24 Februari 2010

8. Enam Orang Panglima.

Selepas penat berpencak kami bersimbang bersama Tok.Demikianlah selalunya.Sambil sembang-sembang dan membasah tekak.

Aku lalu membuka topik perbualan merujuk kepada kenyataan seorang kawan sewaktu balik dari Batu Malim.Batu Malim adalah tempat tragedi berdarah pada zaman kominis memerintah Tanah Melayu selama dua minggu pada tahun 1946 dahulu. Aki Abu Jamal yang mengamuk di sana, sewaktu Kiai Salleh bangkit di Batu Pahat dalam kebangkitan Melayu pada waktu itu, telah mengorbankan hampir seratus orang Cina kominis.Selama lebih tiga bulan air sungai di Batu Malim tidak boleh digunakan kerana berbau hanyir dan busuk oleh darah dan danor bangkai manusia.Demikian keterangan rakan sekerjaku,Cikgu Salam yang mengajar di sekolah yang sama.Dia memang anak jati di sana.

`Ada kawan cucu beritahu tok’, aku berkata kepada tok.`Ada seorang kawannya boleh memanggil tok syeikh. Syeikh tersebut memberitahunya di Negeri Pahang ini tak lama lagi akan muncul enam orang panglima. Betulkah tok?’

Tok tersenyum.

`Tahu sendiri kut!’, tok menjawab dalam senyumannya.Jawapan tok itu menghilangkan syak sangkaku. Dan aku memang gembira dengan jawapannya itu kerana maksudnya, tentulah aku bersama rakan-rakan termasuk Yim seramai enam orang yang akan muncul di negeri Pahang sebagai panglima nanti.Yim memang telah pun berada pada tapak itu.

Kawan sekerjaku itu tiga belas tahun lebih tua dari usiaku. Dia seorang aktivis politik yang terlibat dalam politik Islam. Dialah teman yang telah mengheret aku untuk perjuangan Islam pada waktu itu sehingga aku bukan sahaja mendaftar menjadi ahli tetapi memegang jawatan AJK Cawangan.

Sambil duduk-duduk itu tok berkata lagi seperti selalunya memberikan informasi yang menambahkan motivasi dan semangat perjuangan.

`Bila berlaku perang nanti, bila cucu terasa penat, cucu semua duduk macam cara tok duduk ini’, cara duduk tok ialah sila panglima.

`Ini!’, tok lalu menunjukkan bulu-bulu roma yang panjang pada bahagian belakang ibu kakinya.

`Ada rahsia besar pada bulu roma di ibu jari kaki kita’, tok menerangkan. `Cucu cabut satu, kemudian cucu kemam di dalam mulut’

`Buat apa?’, Dol bertanya.

`Musuh tak nampak. Musuh terus berjalan meninggalkan kita. Bolehlah kita berehat sambil menghilangkan penat’

`Tak perlu baca apa-apa, tok?’

`Mestilah baca! Nanti tok berikan’

`Kalau berlaku perang tok, apa kata kalau gunakan ilmu Mat Kilau sahaja’, aku bagaikan memberikan usul

`Cucu dikhabarkan’, aku melanjutkan.`Dalam satu peperangan, Mat Kilau pernah menjadi penonton sahaja dan tidak perlu berperang. Dia cuma melihat sahaja musuh bertempur sesama sendiri’

Kesah ini aku dengar dari ramai sumber termasuk dari aruah ayahku sendiri.Mat Klau dalam satu peperangan menentang Inggeris telah meggunakan ilmu `nampak dirinya semua’. Ilmu ini menjadikan pandangan musuh keliru kerana mereka tidak melihat selain wajah yang sama – wajah Mat Kilau.Akibatnya mereka berbunuhan sesama sendiri.

Bapa saudaraku Aingah Jantan pernah juga menceritakan pengalamannya yang sama.Sewaktu menjadi SC – satu unit pengawal keselamatan khas di bawah tentera British - pada suatu waktu dia terpaksa pulang sendirian ke rumah kerana isterinya Mak Ngah Kecik sakit hendak bersalin. Dan sewaktu menempuh kawasan kawalan kominis, pihak kominis tidak melepaskan sebarang tembakan kepadanya kerana takut dan takjub melihat terlalu ramai orang yang berwajah sama lengkap bersenjata dan beruniform. Begitu dakwaannya berdasarkan maklumat risikan.

`Tok tak suka begitu! Tak sedap!’ , tok menjawab pantas.`Tok suka kalau tok sendiri yang memarang musuh!’.

Sejurus tok berdiam diri sambil memandang kami.

Cucu bagaimana?’, tok tiba-tiba menujukan soalannya kepada Wan.

`Tak sedap tok!’, Wan menjawab pantas menyokong tok.

`Sedap bertempur sendiri’, Wan menjawab dengan semangat pahlawan sejati.

`Bagus! Anak jantan!’, mendengar jawapan Wan itu, tok lantas menepuk paha Wan. Wan tersengih.

`Ilmu seperti itu ada pada tok?’, aku bagaikan belum berpuas hati kerana bagaikan masih tertarik dengan teknik pertempuran yang tidak memenatkan itu.

`Ada!’, tok merenungku sejurus.

`Tapi jangan pakailah, cucu’ katanya kemudian. `Biar kita sendiri yang berperang! Biar kita betul-betul jadi orang jantan!’

Sambil sembang-sembang itu kami makan kueh dan pisang. Setiap kali memanggil tok kami memang menyediakan juadah,

`Ada cucu semua dengar kesah tahun 1969 dulu?’, tok tiba-tiba bertanya kami.

`13 Mei?’, Wan bagaikan tak tahu.

`Tahun 1969 dulu, tok terlibatkah?’,Piei pula mencungkil lebih jauh sejarah 13 Mei dari tok.

`Terlibat!, tok menjawab pantas. `Semua panglima keluar’

Dan wajah Piei yang bermisai tebal itu direnung oleh tok.

`Cucu ada terdengar kesah orang berpakaian serba hitam terbang di udara? Pernah dengar?’

Kami tidak menjawab. Cuma mata sahaja yang terkebil-kebil.

`Ada orang berpakaian sepasang hitam terbang dan mengamuk! Terbang lagi dan mengamuk lagi. Ada terdengar kesah itu?’.

Kami tidak menjawab pertanyaan itu, tetapi kami memang ada mendengar kesah-kesah yang ajaib dan hebat mengenai tragedi 13 Mei. Aki Abu Jamal yang tinggal di Batu Malim diberitahu oleh Cikgu Salam kepadaku, hilang selama satu minggu dari rumahnya.Orang tidak tahu dia pergi ke mana. Seminggu selepas Tragedi 13 Mei tiba-tiba orang melihat sebuah teksi dari ibu kota menghantarnya pulang ke rumahnya. Dikatakan dia entah pada waktu bila dan bagaimana tiba-tiba telah berada di Kuala Lumpur dan mengawal rumah Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu – Tun Ab.Razak Hussin.

`Cucu mungkin juga mendengar kesah ada bas berjalan, tapi tidak nampak pemandunya.Bukan sahaja tidak ada pemandu, tapi tidak ada juga penumpangnya.....’

`Bas berjalan sendiri?’, Dol bertanya.

Kami memandang tok dengan hairan.

`Semua itu kerja kamilah....’,tok menegaskan.

Kami terkebil-kebil mendengar maklumat yang hebat dan mengkagumkan itu.Maklumat yang menjadikan aku dan rakan-rakan bertambah bersemangat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh silat peperangan ini.Silat yang bakal melahirkan kami berlima sebagai panglima mirip atau pengganti Hang Tuah Lima Beraudara,yang berjuang untuk mempertahankan agama,bangsa dan negara bila berlaku Tragedi 1980 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan