15 Mei 2010

39. Zaharah Hamid.

`Bila nak kahwin?’
Begitu tok mengusik kami yang masih bujang trang tang-tang.Kami semua sekadar terkerinying-kerinying.Kami pun semuanya masih muda-muda. Akulah yang lebih tua. Setahun lebih tua berbanding dengan Wan dan Piei. Kecuali Dol yang tiga tahun lebih tua dari ku.
Pada ketika itu Piei masih terumbang-ambing dengan Minah.Wan pula masih juga tercari-cari.Tapi dia tidak ada bersama kami pada ketika itu kerana dia belum balik ketika tok sampai.
`Belum ada calun’, aku menjawab jujur
`Ada!’, tok menjawab dengan pantas dan suara yang begitu pasti. Aku tercengang-cengang.
Setelah aku memutuskan hubungan dengan gadis yang tidak sesuai dengan citarasa ku, aku sebenarnya belum ada calon.
`Tak ada, tok’
`Ada..’,tok bertegas.
Aku tercengang-cengang lagi. Tidak ada sesiapa yang bertakhta secara pasti di hati ku sekarang.
`Macam mana rupnya, tok?’
Tok tersenyum
`Mukanya bujur sirih....’, tok berhenti seketika. Tok masih senyum-senyum
`Rambutnya ketak-ketak sampai ke bahu. Tidaklah tinggi...rendah sedikit berbanding dengan cucu.Pendek kata padan benarlah....Macam inang dibelah dua’
Bila gambaran itu diberikan lantas aku segera terbayang kepada Zaharah Hamid.
`Kulitnya macam-mana, tok?’
`Kulitnya kuning langsat’
`Kuning langsat?
Tok mengangguk.
`Tapi cucu rasa bukan kuning langsat.....’
`Kuning langsat!’, tok bertegas
Aku seakan-akan menegaskan bahawa warna kulit Zaharah Hamid tidaklah kuning langsat dan tidaklah pula berkulit putih.Tapi tidaklah pula hitam.
`Kuning langsatlah itu’, tok bagaikan dapat menyelam ke dalam fikiranku.
`Dia berkerja apa,tok?’, aku ingingkan kepastian.
`Macam cucu juga”
Dan bila kenyataan itu dikeluarkan, yakinlah sudah bahawa Zaharah Hamidlah yang tok maksudkan. Gembiranya hati ku. Bagaikan akan jatuhah bulan ke haribaan.Gadis ini aku kenali sewaktu berada di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. Kami sama-sama menghadiri kursus di dalam cuti di bawah Kursus Bahasa Melayu Khas. Kebanyakan kami ditempatkan di SRJK Cina dan Tamil, tetapi Zaharah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Bukit Mendi, Triang.
Dengan Zaharah Hamid, aku boleh dikatakan syuk sendiri sahaja kerana aku tidak berpeluang untuk mendekatinya kerana tidak berada dalam kelas yang sama.Masa terluang yang sedikit tidak memberikan ruang yang sesuai.Lagipun bukanlah mudah mendekatinya. Dia bagaikan jinak-jinak merpati.

Hanya sekali aku mendapat peluang terbaik.Ketika aku mahu menghubungi seseorang melalui telefon di pondok telefon. Malangnya telefon tersebut ternyata bermasalah.Berkali-kali aku cuba mendailnya, tapi tidak juga berjaya. Tiba-tiba aku melihat Zaharah Hamid sedang berada di luar pondok. Dia bagaikan mahu membuat panggilan juga. Aku memberitahunya mengenai masalah tersebut. Dan tanpa terduga, alangkah berderaunya darah ku, dia tiba-tiba masuk ke dalam pondok telefon dan dengan demikian kami tiba-tiba berada bersama di dalam pondok telefon yang kecil itu. Seakan-akan mahu bersentuhan jadinya. Dada ku lantas berdebaran. Gembira pun ada, takut pun ada dan gementar pun ada. Rasa malu pun ada juga. Tapi aku tidaklah pula keluar, sebaiknya melihat sahaja Zaharah mendail. Aku tidaklah berkata apa-apa kerana tidak mahu mengganggu Zaharah yang sibuk mendail. Beberapa kali dia mencubanya tetapi ternyata gagal juga akhirnya.

`Rosak', katanya sepatah kepada ku. Dia lantas mahu keluar. Aku yang berada di pintu terpaksalah keluar terlebih dahulu.

Tapi entahlah. Entah mengapa, bila Zaharah mahu keluar, aku lalu keluar begitu sahaja dengan tidak berkata apa-apa kepadanya. Aku menyesali kerana tidak menggunakan peluang yang cukup terbuka. Aku menyesali mulut ku yang begitu bisu - tidak mengisi ruang yang cukup selesa - kerana aku memang tahu bahawa Zaharah telah sedar yang aku dalam diam-diam acapkali merenung dirinya.
Walaupun demikian, Zaharah Hamid bukanlah seorang yang tersangat cantik. Jauh sekalilah dari kelihatan seksi. Tapi dia kelihatan sangat sopan dan lemah-lembut. Dia agak pendiam dan sedikit malu-malu. Dia kelihatan sangat rapi dan hati-hati bila mengatur langkah. Ini menjadikan dia teramat manis bagaikan gadis Melayu sejati. Rakan-rakan ku ramai yang tergila-gila padanya. Termasuklah juga Wan.

`Tapi ada orang kata, dia sudah bertunang, tok', aku bagaikan mengadakan alasan.

Tok lalu meminta kami menyediakan ar di dalam mangkuk. Tok membaca sesuatu. Kemudian tok lalu berkata dengan yakin.

`Tidak'

`Tapi manalah tahu kalau-kalau sudah ada pemuda lain di hatinya'

Tok kembali melihat ke dalam mangku. Air di dalam mangkuk bagaikan memberikan jawapan. Lantas dia menggeleng-geleng.

`Tidak ada', tok berkata dengan nada tegas.
Bila Wan hadir bersama kami setelah balik, dia agak tercengang bila tok berkata.
`Cucu mengalahlah,ya?’
Tok lalu meceritakan latar ceritanya.Tok bagaikan tahu, Wan juga meminati Zaharah Hamid.
`Kita beri laluan kepada cucu ini’
Tok berkata lagi setelah Wan memahami latar ceritanya. Tapi sedikit kecewa Wan nampaknya.
`Boleh kut?’, tok bertanya. Wan nampak bergagah untuk memberi laluan buat ku.
`Untuk cucu, kita cari yang lain....Cucu pun sudah ada yang berkenan bukan?’
Wan tersengih-sengih.Dan memang Wan berterus-terang selepas itu. Dia meminta tok memberi bantuan kepadanya yang sedang terpikat kepada seorang pelajar Tingkatan Enam Atas yang sedang belajar di Sekolah Menengah Mahmud. Pelajar itu setiap hari lalu di hadapan rumah kami untuk pergi ke sekolah dengan menaiki basikal chooper.Namanya Zuraidah.Memang cantik orangnya dan menurut pandangan ku sepadanlah dengan Zaharah Hamid.

(sila rujuk kaitan dengan kesah ini di bawah tajuk: Serban Hijau dan Pulau Serai Bab 25)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan