05 Disember 2011

JUMAAT

14 OGOS 2020

I.

Dari taman mahligai dua tingkat setengah yang indah itu - Istana Cahaya - yang letaknya agak tinggi di lereng bukit, Dr.Lleyton Hewitt sejak sedari tadi - sejak kira-kira sepuluh minit yang lalu, cuba meninjau persekitaran di kawasan perumahan Taman Cahaya yang penghuninya terdiri daripada sebahagian orang-orang penting yang menerajui kepimpinan di Kota Cahaya ini. Tapi kabus pagi yang nipis menabiri sekitar perumahan, membatasi pemandangan di kejauhan.Tambah pula Taman Cahaya ini yang kebanyakannya terdiri daripada banglow – banglow setingkat, dua tingkat dan dua tingkat setengah, telah agak banyak dipenuhi oleh pokok-pokok teduhan yang sentiasa berbunga pelbagai warna teristimewa kuning raja, menjadikan pemandangan dari taman rumah Tengku Kamal Izuddin Syah ini ke kawasan persekitaran agak terbatas.

Sejak kira-kira sepuluh minit yang lalu itu, Dr.Lleyton Hewitt begitu terpegun kepada taman yang terbentang penuh dengan jambangan pelbagai jenis bunga-bungaan ini. Berseri dan berwarna-warni, menjadikan taman ini kelihatan begitu indah sekali. Di tengah-tengahnya ialah kolam air terjun yang airnya turun bertingkat-tingkat bagaikan payung kembang yang disusun berjatuhan. Dalam kolam yang jernih itu terdapat pula puluhan ekor ikan koi yang indah berwarna warni.

Dr.Lleyton Hewitt berjalan perlahan-lahan di atas rumput permaidani yang menghijau bagaikan dataran terhampar itu. Rumput itu begitu lembut, renek dan halus.Rumput jenis ini memang menjadi pilihan utama bagi sesiapa yang meminati konsep taman mini di rumah kediaman masing-masing, termasuk rumah orang-orang kelas atasan di negaranya sendiri.Dia berjalan alon-alon dengan maksud ingin melabuhkan punggungnya di atas kerusi rehat berkanopi sementara menanti kepulangan Tengku Kamal Izuddin Syah dan isterinya yang terpaksa keluar ke Bangunan Konvension selepas sarapan pagi tadi, untuk satu keperluan rasmi. Anak-anak Tengku Kamal Izuddin Syah yang memang tak lekang mengikuti ke mana sahaja ibu bapa mereka pergi ikut sama.

Sambil duduk-duduk itu fikiran Dr.Lleyton Hewitt mengelamun kepada beberapa perkara yang menjadi pokok perbincangan yang disentuh pada malam tadi. Dia bersama Tengku Kamal Izzuddin Syah berbicara mengenai dasar-dasar penting yang diperkenalkan oleh Kota Cahaya sejak beberapa tahun yang lalu.Semua penerangan Tengku Kamal Izzuddin Syah memperjelaskan kenyataan bahawa Kota Cahaya adalah sesungguhnya terjemahan kerajaan yang disebutkan dalam al Quran ( 14 ) yang memang sangat berbeza dengan sistem negara sekular, baik berpandukan model blok liberal kapitalis Barat atau negara kominis Cina atau blok sosialis.

Kota Cahaya yang akan dilawati persekitaran lokasi pentadbirannya pada waktu petang nanti, adalah pusat pemerintahan bagi negara ideal ini. Sebuah negara kebajikan yang mesra rakyat. Kerajaan yang dibentuk untuk berkhidmat kepada rakyat dan untuk rakyat – rakyat jelata terutama yang agak terpinggir sejak sekian lama, supaya semua warganegara mendapat kebajikan dan keadilan hakiki. Rakyat dari apa peringkat jua – kaya, miskin, berpangkat atau orang awam, di kampung atau di pedalaman, di pusat bandar atau di pinggiran, di rumah banglow, pangsapuri, rumah teres kos sederhana atau rendah atau di mana-mana jua ceruk-rantau akan dipastikan terbela sepenuhnya mengikut Keadilan Ilahi. Demi keadilan dan pembelaan sewajarnya, rakyat di Malaysia - beberapa ketika sebelum menjelang fajar 2020, telah dibolehkan membuat aduan secara langsung atau memberi komen dan teguran tentang apa saja salah laku, ketidakpuashatian terhadap prinsip keadilan mengenai sesiapa sahaja hatta ketua negara sekalipun. Aduan mereka tetap akan dilayan serta diadili dengan sebaiknya sebagaimana dijalankan pada zaman cemerlang pemerintahan Rasulullah saw dan Khulafa ar Rasyidin 1400 tahun yang lalu ( 15 )

Kota Cahaya adalah pusat pentadbiran di negara orang-orang takwa yang pemimpinnya berjiwa mulia - kepimpinan dari yang tertinggi sehingga kepada peringkat yang paling bawah adalah insan yang terbaik akhlak dan pekerti lakunya. Mereka memberikan perkhidmatan dengan tulus tanpa mengira ganjaran duniawi dan sanggup bekerja tanpa mengira jangka masa bekerja yang tertentu, dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah sebagaimana lafaz suci dalam takbir solat dan doa aftitath.( 16 )

“Inilah di antara intipati solat – ikrar janji dan sumpah setia - yang wajib diterjemahkan di dalam kehidupan. Kalau tidak sia-sia sahajalah solat” (17) kerana Lillahi Taala tidak bersepadu dalam niat. Dan dari kerana itu tidak menzahirkan ikhlas – sehingga janji dan ikrar di hadapan Allah Taala di dalam solat semata-mata ikrar dan janji palsu dari seorang hamba yang jahat! Jika begitu iaitu tanpa ikhlas dan nawaitu semata-mata kerana Allah – tanpa sedikitpun oleh berbagai-bagai kerana yang lain - bagaimana akan menjadi seorang Islam sejati untuk mendapat ridha Allah? Tanpa ikhlas dan nawaitu yang murni, bagaimana mungkin manusia dengan begitu gampang bersangkaan dan mendakwa semua urusan hidup adalah ibadah? Tidakkah semuanya itu semata-mata perdayaan atau terpedaya dalam ibadah?”.

Begitu penjelasan Tengku Kamal Izuddin Syah semalam. Sebu dan sebak dada Dr Lleyton apabila memahami betapa mudahnya manusia diseret oleh sekularisme untuk disibuk dan diasyekkan kepada urusan duniawi yang disangkakan suatu ibadah, semata-mata oleh kealpaan memahami dengan sejelasnya konsep dan hakikat ikhlas dan niat.

Dr.Lleyton Hewitt kemudiannya bertanya pula mengenai perlembagaan negara. Perlembagaan Negara pada pendapatnya adalah perkara paling asas dalam undang-undang tubuh sesebuah negara kerana tanpanya bagaimana sesebuah negara dapat ditadbir dengan berkesan. Dia hairan bagaimana Kota Cahaya dapat mentadbir negara dengan begitu sempurna dalam tempoh yang relatif sengkat. Dengan cukup jelas Tengku Kamal Izzuddin Syah menerangkan kepadanya:

“Kami, iaitu semua anggota syuraa tidak perlu mengambil masa yang lama atau membuang masa berbincang bertahun-tahun untuk mendokumentasikannya kerana Perlembagaan Kota Cahaya telah didokumenkan di dalam dada, dan kami hanya sekadar perlu menjenguknya sahaja.. ”. (18)

Terbelalak mata Dr.Lleyton Hewitt bila maklumat dan kenyataan itu terhambur daripada mulut Tengku Kamal Izzuddin Syah. Dia ternyata tidak faham samasekali. Tengku Kamal Izzuddin Syah tersenyum.Tapi dia tidak diburu masa walaupun jam telah menunjukkan pukul 12.46 minit tengah malam. Tengku Kamal Izzuddin Syah tidak menjawabnya dengan segera, sebaliknya dia menuangkan lagi air kopi Halia Madu Melayu ke dalam cawannya yang telah kosong dan menambahkannya pula ke dalam cawan Dr.Lleyton Hewitt yang airnya telah pun tinggal separuh. Dia sempat mempelawa temannya itu minum sambil dia sendiri meminum seteguk. Air kopi Halia Madu Melayu ternyata sangat berkuasa melawan serangan larut malam persis pada saat seperti itu.

“Penggubalan perlembagaan pada hakikatnya telah disempurnakan oleh Allah swt dalam dada setiap manusia yang sempurna imannya, teristimewanya manusia yang mencapai darjat insan kamil”, Tengku Kamal Izzuddin Syah tersenyum masih.Temannya tidak senyum, tapi memerhati wajah tuan rumah dengan mata bagaikan tidak berkerdip.”Maksudnya, apabila manusia berpegang dan berpandu sepenuhnya kepada ajaran Allah dan RasulNya yang terkandung di dalam al Quran dan al Hadis, mencontohi Nabi saw, mencontohi mana-mana dari kalangan para sahabat yang agung – teristimewanya Khalifah Abu Bakar as Siddek ra, Amirul Mukminin Saidina Umar al Khattab ra, Saidina Uthman ibn Affan ra, Saidina Ali bin Abu Talib Karamullah Huwajha, Khalifah Umar ibn Ab. Aziz ra – sekadar beberapa contoh, di samping ramai lagi para sahabat Rasulullah saw yang agung, mengambil iktibar, ibarat dan teladan dari mana-mana auliya-auliya Allah, dan ulama-ulama warasatul ambiyaa, maka telah termaktublah Perlembagaan Allah dan RasulNya di dalam jiwa manusia tersebut kerana pada hakikatnya Al Quran lah perlembagaan orang-orang yang beriman”.

Diam sejurus. Dr.Lleyton Hewitt ternyata dapat mengikuti dan memahami huraian yang diberikan. Dia mengangguk perlahan-lahan.

”Orang-orang seumpama inilah yang dinamakan hamba-hambaKu yang solleh atau orang-orang yang bertakwa. Bila seseorang itu berada pada makam solleh dan muttaqin ini, dia adalah insan cemerlang – cemerlang jiwa dan rohaninya, kaya-raya dengan sifat-sifat mahmudah dan haruslah barangkali tidak ada samasekali sifat-sifat mazmumah di dalam dirinya kerana mempunyai akauntabiliti dalam seluruh kerja buatnya – dengan Allah, sesama manusia dan makhluk Allah Subhanahuwataala seluruhnya” (19)

Tengku Kamal Izzuddin Syah dapat melihat wajah Dr.Lleyton Hewitt menjadi begitu ceria dan berseri-seri dengan penjelasannya itu.

“Bagaimana dengan orang-orang yang bukan Islam?”, Dr.Lleyton tiba-tiba mengemukakan pertanyaan. Tengku Kamal Izzuddin Syah memandang dengan mata mohon penjelasaan.

”Maksud saya adakah orang-orang kafir juga memiliki perlembagaan?”

Tengku Kamal Izzuddin Syah tersenyum.

“Orang-orang bukan Islam - orang-orang kafir dan munafik, mereka juga memiliki perlembagaan, Dr!”

”Ha?”

”Mereka juga ada perlembagaan sendiri!”

“Bagaimana? Al Quran juga kah?”, nada yang begitu terkejut dari Dr. Lleyton.

Tengku Kamal Izzuddin Syah tersenyum.

“Perlembagaan yang termaktub di dalam jiwa mereka adalah perlembagaan yang tidak termaktub di dalam al Quran dan al Hadis”

“Jadi?”

“Perlembagaan Syaitan!”

”Perlembangaan Syaitan?”

”Ya!”, Tengku Kamal Izzuddin Syah bernada tegas. ”Perlembagaan Iblis! Perlembagaan Azazil!” (20)

Dr.Lleyton Hewitt tergamam, namun dia tetap memberikan perhatian tanpa sebarang penyoalan. Dia sedang begitu serius bersedia meresapi huraian Tengku Kamal Izzuddin Syah.

“Iaitu pelbagai cara hidup, resam budaya, ideologi lama dan baru, dari Barat atau Timur dan apa-apa saja cara-cara hidup yang bertentangan dengan al Quran dan al Hadis.Semua yang tidak ada dan bertentangan dengan Al Quran dan al Hadis adalah dari iblis, Dr. Sebab itulah iblis dan kafir akan tetap bertarung dan berjuang bagi mengunggulkan perlembagaan mereka dalam kehidupan.Dan inilah pertarungan zaman-berzaman dalam masyarakat manusia sebagaimana siang dengan malam atau gelap dan terang yang tetap saling singkir menyingkirkan antara satu sama lain”, Tengku Kamal Izzuddin Syah melanjutkan,

Dr.Lleyton Hewitt lantas mengangguk perlahan-lahan.Dia semakin faham.

“Bagi fahaman kami di Kota Cahaya ini Dr, perlembagaan Islam pada hakikatnya telah termaktub. Kami percaya dengan sangat jelas dan yakin, bahawa pada hampir semua peringkat kepimpinan di Kota Cahaya ini – Duli Yang Di Pertuan dan anggota-anggota syuraa – perlembagaan al-Quran dan as Sunnah sudah termaktub di dalam dada dan di dalam jiwa. Kami juga sangat percaya bahawa semua peringkat kepimpinan tertinggi – Dato-Dato Bendahara, Dato Syahbandar, Dato Temenggung, Dato Penghulu Bendahari dan Dato Laksamana serta Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung - dulu mereka adalah Ketua-Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Pengarah di pelbagai Kementerian, Pengarah-Pengarah di pelbagai jabatan negeri – mereka semua telah

memiliki perlembagaan Islam kerana mereka adalah pemegang-pemegang amanah yang mempunyai akauntabiliti kepada Allah dan RasulNya”

”Tapi bagaimana pula dengan pemimpin bukan Islam, Tengku? Dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini, tidakkah mereka menimbulkan masalah?”

”OOO...Tidak!” Tengku Kamal Izzuddin Syah bernada tegas dan yakin.”Sekarang Tanah Melayu di bawah sinaran Cahaya Ilahi, Dr. Cahaya Ilahi menyimbahi seluruh dimensi dan ruang. Pemimpin bukan Islam sekadar pemimpin komuniti masing-masing. Mereka menguruskan hal-ehwal agama, soiobudaya dan kebajikan kelompok masing-masing dan tidak terlibat dalam penggubalan sistem dan dasar negara kecuali yang ada sangkut-paut dengan kepentingan dan kebajikan mereka. Walaupun begitu, mereka tidak tersisih atau disisihkan semasekali dari sistem perdana kerana mereka diberi hak untuk menyatakan pandangan dan memberikan buah fikiran”

Dr.Lleyton Hewitt mengangguk perlahan-lahan.Wajahnya kian ceria

“Setiap mereka tersebut – baik pemimpin Islam atau yang bukan Islam - adalah ketua yang mengetuai wilayah kekuasaan masing-masing di pelbagai peringkat – kementerian, jabatan, wilayah, daerah, mukim dan kampung. Sebagai ketua pentadbir dalam satu-satu wilayah kekuasaan, merekalah personaliti yang menjadi pusat tumpuan – merekalah pemimpin, pemimpin dalam wilayah kekuasaan masing-masing - sebagai perancang visi dan misi, penggubal peraturan, pembuat keputusan, imam solat, kalau sanggup, dan bahkan di antara mereka pula, ada yang diberi kuasa kehakiman bagi menegakkan keadilan Islam terutamanya kalau mereka seorang Penghulu dan Ketua Mukim atau Kampung”.

Dr. Lleyton Hewitt terus menerus mengangguk bila mendengar informasi yang buat pertama kali didengarnya dalam proses penstrukturan ketua dan pemimpin. Namun tiba-tiba nampaknya dia bertanya.

”Siapa yang melantik mereka, Tengku Kamal?”

”Siapa tidak penting, Dr. Yang penting ialah asas bagi pertimbangan untuk mengetuai atau menduduki jawatan tersebut iaitu akhlak. Akhlak yang sempurna (21).”

Dr.Lleyton Hewitt mengangguk untuk kali yang kesekiannya.

”Individu-individu yang memiliki akhlak yang terbaik dalam wilayah kekuasaan, akan dicalonkan oleh majoriti anggota-anggota qariah, dan nama-nama ini biasanya akan dilonjakkan ke peringkat atasan. Pegawai atasanlah yang akan membuat keputusan perlantikan. Kalau akhlak tidak beres, semua kriteria yang lain-lain termasuk ilmu, kelulusan, senioriti hatta pengalaman sekalipun tidak akan membuka laluan untuk menjadi penjawat-penjawat awam yang utama”

Dr.Lleyton Hewitt nampaknya ada sedikit kemusyikilan. Dia lalu mencelah dengan segera kerana khuatirkan Tengku Kamal Izzuddin Syah akan membuat huraian seterusnya atau memindahkan kepada topik baru.

“Sebentar tadi ada Tengku Kamal menyebutkan mengenai kuasa kehakiman”, Dr.Lleyton Hewitt bersuara.” Saya tertarik dengan isu ini iaitu bagaimana dan bolehkah seseorang penjawat awam biasa, atau dengan kata-kata lain, orang-orang biasa, orang-orang yang tidak mengetahui atau mempelajari selok-belok kehakiman dan undang-undang, diberi kekuasaan yang sangat memerlukan kesaksamaan dalam urusan kehakiman? Bagaimana mereka ini dapat berfungsi sebagai hakim sedangkan mereka, saya percaya, belum pasti boleh menguasai dan memahami prosiding mahkamah, dan boleh jadi juga jahil samasekali dalam urusan undang-undang apatah lagi kehakiman?”

Tengku Kamal Izzuddin Syah tersenyum. Senyuman untuk kesekian kalinya daripada Tengku Kamal Izzuddin Syah apabila Dr.Lleyton mengemukakan pertanyaan. Dia sudah cukup biasa dengan persoalan-persoalan seperti ini yang sentiasa sahaja diajukan oleh semua tetamu dari luar negara bila isu ini dibicarakan

“Keadilan Ilahi Dr….”, Tengku Kamal Izzuddin Syah memberi reaksi.” Keadilan Ilahi samalah seperti Perlembagaan juga, kerana apa-apa yang termaktub di dalam Al Quran – Perlembagaan dan prinsip Keadilan Ilahi - juga sudah termaktub di dalam jiwa orang-orang mukmin. Dan dalam hal ini Duli Yang Di Pertuan merupakan Ketua Hakim Negara, hakim tertinggi, menefestasi tertinggi Keadilan Ilahi kerana Bagindalah personaliti pilihan hasil ijmak syuraa, darjat yang tertinggi mengatasi sesiapa yang lain di seluruh Malaysia ini”

Tengku Kamal Izzuddin Shah masih dalam senyuman yang berseri.Dia melanjutkan.

“Dr.Lleyton jangan dikaburi oleh prosiding mahkamah barat.Barat telah menjadi begitu keterlaluan kerana menjadikan mahkamah seolah-olah memiliki kuasa ketuhanan. Hakim dimartabatkan dengan darjat dan taraf penghormatan sebagai manusia maha suci dan kudus. Urusan dan persidangan di mahkamah dinobatkan dengan sangat suci dan kudus. Masa persidangan sangat cerewat, berkerenah dan memakan waktu bicara yang sangat lama dan ruwet. Orang yang jelas bersalah tetapi dengan kekuatan berhujah hingga berupaya membuktikan tidak bersalah, boleh dilepaskan begitu sahaja walhal untuk apa ikrar berkata benar dilafazkan. Inilah bentuk keadilan palsu dalam sistem kehakiman versi barat. Yang jelas terbukti ialah hakikat keadilan tidak terlaksana juga; sedangkan dalam sistem mahkamah Islam proses keadilan dapat dijalankan dengan begitu mudah, rengkas dan menjimatkan masa, tidak memerlukan kos dan khidmat peguam, tetapi yang penting sekali memadai dikendalikan oleh seorang hakim yang adil mewakili Keadilan Ilahi Qadhi Rabbul Jalil”(22)

Pintu utama yang terlapang, tiba-tiba dibolosi oleh kereta kuning Waja Perdana V6MKS. Dr.Lleyton Hewitt yang duduk memang menghala ke arah tersebut dapat melihat dengan jelas, Tengku Kamal Izzuddin Syah dan keluarganya telah pun pulang. Cepat-cepat Tengku Kamal Izzuddin Syah keluar dari kereta bersama isteri dan anak-anaknya.Tengku Kamal Izzuddin Syah yang memang menyedari temannya itu lepak di taman, segera berjalan ke arah Dr.Lleyton Hewitt yang tersenyum riang menunggu ketibaannya.

“Maafkanlah saya Dr kerana meninggalkan Dr sendirian”, Tengku Kamal Izzuddin Syah bernada kesal.

”Kami agak terlambat Dr”

”Tak!”

”Maafkanlah kami. Imam Satu Masjid Perdana Cahaya tiba-tiba tak dapat hadir untuk majlis perasmian Persaudaraan Perpaduan Islam Sedunia pada pagi ini.Jadi terpaksalah abang menggantikannya”, suara Sharifah Aeinna Nadzrah sedikit kesal dan kecewa.

“Tak takut ….tinggal solang?”, tiba-tiba Tengku Puteri Hazirah Aeini pula menjadi

ramah lalu memegang lutut Dr.Lleyton.

“Tak!”, jawab Dr.Lleyton dan dia terus mendukung Tengku Puteri Hazirah Aeini yang begitu comel dibaluti – sama seperti kakak-kakaknya juga – oleh sepasang baju kurung berwarna hijau pucuk pisang itu.

“Tak mengapa Tengku Kamal. Tak mengapa Puan Sharifah.”Dr.Lleyton berkata pula dengan hormat kepada Tengku Kamal Izzuddin Syah dan isterinya.”Saya seronok sendirian sebentar tadi, terpegun berada di sisi kolam yang cantik ini sambil melihat ikan berenangan dan berebut makanan yang saya taburkan. Menarik dan asyek sekali…”

“Wah! Kalau begitu, Dr macam abang jugalah. Asyek dengan ikan”

“Seronok…..”, Dr.Lleyton berkata seterusnya.

Tengku Puteri Hazirah Aeinni diminta turun dari dukungan Dr.Lleyton apabila kerenahnya mengganggu perbualan. Kakaknya Tengku Puteri Farahana Aeinni diminta membawa adiknya ke dalam rumah.

“Dan…mengenai Majlis Persaudaraan Perpaduan Islam Sedunia tadi Tengku Kamal, bagaimana? Tentu menarik sekali?”

“Memang! Memang sungguh menarik! Pada tahun ini bilangan yang datang, luar biasa ramainya. Menurut Pengerusi majlis sambutan, semua negara-negara umat Islam di seluruh dunia menghantar perwakilan masing-masing pada kali ini”

“Untuk apa mereka datang ke sini?”

“Seperti Dr sendiri juga”

Dr.Lleyton mengangguk perlahan – memahami bahawa kedatangan mereka adalah seperti kedatangannya sendiri juga adalah untuk memahami konsep Cahaya - Cahaya Ilahi, Cahaya Kebenaran yang telah mulai bersinar terang dari ufuk Timur.

“Mereka akan bermastautin selama seminggu di Kota Cahaya dan akan dibawa melawat ke beberapa destinasi lain di seluruh Tanah Melayu sambil mengumpul kefahaman sebanyak mungkin mengenai Baldatun Toiyyibatun”, Puan Sharifah memberi maklumat yang diminta.

“Ada perwakilan dari Australia?”

Tengku Kamal Izzudin Syah menggeleng.

“Mungkin pada tahun hadapan kami akan mengundang wakil-wakil umat-umat Islam dari negara-negara blok Barat, USA, China dan lain-lain”

Dr.Lleyton Hewitt tiba-tiba merasa dadanya mengembang dengan kegembiraan bila mendengar maklumat itu.

Puan Sharifah Aeinna Nadzrah dan semua anak-anak kemudian masuk ke dalam rumah, kecuali Tengku Putera Muhammad Kamal Syah yang diminta menunggu sebentar kerana bapanya sedang menanggalkan kot dan tali lehernya. Bila anaknya beredar, tinggallah Dr.Lleyton Hewitt dengan Tengku Kamal Izzuddin Syah sahaja di bawah naungan kanopi di pinggir kolam itu. Mereka berbicara mengenai hobi mereka yang kebetulan sama iaitu memelihara ikan koi dan bagaimana menefestasi seni keindahan ciptaan Allah Taala dapat dinikmati melaluinya.Tapi tajuk itu disentuh sekadar sepintas lalu sahaja. Segera perbincangan mereka beralih kepada isu yang lebih serius iaitu menyambung perbincangan semalam mengenai dasar-dasar yang dilakukan oleh pentadbiran Kota Cahaya dalam menangani kemelut yang melanda kehidupan masyarakat Melayu pada era sebelum terbentuknya Kota Cahaya.

“Dunia sebenarnya sudah lama kelelahan dan lesu diurus tadbir oleh sistem-sistem Barat”, Tengku Kamal Izzuddin Syah meneruskan bicara memperjelaskan pandangan Dr.Lleyton Hewitt mengenai betapa perlunya order baru dunia disusun semula.”Semua negara-negara terjajah apabila ingin merdeka dari kekuasaan imperialisme, terpaksa menyalin sepenuhnya sistem barat sebagai syarat untuk merdeka. Dalam konteks politik, sistem demokrasi diperkenalkan.Dalam konteks ekonomi, sistem ekonomi liberal kapitalis dilaksanakan. Dalam konteks pendidikan, sistem pendidikan sekular dikuatkuasakan. Inilah - menurut dakwaan Barat, sistem-sistem terbaik untuk dunia moden. Setelah puluhan dan ratusan tahun sistem Barat mentadbir dunia, Dr dapat saksikan sendiri, apa yang telah terjadi kepada kehidupan dunia.”

“Seluruh dunia berada dalam bencana dan gerhana!”Dr.Lleyton menjawab pantas.”Manusia sekarang berada dalam lembah terkebawah dalam jurang kemusnahan darjat kemanusiaan!”, tambah Dr.Lleyton Hewitt bagaikan membuat kesimpulan.

”Ya!”, Tengku Kamal Izzuddin Shah begitu senang dan gembira dengan kesimpulan yang dibuat oleh Dr.Lleyton Hewitt tadi. ”Serangan sekularisme dan lain-lain ideologi Barat sangat berbisa sehingga sampai kini umat Islam masih juga terus-menerus terbelenggu. Mereka sampai sekarang dibelenggu dan terperangkap dalam gua kegelapan dan bagaikan tidak menjumpai jalan, untuk keluar daripada bayang-bayang Barat dalam membina rupa paras sebuah Negara Islam moden. Sebelum terlaksananya dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kota Cahaya, saya tak nampak apa-apa kelainan pun – dunia Barat dan Islam nampaknya sama sahaja. Apa kecurangan yang ada di Barat yang tidak ada di negara-negara umat Islam – monopoli dagangan, bank-bank korporat yang tamak haloba, amalan riba dan penindasannya, pelbagai cukai yang membebankan, denda dan kompaun yang tidak diizinkan, pelbagai kegiatan jenayah, kehidupan malam dan pelacuran, kegilaan dan fanatik kepada sukan, hiburan dan pesta-pestaan – dan apa pula kebaikan di dalam syiar Islam yang tak ada di negara-negara Barat, bahkan bagi saya ada perkara-perkara kebajikan dan aspek kesopanan yang nampaknya Barat dan orang-orang bukan Islam, lebih Islamik berbanding dengan negara-negara umat Islam dan orang-orang Islam sendiri. Jadi bagaimana sebenarnya acuan sebuah Negara Islam itu?”.

Puan Sharifah Aeinna Nadzrah tiba-tiba muncul semula sambil menatang satu dulang jus mempelam kampung dan goreng buah sukun. Dia masih rapi dengan pakaian tadi.Sepasang baju kurung sutera hitam berbunga merah

“Jemput minum Dr”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah mempelawa.”Ini goreng buah sukun. Pernah makan?”

Dr. Dr.Lleyton terkebil-kebil.

“Tentu belum. Ini buah tempatan yang memang tidak ada di Australia”, Tengku Kamal Izzuddin Syah pula yang tiba-tiba menjawab.

Mereka mulai minum.Dr.Lleyton ternyata menggemari goreng sukun yang masih panas dan rangup itu.

“Sistem barat memang telah begitu lama membawa bencana kepada kehidupan dunia”, Tengku Kamal Izzuddin Syah menyambung bicara setelah selesai menelan sukun yang dikunyah.”Sistem ekonomi kapitalis umpamanya - membawa bencana dalam ekonomi. Matlamat untuk meraih untung berganda menjadikan pengamal kapitalisme, terutamanya bank-bank perdagangan dan syarikat-syarikat kewangan begitu tamak haloba, dengan mengamalkan penindasan riba. Mereka selalunya tidak berhemah, tidak bertimbang rasa dan tidak belas kasihan kepada para peminjam. Tidak terkecuali juga badan-badan korporat, syarikat-syarikat gergasi, usahawan dan para peniaga. Mereka terus maju dan mewah – untung berganda di bawah naungan kapitalisme, tetapi rakyat ramai…..”

Dan Tengku Kamal Izzuddin Syah tidak meneruskan.Kepalanya menggeleng-geleng.

“Bagi saya Tengku Kamal, istilah yang sesuai untuk digunakan ialah rakyat jelata terus menerus teraniaya dan tertindas, dihisap lintah darat kapitalisme yang mengakibatkan jurang kekayaan semakin melebar. Para kapitalis terus selesa membina empayar harta benda meninggalkan rakyat bawahan terus berada dalam belenggu kemiskinan”

“Inilah yang amat berlainan dengan dasar-dasar Kota Cahaya”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah mencelah.”Prinsip Keadilan Ilahi yang merangkum sama dasar kebajikan, pemurah dan kasih sayang melumpuhkan apa jua bentuk kezaliman dan penindasan. Ini sekaligus membuka ruang yang seimbang kerana kerajaan tidak lagi melihat aspek keuntungan dalam bentuk ringgit tetapi sebaliknya aspek kebajikan dan kasih sayang untuk rakyat yang menjadi prioriti. Rakyat dan peminjam tidak terbeban lagi oleh riba kerana polisi kebajikan dalam Keadilan Ilahi dengan sendirinya menamatkan sistem ekonomi kapitalisme”

“Kami longgarkan… kawalan sistem ekonomi tersebut”, Tengku Kamal Izzuddin Syah pula bersuara bagaikan memperbetulkan kenyataan isterinya.”Kota Cahaya memperkenalkan konsep bank berimej baru, bank tajaan kerajaan iaitu Bank Pembangunan Peniaga Kecil dan Sederhana - itu permulaannya - yang dibentuk pada suku ketiga dekad pertama – bank kerajaan yang berkonsepkan baik hati, pemurah, belas kasihan, bertimbangrasa dan tanpa riba yang sekaligus merombak fungsi bank. Bank berimej baru ini seolah-olah menjadi seorang sahabat kaya yang pemurah, rakan kongsi bersama peminjam, yang bukan bermatlamat mencari untung semata-mata, tetapi rakan kongsi dalam usahasama demi memastikan projek yang dijalankan berjaya sehingga peminjam boleh berdikari”

“Dan yang lebih utama juga Dr”,Puan Sharifah Aeinna Nadzrah tiba-tiba menyampuk lagi. “Bila sistem bank ini diperkenalkan, bank-bank perdagangan yang sedia ada tak mampu bersaing.Dasar-dasar ini menjadikan badan-badan korporat, syarikat-syarikat gergasi, peniaga-peniaga pasaraya terpaksa menyesuaikan diri dengan senario baru atau menghadapi resiko tersisih dan dipulaukan oleh rakyat ramai. Dasar kebajikan, pemurah, kasih sayang dan berbagai-bagai prinsip-prinsip murni dalam Dasar Keadilan Ilahi ini menjadikan kekayaan negara beralih kepada tangan rakyat, berlainan dengan scenario sebelumnya, kek kekayaan negara berkumpul di tangan segolongan kapitalis dan kerajaan”(23)

“Ini fenomena sedunia!”, Dr. Lleyton Hewitt mencelah.”Majoriti rakyat dibiarkan berpuas hati dengan hidup sekadarnya – bahkan kalau di Afrika dan negara-negara miskin di Asia, dibiarkan hidup melarat dan kebuluran, sementara beberapa gelintir di antara kapitalis tidur di dalam gumpalan ringgit dan kemewahan yang tiada sempadan. Memang benarlah – berdasarkan pengamatan dan kajiaan - kekayaan dunia diboloti atau dikongsi bahkan disembunyikan oleh beberapa gelintir di antara mereka”

“Kesan yang menakjubkan juga di Malaysia Dr ialah kadar hidup turun dengan serta merta.Rakyat menjadi mewah dengan tiba-tiba apabila kuasa beli di tangan rakyat menjadi teguh dan kadar hidup menjadi rendah”

“Demikianlah sifatnya cahaya…..Sinarnya menerangi kegelapan”, Puan Sharifah Aeinna Nadzrah bagaikan menghuraikan kembali konsep cahaya yang pernah ditanyai oleh Dr.Lleyton Hewitt kepada suaminya dahulu.

“Dengan begitu runtuhlah dengan sendirinya kuasa jahat kapitalisme di Malaysia…. ”, Dr.Lleyton Hewitt bagaikan membuat kesimpulan.

Waktu sekarang telah pukul 11.00 pagi. Mereka menamatkan perbualan kerana Tengku Kamal Izzuddin Syah dan Dr.Lleyton Hewitt perlu bersiap-siap untuk solat Jumaat.

14. -`(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun’ – Saba’: 15.

15. Silalah baca kesah-kesah indah dan amat meruntun jiwa akhlak Khulafa’ Ar Rasyidin ra termasuk Khalifah Umar bin Abdul Aziz ra pada zaman Umaiyyah yang seharusnya menjadi contoh teladan kepada para pemimpin Islam.

16. ‘Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah untuk Allah Tuhan Semesta Alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kerana itu aku rela diperintah, dan aku ini adalah termasuk golongan orang Islam’

17. `…dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah (perbuatan-perbuatan) keji dan munkar – Al Ankabut: 45

- `Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya’ – Al Maun:4-5.

- Bersabda Nabi saw:`Berapa banyak orang yang menegakkan solat, memperoleh letih dan payah sahaja dari solat” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal. 547

- Bersabda Nabi saw: ` Barangsiapa tidak dicegah solatnya dari perbuatan yang keji dan munkar, maka tidaklah dia bertambah dekat kepada Allah melainkan bertambah jauh’ – Ihya Ulumiddin Jld. 1 hal: 547.

18. -`Sebenarnya Al Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu’ – Al Ankabut: 49

19. -`Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu’ – Asy Syams:7-10

-`Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya dia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kembali(mu)’ – Faathir : 18

20. `dan sesungguhnya merugilah orang-orang yang mengotorinya’ – Asy Syams: 11

21. - `Perangai yang baik adalah akhlak Allah Yang Maha Agung’ – Mukashafah Al Qulub’ hal 360

- Kamu yang lebih aku cintai dan paling dekat tempat duduknya denganku di hari kiamat adalah yang terbaik akhlaknya ‘ – Mukashafah Al Qulub hal: 361.

- Sesungguhnya seorang hamba Allah itu akan sampai yang tinggi dari darjat akhirat dan kemuliaan pangkat disebabkan kebagusan akhlaknya, dan dia itu sesungguhnya lemah dalam peribadatan – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal.

- Yang paling berat dari apa yang diletakkan dalam timbangan di Hari Kiamat ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal.

22. -`(iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari perbuatan yang munkar, dan kepada Allah lah kembali segala urusan’ – Al Hajj: 41

- Orang bertanya kepada Nabi saw:`Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang terbaik?’ Rasulullah saw menjawab:` Tiap-tiap orang mukmin yang hatinya makhmum’. Lalu orang itu bertanya pula:`Apakah hati yang makhmum itu?’. Rasulullah saw menjawab:` Iaitu orang-orang yang takwa, hatinya bersih, tak ada padanya penipuan, kedurhakaan, pengkhianatan, kedengkian dan hasutan’ – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal. 38.

23 -`Jika sekiranya warga sesebuah negara itu beriman dan bertakwa kepada Allah, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya’ – Al A`raaf: 96