03 Disember 2009

(4)
Keterpesonaan Membawa Bencana.

Inilah kealpaan dan kesilapan yang paling besar, di sebalik sikap saya yang sangat berhati-hati. Kelemahan ini umpama membuka sebuah pintu besar untuk dibolosi oleh musuh yang kemudiannya mengheret bala tenteranya membuka pintu-pintu yang lain yang berantaian umpama magnet yang menarik magnet-magnet yang lain. Demikianlah sunnah, setiap keburukan akan mengheret keburukan-keburukan yang lain sebagaimana juga sunnah kebaikan akan menarik sama kebaikan-kebaikan yang lain. Sesungguhnya apabila terbuka satu pintu, maka akan terbukalah pintu-pintu yang lain satu demi satu. Inilah pintu yang ditemui oleh iblis pada diri saya.

Sejak sedari murid di sekolah rendah lagi saya membaca banyak kesah para wali Allah dan menemui berbagai-bagai kesah yang ajaib dan mempersonakan dalam kehidupan mereka. Para Nabi dan Rasul dianugerahi mukjizat dan kepada para wali Allah dikurniakan keramat dan maunah. Kesah-kesah seumpama ini begitu mempesonakan saya. Justru, kepercayaan bahawa guru-guru Tasauf telah mencapai makam hati yang tinggi atau mencapai taraf wali, tentulah mereka telah dianugerahi berbagai-bagai kelebihan dan keistimewaan, menjadikan saya melihat mereka dengan persepsi dan tanda kebenaran.
.
Sikap memandang tinggi, mengagumi kelebihan dan keistimewaan mereka menyebabkan saya mudah percaya, meyakini bahawa mereka pembawa kebenaran yang hakiki, mereka lebih tahu dan faham berbanding dengan orang-orang lain kerana mendapat ilmu laduni dan kasyaf, terbuka hakekat yang ghaib, lantas menjadikan saya teramat patuh, setia dan hormat.

Dan memang mereka memiliki kelebihan-kelebihan tersebut!

Penghormatan yang teramat tinggi kepada guru, menjadikan saya tidak lagi membuat pertimbangan benar atau salah berasaskan akal yang tajam. Kepatuhan melampau kerana keterpesonaan kepada manusia (guru Tasauf) ini adalah kebinasaan pertama kepada saya kerana memberi erti; kepatuhan, ketaatan dan keterpesonaan kepada selain Allah. Inilah makna fanatik atau taksub kepada guru yang berlaku kepada saya dan inilah yang saya temui berlaku kepada banyak organisasi tarekat dan tasauf.

Saudara, keterpesonaan kepada selain Allah, sesungguhnya menjadikan saya seakan-akan kufur kepada ayat:
`Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam’ – Al Fatehah:2.

Kelemahan fikir oleh kekurangan ilmu menyebabkan saya tidak dapat membezakan mana satukah tanda kebenaran dari anugerah Ilahi dan mana satu pulakah kepalsuan kesyaitanan. Inilah bentuk perdayaan pada jalan Tasauf oleh general-general iblis yang hebat mempesonakan kerana general-general tersebut juga menggunakan al Quran dan bersolat! Ingatlah, Azazil Laknatullah mempunyai kefahaman dan darjat yang lebih tinggi dari Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrael, justru Azazil memiliki kebolehan yang mempesonakan.

Inilah pintu yang digunakan syaitan untuk memerangkap saya kerana Tok Penghulu Maliki adalah guru Tasauf saya yang pertama setelah berakhirnya satu penantian yang panjang.Beliau ditampilkan kepada saya dengan berita-berita kehebatan – kebolehan berubat, unsur kasyaf dan ketinggian ilmu dunia (kehandalan) dan tasauf. Setelah berkenalan, saya memang tertarik dan berpendapat sampailah waktu yang saya nanti-nantikan.Saya berpendapat inilah orang yang saya nanti-nantikan.

Dan memang benar! Dari beliau saya memang mendapat ilmu yang benar dari segi Tasauf dan ketuhanan bahkan saya mengaku beliaulah yang membuka kefahaman yang jelas mengenai Tasauf. Kupasan beliau mengenai konsep mati sehingga kepada konsep `mati hakekat zahir kembali’, (Bab 1) sangatlah menarik, dan bagi saya pada ketika itu, adalah satu konsep yang cukup hebat pada kemuncak perjalanan Tasauf. Konsep inilah yang telah mempertemukan beliau dengan Tok Lat dan Tok Ayah Bidin. Melalui mereka, Tok Penghulu Maliki memperolehi berbagai-bagai kelebihan dan kehebatan. Memiliki kehebatan-kehebatan inilah menyebabkan Tok Penghulu Maliki pergi sedemkian jauh, kendatipun pada akhirnya dia bermusuhan dengan kedua-dua gurunya!

Keterpesonaan kepada kelebihan-kelebihan yang dialami oleh Tok Penghulu Maliki ini telah mengganggu perjalanan saya – ingin turut sama memiliki kelebihan-kelebihan seperti itu dengan persangkaan, demikianlah kelebihan-kelebihan pada martabat Tasauf. Saudara, inilah lencongan dari jalan yang lurus. Inilah pintu kelemahan saya yang kedua iaitu inginkan kelebihan dan kekuatan ghaib untuk menghadapi dunia yang semakin tidak menentu!

Sejak itu perjalanan Tasauf dan mencari Tuhan, bertukar kepada perjalanan mencari kelebihan-kelebihan diri terutama dalam persiapan menghadapi Kebangkitan Bangsa Melayu dan Perang Akhir Zaman! Tidakkah terlihat di situ saudara, betapa syaitan bersembunyi di sebalik niat suci fisabilillah, dicampur-gaulkan dengan mencari kelebihan diri? Saudara, jika saudara diberikan mata hati, saudara akan dapat melihat betapa ramainya dari kalangan orang-orang di sekeliling yang bagus agamanya, terperangkap dalam jerat iblis yang begitu halus persis ini! Inilah erti ikhlas pada martabat tinggi yang memperdayakan ramai dari orang sekeliling.

Kepercayaan kepada konsep `mati hakekat zahir kembali’ inilah yang membuka kepada jalan berliku - penemuan dengan watak-watak yang begitu hebat menghuru-harakan saya dalam perjalanan seterusnya. Konsep ini adalah isu yang sangat kontroversi sebenarnya yang sampai sekarang saya masih menjadikannya sebagai satu kajian kes. Saya bermohon semoga Allah Taala memberikan kefahaman kepada saya, supaya konsep ini menjadi jelas kebenaran atau kesesatannya. Tok Penghulu Maliki saya dapati semakin kukuh teguh dengan keyakinan ini.

Menurut tafsiran saya, Tok Penghulu Maliki menjadi bercelaru perjalanannya apabila terpesona kepada Pak Nik, (Bab 10. SENARAI KEAHLIAN 7500?) murid Tok Ayah Bidin yang pada ketika itu seorang bomoh yang hebat. Tok Penghulu Maliki kemudiannya semakin terseret jauh disebabkan oleh kepercayaan konsep `mati hakekat zahir kembali’, kerana konsep inilah yang telah mempertemukannya pula dengan Tok Lat. Sebelum bertemu Tok Lat, Tok Penghulu Maliki saya percaya aman damai dan bahagia dengan pelajaran dan didikan dari Tok Guru Ayah Tan.

Pak Nik, menurut Tok Empat Kenon, kehidupannya telah terumbang-ambing kini dan tidak lagi memiliki kebolehan perubatan seperti dahulu. Selain itu dia juga tidak lagi menjadi sahabat yang akrab dengan Tok Penghulu Maliki.

Inilah rahsia pengucapan Tok Ayah Bidin kepada saya dan isteri saya dalam Bab 33 AKI ANJANG, mengenai usahanya mencari ahli-ahli Tasauf untuk dijadikan anak-anak muridnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan