27 November 2009

(2)
Tujuh Gunung Lautan.

Saudara, ingatlah kesah kedurhakaan Ababil, dialog, ikrar dan sumpah antara Allah dengan Azazil sebaik keengkaran Azazil untuk sujud kepada Nabi Adam as.
Allah berfirman: Maka keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir. Sesungguhnya kutukanKu tetap atasmu sampai hari pembalasan.
‘Iblis berkata: Ya Tuhanku! Beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan’
`Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh
`Sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat)’
‘Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka”
(Shaad:77-83)

Saudara, ingatlah, hanya `hamba-hambaMu yang mukhlis' sahajalah insan yang insyaallah selamat dari kesesatan.Tetapi apakah mukhlis itu? Dan apakah hakekatnya?

Inilah yang perlu diperhalusi kerana mukhlis atau ikhlas pada Jalan Syariat berbeza dengan ikhlas dalam Jalan Tarikat dan teramatlah jauh bezanya dengan ikhlas pada martabat Makrifat dan Hakekat. Tanpa memahami hakekatnya, manusia mudah sahaja terleka dan terpedaya dengan banyak ilmu dan amal zahirnya walhal sia-sia sahaja di sisi Tuhannya.Inilah perangkap iblis.
.
Ada tujuh gunung lautan - makam hati yakni makam nafsu yang ada pada semua manusia. Nafsu pertama adalah Amarah. Diikuti oleh Lawamah, Mulhamah, Mutmainnah, Radhiah, Mardhiah dan Kamaliah dan pada semua makam-makam hati ini ada hakekat mukhlisnya masing-masing.

Iblis menyerang dengan seluruh kekuatan dan kebijaksanaannya untuk menyesatkan.Serangan iblis hampir-hampir tidak dilakukan kepada manusia pada martabat Amarah kerana pada martabat ini, manusia hanya pada zahirnya sahaja kelihatan sebagai manusia tetapi pada hakikatnya tidak. Mereka adalah budak-budaknya iblis atau teman-temannya iblis bahkan soldadu iblis.Pada nafsu ini demi sesungguhnya tidak ada mukhlisin.

Serangan iblis secara besar-besaran adalah kepada manusia yang berada pada martabat Lawamah dan Mulhamah kerana benih ikhlas bermula di sini. Iblis akan berusaha untuk memastikan supaya anak-anak Adam tidak sampai kepada makam Mutmainnah. Makam Mutmainnah adalah permulaan kesempurnaan mukhlis iaitu martabat manusia dapat kembali kepada Allah Rabbul Alamin dengan sempurna kerana iblis hampir-hampir tidak mempunyai kekuasaan kepada insan yang sampai kepada martabat Mutmainnah dan apatah lagi yang di atasnya.

Saudara, Ilmu Tasauf adalah ilmu pada martabat tertinggi. Orang-orang yang memasuki jalan Tasauf adalah manusia yang ingin mengenal Tuhan dan kembali kepadaNya dengan sempurna. Manusia yang mengamal Tasauf seharusnya telah bebas dari nafsu Amarah kehaiwanan dan kesyaitanan yang rendah dan keji. Mereka pada keseluruhannya telah baik akhlaknya, cinta kepada agamanya, dan isiqamah dalam ibadahnya. Hati pada martabat ini telah bersinar terang dan insyaallah, akan memadamkan zulmat.
.
Sinaran inilah yang dipantau oleh syaitan. Semakin kuat sinarnya, semakin kuatlah serangannya dan oleh kerana itulah pada pringkat ini, iblis tidak lagi menyerang dengan menggunakan tentera biasa, tetapi mengutuskan yang berpangkat tinggi. Kadang-kadang bertaraf general! Inilah yang membinasakan orang-orang berilmu, ahli-ahli ibadah, pejuang Islam dan sebagainya.

Inilah yang dikesahkan dalam RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA yang saya mahu kongsikan mengenai betapa liciknya iblis memerangkap saya untuk mudah-mudahan menjadi iktibar kepada orang-orang yang menjalani Tasauf.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan