22 Mac 2009

HIDUP ADALAH PENGEMBARAAN PULANG

Hidup di dunia adalah pengembaraan dari alam fana ke alam baqa.Inilah di antara perkara pokok dalam ajaran Islam dan para Nabi dan Rasul diutus untuk memperingatkan manusia supaya jangan lupa kepada konsep ini. Selain itu pengembaraan juga dimaksudkan dengan pengembaraan jiwa untuk mengenal dan mendekatiNya. Hal ini wajib dilakukan bermula dengan kewajipan mencari ilmu. Ilmu yang paling wajib ialah seperti disabda oleh Penghulu Junjungan saw:
‘Bermula awal-awal agama itu adalah mengenal Allah”.
Pada satu hadis berikut:
'Orang bertanya kepada Nabi saw: “Wahai Rasulullah! Amalan apakah yang lebih baik?”, Maka Nabi saw. menjawab:”Ilmu mengenai Allah Azzawajalla (Maha Mulia dan Maha Besar)
Bertanya pula orang itu:”Ilmu apa yang engkau kehendaki?”
Nabi saw. menjawab:”Ilmu mengenai Allah swt”
Berkata orang itu lagi:”Kami menanyakan tentang amal, lantas engkau menjawab tentang ilmu”
Maka Nabi saw menjawab:” Bahawasanya sedikit amal adalah bermunafaat dengan disertai ilmu mengenai Allah.Dan bahawa sanya banyak amal tidak bermunafaat bila disertai kebodohan mengenai Allah swt” –
Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.52
Inilah ilmu yang dimaksudkan oleh Imam Al Ghazali:’Bahawa ilmu itu lazat.Ilmu yang paling lazat ialah ilmu yang menyangkut dengan Allah Taala, dengan sifat-sifatNya, afaalNya dan pengaturanNya dalam kerajaanNya, dari penghabisan ArasyNya, sampai kepada sempadan bumi’ – Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.446
Demikian juga yang dimaksudkan oleh beliau:‘Hatilah apabila dikenali oleh manusia, maka sesungguhnya manusia itu telah mengenali dirinya. Dan apabila manusia telah mengenali dirinya, maka ia telah mengenal akan Tuhannya. Dan hati itu apabila tidak dikenali oleh manusia, maka manusia itu tidak mengenali dirinya. Dan apabila manusia itu tidak mengenal akan dirinya, maka ia tidak mengenal akan Tuhannya’ – Ihya Ulumiddin.Jld.4 hal.6.
Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw apabila Baginda saw menegaskan:
Siapa mengenal dirinya bahawasanya mengenal ia akan Tuhannya.Barangsiapa mengenal Tuhannya maka binasa jasadnya’
Tanpa makrifah dikhuatiri seluruh amal menjadi fatamorgana. Makrifah adalah melalui Rububiyah dan Uluhiyyah. Juga melalui Ilmu Sifat 20. Juga melalui Tauhid Keesaan Zat, Sifat, Asma dan Afaal Allah.
Ibadah – solat, zikir, puasa, wirid, membaca Al Quran, doa dan sebagainya adalah bagi mencapai kembara jiwa dari amarah kepada lawamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah. Ini berkait rapat dengan pelupusan seluruh nafsu dan sifat-sifat mazmumah – amarah, lawamah, mulhamah, sifat binatang jinak, sifat binatang ganas dan sifat-sifat kesyaitanan dan keiblisan. Pembersihan sifat-sifat tercela membawa kepada kesempurnaan iman dan Tauhid.
Ada empat tingkat tauhid:
· Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
· Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin - iktikad orang awam.
· Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
· Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.
Iman ada dua jenis:
· Iman Taklidi (iman ikut-ikutan) – seperti orang awam.Mereka membenarkan apa yang didengarnya dan mereka terus-menerus di atas yang demikian.
· Iman Kasyafi (iman yang tersingkap hijab) – berhasil dengan terbuka dada dengan nur Allah.Sehingga tersingkap padanya wujud seluruhnya menurut apa yang ada – Ihya Ulumiddin Jld.6 hal.173
Pengembaraan untuk peningkatan rohani – menyingkir seluruh nafsu mazmumah - pasti menempuh ancaman, gangguan dan ujian yang hebat. Peperangan hebat ini berlaku dan medannya adalah di hati kerana hati adalah pusat pentadbiran bagi jasad anak Adam. Ini berlaku pada batas nafsu amarah, lawamah dan mulhamah iaitu perebutan dan jatuh-menjatuhkan di antara tentera malaikat dan tentera syaitan dalam peperangan hati itu berjalan terus-menerus sehingga terbukalah hati kepada salah satu daripada keduanya Lalu yang satu itu bertempat dan menetap di dalam hati. (Ihya Ulumiddin Jld.4 hal. 73)
Apabila tentera syaitan menguasai hati jadilah anak Adam tersebut seorang yang durhaka. Sebaliknya jika tentera malaikat mencapai kemenangan, jiwa anak Adam tersebut akan mencapai mutmainnah.
Nafsu mutmainnah adalah jiwa yang dapat kembali kepada Allah Rabbul Alamin. Firman Allah:
‘Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredaiNya.Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu’ (Al Fajr:89:27-30)
Orang Islam yang kehilangan iman akan terpenjara selama-lamanya di tujuh tingkat neraka. Orang Islam yang masih beriman, akan dikeluarkan untuk ditempatkan pada tingkat syurga paling bawah iaitu Jannatul Ma`awa. Golongan kanan (asyhabul yamin) adalah golongan yang menempati syurga tingkat kedua dan ketiga iaitu Jannatul Naim dan Jannatul Firdaus.
Golongan muqarrabin adalah golongan yang lebih istimewa kerana kembara rohani yang begitu hampir dengan Allah dan ditempatkan pada tingkat-tingkat syurga keempat dan seterusnya sehingga tingkat ketujuh. Selain golongan muqarrabin, seluruh penghuni syurga pada tingkat yang lain tidak akan merasai nikmat terbesar syurga martabat tertinggi ini seperti dijelaskan oleh Nabi saw:
Kamu sekalian akan melihat Tuhanmu seperti kamu melihat sinar bulan purnama’
Sesungguhnya semakin bertasauf akan semakin teguh tingkat iman, semakin indah jiwa seseorang manusia dan semakin tinggi martabat di sisiNya. Tasauf adalah penghayataan perasaan dan merasai nikmat, bukan sekadar mengetahui tetapi menempuh dan mengalami sifat-sifat sabar, syukur, redha, zuhud, tawakal yang akhirnya membawa kepada cinta dan rindu kepada Allah Rabbul Alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan