13 Ogos 2010

63. Yim Dengan Tok Bomoh Umar.

Bersempena dengan sembuhnya adik ku dari suatu sakit tenat, aku dengan Yim pulang ke kampung untuk menghadiri kenduri kesyukuran.Yim dijemput hadir kerana perubatan toklah yang telah berjaya menyembuhkan adik ku.Jadi aku bersama Yim pulang ke kampung ku.

Adik perempuan ku itu, baharu sahaja mendirikan rumah tangga tetapi tiba-tiba dia diserang oleh satu jenis penyakit yang susah untuk diterangkan – sakit apa dan apa puncanya.Ibu ku yang cukup arif mengenai tanda-tanda atau alamat orang-orang yang hampir meninggal dunia – tanda-tanda nak mati – telah melihat bahawa semua tanda-tanda telah pun ketara.

Ketika aku sampai dengan Yim pada malam itu – kira-kira dua bulan yang lalu, aku sendiri telah menyaksikan tanda-tanda tersebut.

Puncanya adalah punca sejak sekian lama.

Adik ku dan juga emak ku adalah mangsa kejahatan, sakit hati, dengki dan dendam dari Makcik B yang menjadi jiran di sebelah kanan. Makcik B terkenal dengan ilmu hitamnya yang dikatakan memakai ilmu `talak mati terbunuh’ dan ilmu `gembala seribu’.

Ilmu talak mati terbunuh ialah jaminan bahawa pengamalnya tidak akan mati dibunuh walaupun atas apa-apa onar dan kesalahan juga. Ini bolehjadi terbukti bila Makcik B melakukan kecurangan – sudah banyak kali sebenarnya - dengan jiran di sebelah kiri rumah ku. Rumahnya telah dikepung, tapi orang-orang kampung - termasuk suaminya - sekadar melihat sahaja dan tidak mengambil apa-apa tindakan di atas perbuatan mereka.

Ilmu Gembala Seribu ialah ilmu yang membolehkan Makcik B menyeru apa-apa sahaja makhluk ghaib untuk berdampingan dengannya. Ini juga terbukti bila tiga ekor makhluk belaannya telah dikurung di dalam botol oleh tok yang datang berubat. Adik ku dan ibu ku yang kedua-duanya menjadi mangsa dendam tersebut, memang dapat dipulihkan setelah diubati oleh tok, akan tetapi jatuh sakit sekali lagi beberapa bulan kemudian.Tok memberi tahu usahanya menangkap tiga ekor belaan Makcik B sebelum ini sia-sia sahaja kerana Makcik B telah mendapat ganti yang baru. Oleh kerana itu satu tindakan besar-besaran telah dilakukan untuk menghadapi Makcik B dan suaminya – lelaki jiran di sebelah kiri rumah ku yang kemudiannya telah menjadi suaminya. Lelaki itu memang ada belaan juga dan memang menjadi ancaman kepada keluarga ku. (Kesah dalam Cincin Pembisa sebelum ini adalah mengenai suaminya)

Bayangkan rumah ayah ku di kampung di apit oleh dua manusia yang berdampingan dengan syaitan dan sentiasa memberikan ancaman kepada kami sekeluarga. Mangsanya ialah ibu dan adik ku yang boleh dikatakan sejak sekian lama bagaikan tidak pernah merasa sihat.

Apabila adik ku bagaikan akan menemui ajalnya, pada ketika itulah satu operasi besar-besaran dari tok dilakukan.Ramai panglima yang terlibat secara langsung dan dikatakan adik ku dapat diselamatkan setelah seolah-olah diadakan tukar ganti.Aku tak tahulah secara detailnya kerana ini adalah kerja tok dalam perundingan/MOU dengan makhluk belaan Makcik B dan lain-lain yang bersamanya.

Siri pertarungan tok dengan Makcik B ini berakhir setelah Makcik B ditumpaskan oleh perubatan Guru Ketiga. Falsafah perubatan tok ialah `kita jangan buat salah, kalau sakit kita berubat, tapi kita tak usah balas perbuatan orang’. Tetapi kalau sampai kepada batas terakhir kesabaran, tindakan balas terpaksa diambil. Justru Guru Ketiga melakukannya- tindakan penyudah. Makcik B lalu dimasukkan ke hospital dan mati disebabkan serangan Penyakit TB.

Petang itu Yim mengajak aku berjumpa Tok Bomoh Umar.Yim pun terasa seronok juga mendengar kesah aku dengan Tok Bomoh Umar.Yim mahu dia pula diuji begitu.

Sebaik sahaja tangan Yim dipegang, Tok Bomoh Umar pun berkata:

`Wah! Awak ni....banyaknya pembisa’

Dan tangan Yim dibelek-belek seperti dibuat kepada tangan ku dahulu.

`Eh....Awak ini....

Dan bila kalimat itu terkeluar Yim lantas menarik tangannya.

`Kami tahu..Kami tahu awak ini pandai berubat....’

Dalam perjalanan balik, Yim memberitahu dia terpaksa menarik tangannya dan menutup dirinya kerana khuatir Tok Bomoh Umar akan dapat melihat hal-hal yang selama ini dia rahsiakan.Gantinama `kami’ yang digunakan oleh Tok Bomoh Umar menunjukkan dia pada ketika itu telah mula didampingi oleh belaannya.

Keesokan harinya, ketika para tetamu mulai sampai untuk kerja-kerja memasak, Tok Bomoh Umar pagi-pagi lagi telah sampai. Dia sekeluarga juga dijemput oleh ayah ku. Dari jauh lagi Tok Bomoh Umar berseru kepada Yim yang duduk berjuntaian di atas tangga kayu bulat pintu dapur.

`Hei! Tok Bomoh’, serunya dengan nyaring. `Tolong ubatkan anak kami yang tak berhenti-henti menangis ini!’

Suara Tok Bomoh Umar memang nyaring dan didengari oleh semua yang hadir. Dia sedang berjalan ke arah rumah sambil mendukung anaknya yang bernama Suraya yang pada waktu itu baharu berusia dua tahun.Anaknya itu memang kuat menangis.Ini aku ketahui kerana sejak hubungan keluarga kami menjadi kian erat, Tok Bomoh Umar selalu bermalam di rumah kami.Dan memang Suraya kuat menangis.

Aku dapati wajah Yim berubah oleh suara nyaring Tok Bomoh Umar itu.

`TokBomoh! Anak kami tak berhenti-henti menangis. Tolong ubatkan!’

Tok Bomoh Umar berseru lagi. Dia sudah kian hampir dengan rumah sekarang.Orang-orang yang hadir memandang kepada Tok Bomoh Umar dan Yim silih berganti.Mereka tahu bahawa Yim lah yang dimaksudkan kerana Yim adalah orang baru d situ dan kenduri ini pun dibuat kerana kesyukuran usaha Yim telah dimakbulkan memulihkan adik ku yang sakit teruk.

`Anak kami sudah puas kami ikhtiarkan. Tak berhenti-henti juga menangis. Kami dah puas menjampi!’, Tok Bomoh Umar berkata lagi. Dia sudah dekat dengan aku dan Yim yang masih berjuntaian di tangga kayu bulat.

`Kalau tak mahu jampi pun tak apa.Ludah-ludah pun cukuplah’, Tok Bomoh Umar berkata lagi. Nadanya menunjukkan dia bagaikan betul-betul mengharapkan pertolongan.Aku tidak tahu apakah itu tanda persahabatan, ikhlas dan kemesraan yang cuba dijalin atau ada maksud yang tersirat.

`Tolonglah! Ludah-ludah pun tak apa!’, dan Tok Bomoh Umar telah sampai di kalangan kami.

`Kawan tak pandai’, Yim berdalih.

`Awak jangan bohong! Kami tahu awak boleh berubat! Awak tok bomoh!’

`Bukan! Kawan bukan bomoh!’, Yim bertegas.

Aku memang tahu, pantang utama bagi Yim ialah dipanggil Tok Bomoh.Tapi itulah gelaran yang dilemparkan kepadanya sekarang. Aku dapat merasakan keadaan sudah agak tegang.Yim tidak suka dengan imej tok bomoh. Perubatannya pun dirahsiakan. Aku memang berpesan kepada keluarga ku suapa perubatan yang dijalankan oleh tok, jangan dihebahkan kepada sesiapa. Demikian pesan tok kepada kami sewaktu kami dianggap cucu dulu. Sewaktu kami berlima di anggap cucu dahulu, tok berpesan perubatan mereka adalah untuk keluarga kami sahaja sebab misi tok bukan untuk perubatan tetapi adalah peperangan.

Aku dapat merasakan keadaan yang mulai tegang kerana Tok Bomoh Umar bagaikan orang yang kurang sopan.

`Tolonglah! Ludah-ludahkan pun tak apa’, Tok Bomoh Umar merayu.Nada suaranya memang nada merayu.

`Kawan tak boleh!’, Yim tetap bertegas.

`Awak tok bomoh! Awak mesti boleh!’

`Kawan kata tak boleh, tak bolehlah!!’

Air muka Tok Bomoh Umar nampak berubah. Nampak mukanya merah dan terketar-ketar bibirnya. Dia nampak malu disaksikan oleh orang-rang yang ada pada waktu itu. Belumlah ramai. Cuma dari kalangan keluarga terdekat sahaja.

Tok Bomoh Umar kemudiaannya beredar dan menyertai orang-orang yang sedang memulakan gotong-royong memasak.Aku dapat merasakan Tok Bomoh Umar tidak tenang pada hari itu. Dia ternyata resah dan agak gelisah. Duduk, berdiri dan berjalan dengan keadaan serba resah dan keluh-kesah.

Menjelang pukul 10.30 pagi, tiba-tiba Musa, orang Kemboja yang berjualan kain tiba ke pekarangan rumah ku. Dia memang sering ke rumah ku untuk berjualan. Aku pun pernah berlanggan dengannya. Jualan secara ansuran menjadikan dia acapkali datang ke rumah ayah ku. Sebaik sampai, Tok Bomoh Umar cepat-cepat mendekatinya dan mendesak supaya menghantarnya pulang sebentar ke rumahnya.Musa yang gagal untuk menghalangnya terpaksaah memenuhi prmintaannya sejurus kemudian.

Menjelang tengah hari – sewaktu jamuan akan dimulai, Tok Bomoh Umar dan Musa sampai kembali. Aku lihat Tok Bomoh Umar cukup ceria pada mulanya tetapi sebaik sahaja selesai makan terus sahaja pulang bersama isteri dan anaknya. Dia ceria kerana tidak melihat kelibat Yim sewaktu ketibaannya, tetapi bila Yim hadir sama sewaktu jamuan, dia cukup terkejut.

Yim memberitahu ku, pada menjelang tengah hari tadi dia mahu berehat di bilik tidur. Rupa-rupa Tok Bomoh Umar telah menujunya, tetapi dapat ditangkis oleh pengapitnya. Walaupun demikian, bahangnya menyebabkan Yim bagaikan mahu demam. Bila ini aku ceritakan kepada emak dan ayah ku, mereka berdua cukup terkejut.

`Umar memang jahat! Sudah berapa orang ditujunya’, begitu kata emak ku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan