27 Julai 2010

58. Silat Rohani.

Agak lama – berbulan-bulan menguruskan kesah Yim dan Orang Payang. Dengan begitu berbulan-bulanlah latihan silat Panglima Hitam tergendala.

Penghujung tahun 1977 masa berpencak begitu terganggu sebab kami berlima diancam oleh berbagai-bagai gangguan – bomoh Bukit Tajau, Bomoh Jerantut, Bomoh Penggarang dan yang lebih dahsyat ialah Orang Payang. Kami beranggapan inilah ujian untuk kami sebelum muncul sebagai panglima, sebagaimana pernah diramalkan oleh seseorang yang boleh memanggil syeikh pada waktu awal-awal perkenalan dengan tok dahulu, bahawa di Negeri Pahang akan muncul tak lama lagi enam orang panglima.

Bila Saedah telah dapat dipulihkan ingatannya, baharulah Yim juga dapat dipulihkan. Walaupun demikian, tok berpesan supaya cucunya itu tetap perlu dijaga jiwanya.Jangan biarkan dia susah hati.Jangan biarkan dia dalam lamunan, kerana kalau jiwanya terganggu, kemungkinan penyakit lamanya akan berulang kembali.

Bila keadaan telah menjadi aman, bila semua halangan, gangguan atau ujian tersebut telah dapat diatasi, dan bila ziarah pahlawan silam telah selesai dilakukan, baharulah kami semua ada masa yang selesa untuk menyambung latihan pencak.

Kami bersama Panglima Hitam sekarang setelah sekian lama tidak ada masa untuk berada dalam suasana seperti ini.

`Tok telah mengadap Mahaguru’, tok memulakan bicara.`Tok memohon supaya cucu-cucu semua dikurniakan silat rohani’.

Tok Itam memberikan kenyataan yang mengejutkan kami. Tapi tentulah teramat menggembirakan tentunya.

`Tiga kali tok mengadap Mahaguru. Tok berikan berbagai-bagai alasan. Yang paling utama ialah masa untuk belajar seperti dahulu sudah tak ada lagi’.

`Betul tok’, aku menyokong.

`Kalau cucu berjaya masuk ke universiti pada tahun ini, tentulah bertambah sukar’, Wan pula menyokong dengan begitu gembira akan saranan tok itu.

`Sebab itulah tok mengadap Mahaguru. Kalau belajar silat biasa, bila nak habis?’

Kami teramat gembira dengan perkembangan terbaharu kini.Ini tuah berganda.Belajar silat dengan tok adalah tuah kerana tok mengatakan silatnya yang kami pelajari dahulu walaupun hanyalah sebuah silat biasa, tapi sukar untuk ditundukkan oleh lawan. Kini kami dianugerahi pula silat luar biasa, tentulah bertambah ampuh jadinya.

Keputusan STPM sebenarnya baharu sahaja diketahui. Wan mendapat dua principal dan dua subsidiary iaitu B bagi Bahasa Melayu, C bagi Sejarah Malaysia dan subsidiary bagi Sejarah Islam dan Geografi. Keputusan tersebut melayakkannya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Aku pula dapat B bagi Bahasa Melayu dan E bagi Sejarah Islam, tetapi tidak cukup subsidiari kerana gagal dalam Geografi walaupun Kertas Am dapat 3 dan lulus subsidiari dalam Sejarah Malaysia. Keputusan ku itu mungkin tidak layak untuk menyambung pelajaran walaupun aku mencuba juga membuat permohonan. Piei bernasib malang sekali.

Teman-teman kami sewaktu menyewa rumah hijau pada permulaan bertugas di Raub dahulu telah membawa haluan masing-masing. Jonet menjadi perintis dan perangsang kami kerana terus sahaja berjaya melanjutkan pelajaran di USM. Bakar pula telah berumahtangga dengan Cikgu Rozita dan hidup bahagia di rumah sewa mereka.

`Tok beritahu juga Mahaguru, gelanggang di dalam rumah menyakitkan sehingga cucu Hamdi keluar sebelum ini. Jadi Mahaguru pun nak kenallah cucu-cucu semua yang akan dianugerahkan silat rohani’.

`Jadi dia nak datangkah tok?’

`Tidak. Belum sampai masanya lagi. Tapi dia tengok cucu-cucu semua melalui mata tok’

Kami terkagum dengan penerangan itu. Betapa hebatnya Mahaguru boleh melihat kami semua melalui mata Panglima Hitam.

`Kalau cucu diberikan silat rohani nanti, bagaimana dengan silat tok sebelum ini?’ aku cuba mendapatkan kejelasan.

`Tinggalkan sahaja’, Tok Itam menjawab.`Bila sudah mendapat silat ini, cucu semua tidak memerlukan lagi silat itu. Cucu semua akan jadi macam cucu Rahimlah’.

`Maksud tok?’

`Tak payah berlatih seperti dahulu. Cuma niat dan berdoa sahaja meminta persilatan’

Kami cukup gembira. Yim dalam apa-apa jua keadaan lengkap dengan sistem serangan dan pertahanannya. Dalam sekelip mata sahaja dia boleh memencak sehingga ke paras maksima.Kami memang mengaguminya dan bagi kami, Yim seakan-akan tidak ada tandingannya!

`Cucu Rahim ada pengapit, tok. Apakah kami juga akan mendapat pengapit seperti cucu tok itu?’

`Sama’, tegas nada suara tok.

Kami memandang tok dengan hati gembira.Setahu kami – tok juga yang menerangkan – bahawa tok pun ada pengapit di kanan dan di kirinya. Pernah dalam suatu keperluan – sebenarnya beberapa kali - untuk mencari/mengetahui sesuatu, tok mengutuskan pengapitnya pergi dan sejurus kemudian kami mendapat jawapan-jawapan yang kami kehendaki.

Demikianlah juga Yim sewaktu saat mula berkenalan dahulu. Dia mengutuskan pengapit kanannya kepada seseorang – dalam konteks waktu itu ialah Zaharah Hamid – dan melaluinya disampaikan khabar kepada pengapit kiri yang langsung kemudiannya menyampaikannya kepada Yim.

Melalui proses seperti itu kami dapat mengetahui apa yang sedang berlaku atau dilakukan oleh seseorang.

`Kalau cucu tak percaya cucu ada pengapit, cucu boleh uji. Bila cucu menerima silat rohani nanti, pergilah berjalan di kawasan yang banyak daun-daun yang kering. Cucu berjalanlah dengan pantas. Berlari pun tak apa. Kemudian cucu berhentilah dengan tiba-tiba.Nescaya cucu akan dengar bunyi daun kering bagaikan masih dipijak walaupun cucu telah berhenti’

`Tak bolehkah kami melihat mereka?’, Wan bertanya.

`Bila sampai masanya, dato-dato pun boleh dilihat.Insyaallah’

`Bagaimana pula mengenai perubatan, tok? Bolehkah kami berubat macam cucu Rahim?’, Dol bertanya.

`Perubatan tak ada.Tapi cucu boleh mengubat diri sendiri terutama semasa atau setelah bertempur. Bila cucu cedera, cucu boleh berubat sendiri. Atau kalau semasa bertarung cucu terkena pembisa oleh serangan musuh, cucu boleh berubat sendiri’.

`Bagaimana caranya?’

`Niatkan sahaja’

Tok Itam seterusnya menerangkan keistimewaan silat rohani berbanding silat biasa.

`Cucu semua sungguh bertuah kerana akan dianugerahi silat ini. Kalau sebelum ini cucu sendirilah yang bersilat dan berhempas-pulas untuk menundukkan musuh, tetapi sekarang cucu-cucu cuma perlu berniat dan berzikir sahaja. Dengan berzikir cucu akan memberi ruang kepada para panglima yang sedang berterbangan yang sentiasa bersiap-siaga untuk membantu cucu. Cucu tidak akan berasa penat bila bertembung musuh. Cucu cuma berasa penat apabila semua musuh telah ditewaskan’

Kami bertambah kagum jadinya.

`Sekarang tok nak tanya.Silat siapa yang cucu mahu?’

`Maksud tok?’

`Tok boleh ijazahkah silat tok, kalau cucu mahu. Tapi kalau cucu mahu Silat Hang Tuah boleh juga. Silat Jebat, pun boleh’

Kami lantas berpandangan sesama sendiri. Menurut keterangan Yim sebelum ini, inilah tiga persilatan panglima Melayu yang terhebat.Masing-masing ada kelebihan dan kehebatan tersendiri.

`Cucu mahu tanya, kalau cucu terima ijazah dari tok, apakah cucu semua akan menerima juga ijazah persilatan dan panglima-panglima yang lain?’

`Cucu akan terima semuanya’

`Maksud tok?'

`Bukan silat Hang Tuah dan Hang Jebat sahaja?’

Tok Itam mengangguk.Mendengar maklumat itu aku merasakan bagaikan bakal memiliki seluruh kekuatan panglima.

Tok Itam kemudiannya lantas memberikan beberapa arahan supaya kami menyediakan beberapa barang dan peralatan yang diperlukan bagi menerima ijazah persilatannya yang merupakan silat rohani pertama yang kami bersetuju dijadikan sebagai permulaannya.

26 Julai 2010

57. Habib Noh

Ini adalah kali keempat Tok Syed Noh datang. Tok Syed Noh bila datang khas untuk membimbing kami dalam soal-soal agama.

Tok telah datang sebanyak dua kali sewaktu sebelum kembara dahulu. Kali ketiga ialah sewaktu berada di dalam hotel di Johor Baharu.

`Cucu jangan lupa zikir’, tok bepesan.`Asuh hati untuk berzikir. Ingatlah Allah pada sepanjang masa’

`Kalau waktu di dalam tandas, bolehkah berzikir tok?’

`Boleh. Tapi zikir hati’

`Zikir apa?’

`Allah.Allah’

Tok Syeh Noh orangnya lemah-lembut.Bila dia bercakap, dia bercakap dengan hati-hati.Dia tidak ada seloroh.Bila dia bercakap, bicaranya adalah ilmu.

`Yang paling perlu dijaga ialah hati, cucu.Biasakan hati supaya tidak bercabang.Biar sentiasa lurus. Cara mengasuh hati bermula dengan mengambil wudhuk.Bila selesai berwudhuk, cucu bacalah doa wudhuk. Selepas itu jangan bercakap-cakap lagi.Jangan pergi ke mana-mana lagi. Jangan toleh kiri dan kanan lagi. Teruslah sahaja ke tikar sembayang dengan hati yang berzikir Allah, Allah, Allah.Inilah cara meluruskan hati’

Kami semua mendengar dengan cermat penerangannya.

`Bila berdiri di tikar sembahyang, cucu jangan ingat apa-apa lagi.Kosongkan fikiran. Teruskan zikir dan selepas itu bertakbirlah’

Tok Syed Noh lalu menunjukkan cara takbir yang betul.Bagaimana duduknya jari-jemari dan tapak tangan di cuping telinga.

`Sekarang tok nak tanya di mana Allah hu Akhbar ketika bertakbir?’

Lalu kami semua diminta seorang demi seorang membuat latihan takbir ratur ihram iaitu lafaz Allah ketika kedua-dua belah tangan di cuping telinga dan Akhbar ketika kiam.

`Tok nak tanya pula di mana Allah hu Akhbar ketika rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud dan berdiri betul. Di mana Allah di mana Akhbar?’

Lalu Dol diminta mencubanya. Kemudian Piei pula. Tapi tok kata kedua-duanya kurang betul.

Ketika lafaz Allah, tekan dalam-dalam cucu.Allahhhhh....Di sini’, sambil menunjukkan kalbu.`Dan teruskan: Allahhhhh..hingga tiba...bila dahi mencecah sejadah...barulah Akhbar’

Tok menerangkan.

`Sebab itulah tok tengok macam-macam cara orang sekarang bersembahyang’, tok berkata bagaikan membuat rumusan.

`Macam-macam....Begitu juga masa kiam. Ada orang letak di rusuk kiri, ada letak di perut, ada letak di pusat dan dan pula di dada. Jadi mana satu yang betul?’, kami ditanya. Tapi mata kami terkebil-kebil sahaja.

`Sebab itulah kena belajar cucu.Bukan ikut-ikut....Sebab itulah sembahyang perlu belajar dengan betul, supaya betul tertibnya, bukan ikut-ikutan. Orang sekarang kebanyakannya sembahyang ikut-ikutan sahaja’

Dan dalam kunjungannya pada kali ini kami diajar tertib yang betul dan halus sewaktu melakukan solat mengikut tuntutan kiblat tubuh dan kiblat hati.

`

19 Julai 2010

56. Mengesan Jejak Pahlawan.

`Pakai tali pinggang merah supaya kalau berlaku apa-apa dalam perjalanan biar cucu semua terbang nanti’, begitu pesan tok malam tadi.

`Dan jangan lupa zikir sepanjang masa’, tok menambah kata.

Kami dalam perjalanan sekarang.

Kami menyusuri jalan Pantai Timur Tanah Melayu - dari Pekan menghala ke Rompin dan terus ke Mersing dan Kota Tinggi untuk mengesan jejak panglima di bahagian selatan.

Sewaktu perjalanan dari Pekan ke Rompin, Wan yang aku tidak pasti sehebat mana kecekapannya memandu, telah mengambil selekoh dengan begitu laju. Kereta kami tiba-tiba bagaikan hilang pertimbangan kerana kedua-dua tayar di sebelah kanan terangkat.Kami dapat merasakannya.

Tapi aku tidak pula terasa cemas. Entahlah. Entah mengapa. Agaknya kerana keyakinan memakai tali pinggang merah. Selain dari itu, perjalanan kami memang diiringi. Ramai panglima berterbangan bersama kami – bersiap-siaga mengawasi kami. Begitulah kata Yim kerana dia dapat melihat kehadiran dato-dato panglima.

Di Kota Tinggi Yim meminta kami berhenti sebentar di suatu kawasan yang ada sebuah pintu gerbang lama. Tempat tersebut telah penuh dengan semak-samun. Tapi tidak ada makam yang hendak diziarahi. Yim cuma memberitahu di tempat inilah letaknya sejarah Panglima Alang Daik.Kami merakamkan kenangan di situ.

Di JB kami tiba menjelang malam dan menginap di sebuah hotel menghadap ke Pantai Lido.Pulau Singapura terbentang di hadapan.Tidak ada perbualan pada malam itu.Tok pun tak datang kerana menyedari kami semua kepenatan.

Pada keesokan harinya kami dengan menjadikan Dol sebagai pemandu pelancong, kerana dia pernah bekerja di Singapura, mengambil jalan-jalan pintas untuk sampai ke makam Tuan Syed Nuh.Di makam Tok Syed Nuh kami menghadiahkan al Fatehah dan Qulhu. Sewaktu sedang asyek mendengar informasi mengenai beberapa kesah ajaib mengenai makam itu yang diterangkan oleh penjaga makam, Yim tiba-tiba berkata.

`Engkau nak minta apa, Mal?’

`Minta?', aku tercengang.`Minta apa?’

Aku memang tidak faham. Tapi sebelum ini memang pernah aku dengar, apabila menziarahi makam-makam yang mulia dan suci, makam para wali Allah umpamanya, kita dibolehkan memohon keberkatan.

`Minta apa-apalah!’, Yim berkata seterusnya.

`Siapa yang suruh?’

`Dialah!’

`Siapa?’

`Toklah!

`Tok Syed Nuh?’

Yim mengangguk.

`Dia ada?’

`Ada!’

Aku terkagum kerana orang yang kami ziahari dan menghadiahkan ayat-ayat suci sebentar tadi, meminta aku menyatakan hajat. Aku tak sempat berfikir lama.Spontan aku menjawab.

`Makrifatullah! Ketajaman makrifah’

Yim lantas beredar untuk bertanya kepada rakan-rakan yang lain pula.

Pada malamnya Tok Syed Nuh datang bersembang-sembang dengan kami di hotel mengenai pelbagai perkara.Pada ketika itu ada ura-ura makamnya akan dialih atau dirobohkan oleh Kerajaan Singapura.Tapi tok tidaklah memberikan komen apa-apa. Cuma dia mengharapkan usaha itu tidak menjadi kenyataan.

Dari Singapura kami bertolak ke Melaka dan terus ke Pulau Besar dengan menaiki bot tambang di Umbai. Di Pulau Besar kami menziarahi makam Sultanul Auliya Sheikh Ariffin dan makam-makam purba yang lain. Pada malamnya Panglima Puteh sampai.Bila kesah ura-ura merobohkan makam Syed Nuh kami bincangkan dengan Panglima Puteh yang makamnya terletak di Pulau Besar, dia memberitahu Singapura akan mendapat bencana kalau niat ini diteruskan. Walau bagaimanapun menurutnya, dato-dato semua sedang mengusahakan supaya rancangan ini akan gagal.

Keesokan harinya pada sebelah pagi sehingga menjelang tengahari kami menggeledah di pulau mistri yang dikunjungi oleh pencari-pencari mistik itu. Pada sebelah petang baharulah kami berkesempatan menziarahi makam Panglima Puteh.Makamnya begitu panjang dan itulah pertama kali aku melihat kubur yang begitu panjang. Batu nesannya dibalut dengan kain kuning sebagaimana kebanyakan makam-makam yang lain juga. Sampai sekarang aku tidak pasti kenapa penghormatan dan anggapan kemuliaan dilakukan sedemikian rupa kepada tokoh-tokoh yang dianggap mulia? Aku juga tertanya-tanya siapa-siapakah pula yang melakukannya dan untuk apa? Kami menghadiahkan al Fatehah kepada roh Panglima Puteh dan sekalian aruah di perkuburan di situ.

Ketika akan meninggalkan makam tersebut, Yim tiba-tiba bersuara.

`Balik dulu’

Aku lantas bertanya Yim.

`Engkau bercakap dengan siapa?’

`Tok’

`Dia ada?’

`Ada’

Lantas aku mengucapkan ucapan yang sama seperti Yim walaupun aku tidak melihatnya.

Di Melaka kami menziarahi Makam Hang Kasturi dan Hang Jebat.Hang Jebat hadir bersama dan kami merakamkan sesi bergambar bersamanya. Sesiapa yang bermata `tajam’ tentu dapat melihat tubuh Yim adalah Hang Jebat dalam gambar itu. Kemudian kami pergi sebentar ke Telaga Hang Tuah. Kami membawa pulang airnya kerana menurut tok, selain air zam-zam, air telaga Hang Tuah juga sangat besar khasiatnya untuk tujuan perubatan.Begitu juga air telaga Mahsuri di Langkawi.Kedua-dua telaga ini dikatakan airnya tidak pernah kering walaupun semua telaga lain telah kering dimusim kemarau yang pernah melanda negara sebelum ini.

Selepas itu kami terus bertolak pulang ke Raub.

Menurut cadangan tok, selepas ini, kami akan melakukan trip ke Utara dan Pantai Timur pula untuk mengesan jejak pahlawan silam di sebelah sana.

15 Julai 2010

55. Roh Balik.

Sebentar tadi tok datang membuka tajuk bersembang mengenai kembara yang akan dimulakan pada hari esok.

Selain meziarahi makam Tuan Syeh Nuh, kunjungan ke Pulau Besar adalah suatu yang mesti dalam kembara ini kerana merupakan salah satu tempat paling utama Hang Tuah lima bersaudara sewaktu menutut persilatan dahulu.Kami diminta untuk mengesan kenang-kenangannya. Pulau Besar juga menjadi tumpuan utama kerana di sanalah tempat bersemadinya ramai ulama-ulama Tasauf yang membawa banyak ilham untuk kebangunan bangsa.

`Jangan cucu tak tahu, bahawa roh si mati memang balik pada malam-malam yang mulia’, tok membuka tajuk bersembang setelah berbincang berbagai-bagai perkara mengenai kembara.

`Roh-roh suci cucu, balik ke rumah anak-anak cucunya’, tok menyambung bicara.`Malam Jumaat umpamanya’.

`Malam raya?’

Tok mengangguk.

`Kalau cucu tak percaya, cucu boleh uji’, tok berkata lagi.Kami tiba-tiba tertarik dengan saranan itu.

`Cucu ambil tepung kanji, cucu taburkan di muka pintu. Sapukan nipis-nipis dan rata-rata. Bila bangun pagi cucu pergi tengok’

Mata kami direnung seorang demi seorang.

`Ada apa?’, Dol bertanya.

`Kalau nasib baik, cucu akan lihat kesan tapak kaki di muka pintu’

Kami terkelip-kelip.

`Itulah tanda ibu atau ayah atau datuk telah kembali menziarahi anak-anak atau cucu mereka. Tapi itulah, takut tak sampai hati pula. Belas pula...’

Aku belum ada niat untuk mencubanya kerana pada waktu itu ibu dan ayah ku masih ada hayat mereka. Bila kedua-dua orang tua ku telah kembali ke rahmatulllah, tak terlintas pula keinginan untuk menguji kebenarannya. Aku tidak tahulah kawan-kawan ku yang lain apakah mencubanya.

`Kalau rumah cucu ada tiang seri, cucu letakkan segelas air di tepi tiang tersebut. Cucu tandakan paras airnya.Bangun pagi cucu lihat’

`Kurang?’, Piei bertanya.

`Kalau nasib cucu baik, air tersebut akan kurang sedikit.Itu tandanya air tersebut telah diminumnya’

`Betulkah, tok?’

`Betul! Cucu boleh cuba’, tok bernada tegas.`Ha! Malam ini malam apa?’

`Malam Jumaat’

`Ha! Boleh cuba!’

`Siapa yang akan balik ke rumah ini?’

`Tuan rumah inilah’

Kami lantas teringat kesah rumah hijau ini yang sedikit menyeramkan sewaktu kami mula berpindah dahulu.Di hadapan rumah hijau ini dikatakan sering juga berlaku kemalangan. Tok memberitahu memang ada lintasan/benda melintas kerana di kawasan ini ada kawasan laluan mereka. Aku sendiri pernah melihat satu kemalangan iaitu sebuah kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki Cina telah melanggar tiang letrik. Tiang letrik itu patah dan kereta Cina itu terbalik ke dalam longkang. Tidaklah berlaku kematian walaupun mangsa dalam kereta tersebut koma dan kakinya patah.

Bila kami merujuk kepada tok, tok memberitahu, lelaki itu mengelak dari melanggar satu lintasan.

Akan tetapi sejak sekian lama, tidak ada lagi berlaku apa-apa kemalangan. Tok memberitahu sejak mereka semua sering berada dan selalu ke sini, makhluk-makhluk tersebut menjauhkan diri kerana bila tok berada di sini atau di mana-mana pun jua, semua makhluk-makhluk jahat tidak berani dan akan meminggir diri.

11 Julai 2010

54. Tok Tahu Serba Serbi.

Sejak akhir-akhir ini, tok datang untuk bersembang tidak lagi semata-mata setelah tamat latihan pencak.. Tok kadang-kadang datang pada mana-mana masa sahaja. Kadang-kadang tidak perlu dijemput lagi. Tok kadang-kadang datang dengan sendiri sahaja tanpa dijemput. Inilah kelainan berbanding sewaktu mula berkenalan dahulu.

Tiba-tiba sahaja Yim akan memberi salam. Dan bila Yim memberi salam, tahulah kami bahawa toklah yang datang. Kadang-kadang Yim dengan tidak semena-mena berpencak dan dalam pencak itulah, tok akan memberi salam. Tok Itamlah yang paling kerap datang kerana kami adalah cucu-cucunya termasuk Yim yang merupakan cucu terulungnya. Lagipun dialah yang memegang amanah guru.Hang Jebat selalu juga datang.Begitu juga Tok Ali Lawak.Panglimapanglima yang lain jarang-jarang datang.Kebanyakan mereka termasuk para panglima dari Indonesia, cuma datang apabila dijemput.

Ada ketikanya, sewaktu sedang bersimbang dengan tok, kadang-kadang kami dikunjungi oleh rakan-rakan.Dalam situasi seperti itu, tok terpaksa pulang kerana dia tidak pandai untuk menyamar sebagai Yim bagi bersembang hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan harian kami. Bila dalam keadaan begitu, tok tidak pulang dengan melakukan proses yang sama seperti biasa iaitu memberi salam tiga kali lalu membaringkan dirinya. Pada saat seperti itu, tok boleh pula pulang dengan begitu sahaja tanpa sesiapa menyedari bahawa sebentar tadi orang lain yang berada pada tubuh Yim.Kami hanya perasan apabila Yim menyapu mukanya bagaikan orang sudah habis berdoa yang menandakan tok telah kembali.

Pada saat pertama dahulu,kami cemas juga kerana takut kawan-kawan menjadi hairan dan kami memang tidak mahu rahsia kami belajar pencak diketahui ramai.

`Hai! Seronok nampak bersimbang’, itulah kalimat dari tok seterusnya kalau dia tiba-tiba sahaja datang tanpa diundang. Bila kalimat seperti itu disuarakan tahulah kami bahawa tok sebenarnya telah berada bersama kami sejak sekian waktu.

Seronok bila bersama tok. Tok bagaikan tahu segala-galanya. Tanyalah mengenai apa-apa sahaja baik perkara yang telah terjadi mengenai individu, mengenai negara, isu-isu semasa dan sebagainya. Kadang-kadang isu-isu panas yang kami tonton di kaca tv pun tok boleh berikan ulasan yang lebih terperinci.

Kadang-kadang di kaca tv ada orang-orang tertentu terutama pemimpin berbicara dengan dua lidah yang berbeza.Tok akan membocorkan kepada kami.

`Di depan rakyat cucu’, tok berkata. `Dia bercakap yang bagus-bagus mengenai agama.Tapi rakyat tak tahu sandiwaranya. Di belakang rakyat, dia buat lain.Mabuk! Berjudi. Berseronok-seronok.Orang bersembahyang, dia tidak. Bulan puasa, orang berpuasa, tapi dia tidak...Senyap-senyap makan di tempat yang orang tak tahu. Tapi Tok tahu! Tok tengok sendiri!’

Demikianlah tok membocorkan kesah-kesah manusia hipokrat kerana tok mengatakan dia boleh pergi ke mana-mana dan melihat cara kehidupan mereka .

Sewaktu berlangsungnya pilihan raya tok tengok apa yang berlaku. Penipuan dan penyelewengan untuk meraih kemenangan sangat berleluasa. (Ini kesah 1970an).

`Tok tahu! Tok tengok sendiri. Kalau mereka tak buat begitu cucu,sudah lama parti bulan menang....’

Begitu tok meyakinkan kami mengenai proses semasa pilihan raya. Bila menyentuh isu politik, tok sentiasa bersemangat menyuruh kami turut berkempen menyeru semua orang pangkah bulan sambil memperincikan maklumat yang disiarkan cuma seinci oleh media massa atau ditutup samasekali dari pengetahuan ramai.Tokoh muda dari Terengganu yang namanya sedang meningkat harum bagi parti bulan pada era 1970an, menjadi tumpuan bicara tok – penuh pujian untuknya sebagai tokoh ulama yang diberi pimpinan oleh Tuhan.

Kami memang suka merujuk kepada tok kerana tok selalunya hadir dalam hal-hal yang besar. Isu-isu besar mengenai negara – krisis sesama pemimpin, isu-isu perbicaraan di mahkamah, cara polis menangani sesuatu kes, suasana di Parlimen dan apa-apa jua yang berkaitan dengan keselamatan negara, berada di dalam pengetahuan tok. Kalau tok tidak hadir pada saat itu, tok boleh melihatnya melalui asap keminyan atau air jernih di dalam mangkuk.

Demikianlah tok yang biasanya mengetahui banyak perkara kerana luas dan jauhnya pandangan dan perjalananya kerana boleh hadir bersama sedangkan orang tidak melihatnya.

(Pada waktu dulu – sewaku tok mula berkenalan dengan kami - tok hanya boleh keluar dengan izin guru. Selepas beberapa waktu tok mendapat kelonggaran untuk keluar kerana tugas-tugas dengan cucu-cucunya. Bila berlaku keadaan yang semakin menggugat keselamatan negara kerana ancaman kuminis (1970an), tok semakin mendapat kebebasan untuk keluar demi urusan keselamatan negara.

Pada tahun 1990an, bila berlaku perang di Bosnia, Irak – USA, selatan Patani dll; kami dimaklumkan semua dato-dato pergi dan memberikan pertolongan. Aku tidaklah tahu cara pertolongannya. Pernah aku bertanya tok – pada akhir tahun 1990an - mengenai kebebasannya untuk ke mana-mana. Tok memberitahu sekarang mereka semua bebas untuk ke mana-mana sahaja dalam wilayah Malaysia dan Indonesia pada sebarang waktu demi pelbagai tugas)

07 Julai 2010

53. Cincin Pembisa.

Tok menjanjikan kami akan dikurniakan pula cincin pembisa seorang sebentuk.Cincin tersebut bila dipakai, kami diminta supaya jangan mudah marah. Banyakkan bersabar kerana kalau kami marah dan menampar sesiapa, pembisanya boleh mambawa maut. Menurut kata tok, bisa yang terlepas tidak ada penawarnya lagi.
Cincin tersebut akan dihantar terus ke rumah.Gurulah yang akan mengambilnya iaitu akan menerima hantaran secara ghaib. Pada malam itu guru datang buat pertama kalinya khas untuk menerima hantaran tersebut. Dia berpesan apabila tiba masanya jangan sesiapa pun turun ke tanan sebelum cicin tersebut sampai ke tangannya. Kami bersedia untuk mematuhi.
Ketika itu jam kira-kira 10.00 malam. Jalan raya di hadaan rumah sudah agak sepi.Guru kemudian turun ke tanah dan kami berdiri di muka pintu.Kami melihat guru sedang bersedia menerima suatu hantaran. Sejurus kemudian kami melihat guru bagaikan menangkap sesuatu dan oleh kerana itu kami menyangkakan guru telah menerima pemberian tersebut. Lantas kami semuanya turun ke tanah.Bila kaki kami menjejaki bumi, kami tiba-tiba melihat guru sedikit kelam-kabut.
`Terlepas!’, guru bagaikan berteriak.
Kami tercengang.
`Kenapa cucu turun cepat sangat?’, guru menyoal kami.Kami tidak menjawab.
Guru nampaknya bagaikan mencari-cari sesuatu di atas bumi dan dicelah-celah rumput.
`Cari!’, guru memberi perintah.
Lalu kami berempat terus mencari.Meraba-raba di celah-celah rumput, di balik apa-apa sahaja yang memunkinkan tertutupnya cincin tersebut dari pandangan kami. Jenuh juga mencarinya tapi tidak juga dijumpai cincin yang dicari.
`Tok rasa mungkin tenggelam di dalam tanah’, tok bersuara.
Kami bagaikan tak mahu percaya.Masakan sampai tenggelam.Mungkin terlalu laju kut – maklumlah pertukaran dari alam ghaib ke alam zahir.
`Ada penggali?’, guru bertanya.
Piei segera pergi ke bahagian belakang rumah kerana kami memang tahu ada sebatang cangkul tuan rumah di situ. Bila cangkul telah dibawa ke hadapan, Piei terus mengais-ngais tanah dan rumput dengan cangkul itu. Sejurus guru berteriak.
`Nanti dulu!’
Dan bila Piei berhenti, guru lalu membongkok. Sejurus meraba-raba tanah yang telah dicangkul itu, guru pun berteriak.
`Ha! Ini dia!’, dan guru ternyata gembira dengan apa yang ditemuinya. Ada sesuatu yang bergelumang dengan tanah di tangannya. Bia diamti memang sebentuk cincin.
`Cari lagi!’, guru memberi perintah. Wajah guru nampak ceria dan berseri.Kami pun mulai menjadi yakin bahawa memang ada cincin yang dijanjikan.
Dan kami mencari lagi. Meraba-raba di atas tanah dan dicelah-celah rumput. Wan menggantikan tugas Piei menguis-nguis tanah dengan cangkul.Tapi sehingga hampir jam 11.30 malam cuma dua bentuk sahaja yang diterima. Lampu pintu depan, mentol 40 watt ternyata tidak cukup terang untuk memudahkan tugas kami.
Bila telah kepenatan, guru memutuskan supaya mencari lagi pada bagi besok.Dan pada pagi esok memang awal-awal lagi guru telah tiba.Kami mencari dan anehnya dapat ditemui dengan mudah sahaja dua bentuk cincin lagi. Jauhnya beza pencarian waktu malam dengan siang. Cahaya siang memang memudahkan penemuan.
Dan pada pagi itu guru meminta izin kami untuk merasa naik kereta. Maklumlah orang pada zaman dahulu mana ada kereta. Pada ketika itu cuma Wan sahaja yang ada lesen. Jadi tugas dialah membawa guru bersiaran di jalan menuju ke Kampung Melayu Sempalit. Aku dengan Piei duduk di kerusi belakang. Seronok juga tengok pengalaman guru naik kereta.
Kereta itu – Toyota (aku sudah lupa modelnya) - kami beli khas untuk tujuan kembara ke Singapura, Johor, Melaka dan Pulau Besar bagi mengesan jejak pahlawan silam. Akulah yang paling banyak sahamnya iaitu membuat bayaran muka melalui pinjaman koperasi guru. Pinjaman tersebut juga untuk keperluan pembiayaan kembara. Wan menyanggupi untuk membayar ansuran bulanan. Demikianlah pengorbanan demi mencapai hasrat dato-dato mahu mejadikan kami sebagai pengganti Hang Tuah Lima Bersaudara.
Kami tidak dapat menangguhkan lagi kerana Tok Itam telah beberapa kali mencadangkan demikian terutama bagi menziarahi Tok Habib Noh yang tinggal sendirian di Singapura berbanding dengan kebanyakan yang lain-lain yang berkumpul di persekitaran Gunung Jerai.
`Kasihan dia duduk sendirian di Singapura. Pergilah jenguk’
Kami akan memulakan kembara tak berapa hari sahaja lagi.
(Cincin tersebut terbukti tidak ada penawar bisanya – kalau mahu/boleh dipercayai – ialah apabila kakak ipar ku acapkali tidak sedar diri kerana diresapi oleh makhluk yang tidak diketahui samada yang liar atau belaan. Dia acapkai pengsan dan terpaksa dipanggil dukun untuk memulihkannya.
Pada suatu ketika aku berunjung ke rumah abang ku. Nak jadi kebetulan bila menjelang Maghrib dia tiba-tiba tidak sedar diri seperti yang sering berlaku kepadanya. Abang ku memberitahu ku mengenai kaka ipar ku itu. Aku lantas ke bilik tidur dan menghampirinya yang sedang terbaring di atas katil. Lalu aku bertanya:
`Kenal aku?’
Kak ipar ku itu tidak mengatakan kenal atau sebaliknya tapi sekadar ketawa yang memang menyeramkan.
`Kenal siapa aku?’, aku bertanya sekali lagi dengan nada keras.Tapi kakak ipar ku itu terus ketawa. Ketawa mempersendakan ku. Air mukanya yang semacam dan ketawa hilainya menyebabkan aku menjadi marah disamping terasa keseraman.Spontan aku melepasan satu tamparan ke pipinya. Bila terkena dia lalu menjerit:
`Aduh! Aduh! Aduh!’.
Kami semua memerhatikan sahaja.Kemudian aku melihat kaka ipar ku menyapu-nyapu pipinya. Dan sebentar kemudian dia pun bersuara.
`He! Kenapa perit pipi ini?’
Abang ku menjawab mengatakan aku telah menamparnya. Sejak itu rasa-rasanya sampailah sekarang kakak ipar ku itu tidak pernah lagi mengalami sakit seperti itu – jatuh tak sedar diri.
Beberapa malam selepas aku menampar kakak ipar ku itu, aku bermimpi berada di tingkat atas sebuah bangunan. Aku mendapati Awang Ghafar berada di situ. Dia diberitakan sedang berada dalam keadaan yang sangat marah kerana anak kesayangannya yang bernama Khalil teah mati dibunuh. Bila dia ternampak aku dia terus sahaja meluru kepada ku kerana mengetahui akulah yang telah membunuh anak kesayangannya itu. Adik perempuan ku yang ada bersama pada saat itu diserang ketakutan lantas lari lentang pukang meninggalkan ku. Aku turut menjadi cemas dan gementar lalu turun dari tingkat atas sambil berundur menuruni anak-anak tangga sambil mengawasi Awang Ghafar yang matanya berkilau dan bersinar mahu menyerang ku. Bila sampai di bawah aku tidak berundur lagi.Aku menanti ketibaan Awang Ghafar.Tapi anehnya dia tidak pula menyerang ku. Cuma matanya sahaja yang bersinar dan memancar-mancar)
Awang Ghafar ialah jiran di sebelah kanan rumah ayah ku.K ami memang tahu dia ada membela hantu raya dan entah apa-apa lagi.

03 Julai 2010

52. Tali Pinggang Merah.

Tok telah menjanjikan akan memberikan kepada kami setiap seorang satu ayat/azimat benteng diri yang pelbagai guna.

Yim telah memilikinya.

Ianya boleh dibawa untuk berperang dan bila dipakai akan memiliki kehebatan yang hanya diketahui dan dirasai oleh pemakainya. Dikatakan peluru tidak akan mengenai kami yang memakainya.Begitulah juga senjata-senjata lain tidak akan singgah ke badan kami.

Bila memakainya kami juga akan terdinding dari semua serangan sihir. Kalau kami telah terkena sihir ianya boleh dijadikan penawar bagi melumpukan sihir tersebut apabila dipakai. Hantu, syaitan, pontianak,jin, polong, pelesit dan apa-apa jua makhluk yang jahat tidak akan berani mendekati dan mengganggu kami apabila kami memakainya.

Bila ayat berkenaan diberikan kepada kami, kami perlu menjadikannya seperti tali pinggang yang dibaluti dengan kain bewarna merah. Ayat berkenaan perlu dibalut dengan plastik terlebih dahulu dan selepas itu baharulah dimasukkan ke dalam kain merah yang dijahit kemas untuk dijadikan tali pinggang.

Dengan dilapisi oleh plastik, azimat/tali pinggang berkenaan boleh dibawa masuk ke dalam bilik air dan tidak mengapa dipakai walaupun waktu sedang membuang air kecil/besar kalau tidak mahu atau tidak berpeluang menanggalkannya.

Tok Serban Hijaulah yang memiliki ayat ini dan dialah yang akan menyediakan untuk kami semua. Untuk mendapatkannya, Yim telah diminta supaya pergi ke satu tempat, dan di sana Yim akan bertemu dengan Serban Hijau yang akan menyerahkan kepadanya.

(Ada laluan-laluan tertentu di seluruh negara yang menjadi bagaikan lebuh perjalanan dato-dato panglima.Pada jalan-jalan tersebut Yim boleh bertemu dengan mereka untuk menerima apa-apa yang dijanjikan)

Yim pergi pada sebelah siangnya seperti diarahkan dan menerimanya. Ada empat kesemuanya. Pada malamnya Tok Serban Hijau datang untuk merasmikan pemberian tersebut. Ada beberapa pesanan dan syarat yang diberikan. Antara yang dipesan ialah jangan dilangkahi kerana apa yang tertulis di dalamnya adalah ayat-ayat suci al Quran. Tali pinggang tersebut perlu sentiasa di letak di tempat yang tinggi. Pada setiap malam Jumaat perlu dibaca al Fatehah dan Qulhu dan perasapkan dengan keminyan.

Selepas Tok Serban Hijau balik, Laksamana Hang Tuah pula datang. Tidak banyak bual-bicara selain Hang Tuah juga menjanjikan pemberiannya bila sampai masanya.Hang Tuah tiba-tiba menyatakan hasratnya untuk melihat pemberian dari Tok Serban Hijau. Aku lantas menghulurkan milik ku yang berada dalam lipatan kertas selebar satu inci dan panjangnya kira-kira enam inci.

Aku tiba-tiba berasa cukup gementar apabila Laksamana Hang Tuah mahu membuka lipatannya kerana Tok Serban Hijau memberi pesanan tadi.

`Jangan sesiapa membukanya’.

`Kenapa?’, aku bertanya

`Buta;’, tok menjawab segera.`Sesiapa yang cuba membukanya nescaya matanya akan menjadi buta.

Aku lantas menghalang HangTuah yang mahu membukanya.

`Tok Serban Hijau kata, tak boleh buka, tok.Nanti buta...’

Laksamana Hang Tuah mengangguk. Tapi aku tahu tok memang meminta izin terlebih dahulu.Bila lipatan telah dibuka terhamparlah satu tulisan jawi yang tersangat indah tulisannya. Ada rajah berpetak-petak berbentuk empat segi, bulat dan tiga segi. Ada simbul-simbul yang aku tidak fahami. Aku pernah terlihat rajah-rajah dan bentuk-bentuk persis demikian di dalam kitab Tajul Muluk. Semua tulisan al Quran dan rajah-rajah berwarna merah semuanya.

Mata ku terasa sakit dan panas bila melihatnya. Demikian juga rakan-rakan ku.Sekejap sahaja kami melihatnya. Tidak lama kemudian Laksamana Hang Tuah menutupnya kembali.

`Tak boleh lama’, tok berkata.`Pening..’

`Cucu pun....’, kami berkata serentak.

Dan kami rasa sungguh bersyukur mendapat kurniaan yang sangat bernilai itu.

Sewaktu Yim memegang badan Saedah Mushtari untuk memberikan rawatan, Yim terlupa memakai tali pnggang merahnya dan barangkali itulah sebabnya dia menerima bencana dari Orang Payang dan Tok Bomoh Penggerang.

(Kesah tali pinggang merah ini ada saya sentuh dalam kesah RANJAU-RANJAU DALAM KEMBARA pada bab 4 di bawah tajuk QURAN CACAT. Orang tua yang sakit dalam kesah tersebut telah sembuh dan mendapat beberapa amanat istimewa dari orang-orang yang menziarahi di dalam mimpinya)

Saya tidak pasti apakah sumpah Serban Hijau benar-benar berlaku kalau membuka tanpa keizinannya. Namun demikian, kepada sesiapa yang menyukai resiko, kalau ada sesiapa yang berani mahu cuba membukanya munkin boleh saya izinkan. Tali pinggang tersebut adalah antara koleksi barang-barang antik dalam koleksi saya)