencak akan tiba secara spontan membuka mana-mana satu pencak panglima, dan boleh pula untuk meminta persilatan taraf biasa, sederhana atau pun pantas dan garang.

Sewaktu memencak kami boleh pula menukar-nukarkan permainan. Maksudnya kalau pada mulanya kami berpencak dengan persilatan Panglima Kembar Ali dan tiba-tiba kami mahu menukarkan kepada persilatan Panglima Hang Nadim, kami boleh melakukannya. Perubahan pencak akan berlaku dengan cukup segera bagaikan tidak ada tempoh menunggu. Ini teristimewa kalau kami sedang bertarung sesama sendiri bilamana kami mendapati persilatan yang digunakan tidak mampu menyaingi lawan, kami boleh saja meminta pertukaran kepada persilatan panglima yang lebih tinggi tarafnya.

Dengan Wan aku memang sentiasa perlu menggunakan persilatan yang tinggi tarafnya kerana Wan adalah saingan ku. Kalau sewaktu bertarung, aku agak sukar untuk menentangnya, maka aku perlu menukar persilatan yang lebih hebat. Ini dapat dikesan apabila serangannya terlalu hebat, dan aku tidak mampu membalasnya.Pada ketika itu aku perlu menukarkan permainan kepada persilatan panglima yang lebih perkasa.

Berbanding dengan pertarungan dengan Dol atau Piei – dan ini memang tidak dilakukan – seandainya mereka menggunakan persilatan yang seampuh pesilatan Panglima Hitam atau Hang Jebat sekalipun; mereka tetap tidak mampu menandingi kami yang barangkali sekadar menggunkanan persilatan Ah Chong. Ini disebabkan taraf kami yang tidak sama. Aku dengan Wan sentiasa bersaing-saing dahului-mendahului untuk berada di barisan terkehadapan sementara Piei dan Dol bersaing-saing di tempat ketiga dan keempat. Yassin walaupun telah menjadi cucu tok, tetapi persiatannya hanyalah pada Silat Tapak Empat dan memang kami bukan tandingannya. Walau bagaimanapun sekali-sekala dia terlibat juga untuk bertarung dengan kami.

Malam ini Panglima Hitam tiba-tiba menawarkan kepada sesiapa sahaja di antara kami yang sebelum ini pernah belajar apa jua persilatan teramasuk silat kayu untuk bertarung dengannya. Aku yang sebelum ini memang belajar silat kayu dan memang yakin dengan kemampuan ku itu, ternyata tidak sanggup menawarkan diri. Aku percaya tok tahu tentang pelajaran ku sebelum ini kerana bukankah telah terbukti, tok tahu apa-apa sahaja mengenai kami cucu-cucunya – kesah-kesah kami pada masa yang lalu kerana katanya seluruh rekod kami ada dalam simpanan mereka?

`Malam ini tok mahu uji kemampun cucu’, begitu kata tok kepada ku.

Aku sedikit tersentak.

`Cucu juga’, ditujukan kepada Wan pula. Wan tersengih.

`Bangun!’, perintah Panglima Hitam.

Maka aku pun bangun. Aku terus meminta permainan Panglima Hitam.Aku mahu menguji persilatannya sendiri menentang persilatannya.Aku dapat merasakan pada malam ini pergerakan ku begitu kemas, tangkas dan mantap. Panglima Hitam terus memencak dan kami saling berbalas serangan – sepak-menyepak, tendang-menendang dan tepi-menepis. Tapi aku dapat merasakan serangn tok terlalu hebat sehingga aku terpaksa sentiasa membuka ruang untuknya mengasak lalu akhirnya terkunci di penjuru bilik. Sebelah kaki ku terangkat sambil tangan mendepang menanti serangan.

`Lari!!’, tok menjerkah.`Buat apa tunggu di situ, nanti kena....Nampak ini!’, tok mengisyaratkan betapa aku akan menerima berbagai-bagai serangannya kalau aku menunggu dalam posisi begitu. Aku lantas melompat keluar dari kepungan itu dan sampai di medan terbuka. Ternyata aku tidak mampu menghadapi saingan tok.

Selepas itu Wan pula bertarung tapi ternyata Wan akhirnya melarikan diri sambil ketawa mengelekek kerana tidak mampu menghadapi asakan dan serangan tok.

`Tak puas tok kalau bertarung macam ini!’, tok meluahkan rasa kecewanya. Wan yang dipandangnya dengan geram sekadar tersengih.

Sewaktu bertarung tadi, persaingan antara tok dengan Wan agak menarik dan hebat, tetapi cuma sejurus sahaja. Bila Wan di asak dengan bertubi-tubi serangan seperti yang aku alami, Wan akhirnya menyerah kalah dengan melarikan diri.

`Sekarang cucu bertiga lawan tok’, Tok Hitam memberi perintah kepada aku, Wan dan Piei.

`Minta permainan yang ganas!!’

Aku tiba-tiba rasa berdebaran. Kalau meminta permainan yang garang ertinya kami akan menghadapi suasana yang pastinya sengit. Kalau pada malam-malam sebelum ini Yim pernah membuka pencak yang garang dan kami melihatnya berpencak dengan dada yang berdebaran. Itu tarian sendirian. Sebelum ini pernah juga Hang Jebat menunjukkan pertarungannya dengan Hang Tuah. Walaupun kami tidak melihat kalibat Hang Tuah, tetapi pertarungan Hang Jebat melalui tubuh Yim sangatlah hebat. Kami bagaikan dapat membayangkan betapa hebatnya Hang Jebat bertarung dengan Hang Tuah sehingga satu penampang dinding papan di rumah hijau itu berderaian jatuh ke tanah.Malam itu terpaksalah kami memakunya kembali.

Apakah yang akan terjadi pada malam ini? Panglima Hitam akan berpencak dengan garang menentang kami yang tidak pasti lagi sekadar mana garangnya.

Wan nampaknya telah memencak. Aku tidak tahu persilatan siapa yang digunakannnya, tapi aku yakin Wan tentunya menggunakan persilatan tanah seberang. Yang paling disukainya ialah Panglima Gondrong iaitu persilatan yang mengenai rusuk kiri ku sewaktu persandingan Yim dengan Emi dahulu.

Piei pun aku nampak tak kurang juga hebatnya. Aku terus sahaja meminta pencak secara garang persilatan dari Panglima Awang yang aku ketahui tidak banyak bezanya dengan kehebatan silat Panglima Hitam.

Tiga lawan satu! Masakan kami dapat dtundukkan! Aku memencak dengan garang menghampiri tok yang tampak cukup lincah. Kaki tok bergerak dengan begitu pantas bagaikan tidak jejak di bumi. Itu bentuk permainan yang sangat aku sukai dari persilatan Panglima Hitam – pantas dan lincah.Aku sendiri yang memencak silatnya tidak kurang juga lincahnya kaki ku menari di lantai.

Aku tiba-tiba melihat Wan dengan Piei sedang memerangkap tok dan tok bagaikan akan terdedah kepada satu serangan melalui ruang yang aku nampak terbuka. Aku sempat melihat tok yang berada dalam keadaan kritikal itu sempat menangkis serangan kaki kanan Wan dan libasan Piei.Pada saat itulah aku menyaksikan ruang dan peluang terbuka, lantas melancarkan serangan tangan kanan yang cukup bertenaga kepada tok. Tapi aneh!

Tok yang bagaikan tidak ada cara untuk mempertahankan dirinya, sempat menangkis serangan tangan kanan ku dan dalam masa yang sama sempat pula membalas serangan dengan kakinya yang menjungkit, nyaris mengenai dada ku.

Dengan tiba-tiba sahaja tok dapat membebaskan dirinya dan sekarang berada dalam ruangan terbuka. Kami bertiga menyerangnya secara serentak, tapi tiba-tiba aku mendapati Pei telah jatuh tersasar oleh satu sepakan dan ketika Tok mengelak serangan dari Wan, pada ketika itulah kaki ku melancarkan satu libasan sisi ke tengkok tok. Tapi ajaib! Pada ketika itulah pula tangan tok sempat menangkis libasan ku melalui putaran badannya dan dalam sekelip mata kakinya melayah ke udara tepat mengenai bibir ku walaupun ketika itu tok sedang bergelut dengan Wan.

Bila terkena serangan secepat kilat itu, aku lantas berundur dan pada ketika itu Piei meluru dengan garangnya menyerang tok yang sedang bergelut dengan Wan.

Aku terasa bibirkan kebas. Aku kemam kedua-dua bibirku dan aku terasa ada satu denyutan yang menyakitkan.Lalu tangan kanan ku menyapu bibir ku dan bila aku perhatikan, ada darah di tangan ku.Tahulah aku bahawa bibir ku telah berdarah oleh serangan tok tadi.

`Tok! Bibir cucu berdarah!’,aku bagaikan seorang kanak-kanak manja melaporkan kepada tok.

Bila mendengar aduan ku itu. Tok lantas memberhentikan pencaknya. Wan dan Piei ikut sama. Tok lantas mendekati ku dan aku menunjukkan bibir bawah ku. Terasa masih sakit. Bagaikan bibir bawah ku kebas dan tebal. Terasa denyutan bisanya.Aku mengemam bibir ku lantas menuju ke tingkap dan membuka daunnya untuk berludah.

Tok tidak memberi komen apa-apa mengenai luka ku itu kerana aku sekadar cedera rengan.

`Itu pun tok bukan minta yang ganas`, tok memaklumkan.

`Belum ganas lagi?’, Wan bagaikan tidak percaya.

`Belum’

`Huh!’, Wan mendengus.

Dalam mindanya barangkali dia tentu membayangkan kalau tok membuka permainan ganas, aku pasti bibir ku akan cedera dengan lebih teruk pada malam itu. Bukan aku sahaja barangkali kami bertiga akan mendapat petakanya.

Sebelum ini tok telah mengingatkan, persilatan yang kami pelajari ini, gurunya adalah Malaikat Maut. Setiap serangan tertakluk kepada dua martabat: kalau tak mati, patah! Inilah yang tok katakan silat peperangan dan kami dalam latihan untuk menghadapi peperangan 1980.

26 Ogos 2010

68. Pemberian Habib Noh.

Yim diminta pergi ke Pulau Singapura untuk berzikir/bertafakur bagi membolehkannya menerima satu pemberian dari Tok Habib Noh.Ini adalah kali kedua pemergiannya. Pemergiannya yang pertama gagal untuk mendapatkannya. Tok memberitahu Yim tidak berjaya melengkapi satu keperluan.Terpaksalah Yim pergi sekali lagi dengan pembiaan perbelanjaan yang di tanggung oleh kami semua.Tidak lama pemergiannya. Dia cuma perlu berada satu malam sahaja di makam Tok Syed Nuh untuk membolehkannya menerima pemberian bagi keperluan kami semua.

Tahun 1980 telah semakin hampir. Kami perlu dipersiapkan selengkapnya. Walaupun telah ada beberapa pemberian sebelum ni, tapi Tok Habib Nuh mahu memberikan kepada kami satu pemberiannya pula.

Bila Yim balik, kami dikurniakan seorang satu tangkal/azimat kuning berbentuk empat persegi dan ditalikan dengan tali berwarna hitam dan kuning yang terjalin kemas. Azimat tersebut telah dijahit sepenuhnya dan tidak boleh dibuka lagi.Kami teringat Laksamana Hang Tuah telah membuka azimat yang diberikan oleh Surban Hijau kepada kami dahulu. Tapi azmat ini tidak pula ada sesiapa panglima yang datang untuk membicarakannya. Tidak juga Tok Habib Nuh sendiri. Cuma Yim sahaja yang berbicara kepada kami mengungkapkan kembali pesanan-pesanan dari Tok Habib Nuh.

`Pakai di lengan kanan’, Yim berkata.

`Bila?’,Piei bertanya.

`Bila-bila pun boleh’, jawab Yim.`Tapi...bila engkau pakai, engkau jangan tampar orang’

`Kenapa?’

`Sebab tok kata, tak ada penawar. Terus muntah darah dan mati dengan segera’

Kami lalu terkejut dan berdebaran.Cincin pembisa yang kami pakai masih ada penawarnya.

`Kita tak boleh tawarkan sendiri?’, Dol bertanya bagaikan tak puas hati.

Pertanyaan Dol itu merujuk kepada pesanan tok iaitu kalau kami menampar sesiapa atau kami bertarung dengan sesiapa, sebarang kebatinan/pembisa yang dilepaskan, tidak ada sesiapa pun yang mampu menawarkannya. Pembisa yang dilepaskan, cuma kami sendirilah yang boleh menawarkannya. Begitulah juga pembisa yang terlepas dari cincin pembisa yang memang setiap masa berada di tangan kami. Tidak ada sesiapapun yang boleh menwarnya kecuali kami sendiri.Begitu pesanan tok.

Caranya ialah dengan membaca selawat nabi tiga kali pada semangkuk air dan rendamkan tangan ke dalam air tersebut sambil diniatkan untuk dibuat penawar. Air itu perlu diminum.

`Tak boleh!.

`Wah! Kalau begitu simpan untuk perang sahajaah’, aku bagaikan membuat kesimpulan

`Terserahlah’, Yim menjawab.

`Kalau dibandingkan dengan tali pinggang merah, apa kelebihan tangkal kuning ini?’,Wan bertanya.

`Ini lagi hebat. Ini khas untuk peperangan. Kata tok, semuanya lengkap.Bila berlaku peperangan, pakai ajelah,tok kata.Nanti tahulah sendiri,

`Boleh pakai sewaktu buang air tak?’, Dol bertanya

Tali pinggang merah boleh dipakai kerana telah dibalut dengan plastik. Jadi boleh dibawa masuk ke dalam bilik air. Bagaimana pula dengan tangkal kuning, kerana menurut cerita-cerita yang aku dengar pada waktu peperangan pada zaman-zaman yang lalu, musuh dapat menewaskan orang-orang yang memakai tangkal dan azimat sewaktu pemakainya menanggalkannya kerana pada ketika itu mereka ada hajat besar atau kecil di sungai. Ini adalah kelemahan dan kekurangan bagi pemakainya! Justru memiliki ilmu lebih penting lagi. Tapi ada ilmu pun kalau tak diamal tiada gunanya. Kalau ada ilmu pun, perlu dibaca pula terlebih dahulu untuk kemustajabannya. Jadi dalam peperangan, tok pernah berkata: `Laratkah cucu mahu membacanya? Tengah kelam-kabut, nanti terketar-ketar membacanya. Jadi di sinilah kelebihan memakai azimat. Tapi bagaimanakah dengan tangkal kuning? Apakah perlu ditanggalkan juga sewaktu qadar hajat kecil dan besar?

`Boleh!’, Yim menjawab dengan tegas. `Tok kata dia telah menutupnya’

Alhamdulillah. Lega hati kami. Pelajaran dan ilmu dari dato-dato seolah-olah menyelesaikan semua permasalahan dalam ilmu kebatinan Melayu selama ini. Semuanya dimudahkan untuk kami semua.

Kami semua sangat bergembira dengan penjelasan itu. Maklumlah kami seakan-akan sudah semakin melengkapi semua pakej untuk peperangan tahun 1980.

23 Ogos 2010

67. Kalau Berlaku Perang.

Awal Tahun 1979

Ini adalah kali kedua berlaku bilamana tok dipanggil tetapi tidak datang dengan segera.Pada kali pertama dahulu, tok utuskan orang lain. Mulanya kami sangka tok yang datang, tetapi bila melihat cara ketibaannya, kami sudah tertanya-tanya siapakah yang datang itu kerana ketibaannya tidak seperti dato-dato panglima.Dia datang secara biasa sahaja iaitu bagaikan kedatangan puteri-puteri yang tiba persis orang bangun dari tidur. Cuma orang itu tidak nampak malu-malu seperti puteri. Bila kami bersimbang dengannya dia memberitahu dia bukanlah seorang panglima, tetapi sekadar pengawal di muka gelanggang yang bersenjatakan tombak. Dia diminta datang untuk menyampaikan khabar bahawa semua dato-dato sekarang sedang bermesyuarat dan akan tiba lambat sedikit. Jadi kami diminta menanti dengan sabar.Setelah pengawal gelanggang itu balik, akhirnya baharulah tok datang. Demikianlah yang pernah terjadi dahulu.

Tetapi pada kali ini, tidak ada sesiapa pun yang datang. Oleh itu kami bersimbang-simbang sahaja sambil menanti.Selepas beberapa jenak bersimbang, Yim mencuba lagi,tapi ternyata tok tidak juga datang.

Lama kemudian baharulah tok boleh datang. Setelah memberi salam, tok pun berkata.

`Hati-hati malam ini’.

`Ha? Kenapa?’

`Malam ini cucu semua tidur pakai seluar’, tok tidak menjawab sebaliknya memberi arahan.

`Kenapa?’

`Tadi dato-dato semua bermesyuarat’, tok diam sebentar sambail merenung kami.`Sebab itulah tok tak dapat datang segera. Ada sampai khabar kepada dato-dato di sana, orang-orang Cina telah semakin bersedia untuk mengangkat senjata secara besar-besaran’.

Kami berpandang-pandangan. Serta merta dada berdebaran.

`Jadi mulai malam ini dato-dato semua telah diarahkan oleh Mahaguru supaya mulai bersiap-sedia dan menjalankan tugas masing-masing. Ini pun tok tak boleh lama bersama cucu’

`Adakah pada malam ini rancangan mereka itu, tok?’

`Mungkin’

Kami berpandangan sesama sendiri sekali lagi.Kalibat bimbang dan gementar terukir di wajah kami.

`Takut?’

Kami tidak menjawab.Tapi dada terasa sedikit berdebaran.Cina di sebelah rumah hijau iaitu Syarikat Lim Trading menurut tok memang kuminis tulin.Di sebalik berniaga pelbagai barang keperluan membina bangunan, Cina-Cina di situ menurut tok memang sentiasa membekalkan berbagai-bagai keperluan kepada rakan-rakan mereka yang berada di dalam hutan terutamanya makanan dan ubat-ubatan. Bahkan menurut tok, di bawah bangunan kedainya ada tersimpan stor di bawah tanah yang menyimpan berbagai-bagai senjata api. Tapi pihak keselamatan – polis dan askar , tidak tahu. Banyak lagi lokasi-lokasi lain di bawah tanah yang dijadikan stor senjata.Tok memberitahu orang-orang Melayu jangan terkejut kalau jadi perang nanti, orang-orang Cina akan keluar dengan pelbagai jenis senjata api yang mereka perolehi melalui penyeludupan dan dicipta sendiri. Menurut tok, sejak tragedi 1969 orang-orang Cina aktif membuat persediaan untuk merampas kuasa. Tidak seperti orang-orang Melayu yang semakin leka – berhibur dan berpesta, mengejar kekayaan negara dan bersengketa pula sesama sendiri terutama dalam politik.

`Tapi kastam ada tok mengawal pintu masuk!’, Wan cuba menyanggah.`Bagaimana mereka boleh seludup?’

`Mereka bukan ikut jalan itu. Mereka ikut hutan atau tepi pantai. Tok tengok sendiri. Tapi yang masuk cara betul pun ada juga. Mereka beri rasuah’

Panglima Ah Chong sebelum ini pernah membocorkan rahsia orang-orang Cina kepada kami iaitu mereka ada persatuan rahsia yang cita-citanya untuk merampas Tanah Melayu daripada orang-orang Melayu. Yang di dalam hutan iaitu kumpulan yang mengangkat senjata tidak akan hidup dengan selamat kalau tidak dibantu oleh orang-orang Cina di bandar-bandar terutama tauke-tauke besar dan kaya. Persatuan mereka disimbulkan dengan lambang sarang labah-labah.

`Cucu pergilah ke rumah-rumah Cina, cuba cucu perhatikan. Kalau di muka pintu mereka terdapat simbul sarang labah-labah, itulah ahli-ahli mereka’, Panglima Ah Chong membocorkan rahsia.

`Walaupun tok orang Cina, tapi tok benci kepada mereka, sebab mereka berniat jahat terhadap orang-orang Melayu’

Demikian Panglima Ah Chong pernah berbicara dengan kami dahulu. Bila kami meronda dengan Vespa Wan dan Handa 60cc Piei, memang kami dapat melihat simbul-simbul tersebut di Kampung Sempalit iaitu perkampungan Cina terbesar di Raub.Banyak juga yang kami temui. Demikian juga bila kami meninjau di Cheroh dan di Sungai Ruan.

`Jangan takut’, tok bernada tegas.`Seluruh tanah air telah dijaga. Semua pekan dan bandar yang ramai orang Cina telah terkawal. Kita tunggu mereka mulakan sahaja, cucu. Malam ini panglima-panglima dari Indonesia juga datang.Semua kawasan telah ada panglima jaga’

`Tok bertugas juga?’

`Bertugas’

`Di mana?’

`Tok di Jerantut’

`Seorang diri?’

`Tidak. Tok dengan Tok Janggut’

`Di Raub siapa, tok’

`Di Raub dua orang. Megat Panji Alam dengan Panglima Gayung’

`Di Kuantan?’,Wan bertanya.

`Pitung dengan Gondrong’

`Di ibu kota?’

`Ha! Di sana ramai.Petanda pun di sana’

`Guru bertugas juga tok?’

`Belum sampai masanya. Guru tunggu tahun 1980. Itupun kalau jadi perang besar-besaran. Minta jadi perang saja cucu. Kalu jadi perang besar tahun 1980, semuanya akan keluar termasuk Mahaguru. Yang tinggal cuma Mahaguru Terulung seorang sahaja.Kalau jadi perang pada waktu itu, jangan terkejut, cucu. Ramai orang pandai bersilat. Ramai orang pandai bersilat dengan sendirinya’

`Ha?’, kami terkejut.

`Bagaimana?’

`Bila persilatan cucu telah masuk sepenuh-penuhnya, pesan kepada kawan-kawan atau kaum keluaga atau sesiapa sahaja supaya sentuh badan cucu’

`Jadi?’

`Dia akan terus boleh bersilat dengan sendirinya’

Kami terkebil-kebil mendengar maklumat yang mengkagumkan itu.

`Boleh berperanglah?’

`Boleh!’

Sebelum pergi meninggalkan kami, tok sempat berkata lagi untuk mententeramkan hati kami.

`Jangan risau cucu.Negara kita dalam keadaan terkawal. Seluruh penunggu dan pejuang tanah air telah bersedia. Tok Janggut ada meriamnya di Kelantan dan akan meletup untuk menahan serangan dari laut’, tok berkata sambil tersenyum. `Pak Wan Selampit ada Badak Berendamnya di Kuala Kedah. Semua meriam akan meletup dengan sendirinya, bila sampai masanya’.

Aku tidak begitu faham maksud tok, apakah sekadar sebuah gurauan atau memang benar-benar akan menjadi kenyataan. Tapi yang sudah kami semua yakini – menurut penjelasan tok - kalau terjadi perang tahun 1980 semua yang tidak terlukis kalimah Allah di dahi akan menjadi korban perang – serangan dari tok adalah kepada semua yang dianggap musuh agama. Dan dengan demikian ada kemungkinan Tanah Melayu tidak akan ada lagi musuh-musuh agama selepas 1980.

20 Ogos 2010

66. Silat Di Jeram Sungai

Oleh kerana persilatan kami telah semakin lincah, bersilat di dalam bilik di rumah telah tidak begitu sesuai lagi. Pergerakan menjadi terbatas. Walaupun pertarungan dalam jarak yang terhad masih boleh berlaku, tetapi kadang-kadang memerlukan kawasan yang lebih selesa untuk memudahkan kami bertempur secara bebas dan mendapat kepuasan berpencak. Oleh itu satu kawasan lapang yang terbuka begitu diperlukan. Tok menasihatkan kami supaya bertempur di atas bumi di kawasan lapang supaya persilatan menjadi semakin kemas. Berslat di bumi akan lebih mudah bagi ketibaan pergerakan pertarungan.

Setelah tercari-cari tempat yang sesuai, kami akhirnya pergi ke suatu kawasan yang agak lapang di dalam kebun getah Cina berdekatan dengan sebuah jeram dan anak sungai dekat Teras, Raub. Yim memulakannya dengan membuka empat penjuru gelanggang. Setelah selesai gelanggang sementara dibina, kami semua kucuali Yim – Toklah tentunya – menadah tangan seperti selalu bagaikan berdoa sambil kepala menengadah langit. Kami meminta secara bebas persilatan dari panglima-panglima yang telah kami terima ijazahnya.

Memang! Di atas bumi memang ada kelainan berbanding dengan di dalam rumah. Permintaan memang segera tertunai.Dalam tempoh yang cepat aku dengan Wan telah mula memencak dengan baik. Tapi kami tidak memohon silat pertarungan. Kami hanya memohon tari – sekadar untuk mengasuh kelancaran pergerakan badan.Tapi tari yang kami pohon ialah tari pencak pertarungan. Cuma bukan untuk bertarung. Aku tidak sempat untuk mengetahui setakat mana kehebatan Wan dan sejauh mana Piei dan Dol dapat memantapkan persilatan masing-masing. Aku hanya asyek dengan pencak ku sendiri, sambil menyepak-nyepak angin dengan kaki kanan dan kiri dan melepaskan pukulan-pukulan tangan ke arah udara kosong dalam seni pencak yang mengasyekkan. Aku kemudiannya memohon agar didatangkan pergerakan yang lebih cekang dan ganas dan pada ketika aku sampai kepada tahap persempadanan antara ada dan ketiadaan, Yim tiba-tiba berseru.

`Berhenti! Berhenti!!’

Lalu aku, Wan, Piei dan Dol serta merta memberhentikan pencak masing-masing iaitu secara spontan kami akan menyapu muka seperti selesai berdoa.

`Ngapa?’, Wan bagaikan memprotes.

`Ada orang datang!’

Yim lantas menunjukkan ke suatu arah di pinggir jeram. Kelihatan dua orang lelaki Cina sedang memandang ke arah kami. Aku tidak pasti apakah mereka sempat menyaksikan aksi pencak kami sebentar tadi. Aku sungguh kecewa kerana silat terpaksa ditamatkan.

Namun sesungguhnya aku dapat merasakan satu kepuasan bila berpencak di atas bumi. Alangkah seronoknya kalau kami memiliki sebuah gelanggang di atas tanah. Aku dapat merasakan kelainannya dan tentulah kami semua akan boleh bertarung dengan penuh kehebatan!

Pada waktu malam tok tiba seperti biasa dan di gelanggang rumah hijau kami berbincang mengenai pengalaman pada waktu siang tadi.Kali ini bukan Panglima Hitam tetapi ialah Panglima Gayung Lanang yang datang.Memang kadang-kadang bukan Tok Itam sahaja yang datang. Gayung Lanang adalah di antara panglima yang selalu juga datang.

`Tok tengok silat cucu berdua sudah semakin kemas’, tok merujuk kepada aku dengan Wan. Ertinya pada waktu di ladang getah tadi Tok Gayung Lanang hadir sama menyaksikan latihan kami.

`Kalau tak ada Cina tadi, sedikit sahaja lagi, cucu akan mendapat pergerakan sepenuhnya.Itupun sudah dekat sangat....’

Tok memandang ku.Kepada akulah yang dimaksudkan.Memang pada waktu latihan di ladang getah tadi, aku dapat merasakan persilatan ku telah semakin mantap – satu peningkatan tahap yang belum pernah lagi aku rasakan.

`Kalau sudah masuk sepenuhnya, cucu akan terbang....’, tok meneruskan.

`Ha?’, aku terkagum mendengar kalimat itu.Memang pun pada masa berpencak tadi,aku dapat merasakan tubuh ku telah begitu rengan.

`Lain kali cari tempat seperti itu lagi. Ajak cucu Rahim pergi cari tempat yang sesuai. Tempat seperti itu – ada anak sugai, ada air mengalir, di kawasan berjeram seperti di situ atau di kawasan yang ada air terjun, cucu akan cepat mencapai kepenuhan.Nanti pergi lagi ke tempat begini, biar cucu bersilat dan berpencak di atas batu-batu, dan melompat pula dari batu ke batu’

Aku, Wan , Dol dan Piei bagaikan terbeliak biji mata melihat kepada tok, seakan-akan sukar untuk mempercayainya.Lalu minda khayal ku membayangkan betapa atau bagaimana aksi aku akan melompat menginjaki untuk berpencak di atas batu-batan yang licin itu - dari batu ke batu?

`Silat kita adalah silat peperangan.Bila berlaku perang cucu semua akan diserahkan seluruh ilmu kebatinan. Pada ketika itulah cucu akan terbang. Dalam keadaan biasapun sebenarnya cucu memang boleh terbang, terutama kalau berdepan dengan ramai musuh. Tapi kalau cucu terbang, musuh masih dapat melihat cucu, dapat melihat ke mana cucu terbang’.

Kami seronok mendengar penerangan tok itu.

`Tok pun sama.Musuh dapat melihat kalau tok terbang. Tapi kalau persilatan guru,musuh tidak nampak guru terbang. Sedar-sedar terdengar gelak-hilai sahaja.Bila ditoleh, guru sedang berdiri di dahan pokok sambil ketawa berdekah-dekah’

`Kenapa guru tak boleh dilihat, tok?’

`Tersangat pantas! Persilatan guru tersangat pantas. Sebab itulah tok pernah beritahu dahulu, kalau di ibu kota, tak payah sesiapa bantu. Padan guru seorang diri sahaja’.

`Betulkah guru boleh ghaib, tok?’

`Cucu pun boleh ghaib!’,pantas tok menjawab.` Dalam masa peperangan cucu memang boleh ghaib untuk menyerang musuh’.

Sukar untuk dikhayalkan dan sukar juga untuk dipercayai. Tetapi pun jua, aku tersangat ingin untuk merasainya suatu hari nanti - bertempur menentang musuh negara sambil terbang ke sana ke mari untuk mengamuk dengan senjata di tangan – senjata yang menurut tok, mengatasi seluruh persenjataan musuh.

Sebelum balik tok menasihatkan kami supaya selalu menghadiahkan bacaan-bacaan ayat-ayat suci kepada roh-roh si mati samada yang mati baru atau yang mati lama.

`Lakukan pada setiap hari atau pada setiap lepas waktu solat’

Surah yang tok pesankan ialah al Fatehah, Qulhu dan al Maun dibaca sekali atau tiga kali.

18 Ogos 2010

65. Berzikir

`Cucu-cucu semua kena berzikir’, tok memulakan bicara pada waktu ketibaannya pada awal malam tadi. Ini adalah respons kepada kualiti persembahan silat di majlis pengantin sewaktu persandingan Yim dengan Emi.

`Cucu semua perlu berzikir untuk meningkatkan darjat persilatan.Silat cucu berdua, tok tengok bagus’

Tok memandang kepada aku dan Wan.

`Tapi cucu Wan dahsyat sungguh, tok’, aku membuat komentar.

`Memang begitulah’,tok memberi reaksi.`Cucu semua sedang berlumba-lumba. Sedang bersaing sesama sendiri. Hari ini cucu ini lebih tinggi, hari esok mungkin cucu pintas pula. Begitulah keadaannya. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan terus maju dan meningkat. Selepas berzikir nanti, silat cucu semua akan menjadi lebih tangkas lagi’, tok memberi jaminan.

Tok lantas memandang kepada Pei lalu berkata.

`Tok tengok hari itu, cucu asyek berguling sahaja. Kenapa?’

Piei terkerinying.

`Takut?’, tok bertanya.Piei mendiamkan diri. Silat Dol dengan Piei tempoh hari memang mengecewakan sebab Piei sentiasa menggulingkan dirinya sebelum sempat bertempur.

`Tak apalah’, tok terus bersuara apabila Piei mendiamkan diri.`Lepas ini cucu semua perlu berzikir pula’

`Zikir apa tok?’

`Zikir Allah Allah.Macam selalu juga’

`Bila mahu dimulakan?’

`Terserah kepada cucu’

Kami lantas berpandangan sesama sendiri.Tok memberitahu zikir perlu dibuat selama 24 jam. Boleh dibuat secara bersambung-sambung untuk mencukupkan jumlah 24 jam. Boleh juga dibuat dua kali iaitu 12 jam sekali buat. Boleh juga dibuat terus-menerus selama 24 jam.

Setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk membuat dua kali sahaja iaitu selama 12 jam sekali berzikir. Kami diminta menutup semua tingkap dan pintu rumah semasa berzikir dan diminta memilih lokasi masing-masing. Aku memilih di bilik belakang bersebelahan dengan gelanggang dan Piei bersama ku. Dol dan Wan memilih di bahagian dapur yang agak rendah supaya tidak panas apabila tiba waktu tengah hari nanti.

Sejak jam 8.00 pagi tadi kami telah mula berzikir dan dijangka akan berakhir 8.00 malam nanti.

Aku tidak pasti jam sudah pukul berapa sekarang. Tapi panas dari bahang atap zinc sudah mula terasa. Aku percaya tengahari kian menjelma. Dalam keadaan mata tertutup rapat, tentulah aku tidak dapat menduga dengan pasti pukul berapa sebenarnya sekarang.

Dalam tangan setiap orang daripada kami tergengam sekepal nasi pulut. Ini yang tok pesankan. Kami tidak tahu untuk apa. Nasi pulut di dalam genggaman kedua-dua belah tangan yang dikepal terasa semakin keras sekarang.

Sejak sekian lama aku tidak bergerak walau sedikitpun dari kedudukan bersila. Aku tidak tahu apakah boleh bergerak atau tidak sewaktu bertapa ini. Aku terlupa untuk bertanya tok. Jadi aku memutuskan untuk tidak mengalih sila kerana khuatir pertapaan akan terbatal. Akibatnya terpaksalah aku menanggung rasa kebas dan bisa di betis yang semakin lama semakin tidak terperikan.

Lidah ku tidak berhenti-henti menyebut kalimah Allah Allah Allah sejak jam 8.00 pagi tadi. Sehingga kini aku tidak pasti sudah berapa jumlahnya dan aku pula tidak bertanya berapakah jumlah yang diperlukan. Boleh jadi jumlah tidak penting. Mungkin yang penting ialah jangka masanya atau mungkin juga dalam jangka masa yang ditetapkan akan mencapai jumlah yang diperlukan.

Nafsu dan tekad ku sewaktu membuat pilihan bertapa terus menerus selama 12 jam, pada waktu itu adalah berada pada tahap keyakinan dan keazaman yang tinggi akan dapat melaksanakan dengan mudah pertapaan terus-menerus tersebut. Tetapi apabila tiba pada saat sekarang, bisa dan kebas pada betis, peha dan pinggang menyebabkan aku sedikit menyesal dengan keputusan yang telah dibuat kerana aku sedar untuk menamatkan pertapaan yang mungkin baharu satu pertiga perjalanan, adalah satu misi yang bagaikan mustahil.

Ya! Allah, hati ku bagaikan merayu.

Aku bagaikan tidak terderita lagi. Bisa dan kebas pada betis bagaikan tidak dapat ditahan lagi. Namun untuk bergerak walau sedikit pun aku tidak berani kerana khuatir akan membatalkan zikir.

Ya! Allah! Tolonglah! Aku merayu lagi di hati sambil lidah terus menyebut Allah Allah Allah.

Aku berusaha menggagahkan semangat dan jiwa. Aku cuba bergelut dengan keazaman yang tinggi untuk terus berzikir bagi menamatkan tempoh yang ditetapkan. Tapi dalam keadaan betis yang teramat bisa dan kebas itu, aku bagaikan hampir menyerah kalah.

Ya Allah. Tolonglah hamba mu ini. Aku merayu belas bantuan. Aku merayu belas ihsan. Dalam keadaan serba tidak ketahuan itu – iaitu antara untuk membatalkan sahaja atau meneruskan ketabahan yang tiada tara bagi meneruskan; tiba-tiba aku terdengar suara memberi salam.

`Assalamualaikum’

Aku menjawab di dalam hati.

`Cucu....Cukuplah... Cukup...’

Aku tahu itu adalah suara dari tok.

Alhamdulillah. Terasa bagaikan terlepas dari satu siksaan yang amat menderitakan.

`Mari semua ke mari!’

Tok memberi perintah dari gelanggang di sebelah. Aku mencelikkan mata. Pandangan ku terus kepada Piei. Aku lihat dia menyapu mukanya yang bermisai tebal itu. Bila kami berpandangan aku dapat melihat wajah yang cukup lega terpamir darinya.

`Huuuuu!’, dia meluahkan sebuah keluhan sambil menggeleng-geleng pantas. Bergetaran kepalanya oleh gelengan pantas itu. Kami berdua lantas menuju ke gelanggang. Di situ tok telah sedia menanti dalam sila panglimanya.

`Pergi panggil cucu yang kat bawah sana’, tok memberi perintah. Wan dan Dol yang agak jauh berada di bawah sudah tentu tidak sedar bahawa tok telah tiba dan zikir boleh ditamatkan.

Tok memandang ku dengan senyuman. Aku tidak tahu apakah erti senyumannya itu. Bila aku melihat jam di tangan ku, waktu menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Ertinya kami semua telah berzikir selama empat jam tiga puluh minit.

Bila kami semua telah berkumpul, tok lantas bersuara.

`Alhamdulillah. Cucu semuanya telah berjaya’

`Berjaya?’, kami bertanya serentak.

`Berjaya!’, jawab tok.

Kami berpandangan sesama sendiri. Bagaimana begitu? Sedangkan kami seharusnya berzikir terus-menerus selama 12 jam, tapi baru empat jam lebih telah dikatakan berjaya.

`Walaupun cucu berzikir cuma empat jam lebih, tetapi nilainya sama dengan 12 jam’, tok menerangkan.Kami kehairanan. Tok faham akan kehairanan kami, lalu tok menerangkan seterusnya.

`Cucu berzikir di sini dan dato-dato semua berzikir di sana. Zikir dari dato-dato semuanya adalah untuk cucu, Jadi cukuplah jumlah 12 jam’

Kami cukup gembira dan lega mendengar penjelasan itu.

`Cucu semua memang tabah’, tok memberikan pujian.`Tok dulu gagal dalam zikir yang pertama. Lalu guru suruh tok berzikir semula. Tapi cucu semuanya berjaya. Syabas!’

Kami sungguh gembira mendengarnya

`Berapa lama tok bertapa dulu?’

Aku bertanya kerana menurut kefahaman ku seseorang yang mahu mencapai darjat seorang panglima perlu melalui zikir dalam pertapaan. Dan inilah yang sedang kami lalui.

`Enam tahun’

Wah! Selama enam tahun bertapa! Enam tahu bertapa baru bergelar Panglima Hitam.

`Tapi cucu semua tidak perlu buat macam dato-dato. Kalau nak bertapa macam dato, mana ada masa?’

Tok meminta dikumpulkan nasi pulut yang kami genggam. Kami letakkan di atas sebuah pinggan.

`Tadi semuanya lembut’, tok bersuara.`Sekarang semuanya sudah keras. Kalau dibaling ke didinding pun bagaikan membaling batu.Bagus!’

Tok mengambil pinggan tersebut dan mambacakan sesuatu. Selepas itu dihembuskannya.Bila siap dibacakan tok berkata.

`Ambil masing-masing punya dan makan’

`Makan?’, kami berkeriau. Maklumlah nasi pulut telah menjadi keras dan bulat bagaikan buah guli tentulah teruk mengunyahnya.

`Makan!’, tok memberi perintah.

`Untuk apa?’, Piei bagaikan tak puas hati diminta memakan nasi pulut yang telah keras bagaikan batu itu.

`Untuk ketahanan dalam badan’

Tok seterusnya memberi arahan supaya di adakan satu lagi sesi berzikir. Lalu pada minggu berikutnya, kami berzikir bagi kali yang kedua. Pada kali ini aku melakukannya dengan lebih mudah dan bersemangat kerana tok mengatakan tidak mengapa beralih sila apabila terasa teramat bisa dan kebas di betis.

Zikir pada sesi kedua tidaklah selama sesi yang pertama. Kerana baharu sekitar hampir tiga jam, tok telah menyeru supaya menamatkan zikir. Bila kami telah berkumpul tok lantas bertanya.

`Sekarang tok mahu tanya, di mana zikir cucu sekarang?’

Kami kurang mengerti.

`Pada minggu yang lalu, cucu berzikir di lidah’, tak menerangkan.`Bagaimana pada kali ini.Di mana zikir?’

Kami lantas berdiam sebentar. Kami cua berzikir seperti tadi, Lantas tiba-tiba Wan bersuara.

`Di kepala’

`Cucu?’

Pertanyaan tok kepada ku, aku jawab dengan jawapan yang sama. Ternyata selama beberapa waktu pada saat-saat akhir berzikir, kepala ku terasa bagaikan berat kerana rupa-rupanya aku berzikir di kepala – tidak lagi di lidah. Demikian jugalah pengakuan Piei dan Dol.

`Dulu zikir di lidah. Sekarang zikir di kepala, bukan?’

Dan kami mengakuinya.

`Bila cucu berzikir lagi pada masa hadapan, zikir akan beralih pula ke hati’, tok menerangkan selanjutnya.`Kita mahu zikir berjalan serentak – di lidah, di kepala dan di hati. Dan pada akhirnya yang kekal ialah di hati’

.