27 September 2011

10. Pilihanraya Adalah Peperangan?

Pada hakikatnya pilihanraya adalah suatu peperangan iaitu peperangan dalam aman. Dalam keadaan aman dan dikawal oleh peraturan dan undang-undang, perbezaan pendapat, pandangan, halatuju dan matlamat biasanya akan dirungkaikan secara lisan dan hujah. Apabila perbezaan pendapat dibincangkan dalam keadaan emosi yang terkawal dan secara profesional, biasanya jalan keluar adalah teratur dan terkawal.

Tetapi andaikata perbezaan pendapat berlangsung dalam suasana penghujahan yang penuh emosional, tegang dan keras; lebih-lebih lagi dalam keadaan menegak benang basah dan enggan menerima kebenaran, bisa sahaja akan terjadi sengketa, perbalahan, permusuhan dan akhirnya pergaduhan dan seterusnya peperangan.

Parti-parti politik yang berjuang untuk Islam seperti PAS wujud di seluruh dunia Islam dan mereka sama-sama berjuang secara aman dalam proses pilihanraya untuk menghakis sistem Yahudi yang menindas dunia Islam. Dalam suasana aman berbagai-bagai tuduhan diemparkan oleh Yahudi, Barat dan Amerika.Mereka – terutama ulama dituduh golongan yang menggunakan agama untuk politik dan kepentingan diri, mereka dituduh membawa perpecahan ummah, mencampur-adukkan agama dengan politik, mereka membawa ajaran sesat, mereka mahu memundurkan umat dan berbagai-bagai tuduhan lagi. Pejuang-pejuang Islam baik di medan demokrasi atau di medan tempur adalah ekstremis dan pelampau agama pada anggapan mereka, rangkaian al Qaeda, Rangkaian Osama bin Laden dan sebagainya. Golongan Islam dilabelkan dengan berbagai-bagai tuduhan seolah-olah mereka adalah kumpulan orang yang tidak bertamadun, barbarian, Khawarij, Wahabi, Syiah dan sebagainya.

Bacalah sirah Rasulullah saw betapa sunnah adalah tidak berubah. Rasulullah saw ditentang, ditindas, dipencilkan bahkan diusahakan untuk dibunuh setelah dilabelkan dengan berbagai-bagai label yang buruk. Inilah sunnah dalam menegakkan kebenaran.Yang menegakkan kebenaran akan ditentang secara ekstrim oleh musuh-musuh Islam!

Isu inilah yang menyalakan api sehingga memungkinkan keadaan yang kadang-kadang tidak terkawal sewaktu kempen pilihanraya kerana pada hakikatnya dan demi sesungguhnya,pilihanraya adalah peperangan! Peperangan antara golongan yang haq dengan yang batil, antara parti Allah dengan parti syaitan dan antara pendukung Sunnah Allah dan RasulNya saw dengan pendukung ideologi Barat Yahudi di medan perang fisabilillah dengan menggunakan pedang-pedang pensel di kertas-kertas undi berlambangkan bulan purnama, dacing, bulan sabit dan roket.

.

20 September 2011

9. Kenapa Mesti Mengundi?
Undi anda adalah diri anda! Diri anda yang anda istiharkan untuk membuat pilihan dan keputusan. Ertinya kertas undi anda adalah wakil diri peribadi anda yang akan dikira untuk menentukan siapakah yang akan menang iaitu samada calon yang akan melaksanakan sistem Islam atau mengekalkan sistem Yahudi. Sekiranya calon yang anda pilih calon yang suka dan cenderung melakukan maksiat dan kemungkaran, anda akan bertangungjawab dalam menyuburkan maksiat dan kemungkaran.Kalau anda memilih pemimpin yang mempertahankan kezaliman sistem Yahudi dan melakukan berbagai-bagai strategi untuk menyekat perlaksanaan sistem al Quran dan as Sunnah, anda akan juga bertanggungjawab di hadapan Qadhi Rabbul Jalil di akhirat nanti!
Kalau anda tidak mahu mengundi atau anda membuat fatwa sendiri bahawa mengundi hanyalah sekadar pilihan sahaja, anda adalah punggur yang tidak berguna apa-apa dan elok ditebang sahaja untuk dijadikan kayu api. Tapi kalau anda mengundi untuk menyekat kebangkitan sistem Islam, biarlah anda jadi punggur atau kayu mati sahaja, kerana dengan menjadi punggur, anda terlepas dari soaljawab di Yaumil Mahsyar kerana memberi saham kepada terhalangnya kebangkitan sistem Islam.
Dengan demikian menyertai pilihanraya dan memberi undi untuk menegakkan negara Islam dengan sendirinya adalah wajib. Keengganan untuk mengundi dan menyertai pilihan raya adalah perdayaan dan kejayaan iblis sehingga umat Islam bercempera dan bersepahan dan ini memberi bonos percuma kepada musuh Isam. Kalau semua umat Islam bersatu, dan memberi undi kepada pemimpin Islam yang berjuang menegakkan sistem Islam, Islam sudah tentu boleh ditegakkan melalui pilihanraya. Ini sudah terbukti!

15 September 2011

8. Antara Syuraa dan Demokrasi


Kaedah memilih pemimpin dalam Islam sebenarnya melalui Sistem Syura. Ahli Majlis Syura adalah sekumpulan yang terbaik dalam masyarakat.Mereka adalah yang terbaik agamanya. Merekalah yang akan mengundi untuk memilih pemimpin utama yang terbaik sebagaimana mereka dipilih menganggotai Syura kerana mereka dipilih oleh orang-orang yang terbaik agamanya.

Inilah yang membezakan undi secara syura dengan undi pilihanraya versi Barat. Orang Barat memberi hak kepada semua warganegara yang berusia 21 tahun untuk memilih pemimpin. Justru dalam keadaan masyarakat yang telah rosak, atau orang-orang muda yang belum matang, apatah lagi kalangan anak-anak muda yang alpa dan liar, pemimpin-pemimpin yang baik tidak akan mendapat suara majoriti. Pemimpin yang memenuhi citarasa majoriti masyarakat yang telah rosaklah yang akan dipilih untuk menjadi pemimpin. Nabi Muhammad saw sendiri tentu tidak akan terpilih menjadi Nabi dan Rasul kalaulah Baginda saw dipilih melalui kaedah yang sama. Inilah kelemahan demokrasi Barat yang diamalkan di negara ini.

Usaha untuk melahirkan pemimpin yang baik, memerlukan dilahirkan terlebih dahulu masyarakat yang baik. Melahirkan masyarakat yang baik inilah tugas dakwah. Justru dakwah sangatlah penting dalam politik Islam dan inilah antara tugas keagamaan yang terutama. Inilah hikmahnya berpolitik walaupun di atas landasan demokrasi.Inilah yang PAS usahakan sejak sekian lama tetapi sistem pendidikan sekular – dibantu pula oleh media massa dan sistem hidup yang berpaksikan Barat - yang dijalankan oleh UMNO, ternyata lebih berkuasa dari PAS yang serba lemah dan kekurangan termasuk sekatan dan halangan oleh pemerintah.Lahirlah lebih ramai pemimpin yang rosak dan rendah akhlaknya dalam masyarakat yang sangat sekular, liberal dan materialistik.

11 September 2011

7. Mengundi Jerat Yahudi?

Ada kalangan yang tidak mahu mengundi dan terlibat dalam pilihanraya.Isunyaadalah kerana wang cagaran. Wang cagaran dianggap sama seperti judi. Menyertai pilihan raya dikatakanterperangkap dengan jerat Yahudi. Benarkah demikian?

Ada juga pendapat mengatakan pilihanraya tidak datang dari sunnah. Mengundi juga tidakdatang dari sunnah. Oleh kerana itu pilihanraya dan mengundi bukannya sunnahRasulullah saw, maka tidak perlumenyertai pilihan raya. Mereka memfatwakan demokrasi adalah haram lantasharamlah menyertai demokrasi pilihanraya.
Persoalannya apakah kalau pilihanraya tidak bersumber dari sunnah, lalu umat Islam tidak usah terlibat dalampilihanraya?

Bahawa sesungguhnya fatwa sedemikianmerugikan Islam kerana ada sejumlah yang ramai yang tidak membantu untukmenewaskan musuh Islam dalam suasana yang disediakan. Inilah kejayaantipu-helah iblis sebagaimana dihuraikansebelum ini.

Wang cagaran bukanlah wang pertaruhan.Berbeza dengan wang judi yang sememangnya wang pertaruhan. Wang cagaran dalam pilihanrayabukan untuk berjudi, dan tidakmenjadikan anda papa kedana seperti perjudian, kerana kalau anda tidak ada wang, anda tidakperlu bertanding walaupun sekadar sebagai seorang calon bebas.

Wang cagaran untuk bertanding dalam pilihanraya sebenarnya sama saja denganwang cagaran dalam konteks yang lain yang diizinkan oleh syarak. Anda membayarsejumlah wang sebagai cagaran untuk mendapatkan sesuatu. Ada perjanjian di situyang perlu sama-sama dipersetujui iaitu samada wang dipulangkan sepenuhnya ataudipulangkan sebahagiannya kalau anda gagal atau memungkiri perjanjian.

Demikianlah juga pilihanraya. Cuma bezanya pilihanraya adalah soal izindalam paksa. Anda dipaksa dan terpaksa menyetujui syarat-syarat yang andasamasekali tidak mempersetujuinya. Biasalah kalau masuk ke rumah orang,terpaksalah akur dengan adat empunya rumah. Inikan pula rumah sekularisme demokrasiYahudi! Anda telah disyaratkan bahawawang cagaran pilihanraya tidak akan dipulangkan seandainya anda kalah denganmajoriti yang besar. Di sinilah anda seakan-akan terperangkap. Tapi patutkahanda melarikan diri dari pilihanraya semata-mata kerana mengelak dariterperangkap kepada syarat-syarat yangtidak adil, tetapi dalam masa yang sama andasanggup membiarkan negara anda ditadbir sewenang-wenangnya oleh musuh anda?Patutkah?

Inilah soal izin dalam paksa. Umat Islam dipaksa! Tetapi apakah anda rela?Inilah isunya. Antara rela dengan tidak rela oleh terpaksa adalah dua isu yangberbeza. Berdosakah anda dalam keadaan anda tidak rela? Berdosakah anda yangbukan menjadi penganut yang berjuang untuk demokrasi, tetapi menggunakan demokrasisebagai alat untuk meraih kuasa bagi melaksanakan Islam?

Inilah hebatnya mengetahui rahsianiat di sisi Allah.Ada orang berdosa kerana niat dan ada pula orang mendapatpahala berganda kerana niat yang mulia.

06 September 2011

6. Bolehkah Kerajaan Islam Dibentuk Tanpa Melalui Pilihanraya?

Dalam konteks Malaysia, dalam suasana negara aman damai sejak sekian lama, memanglah hampir mustahil melaksanakan sistem pemerintahan Islam tanpa melalui plihanraya. Untuk menegakkan sistem Islam, jalan yang disediakan oleh sistem Yahudi dalam Perlembagaan Malaysia yang diamalkan oleh UMNO ialah melalui pilihanraya.


Maka kalau hukum menegakkan negara Islam bagi melaksanakan sistem Islam adalah wajib, dan satu-satunya jalan yang ada ialah dengan menyertai pilihanraya, bererti menyertai pilihan raya adalah wajib. Jika pilihanraya memerlukan umat Islam menubuhkan parti poltik, supaya pilihanraya dapat disertai sama, maka parti politik Islam wajib ditubuhkan. Apabila parti Islam telah ditubuhkan, semua umat Islam yang bercita-cita mahu menegakkan sistem Islam, wajib menjadi ahlinya dan dengan demikian haram menganggotai parti-parti lain yang tidak bermatlamatkan Islam. Inilah jalan yang lurus dalam berpolitik.

Darul Arqam sebelum ini memilih jalan yang lain. Arqam bermegah untuk merebut hati, bukan merebut kerusi, tapi akhirnya gagal merebut hati pemimpin Mulkan Jabbariyyan, dan bila Ustaz Ashaari Muhammad cuba mengacah merebut kerusi Perdana Menteri pada suatu ketika dahulu, Arqam dan Ashari lantas dianggap mengancam keselamatan negara. Ashaari terpaksa lari bersembunyi ke Thailand dan akhirnya Arqam diharamkan dan Ustaz Ashaari Muhammad di ISAkan.

Kini Hizbut Tahrir pula bagaikan mengikut trek yang terbukti gagal. Kedua-dua golongan ini bersangkaan, UMNO atau Barisan Nasional akan menyerahkan kuasa kepada mereka untuk menubuhkan Sistem Khilafah. Inilah angan-angan! Inilah khayalan! Maafkanlah saya berkata begitu. Analoginya, kalau mahu menuju ke Putrajaya, logiknya mestilah melalui jalanraya yang telah disediakan. Ironiknya kenapa Arqam dan Hizbut Tahrir tidak mahu mengikut jalan yang telah tersedia? Kenapa berusaha menempuh jalan lain atau cuba membina jalanraya lain, lalu merayau ke dalam hutan, menongkah bukit, meredah lembah dan paya sedangkan jalan ke Putrajaya telah tersedia? Tidakkah itu sia-sia dan membuang masa? Kenapa mengikut jalan lain yang tidak ketahuan sedangkan itulah satu-satunya jalan yang telah disediakan walaupun ia dibina oleh musuh! Perangilah musuh di jalan itu! Buat apa lari? Tidakkah perdayaan namanya?

Bahawa sesungguhnya kalau semua umat Islam bersatu dan bergerak bersama PAS, kerja PAS lebih senang kerana hanya akan menghadapi musuh yang sama dan nantinya apabila mencapai kemenangan sama-samalah bekerjasama melaksanakan Islam.Tapi PAS menjadi letih kerana menghadapi serangan dari kumpulan yang sepatutnya menjadi rakan! Demikianlah yang terjadi pada zaman kegemilangan Darul Arqam dahulu yang seolah-olah PAS musuh yang utama!

Maafkan saya, sesungguhnya iblis memang mempunyai muslihat dan tipu helah yang licik.Mereka sedaya mungkin akan mengusahakan perpecahan, sengketa dan perbalahan. Kepada golongan yang agak rendah ilmunya, ada strateginya.Kepada orang berilmu ada juga strateginya.Kepada ahli ibadah ada strateginya.Kepada ahli Tasauf lain pula strateginya. Tasauf adalah ilmu simpanan dalam jiwa para Nabi dan Rasul serta para auliya Allah dan alim ulama warasatul ambiya. Iblis mengheret salik dalam jalan kerohanian dengan begitu licik sekali.

Silalah teroka blog KANZUN MAHFIYYAN di bawah tajuk RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA. Ada banyak iblis di situ, bersembunyi atas nama ilmuan Tasauf dan Ketuhanan! Boleh juga dapatkan dari buku BERGURU DENGAN JIN untuk mengetahui pengalaman kami dalam pencarian Ilmu Tasauf terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan yang bakal diterbitkan penghujung tahun 2011 nanti.