15 September 2011

8. Antara Syuraa dan Demokrasi


Kaedah memilih pemimpin dalam Islam sebenarnya melalui Sistem Syura. Ahli Majlis Syura adalah sekumpulan yang terbaik dalam masyarakat.Mereka adalah yang terbaik agamanya. Merekalah yang akan mengundi untuk memilih pemimpin utama yang terbaik sebagaimana mereka dipilih menganggotai Syura kerana mereka dipilih oleh orang-orang yang terbaik agamanya.

Inilah yang membezakan undi secara syura dengan undi pilihanraya versi Barat. Orang Barat memberi hak kepada semua warganegara yang berusia 21 tahun untuk memilih pemimpin. Justru dalam keadaan masyarakat yang telah rosak, atau orang-orang muda yang belum matang, apatah lagi kalangan anak-anak muda yang alpa dan liar, pemimpin-pemimpin yang baik tidak akan mendapat suara majoriti. Pemimpin yang memenuhi citarasa majoriti masyarakat yang telah rosaklah yang akan dipilih untuk menjadi pemimpin. Nabi Muhammad saw sendiri tentu tidak akan terpilih menjadi Nabi dan Rasul kalaulah Baginda saw dipilih melalui kaedah yang sama. Inilah kelemahan demokrasi Barat yang diamalkan di negara ini.

Usaha untuk melahirkan pemimpin yang baik, memerlukan dilahirkan terlebih dahulu masyarakat yang baik. Melahirkan masyarakat yang baik inilah tugas dakwah. Justru dakwah sangatlah penting dalam politik Islam dan inilah antara tugas keagamaan yang terutama. Inilah hikmahnya berpolitik walaupun di atas landasan demokrasi.Inilah yang PAS usahakan sejak sekian lama tetapi sistem pendidikan sekular – dibantu pula oleh media massa dan sistem hidup yang berpaksikan Barat - yang dijalankan oleh UMNO, ternyata lebih berkuasa dari PAS yang serba lemah dan kekurangan termasuk sekatan dan halangan oleh pemerintah.Lahirlah lebih ramai pemimpin yang rosak dan rendah akhlaknya dalam masyarakat yang sangat sekular, liberal dan materialistik.

1 ulasan: