22 Oktober 2012

FASAL PADA MENYATAKAN BERAHI DAN SYUKUR


FASAL PADA MENYATAKAN BERAHI DAN SYUKUR
(Disiarkan oleh Dewan Sastera Oktober 2012)

Ini adalah entah kali keberapa kunjunganku ke surau ini.
Sebelum ini – sejak sekian lama sebenarnya - aku memang berazam untuk mencari pondok-pondok pengajian seperti ini. Aku teramat kepingin untuk mengenali seorang mursyid atau guru-guru yang mengajar ilmu Tasauf.Aku berazam untuk mentala`ah kitab-kitab  klasik yang bicaranya halus lagi mendalam mengenai hal-hal agama yang tersembunyi dalam ayat-ayat mutasyabihat. Tapi pada zaman  sekarang, di kala  kebanyakan manusia sangat berkiblatkan wang, harta, pangkat, kemuliaan dan kebesaran ini, sangatlah sukar untuk mencari personaliti yang aku maksudkan;  alim, wara’, soleh, ariffinbillah dan zuhud.  
Tapi alhamdulillah hajatku tercapai juga apabila seseorang memberitahuku akan lokasinya.Tetapi maaflah aku tidak boleh menghebahkannya kerana menghebahkannya akan menjadi  fitnah agama!
Kami  baharu saja selesai menunaikan Solat Maghrib sebentar tadi.Memang amat syahdu sebagaimana selalunya – sebagaimana sebelum-sebelum ini.Melihat wajah Pak Imam yang lembut, tenang dan bersih – pada kali pertama bersuaan beberapa bulan yang lalu, pun kesyahduan telah menjalar di hati. Sifat wara` dan zuhud Pak Imam  amat terserlah. Dia memimpin solat dengan cara yang belum pernah lagi aku rasakan sejak sekian-sekian usiaku. Perpindahan dari satu rukun kepada satu rukun yang lain – berdiri betul, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud dan berdiri betul kembali, berlangsung dengan penuh tenang dan ketenangan. Penuh tertib dan ketertiban.
Bila Pak Imam rukuk, semuanya rukuk.Bila Pak Imam iktidal, semuanya iktidal dan begitulah juga bila Pak Imam  sujud. Tidak ada kecelaruan.Tidak ada keburu-buruan dan ketergesa-gesaan sehingga suasana sembahyang menjadi  sangat  tenang dan harmoni.Tidak ada kelajuan 150 km sejam sebagaimana biasa aku alami dalam solat berjamaah sebelum ini bersama ramai imam-imam yang lain.Inilah yang amat aku senangi bersolat di surau ini dengan berimamkan Pak Imam ini.
Bacaan al Fatehah dan surah dari  Pak Imam amat sempurna dan merdu menusuk kalbu sehingga ramai para makmun tersendu. Aku pun sama.Inilah solat yang menurut kefahamanku memiliki roh integrasi zahir dan batin; syariat, hakikat dan makrifat yang telah cukup lama aku mencarinya.Dan bila berwirid, masyallaah...air mata para makmun  semakin tercurah. Demikanlah juga di kala berdoa. Doa Pak Imam begitu merayu, mendayu dan syahdu.
Alhamdulillah, Allah memperkenankan pintaku untuk  solat dengan orang sedemikian yang aku mempercayai telah sampai kepada maqam ariffinbillah! Demikian pengalaman bilamana pertama kali aku bersolat di surau ini. Inilah permohonanku kepada Allah apabila aku merasakan aku kian menghampiri garisan akhir perjalanan hidupku.
Adapun kemudiannya  seperti biasa  majlis membaca kitab dimulakan.Pak Imam  – namanya yang sebenar belum lagi aku ketahui - yang berjubah putih  agak lusuh itu duduk bersila.Para makmum yang berkain pelikat yang kebanyakannya telah pudar warnanya, dan ramai juga yang berbaju Melayu Teluk Belanga yang warnanya juga telah pudar, duduk berserakan di hadapan Pak Imam.Tak berapa ramai jemaahnya.Sekitar tujuh belas orang sahaja termasuk aku sendiri. Akulah satu-satunya yang termuda walaupun aku telah bersara dari kerjaya.Yang lain-lain semuanya telah berusia larut, rata-rata di sekitar akhir  tujuh puluhan. Tapi Pak Imam yang bersurban itu; dialah sahaja satu-satunya yang bersurban, kelihatan lebih tua lagi.
“Pada malam ini sampailah kita kepada Fasal Pada Menyatakan Berahi dan Syukur”, Pak Imam memulakan kuliahnya.Nada suaranya lembut dan tenang.
Ketahui bahawa pangkat berahi terlalu tinggi daripada segala pangkat, kerana berahi tiada dapat diperbuat melainkan anugeraha Allah Taala juga”
Ha! Begitulah kata Pak Sheikh kitab ini. Kita sebenarnya masih lagi dalam bab yang membicarakan mengenai  perjalanan hati dan makam hati,  kerana hati itu apabila ianya tidak mati, maka  cita-citanya adalah kepada agama -  kepada iman, Islam, tauhid dan makrifat – kepada Allah dan RasulNya,  dan apabila ianya mati maka cita-cita dan kesukaannya ialah kepada dunia lalu terbenam dan tenggelam dengan lengkit jelengkit  dunianya”
Pak Imam diam sebentar  tapi tiba-tiba sahaja matanya tertuju kepadaku.Aku terasa  teramat gembira menerima sinaran lembut sinar matanya.Setiap kali  mendengar kuliahnya, kalau Pak Imam sudi memberikan matanya buatku, aku cukup gembira dan bahagia.Nikmat rasanya dan amat berharga. Itulah hadiah buatku.Tanda Pak Imam mengargai.Dan Pak Imam memang begitulah, akan  memberikan bahagian matanya bagi masing-masing jemaahnya mengikut kadar dan gilirannya.
Tapi terkedu juga jiwaku! Apakah kalimat itu – terbenam dan tenggelam dengan lengkit jelengkit dunia – ditujukan kepadaku?Apakah kata-katanya berasaskan pandangan  batinnya lalu akulah yang disasarnya?
“Hati seorang salik yang telah disimbahi nur akan sentiasa hidup dan oleh kerana itu, hati seperti itu akan sentiasa berjalan, beralih dan bergerak dari satu makam  kepada satu makam, daripada satu tingkat kepada  satu peringkat  yang lebih tinggi. Kami sebelum ini  telah mengatakan bahawa  makam sabar adalah makam permulaan dalam perjalanan salik sebagai tanda berahi kepada Allah Taala. Selepas makam sabar diikuti pula oleh makam-makam yang lain, dan kemudian   disusuli pula oleh makam  ridha.Makam ridha  termasuk dari yang tertinggi darjat orang-orang  al muqarrabin  iaitu salik yang Allah merasa ridha kepada mereka dan mereka merasa senang (ridha) kepada Allah. Semua salik mesti mencari atau mendapatkan redha Allah. Ertinya   semua perbuatan salik – muamalah, cita-cita hati dan hadap hatinya mesti bertepatan  dengan  syarak,  rela pula menerima semua takdir Allah, dengan tidak ada apa-apa takwil lagi, rela setulusnya sebagaimana seorang hamba rela dengan perbuatan dan perintah tuannya,  tanpa takwil-takwil lagi’.
“Firman Allah Taala: ‘Aku itu Allah, tiada yang disembah, selain Aku.Siapa yang tidak sabar atas percobaanKu, tiada bersyukur akan nikmatKu dan tiada ridha dengan qadhaKu, maka hendaklah ia mencari Tuhan selain Aku’. Maksudnya, apabila salik redha dengan Allah – rela dan senanglah hati si salik  menerima apa jua musibah dan ujian yang didatangkan, kerana menyakini dengan kamal yaqinnya bahawa itu semua adalah ketetapan Allah untuknya, bilamana si salik tiada memilih akan sesuatu  untuk dirinya kerana yang lebih si salik  sukai ialah yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu wa Taala terhadap kepadanya, maka tercapailah darjat al muqarrabin, Allah pun redhalah kepada hambaNya itu”.
“Dalam kuliah yang lepas – sejak dua bulan yang lalu,  kedua-dua makam hati ini telah kami huraikan. Kami tidak bermaksud untuk mengulangnya lagi.Jadi pada malam ini kami akan membincangkan pula satu tingkat hati pada darjat yang lebih tinggi yang hanya dianugerahi apabila salik telah menjalani dan mengalami kedua-dua makam sabar dan redha dan makam-makam lain sebelum ini. Makam berahi pada pendapat kami seperti juga pendapat Imam al Ghazalli ra, adalah makam tertinggi dalam perjalanan hati”
Pak Imam berhenti sebentar lagi.Para makmun duduk mendengar dengan kusyuk.Semua duduk bersila dengan amat hormat dan tertib kepada Pak Imam.Begitu juga aku sendiri.Pada dua bulan yang lepas Pak Imam memang membicarakan kedua-dua maqam tersebut.Kesimpulan yang aku fahami bahawa sabar adalah seperti  kata Saidina Umar  al Khattab ra yang diujarkan oleh kalam Pak Imam:` “Haruslah engkau bersabar! Dan ketahuilah bahawa sabar itu ada dua.Yang satu lebih aula dari yang lain.Sabar pada waktu musibah itu baik.Dan yang  lebih aula daripadanya lagi ialah sabar daripada yang diharamkan oleh Allah Taala’.
Adapun alamat orang berahi, tiada takut akan mati”, Imam membaca lagi dari al kitab.Kitab klasik karya Al Syeikh Hamzah Fansuri berjudul Syarbul –‘Asyikin yang telah berusia ratusan tahun itu.
“Ketahuilah bahawa berahi kepada Allah  Taala dan RasulNya saw., telah disepakati oleh para ariffinbillah adalah wajib.Berahi kepada Allah Taala ditunjukkan dengan firman Allah Azawajalla: ‘Yuhibbuhum wayuhibbu nahu’ ertinya: ‘ Ia berahi kepada mereka dan mereka pun berahi kepadaNya’.Firman Allah Taala: ‘Wallazi na aamanuuu asyaddu hubban lillah’ ertinya: ‘Orang-orang yang beriman itu sangat berahi kepada Allah’.Dan Sabda Rasulullah saw. ‘Tiada beriman seorang  kamu sebelum adanya Allah dan RasulNya lebih diberahinya  dari yang lain”
            “Selain itu ialah firman Allah Taala ‘Katakanlah: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai: kalau semua itu kamu berahi lebih daripada Allah dan RasulNya dan dari berjuang pada jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya.Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik”.
“Kami jadikan ayat-ayat Allah di atas dan sabda Penghulu Junjungan saw untuk menunjukkan bahawa apabila  si salik telah sampai kepada makam berahi; dan berahi itu sendiri disebabkan  pula oleh makrifatullah, dan sebaliknya pula makrifatullah itu pula mendatangkan berahi dan rindu, maka rindu itu membawa kepada inginkan pertemuan, kerana pertemuan itu adalah kemuncak berahi, pertemuan di antara dua kekasih yang saling merindu
“Pada hadis masyhur, tersebut bahawa Nabi Ibrahim as. mengatakan kepada Malakulmaut, ketika datang kepadanya untuk mengambil nyawanya:’Adakah engkau melihat Yang Diberahi – yakni Allah,  mematikan yang diberahiNya- yakni Ibrahim?’
Maka Allah Taala menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim as.:’Adakah engkau melihat Yang Memberahi itu tidak suka akan bertemu dengan yang diberahiNya?”
Maka Nabi Ibrahim as. Berkata: ‘Hai! Malakulmaut. Sekarang maka ambillah nyawaku’.
“Kami menceritakan riwayat  ini adalah  untuk menunjukkan bahawa makam berahi adalah makam kesudahan untuk mempertemukan dua kekasih yang saling rindu-merindui dan mati adalah pintu ke arah pertemuan itu – pertemuan dengan Allah.Maka oleh sebab itulah Syekh kitab ini mengatakan  orang berahi tidak takut mati, tetapi bahkan rindu kepada kematian, kerana rindu dengan pertemuan”.
“Tetapi bukannya mudah untuk mencapai makam berahi.Seperti juga susahnya pada peringkat awal perjalanan si salik mahu mencapai makam sabar.Seperti juga sukarnya mencapai makam  syukur atau seperti peritnya mencapai makam ridha, tawakal, kasih-sayang, rindu, jinak hati dan sebagai-sebagainya yang telah kami  bicarakan sejak sekian-sekian lama.Dengarlah apa kata Dzun-Nun al Misri:’Mahasuci Allah yang menjadikan jiwa itu sebagai tentera yang berbaris.Maka jiwa orang-orang yang bermakrifah itu agung dan kudus.Maka kerana itulah mereka itu rindu kepada Allah Taala.Jiwa orang-orang mukmin itu kerohanian.Maka kerana itulah mereka inginkan syurga.Dan jiwa  orang-orang lalai itu penuh kenafsuan.Maka kerana itulah mereka cenderung kepada dunia.
Pak Imam berhenti sebentar.Kemudin dia memandang kepada sidang pendengar yang duduk tertib bertelekur ke lantai oleh teramat hebatnya guru yang menyirami air nurani.
“Jiwa sebagai tentera yang berbaris....faham bukan? Apa itu tentera yang berbaris?”, Pak Imam bertanya.
”Faham bukan?”, Pak Imam bertanya lagi tetapi dia sendiri tahu bahawa pertanyaan itu bukan memerlukan apa-apa jawapan sebagaimana makmum juga tahu bahawa mereka tidak diperlukan memberikan sebarang jawapan.Cuma aku sahaja yang agak terpinga-pinga.Semua makmun aku percaya tahu maksud tentera jiwa yang berbaris itu.
“Jiwa yang lalai ialah jiwa yang hatinya tidak menghadap kepada Khaliknya.Hati yang tidak menghadap kepada Khaliknya, nescaya akan menghadap kepada selain Khaliknya.Bila kecenderungan hati ialah menghadap kepada selain Khaliknya, hati seumpama inilah  yang dikatakan  hati yang lalai.Tanda hati tidak menghadap kepada Khalik ialah apabila hati asyek kepada selain Khaliknya. Apabila hati asyek kepada selain  Khaliknya, tidak  menghadaplah kepada Khaliknya ketika solatnya.Firman Allah Taala:
Sebab itu celaka untuk orang-orang yang solat.Yang lalai dari solatnya. Tubuhnya berada di atas sejadah atau di masjid, tapi hatinya menghadap pasar-pasar jual beli, atau kebun-kebun dan ladang; atau sawah dan bendang.Bibirnya membaca tapi hatinya mereka-reka.Lidahnya berbicara tapi hatinya berdusta; kalimah-kalimah Ilahi bermain di bibirnya tapi fikirnya di laut khayali.Penuh dengan angan-angan, impian dan khayalan”.
“Kalau ketika solat, hati gagal untuk menghadap kepada Ilahi, bayangkanlah ketika tidak solat! Kalau ketika solat hati tidak ingat kepada Tuhan, bayangkanlah ketika  berada  di padang-padang permainan, ketika di pesta-pestaan, di majlis sorak-sorakan, sukaria dan hiburan.Bagaimana kalau tiba-tiba datang Malaikatmaut menyambar nyawa, mati dalam keadaan demikian?”
Pak Imam berhenti sejenak dengan isu yang dilemparkannya kepada sidang hadirin? Tapi sebagaimana tadi, dia tidak memerlukan jawapan.Pak Imam lantas meneruskan.
“Ini semuanya adalah erti bagi hati yang cenderung kepada dunia iaitu hati yang dimiliki oleh orang-orang yang lalai”.
“Apabila takut ia akan mati, tiada berahi hukumnya, kerana kehendak orang berahi itu mati.Seperti sabda Rasulullah saw:
Man mata minal-ishqi faqad mata syahidan
Yakni barangsiapa mati daripada berahinya,
Maka bahawa sesungguhnya mati syahid.

Sabda Rasulullah saw.
            Man ashaqa wa ushiqa fa mata
            Minal isy faqad mata syahidan
Yakni:
            Barangsiapa berahi dan bersungguh-sungguh,
            Diberahikannya,  maka mati ia daripada
            Berahi [itu], maka bahawa sesungguhnya
            Mati syahid.
“Maka oleh kerana itulah si salik perlu  sampai kepada berahi akan Allah Azzawajalla, kerana sesungguhnya sesiapa di antara salik mati dalam keadaan jiwanya berahikan Allah Taala, maka matinya adalah mati syahid.Sebaliknya  orang-orang yang tidak berahi kepada Allah, nescaya berahinya ialah kepada dunia, kepada kehidupan suka ria dan keseronokan dunia, hubbun dunya.Maka bila mati dalam keadaan sedemikian kekallah seseorang itu dalam penjara dunia walaupun tubuhnya telah mati, lalu luputlah si hamba  itu dari rahmat Ilahi  kerana cinta Allah dan cinta dunia bak cinta orang bermadu yang tidak mungkin berada dalam  hati yang satu”.
Kemudian Pak Imam menamatkan kuliahnya dan tentunya akan disambung lagi pada minggu berikutnya, kalau hayatnya masih ada atau kalau hayatku sendiri masih ada dapatlah aku mengikuti kuliahnya lagi.