13 Oktober 2009

30.

PENJAGA TUJUH PETALA BUMI

Balik dari satu perjalanan jauh, aku bersama isteri membuat keputusan untuk membeli nasi goreng sahaja sebagai makanan malam kerana agak keletihan untuk memasak. Sebenarnya kami memang jarang-jarang berbuat demikian dan jarang juga makan di restauran atau di gerai-gerai makan kecuali bila betul-betul perlu. Ini bukan disebabkan soal menjimatkan belanja sahaja, tetapi disebabkan oleh terutamanya soal kebersihan dan kesucian. Kami sekeluarga sebenarnya sangat berhati-hati dalam soal makan-minum.

Soal kebersihan makanan kadang-kadang boleh saja berpandukan penilaian Kementerian Kesihatan yang meletakkan gred-gred A, B dan C kepada premis-premis yang menjual makanan, sebagai penanda sesebuah premis menjamu selera samada bersih atau sederhana dan sebaliknya. Tetapi kebersihan bukanlah satu-satunya syarat untuk menentukan kualiti rezeki Allah yang akan masuk ke dalam perut. Ada elemen lain yang lebih perlu dititiberatkan iaitu soal kesucian.Kesucian ialah merujuk kepada samada halal,makruh dan haramnya. Ini adalah bidang ilmu syarak yang kalau diketahui, tahulah bahawa sesuatu yang nampaknya bersih belum tentu suci dan halal.
Apabila telah dekat dengan rumah, kami selalunya akan membeli beberapa bungkus nasi goreng untuk di makan di rumah bersama-sama. Untuk seramai enam mulut, biasanya memadailah tiga atau empat bungkus sahaja kerana cuma aku dan anak lelakiku sahaja yang kuat makan.

Waktu itu Maghrib telah hampir menjelang.Mungkin dalam tempoh tiga puluh minit sahaja lagi akan berkumandanglah azan. Sedang duduk sendirian di kerusi menunggu pesanan, aku tiba-tiba tertarik kepada seorang lelaki yang berseluar panjang dan berbaju kemeja lusuh sedang berjalan perlahan-lahan menyusur dari meja ke meja. Lelaki itu pada pendapatku bukanlah seorang lelaki biasa berdasarkan penampilannya. Cara dia bergerak dari meja ke meja, dengan sebuah beg lusuh yang digalasnya menarik perhatianku.

Orang-orang yang nampak aneh sedemikian, aku pernah dinasihati oleh Atuk di Raub dahulu supaya selalu berhati-hati. Atuk berkata:

`Wang di dalam poket cucu katakanlah cuma ada RM30.00 sahaja. Orang seperti itu tiba-tiba meminta sejumlah RM30.00 juga. Apa cucu nak buat?’

Atuk diam sebentar.Mata kami direnung seorang demi seorang.

`Katakanlah cucu sedang dalam perjalanan untuk balik ke rumah. Atau cucu masih dalam perjalanan jauh. Duit tersebut cukup untuk membeli teket bas dan belanja makan sahaja. Apa cucu nak buat? Nak beri atau tidak?’, Atuk bertanya. Mendesak jawapan dari kami - Aku, Piei, Dol dan Wan - tapi semuanya sekadar mampu tersenyum dan tersengih macam kerang busuk saja. Tak ada jawapan.

`Kalau cucu nak beri, nak beri semuakah? Atau sekadar banyak mana?’, Atuk bertanya lagi. Kami diminta memberikan jawapan. Keluarlah berbagai-bagai jawapan dari kami semua.Bila jawapan mengatakan beri RM10.00 atau RM20.00 sahaja, Atuk berkata:

`Dia minta tiga puluh ringgit! Bukan sepuluh atau dua puluh ringgit!’

Kami terkelip-kelip.

`Yang paling ditakuti ialah kalau-kalau Nabi Khidir yang datang menguji cucu’, Atuk mengingatkan.

Aku sesungguhnya sentiasa teringat dengan pesanan Atuk itu dan cukup berhati-hati kalau-kalau bertemu dengan peristiwa seumpama itu.

Dalam duduk-duduk itu, aku mengawasi lelaki itu. Aku sudah dapat mengagak lelaki tua itu pasti akan sampai juga ke mejaku kerana memang dia perlahan-lahan seakan-akan bergerak menuju ke arah mejaku. Terkaanku memang tepat sekali.Sejurus kemudian dia pun sampai.

Dia tidak memberi salam bila sampai di sisiku, tapi menghulurkan beberapa helai keratan akhbar lama.Aku mengambilnya lantas membaca tajuk-tajuk rencana dan melihat gambar-gambar yang terpapar. Aku tidak tahu mengenai siapakah kesah-kesah itu, tapi beritanya adalah berkaitan dengan kesah rumah setinggan yang dirobohkan oleh Majlis Bandaran dan pembersihan semak-belukar serta penarahan bukit sewenang-wenangnya untuk pembangunan. Mereka diperintahkan berpindah ke tempat lain. Apakah orang tua ini terlibat dengan kesah ini? Aku tidak pasti, tapi tidaklah aku bermaksud mahu bertanya. Orang tua itu nampaknya menadah tangan memohon belas-kasihanku. Orangnya memang sudah tua, dalam sekitar usia tujuh puluhan, berkulit hitam tapi nampak tenang.

Pada ketika itu tiba-tiba pesananku telah pun siap.Jadi terpaksalah aku terlebih dahulu membayar harga pesanan. Bila baki dipulangkan oleh penjual itu, tinggallah baki di tanganku sebanyak RM2.00 sahaja. Aku merasakan RM2.00 tersangat sedikit untukku berikan kepada lelaki tua itu. Aku berhajat untuk memberi lebih daripada itu, tetapi dompetku tertinggal di dalam kereta pula. Aku pandang ke arah kereta. Ah! Agak jauh.Lalu terpaksalah aku berikan RM2.00 sahaja untuknya.Sebaik sahaja wang berpindah tangan, diapun bertanya padaku.

`Tahu siapa yang menjaga tujuh petala langit dan tujuh petala bumi?’.

Aku amat tersentak dengan soalan yang tidak disangka-sangka itu. Aku tidak tahu jawapannya secara khusus. Tentulah malaikat yang menjaganya! Tapi siapakah nama malaikat itu? Aku tidak ada jawapan yang pasti. Oleh kerana tidak tahu siapakah yang setepatnya, aku lalu memberikan jawapan yang umum.

`Allah Taala lah’

Dia tidak memberikan sebarang komen. Aku pula tidak bertanya apa-apa lagi. Dia kemudiannya mengadu kepadaku.

`Saya sudah lama dalam kesakitan’

Aku mengamati wajahnya. Aku tertanya-tanya apakah orang tua ini akan meminta bantuanku untuk mengubat sakitnya?

`Sentiasa sahaja saya terpaksa berpindah-pindah. Duduk sekejap di sini, kena pindah. Duduk sekejap di sana, kena pindah’

Aku menyangka dia mahu menyorot kembali mengenai kesah setinggan yang diarahkan berpindah setelah rumah mereka diroboh sebagaimana kesah dalam akhbar lama yang dibawanya itu. Lalu aku bertanya.

`Sudah berapa kali kena pindah?’

Dia diam sahaja. Soalanku tidak diacuhkan.

`Pindah ke mana?’, aku bertanya lagi.

Dia tidak menjawab juga soalanku, sebaliknya berkata.

`Sakit saya... Sakit..’, dia bagaikan merintih.

Aku tidak faham maksudnya. Sakit bagaimana? Sakit apa?

`Pak Cik tinggal di mana?’, aku cuba menjadi bertambah ramah.

Dia tidak juga menjawab soalanku sebaliknya menyeluk poket atas bajunya. Ada sebuah buku cacatan yang kecil dan nipis yang telah agak kumal. Di dalamnya ada helaian-helaian kertas kecil.Dia mencari-cari. Bila terjumpa apa yang dicari, dia lantas menyerahkan kepadaku. Selepas menyerahkan, dia pun beredar pergi. Aku menatap kertas kecil itu. Ada cop nama siap dengan alamatnya sekali.Namanya Ali bin Embong, Kg. Paya, xxxxxxx, xxxxxxx . Aku tahu di mana letaknya tempat itu yang memang berada dalam persekitaran tempat tinggalku. Tapi aku juga tahu bahawa alamat itu adalah alamat lama. Alamat puluhan tahun yang lalu. Pada zaman sekarang, semua rumah di Kampung Paya telah didaftarkan nombornya. Aku tidak mungkin dapat mencari alamat itu lagi.Jadi siapa orang ini? Aku menoleh mencarinya semula. Dia nampaknya seperti tadi juga, berjalan perlahan-lahan menyusuri meja. Tidak tergerak pula di hatiku untuk menjejakinya bagi mengetahui dan mengenalinya dengan lebih lanjut. Lalu berjalanlah aku menuju ke kereta untuk pulang ke rumah.

Di dalam kereta, isteriku dan anak-anak tidak putus-putus bertanya mengenai kesahku dengan lelaki tua itu. Mereka telah mengesan sejak sedari awal lagi, bahawa lelaki itu bergerak dalam proses memang melangkah menghala kepadaku. Sebagaimana sewaktu kami sekeluarga di Pulau Pinang dulu juga, sewaktu aku dan isteri berusaha mendapatkan rawatan sakit tradisi kami dari seorang kawan. Ada kesah yang seakan-akan serupa. Tetapi tidak terjadi kepadaku, sebaliknya kepada isteri dan anak-anakku. Aku sekadar melihat dari dalam kereta di pinggiran jalan – dalam kesibukan orang ramai berpapasan, aku dapat melihat dengan jelas, sasarannya tetamu misteri tersebut adalah kepada isteriku. Tetapi yang di Pulau Pinang itu adalah orang perempuan.

Samalah juga di bandar Macang, apabila orang yang diberi julukan ibu oleh kalangan dalam persekitaran Tok Lat, Tok Ayah Sohor dan Tok Penghulu Malim. Aku memang berhasrat untuk berkenalan bila mendapat khabar mengenainya. Dia sedang duduk bersila di sisi sebuah bangunan di bandar Macang.Penuh dengan kotak di sekitarnya. Dia duduk di atas kotak kertas yang dileperkan. Dia bagaikan berada di sebuah rumah kotak kertas kerana ada tempat berbaringan di dalamnya. Sekilas tafsiran, semua orang berkata, itu orang gila.Bila aku dengan anak-anak mendekatinya, dia lantas berseru.

`Mari! Mari! Mahu jumpa ibu, ya?’, nadanya ceria dan gembira.

Aku sampai terlebih dahulu. Bila sampai isteriku dan anak-anak bersalam-salaman dengannya. Orangnya nampak masih kemas dan muda. Rasa-rasaku dia dalam usia akhir 40an atau awal 50an. Duduk dalam sila panglima.Berbaju dan berseluar panjang kuning seluruhnya.

`Nampak saja duduk macam ini’, ibu itu bersuara. Ibu adalah Che Siti Wan Kembang, itulah identiti yang diberikan kepadaku oleh orang-orang yang dalam persekitaraan Tok Lat.

`Mata manusia sahaja melihat ibu begini’, dia menjelaskan.`Tapi sebenarnya tidak...’

Aku dengan anak-anak dan isteriku duduk beralaskan tumit sambil mendengar bual bicaranya.

`Orang sangka ibu orang gila’, ibu melanjutkan.`Orang kata ibu gila. Tapi mereka tak tahu...’

Ibu – Che Siti Wan Kembang bagaikan mahu membersihkan dirinya dari prasangka yang salah. Aku memang percaya akan adanya kesah-kesah penyamaran seperti ini. Lalu aku memang sentiasa berhati-hati. Aku berharap akan sentiasa dapat membezakan antara orang yang betul-betul gila dengan orang yang berpura-pura gila.Insyaallah.

`Anak nak pergi ke Pulau Melaka?’, ibu tiba-tiba membuat lawaan. Aku terkejut.

`Pulau Melaka?’

`Ya’

`Pergi dengan siapa?’

`Dengan ibulah. Ibu bawa!’

`Buat apa?’

`Saja! Jalan-jalan.Bukan jauh.Dalam sepuluh minit sampailah...’

Anak-anakku terkelip-kelip melihatku. Isteriku selamba sahaja. Dalam keadaan tiba-tiba seperti itu, aku agak sukar untuk membuat keputusan. Pulau Melaka letaknya di mana? Kampung tempat tinggal Tok Guru Nik Azizkah? Atau di Pulau Langkawi? Atau di mana? Aku tidak bertanya pula.Tapi pada ketika itu tergambar di kotak fikiranku, Pulau Melaka adalah Pulau Besar!

Rasa khuatir pun ada. Kalau aku pergi, bagaimana pula dengan anak-anak dan isteriku? Lagi satu persoalan, dan ini lebih besar isunya, kalau aku pergi, apakah yang akan berlaku kepadaku? Dan pergi dengan apa? Mana mungkin ibu ada kenderaan? Kalau tidak ada kenderaan, bagaimana? Wah! Begitu banyak kekhuatiranku. Dalam keadaan serba-salah dan serba tak kena itu, ibu tiba-tiba bersuara.

`Tak percayalah, tu...Takutlah, tuu...’

Aku sekadar tersenyum.Sebelum beredar aku menghulurkan RM10.00 dan ibu menerimanya.

Bila sampai ke rumah Tok Ayah Sohor aku ceritakan kesah bertemu dengan Cik Siti Wan Kembang.Tok Ayah Sohor tidak memberikan komen apa-apa tetapi memberitahu sudah lama Cik Siti Wan kembang tidak berkunjung ke balaisahnya.

Keesokan harinya aku menceritakan kesah bertemu lelaki tua tersebut kepada Tok Lat.

`Dialah penjaga tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, Cikgu’, Tok Lat menerangkan.Aku tercengang. Aku tiba-tiba menjadi begitu kesal apabila mengetahui misteri siapa lelaki tua itu. Kenapa pada petang semalam aku tidak mengambil kesempatan dengan orang tua itu? Apalah salahnya kalau aku mempelawanya ke rumah? Apalah salahnya? Aku terasa sungguh kesal.

`Bertuah Cikgu dapat bertemu dengannya!’, Tok Lat berkata seterusnya.

`Dialah yang tertinggi sekali.Bila Cikgu telah bertemu dengannya, bererti selepas ini Cikgu akan bertemu pula dengan orang-orang yang lain kerana semua yang lain-lain adalah di bawahnya’

Aku menjadi gembira pula dengan maklumat itu.

`Wali Allah kah, tok?’

`Tentulah, Cikgu’

`Apa sebab dia kata dia sakit, tok?’

`Kiasan, Cikgu’, Tok Lat menjawab dengan pantas.` Kiasan mengenai bumi. Bumi yang sudah diceroboh sesuka hati oleh manusia’.

Aku diam sahaja. Aku percaya Tok Lat tentunya akan melanjutkan penjelasannya.

`Hutan dan semak sudah habis diterangkan. Bukit-bukit telah ditarah dan diratakan. Lembah pula telah ditimbuni. Sakitlah dia!’

`Kenapa dia yang sakit?’

`Sebab dia yang jaga! Jadi dialah yang merasa sakitnya’

`Sakit...Sakit badankah, tok?’

`Bukan!’, tegas dan mendalam suara Tok Lat. `Sakit perasaan. Sakit hati dan jiwa!’

Aku cuba meresapi penjelasan Tok Lat tersebut.

`Berpindah-pindah ke sana ke sini, apa pula maksudnya?’

`Banyak sangat tempat yang dipinda-pinda Cikgu’, Tok Lat menjawab dengan pantas seperti tadi juga.`Cikgu tengoklah sendiri, mana ada tinggal lagi, tempat-tempat yang ada kawasan semulajadi di tempat kita ini? Semuanya habis dipinda-pinda. Tak ada lagi hutan dan lembah. Bukit-bukit kecil pun habis ditarah dan diratakan. Ke mana lagi makhluk lain nak duduk?’

Aku termenung sejurus. Aku memproses maklumat yang ditafsirkan oleh Tok Lat itu.Atas nama pembangunan! Ya, atas nama pembangunan dan kemajuan! Manusia dengan sewenang-wenangnya merosakkan alam sekitar.

Menurut pendapatku sebahagiannya didesak oleh sifat tamak haloba. Atas nama kemajuan dan pembangunan, ada pihak-pihak tertentu yang tamak haloba mendapat untungnya. Atas nama pembangunan dan kemajuan, alam sekitar habis diteroka.Tidak cukup tanah datar dan tanah lembah - paya ditimbuni. Tidak cukup tanah lembah, baran dan paya - bukit ditarah dan diratakan.Kemudian naiklah bangunan-bangunan batu yang sesetengahnya menjadi pencakar langit.

Semua yang tersebut adalah harta benda bentuk baru, menggantikan tanah yang telah tinggal sedikit. Lalu di atas tanah yang tinggal sedikit ini dibangunkan harta-harta modal berpuluh bahkan beratus juta nilainya yang kebanyakannya terkumpul kepada para kapitalis. Rakyat biasa sekadar menjadi penonton sahaja, tapi tetap juga berbangga kerana mendapat pembangunan dan kemajuan.Berulanglah kesah Pak Kaduk: menang sorak kampung tergadai.

Kemudian atas nama kemajuan dan pembangunan bandar, rakyat kemudiannya dihalau dari kawasan-kawasan perbandaran walhal di atas tanah itulah rakyat bawahan hidup selama berpuluh tahun membasah peluh, keringit dan air mata membangunkan negara – menjadi pekerja bawahan membina rumah dan bangunan, membina parit dan longkang dan berbagai kemudahan infrastruktur untuk pembinaan bandar-bandar baru. Mereka sengaja dibiarkan dengan status setinggan dan tidak dibenarkan memiliki tanah yang mereka telah duduki sejak puluhan tahun. Bila tidak diperlukan lagi dan telah tua, mereka dihalau begitu sahaja. Habis manis sepah dibuang.Inilah bencana kapitalisme yang diamalkan dalam sistem dunia! Termasuk oleh orang-orang Melayu di Tanah Melayu! Lalu jika begitu, di manakah sistem Islamnya? Dimana amalan Islamnya? Bahkan bila dipersoalkan lebih jauh, di manakah sisa imannya?

Akibat yang lain ialah banjir kilat. Ke mana lagi air mahu bertakong, kalau semua lembah dan lurah, paya dan dangau telah dipenuhi oleh hutan batu-bata?

Sesungguhnya sifat tamak haloba kapitalisme, membawa pelbagai bencana. Inilah yang berbeza dengan sistem Islam yang memperjuangkan nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan: belas-kasihan, kasih-sayang, simpati, bertimbangrasa dan sebagainya. Orang-orang yang berjasa kepada proses pembangunan negara, apatah lagi kalau telah tua, kalau dalam keadilan Islam, sesungguhnya akan mendapat hak-hak yang setimpal, tetapi demikianlah yang terjadi apabila negara di pimpin oleh pemimpin berjiwa kapitalis. Bila berjiwa kapitalis, lalu meluncur keluarlah jiwa Islamnya! Lalu di manakah sisa imannya?

Demikianlah erti sakit dan kesakitan yang boleh aku tafsirkan berdasarkan apa yang diluahkan kepadaku oleh lelaki tua semalam setelah diperjelaskan oleh Tok Lat!

`Waktu tok balik dari Kedah bersama Bakar dulu’, Tok Lat membuka cerita lain pula.`Tok Ayah Bidin berkata kepada tok. Bolehlah kita balik abang.Bolehlah kita balik sekarang, sebab sudah ada orang yang ganti tempat kita’

Aku terkebil-kebil seakan-akan kurang faham atau sengaja tak mau mengerti.Balik yang diistilahkan itu bermaksud kembali iaitu kembali ke negeri asal sebagai warganegara akhirat.Dengan makna lain ialah kembali kepadaNya.Mati!

`Sudah lama kita menanti nak balik, abang’, Tok Lat berkata lagi mengajuk kata-kata Tok Ayah Bidin. `Sekaranglah baru boleh. Begitu Tok Ayah Bidin berkata kepada tok. Tok pun jawablah.Memanglah adik, kita sudah ada pengganti. Bolehlah kita balik...’

Aku terkebil-kebil lagi.Tok Lat menyalakan Benson. Kemudian dia menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya dan meletakkannya di atas meja kecil di hadapannya. Sambil itu dia mengesat mukanya dengan tuala mandi yang tersidai di atas bahunya.

Tok Lat memang selalu memakai cermin mata hitam apabila berjalan kerana dia tidak tahan dengan cahaya silau panas terik matahari.

`Tok sudah puas, Cikgu’, Tok Lat mengeluarkan rahsia hatinya.`Tok sudah lama sangat memegang tugas ini. Tok Ayah Bidin pun sama. Jadi rasanya sudah sampailah masanya untuk tok balik’

Pilu juga hatiku bila mendengar suara hati Tok Lat itu. Orang tua ini di sebalik nampak bagaikan sihat, tetapi dia sebenarnya mengidap sakit lelah.Ada beberapa kali dia diserang oleh sakit tersebut, sehingga bagaikan hilang nyawanya. Kami – anak-anak buah dan teman-temannya – pernah beberapa kali gempar dan berkumpul apabila Tok Lat diserang sakit lelah yang kronik sejak akhir-akhir ini.

Pada suatu ketika, Tok Lat bagaikan akan pergi. Itulah sakit yang paling kronik berbanding sebelum ini. Aku berada di sisinya dan kami yang hadir – Encik Husin, Pa, Ketti isterinya (isteri yang dulu telah meninggal) dan isteriku - menyangka dia akan pergi, tapi ternyata belum juga waktunya. Tok Lat sendiri pun menjadi hairan kenapa dia belum boleh kembali. Lalu Tok Lat berkata kepadaku pada suatu waktu yang lain.

`Tok sudah serahkan semua kepada Cikgu, tapi kenapa tok tak boleh balik lagi?’, mataku direnung.`Agaknya kerana tok belum bocorkan rahsia, siapa diri tok yang sebenarnya’

Dan Tok Lat diam sebentar lagi. Wajahnya memang ternyata kesal sekali. Dia memerhatikanku dengan lembut dan meredup.

`Baiklah. Sekarang tok beritahu Cikgu’ Tok Lat berkata dengan tenang.Mataku direnungnya lagi. Aku menanti bicara selanjutnya.

`Toklah Imam Rasul’, Tok Lat menerangkan dengan nada tegas tetapi lembut.

Imam Rasul? Aku tidaklah terkejut dengan rahsia itu. Tok Lat sebenarnya telah memberitahuku tentang rahsia itu.Telah lama dahulu. Rupa-rupanya dia telah terlupa, lalu terpaksalah dia mengulanginya sekali lagi. Menurut huraiannya sebelum ini, semua orang-orang kerohanian yang sampai kepada paras ilmu sepertinya adalah Imam Rasul. Termasuklah juga Tok Ayah Bidin. Bukan Moyang sahaja iaitu bukan Tok Gajah sahaja yang diberi jolokan sebagai Imam Rasul. Cuma Tok Gajah mengatasi semua yang lain dalam sayumbara kerohanian untuk berada pada kedudukan nombor satu. Bila dalam suasana perang melawan Inggeris pada akhir kurun ke 19 dahulu, ditambah perkataan perang oleh rakan-rakannya, lalu masyhurlah gelaran Imam Perang Rasul kerana Tok Gajahlah yang menjadi pemimpin dalam peperangan tersebut.

Imam Rasul ialah tafsiran kepada hakikat Allah dan Muhammad. Allah adalah Tuhan, Muhammad sebagai Rasulullah.Di atas dua konsep Zat dan Sifat, Allah dan Muhammad, Tuhan dan Rasul bagi seluruh hakikat kemanusian, muncullah Imam Rasul bagi yang sampai kepada ketinggian kerohanian.Demikian Tok Lat memperincikan konsep Imam Rasul.

`Sakit tok ini, Cikgu, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengubatinya’, Tok Lat pernah memberitahuku beberapa ketika sebelum ini.Memang kepada akulah tempat Tok Lat mencurahkan jiwanya sejak sekian tahun ini. Mencurahkan sejarah hidupnya, pengalamannya dan ilmunya.Walaupun ilmu yang Tok Lat kupaskan kepadaku teramat berat untuk aku memahami dan mengingatinya, tapi bila sampai masanya, dia kata aku akan faham semuanya, akan ingat degan baik dan jelas apa-apa yang telah lalu yakni apabila aku telah ’terbuka’.

`Hanya orang yang darjatnya lebih tinggi dari tok sahajalah yang boleh mengubatnya’, Tok Lat berkata lagi dengan nada bagaikan kecewa.

`Tok Ayah Bidin?’, aku tiba-tiba bertanya.

`Tak boleh. Dia rendah daripada tok’

Dan sesungguhnya memang begitu mengejutkanku, apabila Tok Lat tiba-tiba di serang oleh suatu sakit lelah yang amat kronik dan tenat sebelum subuh yang dia sendiri menjangkakan akan mati, aku mengusahakan satu kesembuhan sambil mengusap-ngusap dada dan belakangnya secara bersahaja tanpa sesiapa pun menyedarinya selain isteriku,Tok Lat tiba-tiba berangsur-angsur pulih...

07 Oktober 2009

29.
NAIK KERETA KUDA TERBANG!


Aku menguji Along mengenai batu-batu permata pemberian Tengku Puteri Normala yang diberikan melalui Tok Lat. Along mengesahkan, semua yang tersebut adalah benar pemberian Tengku Puteri Normala. Along dengan tepat dapat menentukan yang mana satu milik isteriku, yang mana satu milik Kak Long, Kak Ngah dan Kak De. Untuk anakku yang bongsu, Along memberitahu, akan ada juga pemberian dari Tengku Puteri nanti, samalah seperti yang dijelaskan oleh Tok Lat sewaktu menyerahkan pemberian tersebut lebih satu bulan yang lalu. Tapi Along tidak tahu apa-apa mengenai misi Tengku Puteri denganku sekeluarga di sebalik pemberian-pemberian tersebut.
Along yang tadinya masuk ke ruang dalam rumah, keluar semula. T
angannya menatang satu dulang minuman. Setelah dia menuangkan tea o ke dalam cawan dan mempersilakan kami minum, aku pun berkata:
`Apa tujuan Tengku Puteri mahu berdampingan dengan saya?’.
Aku cuba mencungkil maklumat dari Along. Tentulah Along lebih arif kerana dia adalah kakak kembar Tengku Puteri Normala.
`Along sebenarnya tak tahu apa urusan Mala dengan Cikgu’, Along menjawab jujur.`Itu urusan Mala dengan Tok Lat.Tapi urusan dengan Along, Mala memberitahu Along, dia sudah menemui orang yang dia cari untuk membantu Along, membantu emak dan adik-adik’
`Membantu Along?’, aku kehairanan.
`Ya!’
`Apa masalahnya?’, aku bertanya lebih jauh.
`Cikgu lihatlah sendiri keadaan kami di sini’, Along menunjukkan persekitaran rumah ibunya itu yang kecil dan agak uzur. Ruang tamu tempat kami berbual sekarang, kecil sahaja dan tidak ada apa-apa peralatan yang canggih atau baru. Apa yang ada ala kadarnya saja. Set kerusi rotan yang lama, TV 16” yang sudah ketinggalan zaman dan sebuah almari yang sudah berusia lanjut. Jelas kepadaku keluarga ini berada dalam kehidupan yang agak terhempet.
`Mak bekerja menjual kueh. Along pula tak ada kerja tetap.Adik-adik masih kecil dan sedang bersekolah’, Along menjelaskan. Wajahnya mempamerkan harapan yang tinggi untuk kehidupan yang lebih baik.
`Mala tahu semua ini dan dia mahu menolong Along sekeluarga’,tambahnya kemudian.
Melihat persekitaran rumah dan perisiannya, memanglah jelas bahawa keluarga ini berada pada tahap keluarga miskin. Ayah Along yang dahulunya adalah seorang anggota polis, telah lama meninggal dunia. Sejak ketiadaan ayah mereka, ibunyalah yang menyambung mata pencarian dengan berjualan kueh-mueh di pasar Kemaman. Along sekadar membantu emaknya dan kadang-kadang membuat kerja mengambil upah membuat pakaian kanak-kanak.
`Tapi...persoalannya, kenapa Tengku Puteri pilih saya?’, aku menyatakan sedikit rasa kemusykilan.Bukan tidak sanggup. Aku memang sentiasa bersedia dalam hal-hal kebajikan di jalan Allah.
`Sebab Cikgulah yang Mala lihat orang yang boleh dipercayai’, Along menjawab tegas dan pantas.
`Kenapa?’
`Sebab pada zaman sekarang bagaikan tidak ada lagi orang yang berhati lurus dan mulia, Cikgu! Sangat susah untuk mencari orang yang betul-betul amanah serta boleh dipercayai’
Aku sedikit terapung mendengar penjelasan itu.Mungkin benar dan mungkin tidak. Tapi untuk mencari orang yang berhati lurus, dalam zaman sekarang memanglah terlalu susah.
Manusia pada hari ini majoritinya seolah-olah beragama di lidah sahaja. Khianat-mengkhianati, dengki-mendengki, iri-hati, tipu-daya dan dendam-mendendam adalah lumrah. Sejak Ilmu Tasauf terpinggir dari persada ilmu, orang-orang Melayu kurang memberikan perhatian kepada soal-soal menjaga kesucian hati. Niat belajar agama pun bermacam-macam. Demikianlah juga niat mengajar.Kalau pandang pada zahirnya memang nampak bagus! Lebih-lebih lagilah kalau berpandukan kepada tutur bicara semata-mata. Mulut manis dan ramah, tapi hati di dalam tak siapa tahu. Kata orang dulu-dulu `mulut manis bagaikan madu, tapi hati pahit bagaikan hempedu’.

Along lantas menceritakan beberapa peristiwa sebelum ini bagaimana usaha Mala untuk membantu Along sekeluarga menjadi sia-sia oleh angkara orang yang diberi amanah berlaku khianat.Kalau tidak oleh angkara tersebut, sudah pasti Along sekeluarga akan sentiasa menerima saraan dari Mala.
Suatu masa dahulu, aku pernah juga mendapat gambaran jiwa persis sedemikian dari seorang pengamal perubatan tradisional, Pak Hamidi namanya yang tinggal di Cengal Teras. Pak Hamidi pernah menawarkan kepakaran perubatannya untuk diserahkan kepadaku.
`Saya telah telek hati semua orang-orang di tempat Cikgu bekerja’, kata Pak Hamidi merujuk kepada kawan-kawan sekerjaku.`Tapi tak ada seorang pun yang layak untuk memegang amanah ini. Semuanya memiliki hati yang bermasalah dan tidak boleh dipercayai. Cuma Cikgu seorang sahaja yang layak. Jadi, Cikgu carilah kacip pinang dan bawalah kepada saya’.

Demikian tawaran Pak Hamidi kepadaku untuk memungkinkan aku menerima ilmunya dan melakukan tugas sebagai seorang bomoh yang hebat sepertinya.
Perkenalanku dengan Pak Hamidi bermula bila aku, pada suatu waktu dulu, tiba-tiba diterpa oleh beberapa penyakit. Selain sakit pinggang yang menjadi sakit zaman-berzaman, aku tiba-tiba mendapati diriku seakan-akan di serang kencing manis.Tanda-tanda awal telah pun ada.
Pada masa yang sama aku juga bagaikan mendapat sakit darah tinggi. Apabila bangkit dari tidur dalam keadaan tergesa-gesa atau tergopoh-gapah, aku dapati dunia bagaikan berpusing. Anehnya apabila aku merujuk kepada doktor perubatan, aku didapati normal. Tidak ada kencing manis.Tidak ada darah tinggi dan tidak ada pusing mata.
Pada masa itu aku telah mulai dapat merasakan bahawa kesihatanku sudah semakin merosot. Aku sudah sedikit kurus. Menjadi kebiasaan bagiku, suka memicit-micit daging pejal pada hasta dan lenganku dan aku selalunya bergembira kerana mendapati diriku masih kemas dan pejal. Tapi selepas berusia 38 atau 39 tahun, bila aku memicit daging-daging pejal di hasta dan lenganku, aku mendapati tubuhku sudah tidak sekemas dahulu lagi. Aku bagaikan sudah kehilangan daging pejal. Sebaliknya daging pada hasta dan lengan terasa lembik dan lembut.
Berdebar-debar dadaku bila menyedari perubahan itu. Terasa sedih juga di hatiku kalau-kalau aku akan meningglkan isteri dan anak-anakku yang masih kecil pada usia tersebut, sedangkan anakku yang sulung baru sahaja masuk ke alam persekolahan. Apa akan berlaku kepada anak-anakku sedangkan isteriku hanyalah seorang suri rumah? Alangkah mencabarnya kehidupan isteriku nanti untuk menyara hidup anak-anak seandainya aku dijemput kembali menemui Ilahi.
Dalam tempoh itulah aku tiba-tiba mendapat mimpi. Aku bermimpi dirawat oleh seseorang yang menggunakan besi berani dan kacip pinang. Bila mengalami mimpi tersebut, fahamlah aku alamatnya. Aku mengenali seorang bomoh yang pernah aku berurusan dengannya sewaktu anak keduaku diserang penyakit kayap ular. Bomoh itulah yang memberikan rawatan sehingga pulihlah anakku.Itulah Pak Hamidi.
Segera aku menemui Pak Hamidi di Cengal Teras untuk mendapatkan ikhtiar bagi memulihkan kesihatanku setelah doktor mengesahkan aku tidak mengidap sebarang penyakit. Dengan mengamalkan petua dan formula yang diberikan, alhamdulillah aku diizinkan pulih dari tanda-tanda sakit kencing manis, pusing mata dan darah tinggi. Sejak itulah aku agak akrab dengan Pak Hamidi.
Tidak lama selepas itu, Pak Hamidi bertugas sebagai pengawal keselamatan di tempat aku bekerja.Tempat aku bekerja yang letaknya di kelilingi hutan belantara, terlalu banyak gangguan iblis dan makhluk halus.Hampir pada setiap minggu ada sahaja pelajar yang diserang histeria. Bila Pak Hamidi mula bertugas di tempat kerjaku – dia sebenarnya sengaja dibawa bertugas ke situ – dia menjadi faktor yang sangat berkesan mengawal gangguan makhluk halus yang sering mengganggu pelajar.
Ada satu rahsia yang Pak Hamidi tidak bocorkan kepada sesiapa kecuali kepada aku sendiri iaitu kesah `harapkan pagar, pagar makan padi’. Ada seorang warden yang mengambil kesempatan terhadap pelajar-pelajar perempuan yang selalunya diserang histeria pada waktu tengah malam. Pak Hamidi memberitahuku, warden itulah punca bencana.Dia berselindung di sebalik menggunakan kebolehan merawat untuk mengambil kesempatan. Dialah pembawa bencana dan dialah yang menjadi perawatnya. Oleh sebab itulah histeria tidak dapat ditamatkan.
Pak Hamidi memberitahuku, dia meminta warden itu berhenti dari sifat-sifat busuknya itu iaitu mengambil kesempatan terhadap pelajar-pelajar perempuan yang diserang histeria. Akibat tegurannya, Pak Hamidi dicabar oleh warden itu lalu berlakulah pertembungan secara kerohanian. Bila warden itu berjaya ditundukkan, Pak Hamidi memberi ancaman kepadanya.
`Kalau awak ganggu lagi pelajar-pelajar di sini, saya akan bocorkan rahsia awak kepada pihak pentadbiran dan orang ramai’
Demikianlah kesah gunting dalam lipatan. Warden berkenaan yang juga salah seorang tenaga pengajar memang ada banyak kesah-kesah yang mencurigakan mengenai dirinya dengan pelajar perempuan. Ramai orang mengesyaki angkara onarnya, tetapi gagal untuk dibawa ke tengah pengadilan.Setelah pihak pentadbir dapat diyakinkan, warden berkenaan akhirnya diarahkan memohon untuk berpindah tinggal menyewa di luar. Sejak itu redalah sedikit masalah histeria.
Walaupun onar dari warden tersebut telah berjaya ditamatkan, tetapi kawasan tersebut masih terdedah kepada alam sekitarnya yang memang banyak gangguan dari makhluk halus. Pak Hamidi yang telah pun berhenti dari menjadi pengawal keselamatan, membuat tawaran kepadaku untuk menyambung tugasnya.
`Saya telah telek hati semua orang-orang di situ, Cikgu. Saya telah baca hati-hati mereka. Tapi tak ada yang layak. Untuk tugas-tugas seperti ini Cikgu, hati mesti bersih dan suci. Ini amanah Allah’
Kacip pinang yang Pak Hamidi gunakan untuk keperluan perubatannya, memang hebat. Apabila seseorang terkena gangguan, bila kacip tersebut diselitkan pada celah antara ibu jari kakinya lalu diapitkan, tidak ada sesiapa yang boleh menahan kesakitannya. Kalau makhluk yang merasuk masih berdegil, Pak Hamidi akan memulaskan lagi gandar kacip itu, dan apabila semakin dipulas, kesakitan akan berganda. Tidak ada makhluk halus yang mampu bertahan. Dalam keadaan biasa pun – ertinya dalam keadaan tidak sakit pun, kita tidak mampu menahan bisanya apabila diperlakukan demikian. Pak Hamidi kadang-kadang menggunakan telunjuknya sahaja, bagi menggantikan kacip apabila bertembung dengan pesakit yang perlu dirawat dalam keadaan yang tidak diduga.Telunjuk jari Pak Hamidi yang dikepit di celah jari kaki bila dipusing-pusingkan, bisanya seperti bisa kacip juga.
Pak Hamidi sesungguhnya merupakan salah seorang perawat tradisional yang hebat dan berjasa kepada masyarakat. Tetapi apabila anaknya yang belajar sekolah pondok di Petani selalu memberi hujah-hujah syariat kepadanya, aku mendapati Pak Hamidi termakan oleh hujah-hujah anaknya itu. Aku tidak sangka Pak Hamidi tidak berupaya mempertahankan pendiriannya. Sejak itu Pak Hamidi tidak lagi menggunakan kacip dan besi berani, dan mulai kehilangan kuasa perubatan. Akibatnya tidak ramai lagi pengunjung ke rumahnya.
Sejak Pak Hamidi menawarkan ilmu perubatannya untuk diperturunkan kepadaku, sejak itulah aku tidak pernah lagi mengunjunginya kerana aku tidak berminat untuk menjadi perawat tradisional, atas imej bomoh dan dukun.Aku pula kemudiannya berpindah ke tempat lain. Sejak berpindah, aku sudah cukup lama kehilangan berita mengenainya.
Baru-baru ini aku mendapat khabar dari anaknya yang kebetulan bertemu di sebuah sekolah, ayahnya sudah uzur dan terlantar. Siang malam terpaksa memakai lampin. Aku sedih dengan berita itu. Semoga aku dapat menziarahinya nanti.
`Membantu Along?’, aku agak hairan dengan tugas yang diamanahkan oleh Tengku Puteri Normala.
`Bagaimana?’
Along lantas menceritakan bahawa sebelum ini ada orang-orang yang pernah diamanahkan tetapi berlaku mungkir janji dan khianat. Kepada mereka diserahkan sejumlah wang oleh Tengku Puteri, tetapi wang tersebut tidak sampai kepada Along, sebaliknya habis dikebas oleh mereka. Along memberitahuku Tengku Puteri hanya dapat membantu mereka melalui perantara. Tengku Puteri tidak dapat memberikan bantuan secara langsung kerana syaratnya mesti melalui perantara. Setelah beberapa kali usaha demikian gagal kerana berlakunya pecah amanah, Tengku Puteri mulai berhati-hati memilih manusia.
`Mala sekarang agak sibuk, Cikgu. Dunia semakin tidak menentu’.
`Apa kaitan dunia dengan Tengku Puteri?’, aku ingin tahu.
`Mala pun ada tugas-tugasnya juga...’,
`Tugas apa?’, aku begitu ingin tahu.
`Kalau kita di dunia ini, Cikgu, macam persatuan Bulan Sabitlah. Mala akan bertugas di Palestin nanti’
Aku tiba-tiba teringat kesah orang buniyan di Bukit Lindungan tempat tinggalku seperti diterangkan oleh Norizan.
Mereka juga sedang giat membuat persiapan menghadapi suasana perang yang bakal berlaku.
`Sekarang Mala sibuk pula membuat persiapan untuk ke Mekah tak lama lagi. Jadi mungkin Mala agak susah untuk bertemu dengan Cikgu dalam masa terdekat ini’, Along berwajah sedikit muram.
Aku mengikuti juga perkembangan musim haji. Penerbangan pertama dijangka dalam tempoh tidak lebih tiga minggu sahaja lagi dari sekarang.
`Sungguhpun demikian, Cikgu boleh cuba juga untuk memanggil Mala. Manalah tahu kalau-kalau dia boleh meluangkan masa untuk datang sebab Along memang sangat-sangat memerlukan wang’, Along berkata seterusnya.
Lalu Along menerangkan cara-cara untuk cuba memanggil Mala. Along meminta aku menyediakan hamparan kuning. Sediakan juga set cawan tembikar kerana kalau mahu menghidangkan Tengku Puteri dengan minuman, dia tidak minum di dalam gelas kaca. Along berpesan supaya membaca al Fatehah, memberi salam dan menyeru Tengku Puteri supaya datang dan tunggulah sehingga 12.30 minit malam pada malam Jumaat, sebab Tengku Puteri tidak akan datang selepas masa itu. Kalau Tengku Puteri datang, dia akan tiba dengan sejumlah pengiring dan pengawal. Pengawal dan pengiringnya akan tunggu di luar rumah, sementara Tengku Puteri mungkin bersama suaminya akan masuk ke dalam rumah.
`Mala juga ada Pajero, Cikgu’, Along memberikan maklumat selanjutnya.
`Pajero?’, aku tergamam mendengar berita itu.
Isteriku pun sama. Anak-anakku pun begitu terpegun.
`Pajero warna merah.Kalau Cikgu tiba-tiba terserempak dengan Pajero warna merah plet Terengannu, nombor pendaftaran TXXXX (dulu aku ingat nombornya), itulah kereta suami dia’.
`Maksud Along, suaminya ada kenderaan di muka bumi ini?’
`Ya! Itu kenderaan di atas dunia, Cikgu. Tapi di alam sana, mereka memiliki kuda terbang – kereta kuda terbang’.
Kuda terbang? Aku mula membandingkan dengan kesah Abang Pisah. Abang Pisah dalam pengalamannya dahulu menaiki talam terbang. Orang buniyan tempat Abang Pisah kunjungi, menggunakan kenderaan talam terbang. Ini barangkali tentulah kerana mereka adalah golongan rakyat biasa.Jadi kenderaan mereka tentulah tidak sehebat dan secanggih kenderaan Tengku Puteri Normala dari darjat raja. Tentulah jauh bezanya.
`Cikgu pun nanti, bila Mala akan membawa Cikgu ke tempatnya, Cikgu akan dijemput dengan kereta kuda terbang’
Wow! Aku terjerit. Anak-anakku memandang kepadaku dengan wajah cukup ceria dan seronok.
`Betulkah, Along?’, aku memohon kepastian.
`Mala beritahu begitu’
`Saya seorang sahajakah?’
`Semua sekali, Cikgu. Akak, Kak Long, Kak Ngah dan Kak De serta adik!’, Along berkata dengan yakin.
Bila maklumat itu disampaikan, anak-anakku nampak cukup ceria dan gembira. Berseri-seri wajah mereka. Naik kereta kuda terbang, siapalah yang tak mahu! Kesah-kesah sedemikian cuma ada di dalam kesah fantasi, kesah dewa-dewi zaman antah berantah, kesah alam kayangan pada zaman dahulu kala.Kini semua kesah-kesah itu hanyalah dianggap sebagai kesah dongeng.
Tapi apakah benar kesah sedemikian adalah suatu realiti di alam tempat kediaman Tengku Puteri Normala? Apakah ianya akan benar-benar menjadi realiti untuk aku sekeluarga nanti?
Entahlah.


06 Oktober 2009

28.
TENGKU PUTERI NORMALA.

Tok Lat meminta aku sendiri sahaja yang pergi untuk berkenalan dengan titisan Iskandar Zulkarnaen. Aku sebenarnya berasa hairan juga kerana sudah beberapa kali, Tok Lat tidak pernah dapat bersamaku dalam perjalanan seperti ini. Sudah beberapa kali perancangan telah dibuat atau dijanjikan olehnya untuk bersama kemana-mana sebelum ini, tetapi tidak pernah lagi terlaksana. Berbeza dengan Tok Penghulu Malim, berbeza dengan Do Din, berbeza dengan Bakar, berbeza dengan Tok Empat Zanum dan Aziz atau Haji Rahim yang Tok Lat dapat pergi bersama-sama mereka. Dengan aku dan isteriku, entah mengapa Tok Lat belum pernah lagi berkesempatan. Entahlah. Dan...aku memang agak kecewa.
Dengan aku sentiasa sahaja ada aral; aral dari Tok Lat, sehingga aku yang dahagakan pengalaman-pengalaman misteri, sentiasa sekadar mendengar cerita-ceritanya sahaja dari orang-orang lain atau dari Tok Lat sendiri. Cerita-cerita mengenai mereka yang pernah dibawa oleh Tok Lat untuk bertemu dengan beberapa nama-nama orang lama yang besar dalam sejarah , atau orang-orang yang aneh dan memiliki keajaiban.
Hairan juga aku memikirkannya, kenapa aku sentiasa sahaja terlepas peluang? Isteriku pun sama. Dia terkilan juga. Kami berdua sebenarnya memang tersangat ingin untuk mengalami suasana pergi ke mana-mana bersama Tok Lat untuk mengalami sendiri pengalaman misteri.
Aku pada mulanya menyangka akan masuk ke dalam sebuah hutan atau mendaki gunung untuk bertemu dengan titisan Iskandar Zulkarnaen tersebut, tetapi amatlah menakjubkan, titisan yang kucari itu tidak tinggal di dalam hutan atau di dalam gua atau di puncak gunung, tetapi sebaliknya tinggal di sebuah kampung iaitu di Kampung Geliga, Kemaman, Terengganu.
Tok Lat telah menyerahkan sekeping kertas A4 kepadaku dan di situ siap tertulis namanya, nama bapanya dan nama ibunya. Namanya ialah TENGKU PUTERI NORMALA INDERA KAYANGAN BINTI ZAINUN YANG KETUJUH. Aku kehairanan juga bila menatap nama yang sedikit ganjil tersebut dan siap pula dengan nombor telefon rumahnya.Tok Lat berpesan, sebelum pergi mengunjungi rumah di alamat berkenaan, aku diminta menghubungi melalui telefon terlebih dahulu.Itulah pesanan untukku.
Setelah memberi salam kepadanya melalui telefon rumahnya, aku lalu berkata:
`Bolehkah saya bercakap dengan Tengku Puteri Normala Indera Kayangan binti Zainun Yang Ketujuh?’, aku meminta keizinan dari suara di hujung gagang.Siap aku baca pada kertas A4 tersebut, nama yang panjang dan aneh itu kerana tidak sempat menghafalnya.
`Siapa ini?’, aku ditanyai oleh satu suara perempuan.
`Saya diminta menghubungi Tengku Puteri Normala melalui telefon’
`Kenapa?’
`Saya diminta mengunjungi rumahnya. Tetapi sebelum saya dibenarkan pergi berkunjung, saya diminta menghubunginya terlebih dahulu melalui telefon’
`Siapa ini?’, aku didesak lagi supaya memperkenalkan diri.
Aku memberitahu namaku dan di mana aku tinggal.
`Siapa yang suruh?’
`Tok Lat’
Suara di hujung gagang diam sebentar.
`Siapa?’,aku ditanyai lagi.
`Tok Lat! Tak kenalkah?’
Suara di hujung talian terdiam lagi.Aku lantas mendesak bagaikan tidak ada kesabaran.
`Bolehkah saya bercakap dengan Tengku Puteri Normala?’
`Ooo. Mala’, suara perempuan itu diam sejurus.`Mala tak ada’.
`Habis dengan siapa saya bercakap sekarang?’
`Dengan kembar dia’.
`Kembar dia?’, aku terkejut.`Kalau begitu bagaimana saya boleh bertemu dengan Tengku Puteri?’
Persoalan yang aku kemukakan itu mendorong munculnya satu temujanji. Lalu aku bersama isteri dan anak-anak bertandang pada suatu hujung minggu ke rumah yang alamat lengkap telah diberikan. Tidak susah mencarinya kerana rumahnya di tepi jalan menuju ke Kuala Kemaman. Kami dipersilakan masuk oleh seseorang yang membahasakan dirinya Along. Along ketika itu ditemani oleh adik-adiknya yang masih di sekolah rendah sementara ibunya berjualan kueh di pasar Kemaman.
Along lantas menerangkan latar diri dan keluaranya. Dia adalah anak sulung yang dilahirkan kembar bersama adiknya. Adiknya telah dibawa ke alam lain dengan izin ibunya dan kini telah berumahtangga dan memiliki beberapa orang anak. Ayahnya telah meninggal dunia sejak beberapa tahun yang lalu. Ayahnya adalah seorang pengamal Tasauf dan olehkerana itu Along banyak bercerita mengenai kesah hidupnya diselang-selikan dengan huraian Tasauf. Mengejutkanku kerana Along masih belum berumahtangga walaupun usianya telah melebihi tiga puluh tahun. Secara rengkas dia menggambarkan dia adalah mangsa penipuan seorang lelaki dan inilah yang menghancurkan nama baiknya.
`Lambatlah lagi Cikgu untuk bertemu dengan Mala’, Along memberitahu bila aku tidak sabar-sabar lagi untuk mengetahui dan berkenalan dengan Tengku Puteri tersebut.
`Sekarang musim orang pergi menunaikan fardhu haji telah tiba.Mala akan bertolak ke Mekah, Cikgu.Jadi lepas musim hajilah baharu boleh berjumpa’.
`Lambatnya...Siapa yang cakap begitu?’
`Mala sendirilah! Dia yang memberitahu Along begitu’
`Bila dia bertolak?’
`Tak lama lagi.Melalui penerbangan pertama’
`Penerbangan pertama?’, aku terkejut.` Dia pergi ke Mekah naik apa?’, aku tersangat ingin mengetahui bagaimana kembar Along yang berada di alam lain pergi ke Mekah.
`Naik kapal terbang!’
`Kapal terbang?’, aku semakin terkejut.
`Kapal terbang apa?’, isteriku pun terkejut juga. Sangkaan kami tentulah dia akan naik kapal terbang di alam ghaib.
`Kapal terbang MAS’
`Ha?’
Aku dengan isteriku berpandangan.Keliru juga pemikiranku.
`Jadi Tengku Puteri tinggal di mana?’
`Di Bukit Puteri’
`Di Kuala Terengganu?’
Along mengangguk. Aku cuba memikir-mikir. Bukit Puteri adalah satu kawasan di atas bukit menghadap laut. Aku memang tahu tempat itu. Walaupun tidak pernah mendaki ke puncaknya, tapi aku selalu lalu-lalang dengan kereta di hadapannya. Tiba-tiba timbul satu ilham.
`Kalau Tengku Puteri tinggal di Bukit Puteri, apa salahnya kalau saya pergi sahaja ke Kuala Terengganu sekarang, dan terus sahaja boleh bertemu dengannya?’
`Ooo. Tak boleh begitu, Cikgu!’
`Kenapa?’
`Sebab Mala tidak boleh dilihat oleh manusia biasa’
Aku bersama isteri terus bertambah keliru.
`Jadi kalau tidak boleh dilihat oleh orang biasa, bagaimana dia naik kapal terbang?’, isteriku cuba memerangkap Along.
`Sedangkan orang lain tak nampak dia...’, tambahku pula.
`Dia boleh zahirkanlah dirinya, Cikgu.Nampaklah dia sebagai seorang orang biasa’
Kami terdiam sekarang. Bila mendengar maklumat itu, aku teringat kesah kakak dua pupuku yang aku panggil Abang Pisah. Ketika dia akan melahirkan anaknya yang pertama dia mendapat alamat bahawa anaknya akan diambil oleh orang buniyan. Dia diminta supaya memberikan keizinan, tetapi Abang Pisah tidak sekali-kali mengizinkannya. Dan bila sampai masa bersalin, Abang Pisah rasa cukup kecewa kerana dia bersalin di dalam mimpi. Bila dia bangun pada waktu pagi, dia mendapati kandungannya memang telah tiada.
Malamnya Abang Pisah diberi alamat, bahawa anaknya adalah seorang lelaki dan selamat berada dalam jagaan sepasang suami isteri dan dijadikan anak angkat keluarga bunian tersebut.
Kesah Abang Pisah kehilangan anak diambil bunian menjadi kesah yang menjadi bualan pada tahun 1960an dahulu di Lubuk Paku. Walaupun demikian, hubungan Abang Pisah dengan anaknya tidak putus. Dia selalu bertemu di dalam mimpi.Apabila anaknya telah berusia kira-kira lima tahun, berlakulah satu sejarah baru. Ibu bapa angkat bersama anaknya telah menzahirkan diri semasa berkunjung ke rumah Abang Pisah. Suami Abang Pisah yang bernama Long Derani, pada mulanya dapat melihat dan berinteraksi dengan mereka tetapi setelah beberapa pertemuan, dia bercakap celupar, melahirkan rasa geram dengan kecantikan orang buniyan. Sejak itu dia tidak lagi boleh melihat kehadiran keluarga angkat anaknya.
Pada masa-masa tertentu, Abang Pisah selalu mendapat ole-ole pemberian dari ibu bapa angkat anaknya.Kadang-kadang buah-buahan disangkutkan di hujung bendul walhal pada ketika itu bukan musim buah-buahan. Kadang-kadang ikan sungai. Kadang-kadang sayur-mayur.
Aku pernah bertanya kepada Abang Pisah mengenai anaknya sewaktu Abang Pisah berkunjung ke rumah ibuku setelah lebih sepuluh tahun tidak bertemu. Abang Pisah memberitahuku, anaknya pada waktu itu sedang belajar di Kuliah Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan.
Suatu waktu, ibu dan bapa angkat anaknya mempelawa Abang Pisah berkunjung ke kampung bunian mereka. Abang Pisah menceritakan kepadaku dia berjalan kaki menghulu Sungai Pahang dan bila sampai ke Tanjung Datuk, dia melihat sendiri ada sebuah jambatan merentasi Sungai Pahang. Berjalanlah mereka menyeberangi Sungai Pahang tersebut, kerana di seberang sanalah terletaknya perkampungan bunian.
Selama tiga hari tiga malam orang-orang kampung menjadi ribut dan gempar kerana kehilangan Abang Pisah.Mereka berusaha menggunakan perkhidmatan beberapa orang bomoh untuk mengesan di mana Abang Pisah berada, tetapi tidak berjaya. Abang Pisah yang berada di kampung bunian, sebaliknya dilayan dengan penuh selesa oleh keluarga angkat anaknya.
Pada suatu petang Jumaat, Abang Pisah tiba-tiba kehairanan mendapati ada di kalangan orang-orang bunian mengumpulkan dalam kuantiti yang banyak pelbagai hasilan kampung terutamanya pisang, jantung pisang, ulam-ulaman, lada, buah labu, kundur, ubi dan keledek. Lalu dia bertanya kepada mereka mahu buat apa dengan buah pisang yang banyak ini?
`Nak jual’, jawab mereka.
`Jual ke mana?’
`Pekan sehari’
Abang Pisah terkejut juga kerana mendapati orang bunian juga ada konsep pekan sehari sebagaimana manusia biasa. Lalu dia bertanya lagi kerana tergerak di hatinya ingin juga pergi sama, melihat pekan sehari orang buniyan.
`Di mana pekan sehari itu?’
`Di Maran!’
`Maran?’, Abang Pisah keliru apabila nama Maran disebut.
`Maran yang mana?’
Orang-orang buniyan tersebut tersenyum, lantas menerangkan bahawa Maran yang dimaksudkan ialah bandar Maran yang letaknya sejauh kira-kira 15 kilometer dari Lubuk Paku. Bandar Maran letaknya di antara bandar Kuantan ke Temerloh menuju ke Kuala Lumpur.
Pada suatu malam ibu dan bapa angkat anaknya ada keperluan untuk mendapatkan rebana bagi satu keperluan perubatan. Rebana tersebut cuma dapat diperolehi di kampung orang bunian di Paloh Hinai. Jadi mereka terpaksalah pergi ke Paluh Hinai. Abang Pisah dipelawa untuk ikut serta.
`Nak pergi dengan apa?’, Abang Pisah bertanya. Dia menyangkakan tentulah pergi dengan bot atau perahu kerana tidak ada jalan raya yang memungkinkan mereka naik kereta.
Mereka mengajak Abang Pisah supaya mengikut mereka menuju ke satu tempat lapang. Bila sampai, ada sebiji talam yang besar terhampar di atas tanah.Ibu dan bapa angkat anaknya terus masuk ke dalam talam itu.
`Baca selawat nabi tiga kali’, Abang Pisah diperintahkan sebelum naik ke dalam talam itu.Lalu Abang Pisah membaca selawat dan selepas itu dengan bismillahirrahmanirrahim dia melangkah masuk ke dalam talam itu.
Dia sedikit tertanya-tanya dan ternanti-nanti apa yang akan berlaku. Alangkah terkejutnya Abang Pisah, sejurus kemudian talam itu terangkat ke udara dengan sendirinya. Tidak ada sebarang enjin yang dihidupkan. Tidak kelihatan pula adakah sesiapa atau apa-apa kuasa yang menggerakkannya. Talam itu naik semakin tinggi dan bila sampai ke atas pucuk pohon-pohon kayu rimba, lalu bergeraklah ke arah hadapan menghiliri Sungai Pahang untuk perjalanan ke Paluh Hinai yang jauhnya kira-kira 60 kilometer.
`Abang nampak dengan jelas dalam terang bulan rumah orang-orang kampung. Abang tahu juga bahawa abang telah menempuh Kampung Melayu, Kampung Sungai Duri, Kampung Salong, Mambang dan seterusnya sehinggalah sampai ke Paluh Hinai’, Abang Pisah menceritakan pengalaman ajaib itu. Aku, adik-adikku dan abangku mendengar dengan terpegun. Begitulah juga emak dan ayah.
`Bila talam terbang itu mahu berhenti, ia rupa-rupanya tak ada brek’, Abang Pisah menyambung ceritanya dengan diikuti sedikit ketawa kecil geli hati. `Rupa-rupanya ia langgar sahaja kepada rumah yang hendak dituju. Berdegum bunyinya. Terkejut juga, abang. Lepas itu baharulah turun ke bawah’
`Tak rasa takut?’, aku menyoal kerana maklumlah berdiri di atas talam, dalam udara terbuka. Tak ada dinding dan tak ada pula tempat berpegang.
`Tak!’, jawabnya.`Seronok! Cuma bila nak berhenti saja, cemas sedikit’.
Bila upacara perubatan di kampung buniyan telah selesai, baharulah Abang Pisah dihantar kembali ke rumahnya.Semua orang kampung terkejut kerana tiba-tiba sahaja Abang Pisah pulang. Pulangnya tidak pula disedari sebagaimana perginya tidak diketahui. Apa pun semua orang gembira dan seronok. Seronok kerana Abang Pisah telah selamat kembali, dan seronok pula mendengar kesahnya yang pelik tetapi benar itu.
Apakah Tengku Puteri Normala juga spesis yang sama seperti anak Abang Pisah yang dibela oleh ibu bapa angkat orang buniyan? Jika berdasarkan kesah Abang Pisah itu, apakah tidak mungkin Tengku Puteri Normala juga berada di dalam alam bunian?
Mungkin!

03 Oktober 2009

27.

BATU PURBA KOTA GELANGGI.

Sejak perbualan panjang lebar di rumahku tempoh hari, aku menjadi cukup akrab dengan Norizan. Aku diserahkannya beberapa ayat untuk diamalkan bagi membolehkan Puteri Mahsuri dan suaminya menzahirkan diri mereka di hadapanku. Ayat-ayat tersebut adalah ayat yang diberikan oleh Puteri Mahsuri kepada Norizan untuk aku amalkan.
Semakin lama, kami menjadi semakin akrab, lebih-lebih lagi apabila Norizan memberitahuku fungsinya adalah membantuku sehingga semuanya menjadi kenyataan.
`Saya hanya bantu Cikgu sahaja’, dia menjelaskan.`Tapi sungguhpun begitu, bila berlaku peperangan, saya pun akan berperang juga’.
Aku kehairanan dengan penerangannya itu. Bagaimana pemuda cacat ini mahu berperang sedangkan berjalan pun mengeliat?
`Saya pun pandai bersilat juga’, dia meyakinkanku bila aku menampakkan keraguan.
`Awak belajar dengan siapa?’
`Dengan Panglima Hijau’.
`Panglima Hijau di Gunung Jerai?’
`Ya! Cikgu kenal dia?’
Aku tidak menjawab.Bila aku tidak menjawab, Norizan tiba-tiba ketawa mengelekek seperti selalunya. Aku bagaikan dapat mengesan tertawanya penuh dengan makna kerahsiaan.
Suatu hari kami berjalan di bandar untuk satu keperluan. Norizan membawa aku berjalan sehingga sampai ke sebuah gerai yang menjual buah-buahan. Norizan tiba-tiba kulihat menyapa seorang penjual buah – seorang wanita. Bagaikan mereka sudah lama berkenalan sebelum ini. Aku tidak mencampuri urusan mereka. Sebelum kami beredar pergi, tiba-tiba perempuan itu mendekatiku. Dia memberitahuku.
`Saya hairan dengan dia ini’.
`Kenapa?’, aku bertanya.
`Bagaimana dia tahu rahsia saya?’
`Rahsia? Rahsia apa?’, aku cuba mencungkil
`Rahsia pencak’
`Rahsia pencak?’
`Saya pernah dibawa melalui mimpi ke Gunung Jerai. Saya diajar bersilat’, perempuan itu menerangkan rahsianya. `Yang menghairankan saya, bagaimana dia tahu saya belajar bersilat di Gunung Jerai?’.
Aku untuk kesekian kalinya menjadi takjub dengan Norizan yang boleh mengetahui rahsia seseorang. Aku cuba mencungkil lebih jauh, lalu aku bertanya kepada perempuan penjual buah yang dalam lengkongan usia awal empat puluhan itu.
`Sejak bila awak kenal Norizan?’
`Baru beberapa bulan kebelakangan ini’, wanita itu menjawab.`Dia bukan sahaja kenal saya, tapi dia tahu juga saya tinggal di mana’
Maklumat yang diberikan oleh penjual buah-buahan itu menjadikan aku semakin tertarik untuk mengetahui rahsia dirinya. Lalu akan mengemukakan beberapa soalan. Norizan di sebelahku berdiri memerhatikan kami sambil tersenyum-senyum.Perempuan itu memberitahuku, bahawa pada usia dia di sekitar dua puluhan dahulu, dia memang memperolehi seni pencak melalui mimpi. Tapi itu adalah rahsia dirinya yang tidak dipecahkan kepada sesiapa jua. Dia belajar dari Panglima Hijau dan beberapa orang panglima yang lain sehingga tamat. Dia tidak tahu di mana lokasi yang tepat tempat dia belajar, tetapi yang dia pasti ialah di Gunung Jerai.Bila menyebut Gunung Jerai dan Panglima Hijau aku menjadi semakin faham mengenai rangkaian pertalian persilatan mereka berdua dan perkaitan dengan aku sendiri juga.
Sejak menyakini Norizan adalah pembantuku, aku sering membawanya ke sana ke mari terutama untuk urusan mendapatkan Quran lama yang diperintah oleh Tok Lat.Aku perlu mendapatkan Quran tersebut kerana selagi belum mendapatnya, selagi itulah aku tidak boleh menerima ilmu Tok Lat.

Atas urusan ini, aku telah diperkenalkan oleh Norizan dengan ramai lagi ahli-ahli Tasauf. Aku hairan memikirkan bagaimana dia yang hanya duduk memerap di pusat latihan orang-orang cacat di Sungai Serampang, tiba-tiba boleh tahu dan ingat dengan begitu jelas semua jalan, lorong dan simpang kanan dan kiri, menuju ke rumah orang-orang berkenaan dengan tidak silap samasekali. Bukan hanya di satu tempat, tetapi di beberapa tempat yang berbeza-beza. Di antaranya terletak di kawasan-kawasan perumahan yang aku sendiri pun tidak pernah pergi. Tapi kenapa dia begitu mudah mencarinya tanpa tersasul?
Aku hairan juga kerana Norizan bukan sahaja kenal, tapi cukup mesra dengan mereka semua. Bukan dengan si suaminya sahaja, tetapi bahkan dengan isteri dan anak-anak mereka. Bagaikan dia telah acapkali benar menziarahi mereka. Kalau benar, bila dan bagaimana? Bila dia pergi? Bagaimana dia pergi dan dengan siapa? Sedangkan Norizan adalah pemuda cacat, seorang penghuni cacat di sebuah pusat pemulihan orang-orang cacat yang keluar-masuknya bukanlah begitu bebas? Hairan!
Salah seorang kenalan Tasauf yang cukup mesra dengan Norizan ialah Abang Usop. Dalam usaha mendapatkan naskah Quran cetakan lama tersebut, pada suatu ketika musim banjir, aku pernah mengharungi jalan yang ampuh oleh air banjir sedalam satu hingga dua kaki, mengharung dengan kereta sejauh kira-kira 500 meter untuk sampai ke Tanjung Perak kerana dijangka pada Abang Usop ada Quran lama. Abang Usop mendakwa dia adalah titisan darah pahlawan Dato Bahaman. Aku mendapati Norizan sudah teramat akrab dengan keluarga Abang Usop, dan mereka anak-beranak sangat meraikan ketibaannya.
Terpegun juga aku melihat sambutan mesra yang mereka berikan terhadapnya.
Pada Abang Usop, Norizan mencadangkan supaya aku bertanyakan suatu makna dari mimpiku berkaitan dengan peristiwa dengan Tok Lat. Mimpi tersebut tidak kubukakan kepada Tok Lat. Norizan telah mentafsirkannya, tetapi dia mencadangkan supaya aku bertanya kepada Abang Usop kerana dia lebih tinggi Tasaufnya.Ditafsirkan oleh Abang Usop bahawa dari Tok Lat aku memang bertuah kerana akan memperolehi dua bahagian ilmu iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Tafsiran Abang Usop menjadikan aku semakin bahagia rasanya berdampingan dengan Tok Lat.
Bila aku menyatakan hasratku untuk mendapatkan Quran lama, ibu Abang Usop tiba-tiba mahu menyelidik mengenai mimpiku.Lalu aku menyebutkan beberapa petua dari mimpi iaitu mengenai kalimah-kalimah tertentu yang tidak tertulis di dalam lembaran. Aku tidak pasti, apakah tujuan dia menyelidik begitu, tetapi pada akhirnya dia berkata:
`Memang Mak Cik pernah mendengar kalimah seperti itu dan letaknya pun memang begitu’, dia meyakinkanku.
`Kami memang ada menyimpan Quran itu’ ibu Pak Usop bekata lagi.`Tapi entah berapa tahun yang lalu, tiba-tiba ada orang datang meminjam. Janji nak pinjam sebentar sahaja, tapi sampai sekarang tidak dipulangkan. Kami pun sudah lupa siapa orangnya’.
Aku cukup kecewa dengan berita itu.
Aku memang keletihan dalam usaha mendapatkan Quran lama tersebut. Aku pernah menggeledah surau di Makam Tegak tidak jauh dari rumah tok kepada isteriku. Pernah juga bertanya kepada beberapa orang pengamal Tasauf lain termasuk Tok Penghulu Malim. Tetapi semuanya menghampakan.
Ajaibnya, Quran yang dicari pada akhirnya aku dapati dari Tok Empat Zanum. Bila aku mendapati hanya Tok Empat Zanum sahajalah yang menyimpan Quran naskah lama tersebut, baharulah aku tahu kenapa nama Tok Empat Zanum selalu disebut-sebutkan oleh Tok Lat di hadapanku beberapa bulan yang lalu. Nama itu sering dibesar-besarkan di hadapanku.Rupa-rupanya adalah untuk membuka ghairah aku supaya pergi ke rumah Tok Empat Zanum dan melaluinya aku dipertemukan pula dengan Norizan yang memang diberikan tugas khusus terhadapku. Begitulah kesimpulanku apabila bagaikan dapat mencium rancangan Tok Lat.
Kesah bagaimana Tok Empat Zanum memperoleh naskah lama itu pun unik juga. Tok Empat Zanum menerangkan, Quran berkenaan sampai ke tangannya melalui suatu alamat yang mengisyaratkan supaya dia pergi ke masjid lama Sungai Serampang. Lantas dia pergi dan memang benar dia mendapati ada naskah Quran berkenaan yang letaknya sedikit tersisih dari naskah-naskah yang lain.
Bila aku menatap naskah Quran itu, membuka lembaran-lembarannya, aku menjadi terpegun juga kerana mendapati Quran tersebut memang memiliki kelainan dari segi grafik dan dekorasinya berbanding dengan Quran cetakan baru. Beberapa huruf dan kalimat tertentu yang banyak juga jumlahnya, dicetak dengan warna merah. Tentulah ada rahsianya di sebalik huruf dan ayat-ayat berwarna merah itu. Begitu juga ada banyak tanda-tanda merah yang dilakar oleh orang-orang yang mentalaahnya sebelum ini, atau oleh Tok Empat Zanum sendiri, pada tempat-tempat tertentu, yang tentunya ada rahsia-rahsia tertentu yang aku tidak ketahui sama sekali.
Pada kulit tebal bahagian dalam yang kosong tertulis tulisan jawi: Laillahailllah: Ahmad Rasul Allah: Allah Tolong Muhammad Tolong. Ada cop Pejabat Agama 14 Wataniah: -/H200 Moyang 15 April 1977.
Ada nama Moyang di situ.Moyangkah yang menjadi pemiliknya? Moyang ialah Tok Gajah! Itu aku sudah pasti.Ertinya Tok Lat telah merancang pertemuan aku dengan Norizan melalui Tok Empat Zanum, untuk mendapatkan Quran cetakan lama milik Moyang melalui Tok Empat Zanum?
Bila Quran lama sudah berada di tanganku, datanglah Tok Lat ke rumahku, lalu meminta aku menghapal sejumlah ayat-ayat tertentu dari naskah tersebut pada lembaran-lembaran tertentu, dan ditambah dengan sebahagian dari ayatnya sendiri. Apabila semua ayat-ayat berkenaan telah diserahkan, maka Tok Lat pun berkata kepadaku:
`Cikgu hafallah ayat-ayat ini dan jadikan wirid lepas sembahyang Subuh dan Maghrib’
`Panjang sangat Tok’, aku bagaikan memprotes kerana wirid yang telah sedia aku amalkan telah agak panjang.
`Jangan campurkan wirid Tok dengan wirid yang lain’
`Maksud Tok?
`Tinggalkan dulu wirid yang lain’
Pada masa yang lain Tok Lat memberikan kenyataan berikut kepadaku bersempena dengan kurniaan ayat-ayat tersebut dan ayat-ayat yang lain sebelum ini:
`Sekarang, ibarat sudah sampai di penghujung jambatan, Cikgu. Sudah suntuk. Sudah, tak boleh nak pergi lagi’
Kenyataan Tok Lat tersebut berpunca daripada kenyataan Tok Ayah Sohor kepadaku yang aku laporkan kepada Tok Lat.
`Awak ini, ayah tengok berada pada maqam keempat atau maqam kelima’
Tok Lat cukup gembira dengan maklumat mengenai makam diriku dari Tok Ayah Sohor itu.
`Cukuplah itu Cikgu’, Tok Lat berkata. `Tok senang dengan makam Cikgu itu.Tok tengok makam Cikgu meningkat dengan baik’
`Apa beza tingkat empat dengan tingkat lima tok?’, aku mahu mencungkil dengan lebih jelas rahsia makam hati dan nafsu yang ada tujuh tingkat kesemuanya.
`Cikgu tak usah berfikir begitu’, Tok Lat bersuara pantas bagaikan membantah.
`Tapi saya mengharapkan, kalau boleh, mahu sampai kepada tingkat ketujuh, tok’, aku bagaikan tidak berpuas hati dengan jawapan Tok Lat itu.
`Tingkat yang di atas akan datang dengan sendirinya, Cikgu’, Tok Lat menerangkan.`Ada orang, ilmunya meningkat, tetapi hatinya tidak meningkat.
Ada pula orang, hatinya meningkat, tapi ilmu pula tidak meningkat. Dia tak dapat ilmu. Tapi bagi Cikgu, tok lihat, sama-sama naik. Hati dan ilmu sama-sama meningkat’
Aku rasa gembira dengan penjelasannya itu, tapi masih juga belum begitu berpuas hati. Tok Lat barangkali menyedarinya, lalu dia berkata lagi.
`Makam empat dan lima, Cikgu, adalah makam untuk hidup bergaul dengan orang ramai.Macam toklah. Tok hidup sebagai orang biasa. Bila kita sampai kepada makam ketujuh, kita akan diberi pilihan samada untuk kekal atau kembali semula kepada makam kempat atau kelima. Tok Ayah Sohor memilih untuk kekal dengan makam keenam dan ketujuh, sebab itulah dia duduk begitu. Tok tak mahu duduk begitu.Tok suka bercampur dan bergaul dengan orang ramai. Sebab itulah tok turun semula kepada makam keempat’.
`Bila turun kepada tingkat empat, adakah turun darjat, tok?’
`Tidak, Cikgu! Makam yang kita telah sampai tetap kekal’.
Aku berpuas hati dengan penerangan dari Tok Lat itu.
Melalui Norizan juga, baharulah aku tahu bahawa selain Tok Lat dan Tok Ayah Sohor ada beberapa nama lagi yang terdiri dari orang-orang yang mati pada martabat makrifat. Di antara mereka ada yang telah aku kenali dan ada juga yang tidak aku kenali. Norizan memberikan cadangan supaya aku mengenali mereka apabila ada kelapangan.
Melalui maklumat Norizan tersebut tahulah juga aku, bahawa sesungguhnya ada satu jumlah yang agak mengejutkan, dari orang-orang yang aku kenali yang telah menempuh mati makrifat. Antara yang disebutkan yang aku kenali dengan rapat ialah Pak Him iaitu kawan karib Tok Lat sejak sekian lama – sejak puluhan tahun!
Termasuk juga Pak Tam yang menjadi bomoh terkenal di Pendang, Kedah. Termasuk juga Haji Abas, pakar membuat sarung parang dan keris. Termasuk juga Anjang suami isteri yang mengajar pencak silat.
Dengan Norizan kami pernah diperintahkan oleh Tok Lat masuk ke Gua Kota Gelangi, Jerantut atas satu tugas khas. Ini ekoran dari satu mimpi berkaitan dengan sebuah mahkota. Kebetulan kami pergi bukan pada waktu lawatan, dan oleh kerana itu tidak ada petugas yang akan membantu kami. Tetapi, dengan tidak diduga, pekerja yang menjaga tempat bersejarah berkenaan, tiba-tiba kasihan kepada kami berdua, lalu bersetuju membenarkan kami. Jadi dapatlah kami berdua menggeledah gua itu.
Bayangkanlah betapa sukarnya aku memimpin Norizan yang berjalan megeliat, meniti jalan berbatu yang kalau tersilap akan jatuh tersadung! Aku bagaikan terpaksa mendukung dan memapahnya beberapa kali pada beberapa tempat yang kritikal. Aku bersama Norizan berjaya menjelajah sampai ke penghujung trek dan membawa pulang empat ketul batu pada lokasi yang dipetakan oleh Tok Lat. Aku tidak tahu apa gunanya tapi dua biji darinya, diserahkan kepada Tok Lat sementara yang dua buah lagi aku menyimpannya.
`Dulu Mat Kilau sudah diminta mengambilnya, tapi dia tidak berjaya, Cikgu’, Norizan memberitahuku.`Begitu juga Dato Bahaman dan Tok Gajah’
Aku sendiri pun pada mulanya gagal juga.Kami gagal pada minggu sebelumnya. Setelah hampir separuh perjalanan, kami terpaksa berpatah balik, apabila Norizan meminta berbuat demikian kerana bertemu dengan benda sial. Ada sebuah lori yang penuh dengan khinzir berada di hadapan kami.Bila kami pulang dan melaporkan kepada Tok Lat dia nampak kesal juga tapi tidak komen apa-apa, tetapi meminta kami mencuba sekali lagi pada minggu hadapan.
Ketika di gua tesebut, aku sebenarnya teringin untuk mengambil lebih dari empat ketul batu yang terletak bagaikan di bawah sebuah pintu gerbang, tapi pada ketika itulah Norizan mengingatkan.
`Jangan tamak Cikgu! Jangan tamak! Jangan ambil orang punya!’
Demikianlah di antara keistimewaan Norizan. Keistimewaannya itulah yang menyebabkan Tok Lat memberitahuku, bahawa Norizan itu nampak sahaja cacat, tetapi sebenarnya tidak!
`Tok Lat dan Tok Ayah Sohor penting bagi Cikgu’ , demikian Norizan berpesan dengan bersungguh-sungguh kepadaku apabila aku mendapat arahan bertukar, bertugas di tempat lain sejauh kira-kira 250 kilometer dari tempat bertugas sekarang. Aku memberitahunya bahawa aku hanya akan pindah sendirian sahaja kerana mahu memastikan anak-anakku selesa belajar bagi membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
`Cikgu mesti berhati-hati’, Norizan mengingatkan. `Ada ujian Cikgu. Ada ujian untuk Cikgu. Cikgu akan mendapat ujian yang sangat berat. Perempuan cantik Cikgu. Perempuan cantik...’.
Norizan mengingatkan berkali-kali kepadaku mengenai cubaan-cubaan yang bakal menanti.
`Tapi Cikgu jangan risau.Walaupun Cikgu berada jauh dari isteri dan anak-anak, Cikgu nanti boleh terbang pulang untuk melihat isteri dan anak-anak.....’
Aku terkebil-kebil mendengar penegasannya samada mahu mempercayainya atau tidak.

30 September 2009

26.
ORANG CACAT TIDAK CACAT.

Pemuda yang cacat ini memang menakjubkan. Dia boleh menerangkan sesuatu yang tidak terfikirkan. Kadang-kadang rahsia diri kita dia boleh bocorkan. Ketakjuban kepadanya kerana membocorkan rahsia diriku mendorong aku membawanya ke rumah.
Pemuda cacat ini Norizan namanya. Cacatnya memang luar biasa. Bila dia berjalan, berjalannya bagaikan orang mengeliat. Dia akan mengatur kakinya melangkah panjang-panjang dan kemudiannya akan menarik kaki yang di belakang sambil badannya bagaikan berpusing.Bila dia berjalan, dia selalunya akan menarik perhatian ramai kerana keunikan gaya berjalannya. Untuk berkomunikasi pun agak susah. Mulut dan mukanya termasuk matanya akan bekerjasama untuk menzahirkan bicara.
Bicaranya bagaikan orang baru belajar bercakap dengan sebutannya yang lambat dan kurang jelas. Nada suaranya pula selalu di luar kawalan. Kadang-kadang terlalu kuat. Seseorang yang tidak biasa berkomunikasi dengannya akan terpaksa memintanya mengulang kalimat atau perkataan-perkataan tertentu untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas.
Aku menemuinya buat pertama kali apabila berkunjung ke rumah Tok Empat Zanum di Sungai Serampang. Aku begitu kepingin mengenali Tok Empat Zanum kerana Tok Lat selalu menyebut namanya di hadapanku. Tok Empat Zanum digambarkan oleh Tok Lat sebagai seorang yang garang dan mudah memusang (panas baran) di sebalik ilmu pertahanan dirinya yang tinggi. Tok Penghulu Malim juga sering bercerita di hadapan Tok Lat, bahawa dia selalu berdebat dengan Tok Empat Zanum mengenai beberapa isu tasauf dan ketuhanan. Walau pun sering berdebat dan bermuzakarah, mereka sebenarnya berkawan karib dan ada hubungan darah pula. Tok Penghulu Malim sebenarnya sedang berusaha mempengaruhi Tok Empat Zanum supaya berjinak-jinak dengan Tok Lat untuk mencapai kesudahan dalam ilmu ketuhanan.
Tertarik mendengar khabar kehebatan Tok Empat Zanum yang Tok Lat bagaikan sengaja menonjol-nonjolkan namanya, mendorongku bersama isteri pergi mencarinya di Sungai Serampang.
`Dia macam pengawal peribadi saya’, Tok Empat Zanum memberitahuku mengenai pemuda cacat yang sengaja dibiarkan berada di luar rumah, sedangkan kami berada di dalam rumah sambil bersembang.
Bila aku telah semakin erat dan kenal dengan Norizan, tahulah aku kenapa Tok Empat Zanum membawa Norizan pulang ke rumahnya untuk bertemu denganku. Rupa-rupanya Tok Empat Zanum mahu menggunakan kebolehan dan kepakaran Norizan untuk mengesan dan memahami diriku yang secara tiba-tiba sahaja datang ke rumahnya. Mungkin Tok Empat Zanum ada juga rasa curiga apabila ada seseorang memberitahunya ada tetamu sedang menanti di rumahnya. Tok Empat Zanum ketika itu sedang minum-minum di sebuah gerai di pekan kecil Serempang. Bila dia balik dia lantas mengambil Norizan yang tinggal di Rumah Kenangan iaitu tempat orang-orang cacat diberikan latihan kemahiran.

Pada hari kunjunganku itu, sewaktu ternanti-nanti mengharapkan Tok Empat Zanum pulang, tiba-tiba muncul dua orang lelaki dengan menaiki sebuah motorsikal scrambler . Seorang darinya kelihatan berbadan sangat tegap, kemas dan sasa. Yang seorang lagi pemuda cacat.
`Tok Empat tak ada’, aku memberitahu tetamu yang sampai secara tiba-tiba itu tanpa mengenali dialah rupa-rupanya Tok Empat Zanum yang kucari. Pertemuan itu menjadikan aku dengan Tok Empat Zanum memiliki keserasian. Tok Empat Zanum rupa-rupa memiliki khazanah pengalaman kerohanian yang memang menakjubkan.Sungguh! Dalam soal kemahiran pertahanan diri, dia bagaikan memiliki semuanya - zahir dan batin, masyaallah ....Rasa-rasanya Tok Penghulu Malim tidak mampu mengatasinya. Dalam soal ketuhanan....ya, barangkali inilah yang harus dia perlu berkenalan dengan Tok Lat kerana bila aku mengajukan pertanyaan untuk kefahaman, dia mengatakan itulah soalan yang paling susah sekali, soalan yang paling tinggi sekali.Kami terus menjadi begitu erat kerana memiliki persefahaman sehingga kami beranggapan abang-adik.
Setelah lebih satu bulan pertemuan di rumah Tok Empat Zanum, aku tiba-tiba dikejutkan bila pada suatu hari sedang berjalan di bandar, namaku diseru berkali-kali dari sebuah sudut tempat membaik pulih kasut. Aku lantas tertoleh ke belakang dan kelihatanlah seorang pemuda cacat sedang melambai-lambaikan tangannya kepadaku. Aku ingat-ingat lupa mengenainya. Sejurus berfikir baharulah aku teringat, inilah pemuda cacat yang kutemui di Sungai Serampang di rumah Tok Empat Zanum kira-kira hampir dua bulan yang lalu.
`Cikgu! Cikgu’, dia terjerit-jerit menyeru namaku dengan wajah ceria dan gembira.
Aku tertoleh ke arahnya.Dia ternyata teramat gembira bertemu denganku.Dan kelihatan begitu mesra pula.
`Saya ada perkara mahu bercakap dengan Cikgu!’
Kalimatnya yang keluar lambat-lambat dan satu-satu itu menyebabkan aku terpaksa berhenti berjalan untuk mendengar bicara seterusnya.Temannya yang sedang membaiki kasut tersenyum-senyum kepadaku. Norizan lantas memberitahuku, dia sejak beberapa malam akhir-akhir ini selalu berkunjung ke persekitaran rumahku. Dia memberitahuku, bahawa di Bukit Lindungan di hadapan rumahku itu ada orang buniyan Islam ingin berdampingan denganku. Mereka ada beberapa pemberian untukku termasuk buluh perindu yang perdunya ada di puncak bukit itu. Aku kaget dengan berita itu lantas bertanya bagaimana dia yang tinggal di pusat pemulihan orang-orang cacat di Sungai Serampang – sejauh lebih 40 kilometer, boleh pergi ke rumahku dengan wewenang.
`Saya boleh terbang, Cikgu’, begitu jawabnya.
`Terbang?’, aku tergamam.
`Pada waktu malam saya selalu terbang ke tempat Cikgu’
Wah! Aku lalu terpegun dengan kebolehannya. Nampak cacat tapi cacatkah dia? Badannya cacat, tapi tidak cacatkah diri batinnya? Aku kurang mengerti.Tok Penghulu Malim kata, bila badan fizikal cacat, ertinya cacatlah Quran pada diri. Tapi pemuda ini, nampaknya memiliki kebolehan menakjubkan!
`Kenapa pergi ke rumah saya?’
`Tok Lat suruh’
`Ha? Tok Lat suruh? Awak kenal Tok Lat?’
`Kenal’.
`Sejak bila?’
`Sudah lama. Saya belajar dengan dia. Saya ada mengambil ayat-ayat dari dia’
Aku terpegun lagi dengan maklumat darinya. Bagaimana dia belajar, sedangkan aku tidak pernah pun bertemu dengan dia sebelum ini.
`Bagaimana awak belajar dengan dia? Saya selalau ke rumah Tok Lat dan tak pernah tengok pun awak di sana?’, aku mohon penjelasan.
Dia lalu ketawa.
`Itu rahsia!’, dan dia terus ketawa.
`Tok Ayah Sohor kenal?’, aku cuba mencungkil pengalamannya yang lebih luas kerana bila kenal Tok Lat biasanya mestilah kenal Tok Ayah Sohor dan begitulah sebaliknya.
`Tak pernah jumpa.... Tapi saya tahu dia’
Anak muda yang bekerja membaik-pulih kasut itu lantas menerangkan kepadaku, supaya tak usah terkejut dengan pemuda cacat ini kerana dia memang luar biasa. Oleh keterpesonaan kepadanya, dan ada banyak perkara yang perlu aku selami darinya, aku lantas mempelawa Norizan ke rumahku supaya bicara kami lebih tertutup – terutama mengenai rahsia yang memang aku pendam dari sesiapa selain isteri, yang seolah-olah kepada Norizan bagaikan telah terbocor kesemuanya.
`Puteri Mahsuri mahu bersahabat dengan Cikgu’, Norizan memberitahuku sambil bersandar di kerusi ruang tamu rumahku.
`Siapa Puteri Mahsuri?’, aku bertanya.
`Dia memerintah kerajaan bunian di atas Bukit Lindungan’, Norizan menerangkan.`Di atas bukit ini ada dua buah kerajaan, Cikgu. Yang di tepi laut ialah orang buniyan kafir. Ada banyak patung emas di situ.Di bahagian sebelah sini ialah orang-orang Islam. Kalau selepas tengah malam, mereka mengaji Quran sampai pagi, Cikgu. Riuh-rendah bunyinya’
`Apa sebab Puteri Mahsuri mahu bersahabat dengan saya?’
`Sebab dia mahu bersama dengan Cikgu bila sampai masanya nanti’
`Masa apa?’, aku buat-buat bodoh. Norizan ketawa. Dia tahu aku buat-buat bodoh.
`Bila sampai masanya semua orang-orang buniyan akan turut di belakang Cikgu’, Norizan melanjutkan.`Sekarang orang-orang buniyan di atas bukit di sana sedang sibuk berlatih pencak. Mereka berpencak dan bermain senjata sehingga pagi.Bunyi gendang silat berkumandang sehingga siang. Orang-orang perempuan pula membaca al Quran sampai pagi’
Aku terkebil-kebil mendengar maklumat itu. Tahulah aku sekarang, bahawa kebangkitan Islam nanti akan disertai sama oleh seluruh tentera Allah baik yang nyata maupun yang ghaib. Tentera ghaib nampaknya sedang giat berlatih.
Kalau tentera ghaib sedang giat berlatih membuat persediaan, bagaimana pula dengan tentera zahir? Orang-orang Melayu yang majoritinya menganut fahaman sekular-materialis masih percaya kalau berlaku peperangan, pihak tentera sahajalah yang akan pergi berperang. Tenteralah yang akan berperang dengan menggunakan teknologi persenjataan seperti senapang, meriam, bom, kereta kebal, helicopter, kapal terbang, kapal selam, kapal perang dan sebagainya. Rakyat jelata mungkin tidak perlu ikut serta kerana peperangan adalah urusan ketenteraan semata-mata.
Aku tidak mempercayai begitu. Peperangan akhir zaman menurut hematku bukanlah perang ketenteraan semata-mata dan tidak pula bergantung kepada semata-mata teknologi moden. Kalau peperangan disebabkan perbalahan ideologi politik, atau ketidakpuashatian oleh ketidakadilan dalam sistem sosial dan ekonomi, aku percaya teknologi ketenteraan memang penting. Dan inilah faktor-faktor peperangan sejak kurun-kurun terakhir.
Tetapi peperangan yang bakal tiba adalah peperangan kebangkitan Islam, perang agama - peperangan agama antara semua pejuang Islam melawan kafir Yahudi dan seluruh pendukungnya. Ertinya bukan pertempuran pada peringkat ketenteraan semata-mata, tetapi rakyat biasa akan terlibat sama! Rakyat biasa yang beriman! Perang antara orang yang berjuang demi agama, melawan Yahudi dan puak anti agama! Inilah fisabilillah akhir zaman!
Justru, persiapan bukanlah semata-mata dari aspek teknologi. Tapi lebih dari itu. Di sinilah perlunya Islam yang sempurna - memperoleh Iman, Ihsan, Tauhid, Makrifat yang dikombinasikan kepada Jihad – integrasi dua kekuatan; jasmani – rohani, zahir dan batin bagi menefestasi kuasa spiritual Allah Rabbul Alamin. Inilah yang orang Melayu majoritinya tidak memilikinya, kerana sehingga kini, nampaknya masih sibuk siang malam mengabdi kepada kerja duniawi, mengumpul ringgit dan harta, memburu kecemerlangan fatamorgana, oleh keterpesonaan untuk membena tamadun sekular. Inilah kerjabuat Mulkan Jabbariyyan!
Orang-orang Melayu majoritinya masih tidak membuat sebarang persediaan untuk berperang secara spiritual yang rahsianya berada di dalam agama! Rahsianya di dalam al Quran dan telah diterjemahkan oleh para wali! Justru solat, zikir, wirid, tilawatul Quran, amalan-amalan kerohanian dan sebagainya adalah wasilah yang sangat utama bagi mendapat kasih-sayang dan redha Allah yang mudah-mudahan menghampirkan pertolonganNya kerana tanpa bantuan Allah Azzawajalla, umat muslimin tetap lemah walaupun memiliki seluruh kecangihan teknologi perang!
`Bila sampai masanya nanti, semuanya akan ikut Cikgu’, Norizan melanjutkan.
Aku menjadi cukup hairan bagaimana Norizan mendapat maklumat seperti ini. Bukan maklumat mengenai Puteri Mahsuri dan rakyat buniannya, tetapi maklumat mengenai diriku. Siapakah yang membocorkannya – membocorkan kesah kononnya aku akan mengepalai kebangkitan? Seakan-akan bayangan masa depan telah dipamerkan kepada Norizan walhal baharu inilah kali pertama dia berpeluang berkenalan denganku? Bagaimana dia boleh mengetahuinya?
`Cikgu juga jangan terkejut’, dia berkata seterusnya.`Bila sampai waktunya nanti, bila Cikgu balik ke rumah dari sesuatu perjalanan umpamanya, bila Cikgu sampai ke dalam rumah, Cikgu jangan terkejut melihat wang diletakkan di atas meja dan kerusi. Bukan seribu-dua tetapi berpuluh-puluh ribu sekali diletakkan’
`Untuk apa?’, aku kaget.
`Terserah kepada Cikgulah’, dan dia ketawa.
Aku tidak mahu mentafsirkan hatiku pada saat itu, apabila mendengar berita itu. Apakah aku gembira? Entahlah. Dalam sepanjang doaku, aku tidak pernah mendoakan untuk hidup kaya-raya. Tetapi sehingga ke saat sekarang, begitu banyak dibukakan jalan kekayaan untukku. Apakah kekayaan adalah suatu yang meyeronokkan? Memanglah! Tetapi kekayaan juga adalah suatu musibah dan bencana bagi yang gagal menjaga amanah hartaNya.
`Rumah Cikgu ini pun hanya sementara sahaja’, Norizan berbicara lagi.
`Ha? Sementara?’
`Cikgu nanti akan berpindah ke tempat lain’
`Pindah ke tempat lain? Ke mana?’
Dan Norizan ketawa mengelekek. Dia nampak gelihati dengan gelagatku menerima berita yang disampaikannya.Berita yang memang begitu mengejutkanku.
`Itu saya tak tahu. Cikgu tanyalah Tok Lat’
`Kenapa Tok Lat?’
`Sebab Tok Lat penjaga dunia’
Dan Norizan ketawa seperti tadi juga. Mengelekek.
`Adakah Tok Ayah Sohor juga tahu tentang ini?’
`Tahu, Cikgu!’, tinggi nada suaranya.`Tok Ayah Sohor dan Tok Lat pemerintah alam ghaib, Cikgu. Bila sampai masanya nanti, Cikgu akan menggantikan Tok Lat dan Tok Ayah Sohor’
`Masyaallah!’, aku separuh terjerit.
Dan Norizan ketawa mengelekek seperti tadi.Irama ketawanya begitu menggelikan hati. Tapi dia nampak sangat ceria, riang dan gembira apabila berita itu telah disampaikan kepadaku.
`Betulkah berita ini, Norizan?’
`Betul!’
Aku merenung anak mata Norizan bagaikan mahu menyelongkar apa-apa kepalsuan melalui maklumat yang paling mengejut dan menggemparkan itu.Norizan ketawa seperti tadi bila aku merenunginya begitu.
`Betulkah berita ini Norizan?’, aku mengulangi lagi.
`Kalau Cikgu tak percaya, tanyalah Tok Lat!’
Aku terus terkebil-kebil dengan berita yang bagi isteriku – seperti dahulu juga - mati hidup balik pun dia bagaikan tidak mahu