28 Mei 2009

Sistem Ekonomi Lintah Darat.
(Artikel 4)

Di manakah lagi sisa iman kalau Kapitalisme menjadi sistem yang cukup berleluasa dalam mengurus sistem ekonomi negara dan dipertahankan oleh Mulkan Jabbariyyan sedangkan kapitalisme adalah sistem ekonomi yang sangat kejam, zalim dan menindas, sistem yang tidak bertimbangrasa kepada orang-orang biasa, apatah lagi insan yang lemah, miskin dan hidup melarat?
Firman Allah Taala:
‘Hai orang–orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya,– Al Baqarah: 208.

Di manakah lagi sisa iman, kalau ‘tidak mahu masuk ke dalam Islam keseluruhannya’, kalau sistem ekonomi Islam tidak digunakan, sebaliknya sistem kapitalis dibenarkan hidup subur mengurus sistem ekonomi negara di bumi umat Islam?

Inilah keengkaran namanya. Firman Allah kepada Mulkan Jabbariyyan yang engkar dalam menguatkuasakan perintah Allah dan RasulNya:
Dan tidak adalah yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang zalim” – Al-Ankaabut:29:49
“Dan tidak adalah yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang kafir” – Al-Ankabut:29:47

Orang Melayu menjadi kafir dan zalim kerana engkar melaksanakan sistem ekonomi Islam!
.
Kapitalisme sesungguhnya adalah sistem ekonomi yang menjadikan para kapitalis, dan golongan berautoriti terus dapat menimbun gunung kekayaan setinggi-tingginya, sementara orang biasa dan miskin dibiarkan untuk terus berada di dalam lembah biasa atau jurang kemiskinan kerana ruang untuk keluar dari lembah kemiskinan tersebut memang sengaja dipersempitkan.
.
Inilah sistem yang sangat zalim kerana berasaskan penindasan riba yang sangat tidak diizinkan oleh Allah Rabbul Alamin. Firman Allah Taala:
‘Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya’ – Al-Baqarah:275

Riba adalah kezaliman yang dihalalkan melalui istilah ‘keuntungan’ dan ini dinaungi dengan sangat ketat oleh Bank Negara. Bank Negara adalah ibu kepada sistem kapitalis di negara ini mewakili bank induknya di USA dan di London dan oleh kerana itu semua operasi perbankan di negara ini mesti berasaskan dasar kapitalisme yang diamalkan oleh Bank Negara. Justru semua bank diwajibkan mengamalkan riba atau untuk menampakkan unsur Islam, dilunakkan dengan istilah ‘bayaran perkhidmatan’ walhal matlamatnya adalah sama sahaja – mengaut keuntungan sebesar mungkin dan menafikan kebajikan.

Bahawa sesungguhnya tidak akan ada kebajikan dalam perkamusan kapitalisme. Dan oleh kerana tidak adanya kebajikan, tidak akan ada keadilan, tidak akan ada belas-kasihan, kasih-sayang, tolong-menolong serta bantu-membantu. Tidak akan ada nilai bertimbangrasa, bertolak-ansur, perihatin, ukhwah atau rasa persaudaraan, silaturrahim dan berbagai-bagai lagi nilai kemanusian yang diwajibkan oleh Islam. Oleh kerana tidak ada istilah ‘kebajikan’ dalam sistem ekonomi ini, sesiapa yang berurusan dengan bank kapitalis akan menjadi mangsa kepada kezalimaan, penindasan, pemerasan dan penganiyaan oleh sifat tamak-haloba bank-bank tersebut.

Apabila anda memerlukan perkhidmatan dengan bank; misalnya anda sebagai peminjam, anda terus dikenakan faedah tambahan (riba) sertamerta. Apabila anda gagal menepati syarat-syarat perjanjian yang berat sebelah yang disediakan oleh bank tanpa pengetahuan anda; misalnya tergendala menepati ansuran bulanan atau melebihi tempoh masa bayaran balik yang ditetapkan, anda akan dikenakan denda dan penalti. Kalau anda gagal juga, anda akan diseret ke mahkamah yang ‘keadilannya’ memang dicipta khas bagi melindungi kapitalis melalui guamannya; dan apabila anda gagal juga mematuhi keputusan mahkamah, harta anda akan dilelong atau dirampas tanpa sedikit belas-kasihan pun! Inilah sistem ekonomi ‘lintah darat’, yang ‘menghisap darah’ yang ketika anda ditimpa masalah dan bencana, pada ketika itulah mereka akan ‘menahan jerat di pergentingan’. Iniah pepatah dan bidalan yang diperingatkan oleh nenek moyang Melayu sewaktu bermulanya serangan ideologi kapitalis di zaman imperialisme dahulu.

Adakah anda akan memperolehi apa-apa pertimbangan kemanusiaan apabila berada pada saat terjepit persis demikian? Apabila anda gagal memenuhi syarat-syarat perjanjian disebabkan anda barangkali ditimpa kemalangan atau musibah, atau anda jatuh sakit dan kehilangan punca pendapatan, sehingga anda betul-betul tidak mampu melangsaikan hutang pinjaman anda, apakah pada ketika itu anda akan mendapat simpati, belas-ihsan dan layanan belas-kasihan? Samalah juga bila anda berurusan dengan Mulkan Jabbariyyan mengenai pinjaman perumahan kerajaan atau kenderaan, dapatkah ketika anda sedang hampir tenggelam dan kelemasan oleh sesuatu musibah, memperolehi sebarang simpati dari kerajaan Mulkan Jabbariyyan yang memerintah anda dan sistem kapitalisnya?

Mulkan Jabbariyyan menolak samasekali konsep Negara Kebajikan dan oleh kerana itu teramat jauh sekali bezanya dari konsep Negara Islam.Ini adalah kerana seluruh perancangan politik dan ekonomi Mulkan Jabbariyyan adalah sekular-materialis, bukannya Islam. Seluruh aktiviti sekular-materialis adalah demi duit kerana duit adalah kiblat di dalam falsafah kapitalisme. Demi duitlah Mulkan Jabbariyyan mewajibkan Cukai Pendapatan dan berpuluh-puluh jenis cukai selainnya sehingga negara ini menjadi negara yang paling banyak mengenakan beban cukai kepada rakyatnya.

Demi duitlah digubal berbagai-bagai penguatkuasaan dan peraturan yang diekori sama dengan pelbagai jenis denda dan kompaun apabila rakyat ramai teralpa melakukan kesalahan.Demi duitlah pembangunan negara dirancakkan. Bahkan demi duitlah kemudahan pelbagai infrastruktur disediakan terutama kutipan cukai tol di atas setiap lebuhraya yang dibina. Demi duitlah maka kalimat muluk didendangkan untuk menghiburkan rakyat atas nama ‘pembangunan’ – ‘pembangunan untuk rakyat’ , ‘berkhidmat untuk rakyat’, ‘rakyat mahukan pembangunan’ dan sebagainya, walhal melaluinya kaum kapitalis boleh menimbun kekayaan melalui kontrak projek-projek mega yang dirancangkan, pembangunan dan pelaboran projek hartanah yang rakyat biasa, tidak ada kena-mengena samasekali.

Dan kapitalisme bukan sahaja menindas melalui riba bahkan melakukan monopoli dalam perdagangan.Demi keutuhan harta modal dan asetnya, kapitalis sanggup melakukan apa sahaja walaupun membunuh pesaingnya supaya terus unggul sendirian untuk melaksanakan penindasan dan monopolinya. Lihatlah betapa rakusnya syarikat-syarikat gergasi pasaraya melebarluaskan rangkaian niaga masing-asing sehingga ke bandar-bandar kecil menyebabkan peniaga-peniaga kecil tidak mampu bersaing lalu terpaksa gulung tikar. Kerakusan kapitalis ini memaksa beberapa Majlis Daerah yang berkesadaran, menguatkuasakan satu dasar perlindungan kepada peniaga-peniaga Melayu di pekan-pekan Melayu yang baru muncul, supaya peniaga kecil-kecilan ini boleh terus bernafas untuk boleh menumpang mencari rezeki.

Di manakah sisa iman seandainya kezaliman kapitalisme dipertahankan?
Kerajaan Mulkan Jabbariyyan materialis-kapitalis sesungguhnya sangat ‘asing’ dengan kerajaan Islam BALDATUN TOIYYIBATUN yang berteraskan prinsip membantu menyelamatkan manusia dari sebarang belenggu kesengsaraan dan kemiskinan supaya kekayaan negara dan dunia dinikmati bersama secara adil dan saksama. Orang-orang miskin yang biasanya terdiri dari pekerja bawahan yang bergaji rendah - rakyat ramai yang majorotinya berpendapatan sekadar secukup hidup - adalah golongan yang sangat mendapat perhatian dan pembelaan di bawah sistem ekonomi Islam, tetapi di dalam sistem kapitalisme, rakyat ramai akan dibiarkan jiwanya terus rendah supaya kekal bergantung harap dan simpati, mengabdikan masa dan tenaganya kepada pemilik modal (kapitalis/majikan) melalui dasar penswastaan yang diperkenalkan.

Inilah asas Dasar Penswastaan – dasar membebaskan tanggungjawab kerajaan supaya rakyat tidak lagi menjadi beban tanggungjawab kerajaan. Sejak diperkenalkan, semua agensi kerajaan yang merupakan keperluan asasi rakyat - TNB, STMB, JBA, mungkin tak berapa lama lagi, hospital diswastakan untuk menghalalkan syarikat-syarikat korporat ini membuat duit dan mengumpul laba. Termasuk juga bidang pendidikan IPTA dan IPTS. Sejak dasar penswastaan diperkenalkan, rakyat dan pelajar dibebani dengan pelbagai hutang dan pinjaman, yuran dan bil-bil yang sentiasa bertambah mahal. Leburlah konsep tanggungjawab kerajaan kepada rakyat dan golongan pelajar, tetapi sebaliknya menjadi tanggungjawab rakyat dan pelajar pula menjelaskan semua hutang pinjaman, cukai dan yuran kepada kerajaan sebagai satu kewajipan kepada negara!

Dasar Penswastaan yang diperkenalkan sejak 1990an adalah juga bertujuan mengekalkan buruh Malaysia kekal sebagai burh bergaji rendah demi menarik pemodal-pemodal luar negeri (kapitalis) untuk terus melabor dan membuat keuntungan besar di Malaysia.Inilah sistem dan dasar ekonomi yang menjadikan jurang ekonomi semakin melebar antara pemilik modal (kapitalis) dengan golongan bawahan (pekerja), antara negara-negara miskin di Asia dan Afrika juga di Amerika Latin, sementara negara-negara kaya seperti Barat dan Amerika dan sebahagian negara-negara timur terutamanya Jepun dan Korea terus bertambah kaya, maju dan makmur.

Seandainya tidak mengamalkan sistem ekonomi Islam terutama dalam urusan pinjam-meminjam, hutang-piutang, jual-beli dan lain-lain kegiatan ekonomi; sebaliknya selesa dengan kapitalisme, ertiya anda selesa dengan kezaliman!
.
Seandainya tidak memilih sistem ekonomi Islam, sebaliknya mempertahankan kapitalisme, ertinya anda mempertahankan kezaliman!
.
Jika demikian, di manakah sisa iman anda? Di manakah Islam anda, kalau kapitalisme menjadi sistem yang anda amalkan, anda pertahankan dan relai untuk dilaksanakan dalam kehidupan anda dan tidak pernah pula berusaha – paling daif, tidak memberi sokongan sewaktu plihanraya – untuk mendesak Mulkan Jabbariyyan menggantikan dengan sistem ekonomi Islam yang adil? Di manakah sisa iman?

Ada tiga hukum bagi golongan demikian.Firman Allah Taala:
Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” – Al-Maidah:5:44
Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” – Al-Maidah:5:45
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” – Al-Maidah:5:47

Hukum di atas terpakai kepada seluruh sistem kehidupan – way of lfe Islam – bukan terhad kepada hukum ekonomi sahaja tetapi politik, sosial, pendidikan, perundangan dan sebagainya.

14 Mei 2009

Bangsa Melayu Tidak Beriman?
(Artikel 3)
Islam dan Iman.

Untuk bangkit Bangsa Melayu perlu beriman. Setelah beriman baharulah, seluruh amal menjadi amal soleh. Kalau iman tidak ada, cuma mengaku Islam, dibimbangi seluruh amal menjadi sia-sia.

Bahawa sesungguhnya Islam dan Iman semestinya bersepadu dalam jasad insan umpama kulit dengan isi dalam sebiji buah.Bila kulit baik, selalunya isinya baik juga, dan buah ini memang sedap dimakan. Tetapi ada juga ketikanya, kulitnya tidak baik tapi isinya baik. Namun buah ini masih boleh dimakan. Dan ada juga keadaan, bilamana kulitnya baik tetapi isinya tidak baik, lalu buah ini tidak elok dimakan. Yang paling buruk ialah kulit dan isinya sama-sama tidak baik, lalu buah ini tidak berguna samasekali.
Gambaran yang lebih jelas adalah seperti berikut:
(i) Buah yang terbaik ialah kulit dan isinya sama-sama baik.
(ii) Buah yang kedua baik ialah isinya baik tetapi kulitnya tak baik.
(iii)Buah yang tidak berguna ialah kulitnya baik tetapi isinya buruk.
(iv)Buah yang paling hampas ialah kulit dan isinya sama-sama buruk.

Demikianlah bandingan Islam dan Iman. Dan dalam konteks Bangsa Melayu, berdasarkan pengkategorian iman/tauhid yang dijelaskan oleh Iman al Ghazali, secara majoritinya orang-orang Melayu berada pada kelompok (iii) dan (iv). Kelompok (iii), amal Islamnya nampak baik, tapi berhadapan dengan masalah iman! Inilah yang mahu dibicarakan di sini. Apakah masih ada iman di hati di kalangan Bangsa Melayu?

Di Manakah Lagi Sisa Iman?

Di manakah lagi sisa iman kalau sekadar mengaku beriman di bibir, tetapi tidak di hati?
Di manakah lagi sisa iman kalau sekadar mengaku beriman kepada Allah, tetapi taat kepada selain Allah?
Di manakah lagi sisa iman, kalau mengaku beriman kepada malaikat, tetapi menafikan fungsi malaikat sebagai pelaksana sistem kehidupan?
Di manakah lagi sisa iman kalau mengaku beriman kepada Rasul, tapi tidak mahu menjadikan Baginda Rasulullah saw sebagai contoh ikutan dan mematuhi syariatnya?
Di manakah lagi sisa iman kalau mengaku beriman kepada Kitab, tetapi mengambil kitab-kitab yang lain terutama dari Barat Yahudi?
Di manakah lagi sisa iman kalau mengaku beriman kepada qadak dan qadar, tetapi lebih percaya kepada kuasa diri sendiri dan kuasa manusia?
Di manakah lagi sisa iman kalau mengaku beriman kepada Hari Akhirat, tetapi berhabis-habisan berbakti untuk dunia?

Di manakah lagi sisa iman kalau mengaku beriman tetapi merelakan sistem hidup di bumi Melayu dikotori dan dinajisi oleh sistem Yahudi dan Nasrani, dan sama-sama pula bermati-matian memperjuang dan mempertahankannya melalui kekuasaan Mulkan Jabbariyyan?

Adalah berdosa besar bahkan dibimbangi ketiadaan iman, bagi umat Islam kerana tidak menjadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai sistem yang menguruskan kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Firman Allah Taala:
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang telah diperingatkan kepada ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling darinya?” – As-Sajdah:22

Yang paling berat menanggung dosa engkar amanah bahkan boleh menggelencerkan keimanan tanpa sedar ialah ulama dunia (jahat) dan Mulkan Jabbariyan. Ini ditanggung sama oleh sesiapa sahaja dari kalangan rakyat biasa yang merestui, merelai, menyokong, mempertahan atau memperjuangkannya bersama Mulkan Jabbariyyan.
Sabda Rasulullah saw:
`Barangsiapa menyukai suatu kaum dan mengambil mereka menjadi pemimpinnya, nescaya mereka dikumpulkan bersama mereka pada hari kiamat’- Ihya Jld 7 hal.575

Ini adalah disebabkan rakyat ramai bersekutu dan bersama menyokong pemimpin dan ulama yang melakukan kemungkaran. Sabda Rasulullah saw seterusnya:
`Barangsiapa menyaksikan perbuatan mungkar, lalu ia redha dengan perbuatan tersebut, maka seakan-akan ia sudah mengerjakannya’ – Ihya Jld.7 hal.572
`Jikalau seseorang hamba dibunuh di Masyriq (Barat) dan diredai (dipersetujui) dengan pembunuhannya oleh orang lain di (Masyrik) Timur, nescaya adalah orang itu berkongsi pada pembunuhannya’ – Ihya Jld.7 hal. 573

Orang-orang yang beriman tidak ada apa-apa pilihan lain dalam urusan agama. Firman Allah Taala:
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu – Al Baqarah: 208.

Tidak mengamalkan Islam keseluruhannya ertinya sekadar melaksanakan Rukun Islam – solat, puasa, zakat dan fardhu haji tetapi mengabaikan Rukun Iman terutama mengenai panduan hidup yang wajib diamalkan atau dilaksanakan seperti yang terdapat di dalam Kitab Suci al Quran dan Sunnah Nabi saw. Apabila sekadar melaksanakan Rukun Islam, tapi mengabaikan Rukun Iman ini bererti mengalami krisis keyakinan. Inilah masalah, masih adakah sisa iman di hati?

Sesuailah juga dengan Firman Allah swt.
‘Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.

Apabila Islam tidak diamalkan secara keseluruhannya, ruang yang tidak diisi oleh Islam sudah semestinya diisi oleh sistem yang lain. Antara sistem yang paling merbahaya ialah sekularisme Yahudi. Bila sekularisme mengisi hati dan minda, di manakah lagi tinggalnya sisa iman/Islam? Apabila sekularisme Yahudi dan berbagai-bagai lagi ideologi yang lain telah mengisi ruang-ruang yang tidak diisi oleh Islam, di manakah lagi sisa iman?

Sekularisme Racun Dunia.

Sekularisme menjadi pegangan umat Islam sehingga akhirnya seluruh sistem hidup bernaung di bawah Negara Sekular dan dengan kerana itu matlamat untuk melaksanakan sistem Allah dan RasulNya dalam sebuah Negara Islam tidak lagi menjadi agenda prioriti kepada umat Islam sendiri. Di manakah lagi sisa iman kalau konsep Negara Sekular Liberal-Demokrasi-Kapitalis menjadi agenda nasional dan negara, lalu dianggap negara terbaik untuk Bangsa Melayu dan Malaysia sedangkan al Quran menegaskan BALDATUN TOIYYIBATUN?

Oleh sebab itulah Rasulullah saw telah memperingatkan kepada umatnya betapa amat merbahayanya sekularisme kepada umat Baginda saw dalam sabdanya:
‘Kecintaan kepada dunia itu kepala (pokok) tiap-tiap kesalahan’.

Kepala kesalahannya ialah memandang dengan pandangaan yang ideal dan tinggi kepada negara-negara sekular Barat. Lantas Barat Yahudi dianggap sebagai model negara moden, lalu untuk turut moden dan dipandang tinggi, golongan Mulkan Jabbariyyan mensekularkan seluruh sistem negara bangsa – politik, ekonomi, pendidikan, perundangan, kehakiman, kewangan dan sebagainya. Bukankah Wawasan 2020 adalah kemuncak kepada keterpesonaan kepada sistem sekular?

Wawasan 2020 bukan tidak bagus untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kaya dan maju, tetapi dengan memakai magnet sekular, ertinya meminggirkan magnet Islam dan melaluinya terseretlah semua sistem dan isme-isme Barat Yahudi yang lain yang kesemuanya berpaksi kepada pemujaan tamadun kebendaan, dan kecintaan kepada hidup di dunia. Inilah yang bercanggah dengan dakwah para Nabi dan Rasul-RasulNya yang perutusan mereka adalah untuk mengalihkan kiblat hati manusia dari dunia kepada akhirat. Inilah maksud ’kecintaan kepada dunia itu kepala tiap-tiap kesalahan, kerana impaknya, kehebatan dan keindahan ’way of life’ Islam semakin terpinggir, dan iman di kalangan umat Islam kian mencair. Contoh yang sangat tragis adalah dalam bidang pendidikan.

Pendidikan Sekular Racun Yang Bisa.

Setelah 50 tahun racun Barat Yahudi Zionis disuntik ke dalam minda para pelajar, lahirlah generasi lepas merdeka – rakyat ramai dan pemimpin - yang alpa dan memandang remeh urusan agama. Lahirlah keturunan Melayu yang kiblat jiwanya ialah kepada gaya hidup materialistik yang mementingkan kemewahan dan hidup bergaya, mementingkan budaya berhibur-hiburan, bersukan, bernyanyi-nyanyian dan berpesta-pestaan; dan dalam masa yang sama terjebak pula dalam kancah maksiat budaya ‘hayawanul natik’ (haiwan berakal); perzinaan dan perkosaan, mabuk arak dan dadah, dan pelbagai jenayah pecah amanah, penipuan, rompak-samun dan ragut, dan serbanika kebobrokan akhlak dan moral.

Setelah sedemikian gayat dan haru-baru akhlak ummah pada segenap peringkat, usaha untuk memartabatkan kualiti insan berasaskan falsafah dan matlamat Pendidikan Islam masih lagi kabur. Setelah sebegitu nyata pendidikan sekular telah cukup berbisa meracuni jiwa generasi lepas merdeka melalui teori-teori pendidikan, strategi pengajaran pembelajaraan, ilmu-ilmu akademik-sekular yang tidak ditauhidkan, pemimpin-pemimpin tertinggi pendidikan nampaknya masih tetap lagi berada dalam klimek keterpesonaan kepada idea tok-tok guru Yahudi di negara-negara sekular. Muncullah kini slogan-slogan yang teramat hebat dan kadang-kadang menakutkan dari golongan Mulkan Jabbaiyyan untuk menjadikan `pendidikan negara bertaraf dunia’ dengan `minda kelas pertama. Tidakkah ini menggambarkan ketaksuban kepada sekularisme yang cukup dahsyat?

Apa lagi yang tidak diikuti oleh anak-anak muda Melayu bermodelkan muda-mudi Barat; apa lagi yang tidak ditiru oleh masyarakat massa Melayu bermodelkan model masyarakat barat; lubang biawak mana lagi yang tidak diterjuni oleh masyarakat Melayu, hasil sistem pendidikan sekular yang mengabaikan komponen emosi dan kerohanian setelah lebih 50 tahun dilaksanakan? Inilah kebinasan pada jalan Jalan Syariat dan Jalan Tarekat yang diperingatkan oleh Rasulullah saw mengenai pendidikan:
”Dari Jabir ra. Dari Nabi saw. (mengenai peristiwa) ketika Umar datang mengadap Baginda saw. Lalu berkata:”Ya Rasulullah. Kami ada mendengar cerita-cerita dan nasihat pengajaran yang menarik hati dari orang-orang Yahudi, maka bagaimana fikiran tuan bolehkah kami menulis sebahagian daripadanya?
Mendengar yang demikian Nabi saw bersabda:
Adakah kamu merasa ragu-ragu dan serba salah (dalam ajaran agama kamu) sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani telah ragu-ragu dan meraba-raba (dalam ajaran agama mereka)? Demi sesungguhnya! Aku telah membawa kepada kamu Agama Islam dengan keadaannya yang jelas nyata dan bersih suci. (dari sebarang syirik dan penyelewengan) dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi (sudah tentu) tidak ada jalan lain baginya selain menurutku” – Mastika Hadis Jilid 1 hal. 47.
Sabda Baginda saw lagi.
‘Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka’. Sahabat bertanya:”Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?”. Nabi saw menjawab:”Siapa lagi kalau bukan mereka!”

Lantas muncullah generasi yang paling dahsyat yang digambarkan oleh Rasulullah saw dan ini amat ketara menjadi gaya hidup pendukung utama golongan Mulkan Jabbariyyan:

’Akan datang sesudahmu suatu kaum yang memakan makanan dunia yang baik-baik dan berwarna, mereka mengenderai unta yang cantik dan berwarna-warna, mengahwini wanita tercantik dan berwarna-warna, memakai kain yang tercantik dan berwarna-warna. Mereka mempunyai perut yang tiada kenyang dari makanan yang sedikit.Mempunyai nafsu yang tidak merasa cukup dengan yang banyak, mereka berhenti di atas dunia berpagi dan bersore hari kepada dunia, mereka mengambil dunia itu menjadi Tuhan yang disembah, tidak Tuhan yang disembah mereka sendiri. Mereka mengambil Tuhan selain Tuhan mereka. Kepada urusan dunia mereka berkesudahan.Mereka mengikut hawa nafsunya. Maka cita-cita Muhammad bin Abdullah, bagi siapa yang mendapati zaman itu dari sesudah, sesudah kamu dan di belakang, belakang kamu, bahawa ia tidak memberi salam kepada mereka.Tidak mengunjungi orang-orang sakit mereka.Tidak turut menghantar jenazah-jenazah mereka.Dan tidak memuliakan orang besar mereka.Maka siapa yang berbuat demikian, nescaya ia telah menolong menghancurkan Islam”, Ihya Ulumiddin Jld.5 hal.104

Dunia sekular sesungguhnya tidak berharga dan oleh kerana itulah para Nabi dan Rasul diutuskan dengan amanah untuk memalingkan hati manausia dari dunia kepada akhirat. Ini disebabkan dunia adalah ilusi, fantasi, khayalan dan fatamorgana. Firman Allah Taala:
Dan tiadalah kehidupaan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka.Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. – Al An’aam: 191

Dunia hanyalah tempat main-main dan bermain-main. Bermain-main dengan harta dan wang ringgit, bermain-main dengan pangkat dan kebesaran, bermain-main dengan keseronokan dalam pesta-pestaan, bermain-main…..yang pada akhirnya lenyap bagaikan cairnya ais di bakar bahang mentari apabila disambar maut.

Hadis mengenai hinanya dunia:
Diriwayatkan, bahawa Rasulullah saw berdiri di atas tempat sampah, lalu bersabda.`Marilah kepada dunia’, dan mengambil potongan-potongan kain yang sudah buruk di atas tempat sampah itu, dan tulang yang telah berlubang-lubang seraya bersabda:` Inilah dunia!’ – Ihya Ulumiddin Jld. 5 hal: 10-11.
Dirawikan, pada suatu hari ketika Rasulullah saw melalui bangkai kambing, lalu Baginda saw bersabda:
`Tidakkah engkau lihat bangkai ini telah dihinakan oleh pemiliknya?’
Mereka menjawab:` Jelas saja hina. Buanglah ia’. Kemudian Rasulullah saw bersabda: `Demi Zat yang aku di dalam kekuasaanNya. Sesungguhnya dunia ini lebih hina di sisi Allah daripada bangkai kambing ini bagi pemiliknya. Kalaulah dunia di sisi Allah sebanding dengan harga sayap seekor nyamuk, nescaya tidak seteguk air pun diberikan kepada orang kafir’
– Mukashafah Al Qulub hal: 132.

Demikianlah hakikat dunia. Namun bahana sekularisme telah menjadikan Mulkan Jabbariyyan tetap amat mencintainya sehingga membina standard-standard kualiti yang mesti dicapai supaya dapat meletakkan Malaysia berkualiti mengikut kayu ukur Barat Yahudi. Lahirlah impian yang tinggi melangit dalam Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan.

Sebelum ini Audit MS ISO telah diperkenalkan ke dalam institusi pengajian tinggi bagi menjamin standard kualiti tenaga pengajar dan institusi pendidikan. Audit sedemikian walaupun pada hakekatnya bagus bagi industri berasaskan pengeluaran produk, tetapi bila diimport ke dalam industri pedidikaan yang produk kualitinya adalah manusia, MS ISO menjadi pengacau kepada keharmonian sistem pengajaran dan pembelajaran. Bila tiba waktu audit, institusi pendidikan bagaikan dikunjungi oleh sekumpulan makhluk asing yang mengganggu budaya ilmu yang menjadi fokus utama dalam industri pendidikan.

Audit MS ISO dan MQA bagaikan satu obor suci dari sebuah kitab suci yang semua staf akademik dan bukan akademik di institusi perlu berkorban masa bagi memastikan seluruh organisasi mematuhinya, bahkan kadang-kadang bagai menghambakan diri kepadanya. Inilah pembinan perangkap; diperingatkan oleh nenek moyang `tiada beban batu digalas’, lalu akhirnya hidup suburlah budaya, `kerja banyak bertimbun-timbun’, `terkejar-kejar’. `tak cukup masa’, hingga menimbulkan suasana ketegangan emosi dan gangguan jiwa. Bahawa sesungguhnya inilah kejayaan Azazil dalam sistem pendidikan sekular di institut pengajian tinggi kerana mengaudit kerja sendiri menjadi agenda yang sangat penting mengatasi kemuliaan ilmu.

Maafkan kami, apakah keterbalikkan dunia fikir yang lebih dahsyat daripada ini – terkhusus dalam bidang pendidikan, sehingga tugas hakiki seseorang pendidik sebagai seorang Mualin, Mudaris, Murabbi, Muaddib dan Mursyid yang sejak sekian lama tidak berapa dapat berfungsi, kini habis berterbangan di rempuh taufan MS ISO demi mencapai MQA, sedangkan kualiti adalah di sisi Allah dan RasulNya melalui standard kualiti KitabNya dan Sunnah RasulNya. Di sebalik almari buruk manakah mahu disembunyikan Kitab Allah dan RasulNya apabila ada `kitab-kitab suci dalam standard kualiti’ yang dipatuhi melebihi batas kepatuhan? Siapakah yang telah memperdayakan Bangsa Melayu kita sehingga institusi pendidikan ditimpa kesibukan menguruskan urusan MQA dan audit ISO melebihi tanggungjawab hakiki?

Inilah bala Allah: Allah Taala berfirman kepada pendukung sekularisme:
`Wahai dunia! Berkhidmatlah kepada orang yang telah berkhidmat kepadaKu dan perbudakkanlah orang yang berkhidmat kepadamu’ – 272 Hadis Qudsi, hal: 108

Muncullah budak-budak dunia di institusi pendidikan tinggi kerana berbakti kepada MS ISO bagi mencapai MQA!

Rasulullah saw bersabda:` Siapa di waktu pagi lebih mementingkan dunia maka dia tidak memiliki sesuatu dari Allah. Malah Allah akan menetapkan empat hal dalam hatinya; kedukaan yang tidak pernah ada putusnya, kesibukan yang tidak pernah ada rehatnya, kefakiran yang tidak pernah sampai kaya dan angan-angan yang tidak pernah ada hentinya’ – Mukashafah Al Qulub: hal 134.

Ini adalah realiti dalam institusi pendidikan tinggi. Siapakah yang bersalah dalam hal ini dan siapakah yang patut dipersalahkan? Sesungguhnya yang menjadi punca kesalahan ialah SISTEM – SISTEM HIDUP yang Bangsa Melayu pilih. Inilah kerja IBLIS yang telah menghambakan manusia bernama Abdul Fatah, Wan Muda, Tengku Muslim, Syed Habib atau Hajah Kamaliah, Puan Zainab, Syarifah Norma, Siti Bani yang berjawatan sebagai MENTERI, KETUA SETIAUSAHA, KETUA PENGARAH, PENGARAH, PENGETUA dan PENSYARAH.

Sibuk dan hiru-pikuklah semuanya dengan berbagai-bagai program dan aktiviti, projek dan perkhemahan, tilawah dan pertandingan, mesyuarat dan bengkel, kursus panjang dan pendek, menyediakan laporan dan penyelidikan, kertas kerja kursus dan seminar, urusan-urusan peperiksaan dan penilaian – menggubal soalan, moderasi, bank item, bank soalan, jadual spesifikasi ujian dan sebagainya - dan serbanika ‘keajaiban-keajaiban baru’ yang dipesonakan, dan entah apa-apa lagi yang akan dipesonakan oleh tok-tok guru Yahudi, sedangkan tangungjawab pendidikan - mendidik hati budi, akhlak, sahsiah, emosi, rohani, iman, Islam, tauhid, makrifat, nilai keinsanan dan kemanusiaan, komponen JERI dalam FPK dan sebagainya bagi menjana modal insan iaitu insan soleh dan insanul kamil terabai samasekali.

Siapakah kalau bukan IBLIS yang telah membentuk bala tentera yang bernama “manusia” mengalihkan matlamat pendidikan dari menghasilkan ‘hamba-hamba Allah yang soleh’ berubah kepada hamba kapitalis, sekularis, liberalis, materialis dan berbagai-bagai ‘lis’ lagi yang mahagurunya adalah IBLIS?
Di manakah lagi sisa iman?

Cinta Kebendaan Dimurkai Tuhan.

Di manakah lagi sisa iman apabila fahaman materialisme Yahudi telah mendominasi nafsu untuk memburu hidup kebendaan, memburu pangkat dan kedudukan untuk hidup mewah, kaya dan bergaya? Sabda Rasulullah saw:
‘Apabila diagungkan oleh umat ku akan dinar dan dirham, nescaya dicabutkan daripadanya kehebatan Islam. Dan apabila meninggalkan amar maaruf dan nahi munkar, nescaya diharamkan mereka dari keberkatan wahyu’. Berkata Al Fulail:”Yakni diharamkan mereka dari memahami Al Quran!”

Rasulullah saw menggunakan istilah `mengagungkan dinar dan dirham’ yang ertinya mengagungkan ringgit dan harta-benda. Inilah fahaman yang menyebabkan masyarakat dunia memperhambakan diri mereka kepada duit dan diikuti sama oleh masyarakat Islam. Bila orang Islam mengabdi kepada kebendaan dan kekayaan, hilanglah kehebatan Islam kerana demi sesungguhnya kehebatan Islam tidak diukur kepada berapa banyak harta-kekayaannya dan berapa luas ladang dan hartanahnya. Nikmat sedemikian tidak ada bezanya dengan nikmat sekumpulan kuda yang memiliki berhektar-hektar padang rumput yang subur! Kemuliaan Islam sesungguhnya terletak kepada kualiti jiwanya dan kadar kedekatannya dengan Tuhannya, mencintai dan mengagungkan zat yang tidak terdiri dari benda iaitu Zat Allah Yang Maha Agung.Inilah nikmat kemuliaan insan yang dinamakan nikmat kerohanian yang diukur pada ketinggian martabat di sisi Tuhannya.

Rasulullah saw sangat khuatir kepada godaan dunia dari menimpa umatnya yang beriman. Bacalah riwayat berikut:
Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw mengutus Abu Ubaidah bin Al Jarrah. Lalu ia datang dengan membawa banyak harta dari Bahrain. Maka kaum Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah.Lalu mereka mengerjakan solat Subuh bersama Rasulullah saw dengan sebaik-baiknya. Apabila Rasulullah saw selesai solat, lalu Baginda saw pergi.Maka datanglah mereka kepada Nabi saw. Rasulullah saw tersenyum ketika melihat mereka. Kemudian bersabda:”Aku menyangka bahawa kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah telah datang dengan membawa sesuatu.Mereka menjawab:”Benar wahai Rasulullah”
Nabi saw lalu mejawab:”Bergembira dan berangan-anganlah apa yang menyenangkan kamu.Demi Allah! Tiadalah kemiskinan yang lebih aku takut kepada kamu.Tetapi yang lebih aku takut kepada kamu ialah bahawa terhampar kepadamu dunia, sebagaimana telah terhampar kepada orang-orang sebelum kamu.Lalu kamu berlomba-lomba akan dunia sebagaimana mereka berlomba-lomba padanya.Maka dunia akan membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka
’ – Ihya Ulumiddin Jld.5 hal.19

Apakah tidak binasa lagi sekarang? Apakah Bangsa Melayu tidak berlomba-lomba pagi, petang, siang dan malam memburu dunia kebendaan dan kemewahan? Keasyekan dengan ringgit dan harta benda sebenarnya adalah bencana bagi kebangkitan Bangsa Melayu kerana sunnah kebangkitan Islam tidak dengan kekayaan kebendaan. Islam bangkit dengan kekayaan jiwa dan kekuatan kerohanian, dengan pergantungan harap yang kuat kepada Zat Yang Maha Perkasa. Nabi Muhammad saw tidak memiliki gedung emas. Para Sahabat Radiallahhu Anhum bukanlah pemilik ladang-ladang yang luas. Mereka bukan juga saudagar yang kaya-raya, tetapi majoritinya adalah miskin. Tetapi dengan kekuatan iman dan jihad, Islam tetap bangkit dengan hebat meruntuhkan empayar Rom dan Parsi pada ketika itu yang merupakan dua empayar kuasa besar.

Allah Taala memperingatkan supaya jangan terpedaya dengan kemewahan orang-orang kafir.
‘Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka adalah Jahanam’ – Ali Imran:196-197.
Dan janganlah engkau tujukan pemandangan engkau kepada kesenangan sebagai bunga kehidupan dunia yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka kerana Kami hendak menguji mereka dengan itu, sedangkan rezeki dari Tuhan engkau lebih baik dan lebih kekal’ - Thahaa:131.

Tetapi fahaman materialisme menjadikan bangsa Melayu tidak menghiraukan peringatan al Quran. Fahaman kebendaan menjadikan Bangsa Melayu tidak menghiraukan sunnah kebangkitan Islam bukan melalui perjuangan ekonomi. Demi matlamat kebendaan mengumpul ringgit dan harta untuk hidup kaya bergaya, Bangsa Melayu materialistik sanggup melakukan apa sahaja kerana terpedaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak, terutamanya kapitalis-kapitalis Barat atau tidak kurang juga kapitalis di tanah air sendiri, – lalu hidup suburlah segala cara ‘kebebasan’ dalam sistem ekonomi dengan adanya begitu banyak unsur yang meragukan di sisi syarak atau kadang-kadang jelas haramnya.

Sikap materialistik yang melampau dan ingin menjadi Qarun yang sebaris dengan Qarun-Qarun terkaya di dunia, kadang-kadang orang Melayu tidak lagi mempedulikan etika Islam dalam urusniaga.Yang penting ialah permainan duit mesti terus berlangsung! Lalu halallah semua jenis urusniaga bentuk baru yang meragukan, halallah aktiviti menipu, pecah amanah, rasuah bahkan menjual maruah kerana `the end justified the means’! Inilah yang melanda masyarakat kapitalis Melayu. Dalam dunia jual-beli, orang-orang Melayu jenis ini sanggup ‘menahan jerat di pergentingan’ sambil ‘menghisap darah’ menjadi lintah seperti dilakukan oleh orang-orang bukan Islam. Bahkan kadang-kala orang bukan Islam pula sebaliknya ada yang lebih beretika dalam urusniaga berbanding dengan orang-orang Melayu. Inilah bencana yang bukan membawa kepada kebangkitan, tetapi kerendahan jiwa dan kehancuran bangsa.

Sesungguhnya bukanlah salah menjadi kaya.Tapi jadilah orang kaya yang pemurah, tidak sombong, tidak angkuh dan tidak meninggi diri. Jadilah biliawan dan jutawan yang merendah diri, baik hati, pemurah, suka menolong orang miskin, pengasih dan penyayang serta hormat-menghormati sesama manusia. Jadilah orang-orang kaya yang meletakkan amanah harta pada tempatnya yang betul.

Malangnya sekularisme dalam pendidikan tidak dapat melahirkan kuantiti yang ramai orang kaya yang dermawan dan beriman sempurna, tetapi sebaliknya bertambah ramai orang kaya yang terus-menerus tamak dan haloba, rakus, sombong dan lupa diri.Inilah bencana sekularisme dan materialisme, menimpa kemurnian hidup beragama dan matlamat DEB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak bin Husin yang sangat berjasa untuk Malaysia.




09 Mei 2009

Imam Mahadi Dari Bangsa Melayu?
(Artikel 2)

Syarat Kebangkitan Bangsa Melayu.

Firman Allah Taala:
‘‘Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa’ – An Nuur: 55
Firman seterusnya yang bermaksud:
`Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauhul Mahfudz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang solleh – Al Anbiya:105


Berdasarkan ayat An Nuur: 55 dan Al Anbiya:105 di atas, Allah Azzawajalla telah meletakkan dua syarat untuk kebangkitan pada era akhir zaman iaitu beriman dan beramal soleh. Rasulullah saw telah pula menetapkan nama gelaran Imam Mahadi iaitu Imam Yang Mendapat Petunjuk sebagai personaliti akhir zaman yang beriman dan beramal soleh, bagi membuka lembaran zaman baru untuk dunia yang ideal dan bahagia menggantikan dunia yang penuh dengan kezaliman, kemungkaran dan kejahatan.

Imam Mahadi adalah imam akhir zaman yang sudah semestinya seorang insan pilihan yang menghidupkan kembali 100% sunnah Allah dan RasulNya. Orang-orang yang beriman dan beramal solehlah nantinya yang akan menjadi pengikut dan penyokongnya dan kalau tanpa iman dan tanpa amal soleh, haruslah belum pasti menjadi pengikut dan penyokongnya bahkan dikhuatiri menjadi penentangnya yang paling tegar.

Masalah sekarang ialah mengenai apakah umat Islam pada hari ini beriman? Apakah umat Islam pada hari ini beriman dan kemudiannya beramal soleh? Setiap amal perbuatan hanya menjadi amal soleh andaikata disertai dengan iman, kerana tanpa iman sesuatu amal tidak menjadi amal soleh di sisiNya. Atas dasar inilah amal kebaikan orang-orang yang tidak beriman (orang kafir) tidak menjadi amal soleh di sisi Allah Rabul Alamin. Dengan prinsip ini juga bermakna semua amal-amal yang disangka sebagai amal soleh, tidak menjadi amal yang soleh di sisiNya kalau tanpa iman kerana iman adalah urusan batin dan ini telah diperkatakaan melalui konsep Islam Batin dalam artikel sebelum ini.

Untuk menerangkan kenapa amal-amal tidak menjadi amal soleh, ini adalah isu lain yang tidak dibicarakan di sini. Walaupun demikian diturunkan hujah betapa iman dan Islam adalah satu integrasi dan kesatuan yang samasekali tidak boleh wujud berasingan, kerana Islam tidak berguna tanpa iman. Firman Allah Taala:
‘Orang-orang Arab Badui itu berkata: “ Kami telah beriman”,Katakanlah (kepada mereka): “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu’ - Al-Hujuraat:14
Sesuailah juga dengan Firman Allah swt.
‘Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.

Juga jangan pandang rengan, jangan ambil mudah soal iman. Refleksilah diri masing-masing dengan setulusnya – betapa mudahnya ketiadaan iman walaupun beragama Islam berdasarkan peringatan-peringatan dan pesanan-pesanan Rasulullah saw. Seseorang yang mengaku Islam ertinya adalah orang yang masih bersolat, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan Fardhu Haji, akan tetapi mudah sahaja dikategorikan ketiadaan iman dalam keadaan-keadaan seperti berikut:
.
‘Tidak beriman seorang kamu, sebelum dia mencintai saudaranya, akan apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri’.
`Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya'.

Hendaklah disedari, saudara di sini bukan ertinya sudara mara atau adik-beradik dari pertalian darah keturunan, tetapi merujuk saudara seagama kerana orang-orang mukmin adalah bersaudara – Al Hujurat:10. Orang mukmin mesti menjaga hubungan kasih-sayang sesama mereka. Dalam hal ini lihatlah perbalahan terkhususnya dalam soal politik. Apakah ini tanda orang beriman apabila terzahir dengan sangat jelas kata nista, cacian, sikap permusuhan dan dendam-kesumat? Ertinya berdasarkan hadis di atas, bukanlah lagi tanda orang berimaan.Dan lihatlah pula hadis berikut:
`Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengelurkan kata-kata buruk dan kesat’
Lihatlah pula hadis-hadis seterusnya dan buatlah cermin diri.
`Tidak beriman dengan aku seseorang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu yang jirannya dalam kelaparan'
`Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasa selamat dari kejahatannya'
`Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan RasulNya lebih dikasihinya daripada yang lain dari keduanya’
`Orang mukmin itu mencintai orang mukmin, sebagaimana mencintai dirinya’ sendiri’

Imam Ghazali ra membahagikan empat tingkat tauhid/iman:
· Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
· Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin - iktikad orang awam.
· Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
· Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.

Para ulama Tasauf di Alam Melayu membahagikan iman juga kepada empat tingkat berikut:
Ilmu Yaqin – Tingkat Pertama - Percaya dan yakin berdasarkan ilmu dan akal
Ainul Yaqin – Tingkat Kedua - Keyakinan berasaskan pengalaman hati dan rasa
Haqqul Yakin – Tingkat Ketiga - Keyakinan berasaskan penyaksian batin
Kamal Yakin – Tingkat Kempat - Keyakinan sempurna lagi hakiki

Apa yang dikategorikan oleh Imam Ghazali ra dan ulama Tasauf di Alam Melayu sebenarnya tidak ada apa-apa perbezaan dan kedua-dua pengkategorian tersebut bahkan memperjelaskan betapa iman dan tauhid pada tahap pertama adalah martabat iman yang sangat rendah, lemah dan rapuh yang bila-bila masa sahaja boleh tergelincir – sila rujuk hadis-hadis yang dipaparkan di atas - lantas menjadi kufur, kafir, murtad, munafik, syirik atau fasik.

Setelah berpuluh-puluh tahun bahkan beratus-ratus tahun umat Islam diserata dunia setiap hari menghirup racun oleh gerakan Zionis melalui agenda Freemason, Illuminati dan sebagainya; setelah sekian puluh dan ratus tahun dinazakkan benih iman oleh ideologi-ideologi Yahudi - sekularisme, materialisme, pragmatisme, hedonisme, liberalisme, nasionalisme, individualisme, eksistensialisme, utilitarinisme, egoisme – sekadar beberapa contoh, dan semua isme-isme ini telah menjadi sistem hidup hampir ke seluruh dunia, dan bahkan menjadi cara hidup, budaya moral sosial, yang turut diamalkan, ditaati bahkan dipertahan dan diperjuangkan sama oleh umat Islam di seluruh dunia, sehingga sukar untuk dibezakan antara mana amalan Islam dan mana pula yang bukan amalan Islam, manakah lagi tinggal sisa iman? Inilah masalah iman dan aqidah yang cukup tercabar!

Firman Allah Taala:
Apakah kamu tidak memperhatikan orang-oang yang mengakui dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan sejauh-jauhnya’ – An-Nisa:60.

Thaghutlah yang berjenama dengan berbagai-bagai nama isme-isme Yahudi yang dinyatakaan di atas yang telah berakar-umbi dalam sistem Mulkan Jabbariyyan yang mengurus sistem negara kota umat Islam selama ini!

Umarak dan Ulama Perosak?

Secara asasnya ada dua golongan sahaja yang menyebabkan kerosakan kepada umat Islam dan dunia menurut peringatan Rasulullah saw iaitu umarak dan ulama. Sabda Rsulullah saw:
`Dua golongan dari umatku apabila baik nescaya baiklah manusia semuanya dan apabila rusak nescaya rusaklah manusia seluruhnya iaitu amir-amir (pemerintah) dan ahli-ahli fiqih (ulama)’ – Ihya Jld.1. hal.48

Golongan umarak ialah dari golongan Mulkan Jabbariyyan iaitu sekumpulan elite politik yang terdidik khusus dari sistem sekular Barat Yahudi yang telah diamanahkan untuk kemerdekaan tanah air, dan kemudiannya setelah merdeka, mengimport lebih banyak lagi pemikiran tersebut, lalu seterusnya menyebarluaskan sistem Barat Yahudi untuk ditanam di dalam minda dan hati umat Islam. Ini adalah penyelewengan atau kedurhakaan (jabbariyyan) golongan umarak (pemerintah).

Keadaan menjadi bertambah parah apabila berlaku pula penelewengan atau kedurhakaan ulama. Golongan ulama yang diberi amanah menjaga kemurnian agama dan wajib membuat teguran kepada apa jua gejala kebinasaan ummah, telah mendiamkan diri atau terus bersekutu dan bergabung dengan umara. Rakyat ramai atau orang awam yang berada pada aras tauhid dan iman tingkat pertama, melihat ulama yang majoritinya lepasan pusat pengajian tinggi, bahkan di antaranya dari Timur Tengah – lambang Islam dan pusat rujukan Islam sedunia - menyangkakan merekalah model orang berilmu, merekalah ulama warasatul ambiya, lantas sama-sama setia bersekutu bergabung bersama Mulkan Jabariyyan.

Kedua-dua golongan ini – ulama dan elite politik yang memerintah - adalah golongan jabbariyyan (durhaka dan menyeleweng) kerana mereka dengan sedar dan dengan sengaja tidak mahu mengikut syariat Allah dan RasulNya sedangkan pilihan di tangan mereka. Di sinilah bermulanya sokongan kepada Mulkan Jabbariyyan oleh majoriti ummah; dan sejak itu bermulalah zaman dagang Islam.

Ulama sedemikianlah yang dikatakan ulama jahat. Sabda Rasulullah saw:
‘Aku di antara kamu dengan dajal, lebih takut kepada kamu daripada dajal’.
Sahabat-sahabat lantas bertanya:’Siapakah di antara kami wahai Rasulullah?’.
Jawab Rasulullah saw:”Ulama jahat’
Sabda Baginda saw seterusnya:
Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal dari Al Quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjd mereka tersergam indah, tetapi ia kosong dari hidayah.Ulamak mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali’

Kenapa ulama menjadi jahat atau kenapa intelektual Islam sedemikian menjadi sejahat-jahat makhluk di bawah naungan langit – ertinya lebih jahat dari syaitan? Dengarlah Sabda Penghulu Junjungan saw:
Janganlah engkau mempelajari ilmu pengetahuan untuk bersombong-sombong dengan sesama berilmu, untuk bertengkar dengan orang berfikiran lemah dan untuk menarik perhatian ramai kepadamu.Barangsiapa berbuat demikian, maka dia dalam neraka” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal:225.
Bersabda Nabi saw:“Barangsiapa menuntut ilmu di antara ilmu pengetahuan yang menuju kerelaan Allah untuk memperoleh harta benda duniawi, maka orang itu tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat” – Ihya Ulumiddin Jld.1 hal.233.
Sabda seterusnya:
‘Ulama yang jahat ialah yang datang kepada amir-amir (Mulkan Jabbariyyan). Amir yang baik ialah yang datang kepada ulama-ulama’- Ihya Jld.1 hal:258

Golongan yang jahat dan durhaka dengan Allah dari kalangaan rakyat ramai, samada dilabelkan dengan jenama setan manusia, manusia dajal, manusia durjana, penzina, perogol, pemabuk, penjudi, penkhianat, penzalim, penipu, perompak, peragut, pembunuh dan seumpamanya dapat dikenali melalui kejahatan pekerti dan moralnya – yang pada umummnya memiliki moral yang sangat rendah.

Akan tetapi alim ulama tidak semudah itu untuk mengenal kedurhakaan dan penyelewengan mereka. Alim ulama tidak terjerumus dengan kejahatan salahlaku moral yang rendah. Dengan kedudukannya yang tinggi dan mulia pada pandangan masyarakat, sukar untuk dikenali kejahatan hatinya oleh rakyat ramai yang memiliki iman pada tingkat pertama kerana mereka sentiasa mempamerkan imej alim, berada dalam majlis-majlis agama atau majlis-majlis berunsur agama, berjubah dan bersurban, berjambang dan berjanggut; bahkan membaca khutbah, menjadi imam solat dan menyampaikan kuliah agama.Tanpa pandangan mata hati mereka dilihat seolah-olah pendukung agama yang tulin; tetapi dengan hidayah petunjuk Allah, dapat dikesani bahawa sesungguhnya merekalah pendukung utama agenda Yahudi Zionis melalui kesetiaannya kepada Mulkan Jabbariyyan.

Inilah bencana terbesar di kalangan rakyat ramai kerana rakyat ramai tidak dapat membezakan ulama manakah golongan warasatul ambiya dan ulama manakah pula yang menyambung lidah Zionis Yahudi dan Dajjal. Diperturunkan ayat-ayat Allah mengenai kejahatan mereka bersubahat dan bersekongkol dengan Mulkan Jabbariyyan:
‘Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui’ – Al BaqaraH:42
‘Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami menerangkan kepada manusia dalam al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknat oleh semua yang dapat melaknat’ – Al-Baqarah:159

Sabda Rasulullah saw:
‘Barangsiapa mengetahui sesuatu ilmu, lalu menyembunyikannya, maka ia dikenakan oleh Allah Taala kekang, dengan kekang api neraka pada hari qiamat’.
Kepada ulama sedemikianlah disabdakan oleh Rasulullah saw:
‘Manusia yang sangat menderita azab pada hari Kiamat ialah orang yang berimu yang tiada bermunafaat dengan ilmunya’

Rakyat ramai sesungguhnya sangat sukar untuk mengenal siapakah sebetulnya ulama warasatul ambiya kerana dijerumuskan ke dalam lembah kejahilan, kekeliruan dan kejahiliahan oleh sistem pendidikan sekular untuk beberapa keturunan kerana terpinggirnya ilmu Islam yang menyuluh mata hati khasnya ilmu Tasauf.

Demi sesungguhnya, setelah cukup lama Jalan Islam – Syariat, Tariqat, Makrifat dan Hakekat disisihkan, sehingga istilah-istilah sedemikian menjadi istilah yang begitu ‘pelik, aneh dan asing’ di institusi sekular pengajian tinggi; bahkan dilabelkan sebagai ciri ajaran sesat - siapakah sebenarnya ulama? Dengarlah penjelasan dari pengamal Tasauf zaman berzaman:

`Bukanlah orang yang berilmu itu orang yang menghafal dari kitab, apabila ia lupa nescaya ia menjadi orang bodoh. Sesungguhnya orang berilmu itu ialah orang yang mengambil ilmu dari Tuhannya pada sebarang waktu yang dikehendakinya tanpa hafalan dan belajar’ – Ihya Ulumiddin Jld. 4 hal. 64.

Inilah ulama yang perlu dicari dan sesungguhnya memang teramat sukar untuk ditemui pada zaman kini kerana Ilmu Tasauf yang menjadi pegangan utama ulama-ulama silam, sebagai syarat utama dalam disiplin keilmuan, telah lama dipinggirkan dari persada ilmu.


08 Mei 2009

KEBANGKITAN MELAYU AKHIR ZAMAN
(Artikel 1)

Hujah Kebangkitan.

Persoalan kebangkitan Islam akhir zaman adalah persoalan yang teramat besar. Bukan sahaja bagi Bangsa Melayu, tapi juga bagi umat muslimin sedunia. Persoalan ini dikatakan teramat besar kerana berkait rapat dengan kepimpinan dunia dan halatuju dunia pada akhir zaman.
Kebangkitan Islam pada akhir zaman adalah satu persoalan yang telah menjadi ketetapan. Ini adalah janji Allah dan RasulNya.Hujah mengenai kebangkitan ini diperturunkan beberapa bukti.
Firman Allah Taala:
‘‘Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa’ – An Nuur: 55
Firman seterusnya yang bermaksud:
`Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauhul Mahfudz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang solleh – Al Anbiya:105
Menakala Hadis, riwayat Ibnu Masud ra : Rasulullah saw telah bersabda:` Sekiranya tidak tinggal lagi pada dunia ini kecuali satu malam sahaja, nescaya malam itu diperpanjangkan oleh Allah sehingga seorang lelaki dari ahli rumahku berkuasa. Namanya serupa dengan namaku dan nama bapanya serupa dengan nama bapaku. Ia akan memenuhinya (memerintah) dengan keadilan seperti telah dipenuhi (diperintah) orang dengan kezaliman. Dan ia akan membahagi-bahagikan harta dengan sama. Allah akan menjadikan perasaan kaya dalam hati umat ini. Maka ia akan berada selama tujuh atau sembilan tahun, kemudian daripada itu tidak ada lagi kesenangan di dalam kehidupan sesudah Mahdi itu – Manusia Di Langit dan Di Bumi hal: 227.
Kebangkitan Islam dikatakan bermula dari Timur. Hadis berikut menjelaskan:
‘Akan terjadi di akhir zaman Islam muncul dari sebelah timur’
Sabda Baginda saw seterusnya:
‘Kami ahlul-bait telah Allah swt pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia.Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikan. Maka mereka pun berjuang dan memperoleh kemenangan lalu diberikan apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya, hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Imam Mahadi’.

Imam Mahadi Dari Bangsa Melayu?

Isu Imam Mahadi sebagai faktor kebangkitan, pada suatu ketika dahulu adalah suatu yang kontroversi. Ada sebilangan ulama yang meraguinya. Justru, isu ini tidak menjadi penting dan kurang dipedulikan. Ini berpunca dari banyaknya hadis-hadis yang diragui kesahehannya kerana telah dipolitikkan sehingga muncul begitu banyak watak-watak Imam Mahadi palsu.

Bila disabdakan oleh Penghulu Junjungan saw bahawa Islam akan bangkit dari timur, dengan sendirinya Bangsa Melayu menjadi bangsa yang mesti diberi perhatian. Logik Bangsa Melayu menjadi bangsa yang akan bangkit pada aakhir zaman adalah kerana Bangsa Melayu memang bangsa dari dunia Timur.Tidak ada mana-mana bangsa yang lebih ramai dari bangsa Melayu di dunia Timur yang menganut Agama Islam. Di seluruh Kepulauan Melayu berjumlah lebih dari 400 juta, satu jumlah yang cukup strategik.

Logik Imam Mahadi dipercayai akan muncul dari Bangsa Melayu kerana kepada bangsa ini Allah Taala telah takdirkan tidak ada Nabi maupun Rasul yang diutuskan untuk membimbing mereka menerima ajaran Tauhid. Tidak ada Nabi maupun Rasul khusus dari Bangsa Melayu, sedangkan Allah Taala berfirman:
`Tiap-tiap umat mempunyai Rasul..’(Yunus:47)

Bangsa Melayu menerima Tauhid dari Penghulu seluruh Nabi-Nabi dan Rasul iaitu Nabi Muhammad saw iaitu dari Bangsa Arab Quraisyi apabila Islam sampai ke Alam Melayu pada sekitar abad ke 11M/ 8H.

Demi sesungguhnya inilah tuah kepada Bangsa Melayu. Bangsa yang baru muncul ini, terus menerima Tauhid dari Rasul Teragung dan seterusnya Baginda saw menjanjikan pula dari zat mulia keturunan Baginda saw sendiri, akan dibangkitkan Imam Mahadi. Kehadiran Ahlul Bait ke Alam Melayu telah dikesan sejak seawal kedatangan Islam lagi. Mereka telah menyinarkan Tauhid mengislamkan Raja-Raja Melayu pada zaman silam dan seterusnya menghiasi kesultanan Melayu dari titisan Saidina Hassan ra dan Saidina Husin ra.

Ini menunjukkan amat besar kemungkinan Imam Mahadi adalah Ahlul Bait dari Bangsa Melayu. Imam Mahadi tentunya akan menjadikan Bangsa Melayu sebuah bangsa yang terkemuka pada akhir zaman sebagaimana para Nabi dan Rasul terdahulu yang telah menjadikan bangsa mereka masing-masing sebagai bangsa yang agung, membina tamadun terkemuka pada zaman-zaman yang silam; sebagaimana terkemukanya Bangsa Arab menyinarkan Cahaya Islam kepada dunia moden bersempena terutusnya Nabi Akhir Zaman, Nabi Muhammad saw.

Kebangkitan Islam untuk mentadbir dunia ini dibantu sama oleh Nabi Isa as. Sabda Penghulu Junjungan saw:
Madinah akan membuangkan kekotoran daripadanya seperti alat peniup api membuangkan kekotoran dari besi. Pada hari itu akan dikatakan hari kelepasan.Maka bertanya Ummu Syurai:”Di manakah orang Arab wahai Rasulullah pada waktu itu?”. Berkata Nabi saw: ”Mereka pada waktu itu sedikit kerana kebanyakan mereka ada di Baitulmuqaddis dan Imam mereka ‘Mahdi’, seorang lelaki yang solleh. Sewaktu Imam mereka tampil ke hadapan hendak sembahyang subuh dengan mereka itu, tiba-tiba Isa bin Maryam turun kepada mereka pada waktu subuh itu. Maka Imam itu pun undur ke belakang supaya Isa tampil ke hadapan.Maka Isa pun meletakkan tangannya di antara dua bahu (Imam Mahadi) sambil berkata kepadanya:”Pergilah ke hadapan bersembahyang, kerana ia didirikan untuk kamu”. Maka ia pun sembahyang menjadi Imam mereka’

Al Quran menerangkan mengenai hal ini:
Tidak seorang pun dari ahli Al Kitab kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di Hari Kiamat nanti Isa akan menjadi saksi terhadap mereka ’. (An Nisaa:157- 159)
Firman seterusnya:
‘Ingatlah bila mana Allah berfirman:’Hai Isa, sesunguhnya Aku akan menyampaikan kamu kepada akhir ajalmu dan mengangkatmu kepadaKu dan akan dibersihkan kamu daripada mereka yang kafir dan akan dijadikan orang-orang yang mengikutmu di atas mereka yang kafir hingga Hari Kiamat. Kemudian kepada Aku lah tempat kembali kamu, maka nanti Aku putuskan di antara kamu tentang yang diperselisihkan (isu pembunuhan dan penyaliban) ( Al Imran:55)

Persoalan Islam bangkit dari dunia Timur, dan Bangsa Melayu adalah bangsa yang memimpin umat muslimin untuk kebangkitan dan seterusnya menguasai dunia, dan persoalan Imam Mahadi yang akan memacu ke arah kegemilangan Bangsa Melayu dan umat muslimin, seharusnya tidak perlu dipertikaikan. Persoalan ini sebenarnya telah lama berada di dalam minda orang-orang yang mengkaji dan berfikir. Blog MistisFiles telah membuat penyelongkaran dan pendedahan yang menakjubkan. Demikian juga blog Merah Silu, Awaken, SANGTAWAL Sakrananta dan beberapa blog lain. Tahniah!

Demikianlah kebesaran Allah sebagaimana ditunjukkan dalam firmanNya:
‘Sesungguhnya orang kafir itu merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya. Dan Aku pun membuat rencana dengan sebenar-benarnya. Kerana itu beri tangguhlah orang-orang kafir itu iaitu beri tangguhlah mereka itu barang sebentar’ – At-Tariq:15-17

Rasulullah saw telah menggambarkan episod-episod sejarah dunia Islam selepas kewafatan Baginda saw mengikut Hadis berikut:
`
Tegaklah pada kamu masa kenabian sampai beberapa lama yang dikehendaki Allah, maka terjadilah ia, kemudian diangkat. Kemudian tegaklah selepas itu pada kamu masa khalifah atas manhaj kenabian maka terjadilah ia padamu beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian ia diangkat. Kemudian terjadilah padamu masa kerajaan yang menggigit (Mulkan Adhudhan), maka terjadilah ia beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian diangkat. Kemudian tegaklah selepas itu kerajaan menyeleweng (Mulkan Jabbariyyan) terjadilah ia beberapa lama yang dikehendaaki Allah, kemudian diangkat. Selepas itu tegaklah padamu khalifah atas manhaj kenabian, yang mengamalkan Sunnah Rasul di kalangan manusia. Islam akan tersebar luas di muka bumi yang diredhai oleh penghuni langit dan bumi. Langit tidak akan meninggalkan setitis pun air hujan, kecuali ia mencrahkannya. Dan bumi tidak akan meninggalkan tanaman dan berkatnya kecuali ia akan mengeluarkannya’
(Hadis riwayat Thabarani).

Secara rengkasnya, hadis kronogi zaman adalah seperti berikut iaitu difokuskan kepada Bangsa Melayu:
· Zaman kenabian iaitu waktu terutusnya Nabi Muhammad saw mulai tahun 571M sehingga kewafatan Baginda saw pada 632M.
· Zaman Khulafa ar Rasyidin atas manhaj kenabian iaitu masa pemerintahan Saidina Abu Bakar as Siddek (632 – 661M)
· Zaman Kerajaan yang menggigit (Mulkan Adhudhan – Zaman Kesultanan (Abad ke 11 Masihi – 1957)
· Zaman Kerajaan menyeleweng (Mulkan Jabbariyyan – Zaman Selepas Era Penjajahan. (1957 – 2010)
· Khalifah atas manhaj kenabian yang mengamalkan sunnah Rasul di kalangan manusia. Islam akan tersebar luas di muka bumi yang diredhai oleh penghuni langit dan bumi.Langit tidak akan meninggalkan setitis pun air hujan, kecuali ia mencurahkannya. Dan bumi tidak akan meninggalkan tanaman dan berkatnya kecuali ia akan mengeluarkannya (Raja-Raja Melayu hal.255)

Sejak berakhirnya kurun ke 20 dan kini dunia berada pada awal milinium 2000, semua negara umat muslimin telah melepasi zaman Mulkan Adhudhan. Sejak berpuluh tahun yang lalu semua negara umat muslimin berada pula di bawah pemerintahan Mulkan Jabbariyyan. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia telah berada pada zaman Mulkan Jabbariyyan sejak 1957. Selepas Mulkan Jabbariyan ialah zaman Imam Mahadi yang dinanti.

Kenapa Rasulullah saw menamakan Mulkan Jabbariyyan kepada sistem pemerintahan selepas tamatnya zaman penjajahan? Jawapannya senang sahaja iaitu kerana masalah aqidah dan iman.Kerana masalah aqidah dan imanlah Mulkan Jabbariyan sanggup mendurhakai Allah dan RasulNya, mengekalkan sistem Barat Yahudi yang dipusakakan oleh para penjajah kepada mereka, dan menentang sebarang usaha dari segolongan umat Islam yang mahu mendaulatkan Sistem Allah dan Rasulnya.
Firman Allah:
‘Hai orang–orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu – Al Baqarah: 208.

Orang-orang beriman tidak sekali-kali memiliki pilihan yang lain selain yang datangnya dari Allah dan RasulNya. Seluruh perintah Allah swt perlu atau wajib dilaksanakan di seluruh dimensi kehidupan. Bila tidak melaksanakannya, ertinya manusia mengambil sesuatu yang di luar SunnahNya dan Sunnah RasulNya. Inilah yang dikatakan menurut langkah-langkah syaitan. Dan dalam dunia moden ini syaitannya ialah sistem dari Barat Yahudi yang menguasai seluruh dunia.
Firman Allah Taala lagi:
‘dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa’ (Al Anaam:6:153)
Firman Allah seterusnya:
‘Dan janganlah kamu menukar ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir’ – Al Maidah:44.

Mulkan Jabbariyyan adalah jentera Yahudi Zionis dan Dajjal di negara-negara umat Islam bagi mengekang asakan umat Islam untuk membina sebuah negara kota yang melaksanakan sepenuhnya sistem Allah dan RasulNya. Mulkan Jabariyyan akan sentiasa mengikut rentak dan telunjuk Pemerintah Tertinggi Iblis tersebut dalam menangani isu umat Islam di permukaan dunia ini! Pergolakan politik di negara-negara umat Islam yang telah sekian lama berlaku antara pihak pemerintah dan pembangkang dalam sistem demokrasi Barat yang sedang berjalan sekarang, menceritakan dengan jelas semua fenomena ini. Bagi sesiapa dari kalangan umat Melayu yang masih belum jelas, berfikirlah….

02 Mei 2009


4. Jalan Hakekat

SIAPA AKU? Inilah inti atau pati; atau intipati, intisari dan saripati dalam konsep hidup beragama. Agama ialah jalinan hubungan jasmani, rohani, qalbu, jiwa dan roh dalam perhubungan antara manusia dengan Khaliknya. Soalan-soalan mengenai siapakah saya dan siapakah Tuhan? Dari mana saya datang? Kenapa saya dijadikan? Kenapa saya dihantar ke tempat transit di muka bumi? Dan ke manakah destinasi saya seterusnya? Apakah saya seorang hamba dan/atau semata-mata seorang hamba? Dan apakah Tuhan? Siapakah Tuhan yang bernama Allah? Apakah Tuhan dan apakah Allah? Siapakah dan apakah malaikat? Apakah roh? Apakah Nabi dan apakah Rasul? Apakah Allah dan apakah Muhammad? Apakah Adam? Apakah dunia dan apakah hidup dan apakah kehidupan? Dan sebagainya.
Soalan-soalan ini perlu dijawab dengan faham iaitu kefahaman hakikat dan makrifat – bukan kefahaman syariat semata-mata, sebagaimana Imam Al Syafie ra mengatakan,’ Jadilah fakih dan sufi; jangan hanya menjadi salah satunya. Sungguh, demi kebenaran Allah, aku menasihatimu dengan ikhlas’. Dan Imam Malik ra mengingatkan, `Orang yang bertasauf tanpa mempelajari fekah telah merusak imannya, sedangkan orang yang memahami fekah tanpa menjalankan tasauf telah merusak dirinya. Hanya orang-orang yang memadukan keduanyalah yang menemukan kebenaran’. (Tasauf dan Ihsan hal: 178)
Sabda Rasulullah saw:
‘Bahawa A Quran itu mempunyai zahir dan batin, batas dan pangkal’
Allah menurunkan al Quran dengan sepuluh batin, lebih batin lebih bermunafaat dan lebih menguntungkan, kerana batin itu adalah sumber’
Berkata Sahl At Tusturi ra : “Orang yang berilmu itu mempunyai tiga ilmu: ilmu zahir yang diberikannya kepada ahli zahir, ilmu batin yang tak sanggup dilahirkannya kecuali kepada ahlinya dan ilmu antara dia dan Allah Taala, yang tidak dilahirkannya kepada seorang juapun’ (Ihya Ulumiddin Jld.1 hal:359)
Apa yang batin, apa yang tak sanggup dizahirkan kepada manusia ramai ; bahkan apa yang menjadi rahsia antara dia dan Allah Taala itulah HAKIKAT. Membicarakannya tidaklah menjadi sunnah Nabi saw kepada umat yang ramai kecuali kepada para Sahabat yang terkhusus. Sahabat terkhusus berjumlah sepuluh orang iaitu Sahabat-Sahabat Besar yang dijamin masuk syurga kerana mendapat rahsia-rahsia hakikat dan makrifat. Selain mereka hanyalah sebilangan yang amat sedikit termasuklah Abu Hurairah ra dan Saidina Abas ra. Inilah yang dimaksudkan oleh Penghulu Junjungan saw :
”Tidaklah Abu Bakar melebihi dari kamu disebabkan banyak puasa dan bersolat. Tetapi adalah disebabkan oleh suatu sirr (rahsia) yang mulia dalam dadanya’ (Ihya Ulumiddin hal:358)
Siapakah AKU? Inilah soalan untuk mengenal diri. Sabda Penghulu Junjungan Rasulullah saw.
’Barangsiapa mengenal dirinya bahawasanya mengenal ia akan Tuhannya. Barangsiapa mengenal akan Tuhannya, binasalah jasadnya’
Siapakah AKU adalah berkaitan dengan rahsia amanah. Firman Allah Taala :
`Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh’ – Al Ahzab: 72
Amanah Allah tidak dipersanggupi oleh Ruh Nabati dan tidak ditawarkan kepada Ruh Haiwani tetapi dipersanggupi oleh Ruh Ruhani. Apakah Ruh Ruhani? Inilah rahsia - rahsia ‘hakikat diri’ , ‘amanah’ yang akan ‘kembali kepadaNya’ apabila tiba saat kematian iaitu apakah seseorang itu dapat kembali dengan ‘sempurna’ sebagai seorang insan. Yang tidak mengenal diri (makrifah) dan tidak mengenal atau mengetahui akan hakikat dirinya, dibimbangi akan kehilangan darjat dan martabatnya dan justru belum pasti dapat kembali dengan sempurna. Kembali yang sempurna ialah kembali kepadaNya bukan kepada selainNya. Firman Allah Taala :
`Sesungguhnya Kami kepunyaan Allah dan kepadaNya lah kami kembali’ (Al Baqarah:156).
FirmanNya lagi:
‘KepunyaanNya lah apa yang di langit dan di bumi’ (Al Baqarah:255)
Jika demikian, siapakah anda ? Siapakah anda yang tidak memiliki kepunyaan ? Siapakah anda ‘Kepunyaan Allah’? Kepunyaan Allah bermaksud tidak ada satu zat atau satu sifat pun selain Allah boleh mendakwa bahawa ada mana-mana bahagian di seluruh langit dan bumi ini, milik selain Allah.Inilah makna ‘meliputi’ dalam Firman berikut:
Ingatlah bahawa sesungguhya Dia Maha Meliputi segala sesuatu’ (Fusysyilat:54)
‘Kursi Allah meliputi langit dan bumi’ (Al Baqarah:255)
Sesungguhnya diri anda – mata, telinga, mulut dan lidah, perut, kemaluan, kaki dan tangan serta seterusnya isteri anda, anak-anak anda yang anda kasihi, harta-benda dan hartanah, wang ringgit dan segala bentuk kekayaan dan kemewahan, bahkan usia, masa, bahkah segala-gala semuanya, di sepanjang hidup anda di dunia ini – semuanya adalah milikNya, bukan milik ada ! Inilah amanah yang nantinya di Yaumil Mahsyar akan dipertangungjawaban di hadapanNya - Qadhi Rabbul Jalil. Anda akan ditanya mengenai ‘amanah diri anda’ yang seharusnya dipulangkan kembali kepadaNya dengan sempurna sebagaimana semulanya, bukan sebagaimana lainnya ! Amanah masa dan usia anda, ilmu, harta dan wang ringgit yang diberikan, apakah anda telah memenuhi amanah dan janji yang diikrar sejak azali dahulu ?
Apakah anda mampu menjawabnya apabila pada setiap detik usia anda di muka dunia dahulu, anda menyalahi amanahNya pada Jalan Syariat dan Tarekat ? Mampukah anda menjawabnya apabila pada ketika itu baru anda menyedari bahawa seluruh harta-benda dan wang ringit anda yang selama ini anda sangka anda yang punya ; bahkan diri anda sendiri, rupa-rupanya bukan anda yang empunya ? Apakah ada keteledoran yang lebih dahsyat daripada ini - mengkhianati amanah Allah dan RasulNya - apabila anda di hadapkan kepada Qadhi Rabbul Jalil, Zat Yang Maha Gagah Perkasa di Yaumil Mahsyar nanti, dan anda dihadapkan kepadaNya sebagai pengkhianat amanah?
Orang yang tidak memahami Jalan Hakikat akan binasa pada setiap helaan nafasnya kerana mengotori dan mengkhianati amanah dirinya dengan noda dan dosa, sifat durjana mazmumah, kehaiwanan, kesyaitanaan dan maksiat sehingga kekotoran dan kekejian dirinya menjadikan dia adalah yang paling jauh dari yang terjauh dari Zat Yang Maha Suci.Justru Allah Taala berfirman :
‘Sesungguhnya binatang yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir kerana mereka itu tidak beriman’ – Al Anfal :55
Selain orang-orang kafir yang tentunya telah kehilangan hakikat diri, demikian juga orang-orang munafik, fasik, zalim, kufur, dayus, sombong, tamak-haloba, kapitalis, sekularis, liberalis, pemakan riba, penzina, peminum arak, penjudi dan para penghuni neraka lainnya. Firman Allah dan terkhusus bagi golongan munafik:
Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan RasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik. Dan janganlah harta–benda dan anak-anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki akan mengazab mereka di dunia dengan harta dan anak-anak itu dan agar melayang nyawa mereka dalam keadaan kafir’ – At-Taubah : 84-85
Mengenal Jalan Hakikat teramatlah mustahak supaya manusia yang dilahirkan sebagai seorang insan muslim, membesar sebagai seorang individu yang sempurna imannya kerana seandainya iman tidak sempurna, dikhuatiri hilanglah martabat mukmin. Apabila kehilangan iman, lalu menjadilah umat muslimin yang sepanjang usianya berada pada maqam nafsu amarah iaitu nafsu persempadanan perbatasan di antara iman dan kafir. Kealpaan oleh persangkaan masih seorang Islam yang sejati, walaupun telah terjerumus ke dalam lembah golongan munafik, atau muslim yang fasik, zalim, durhaka, kufur, dayus atau apa-apa sahaja istilah yang seumpamanya, adalah perdayaan syaitan yang paling merbahaya. Dengarlah Firman Allah Taala mengenai perdayaan syaitan buat dijadikan iktibar apabila berlakunya kedurhakaan Iblis mengenai kejadian Adam as:
Allah berfirman: Maka keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir. Sesungguhnya kutukanKu tetap atasmu sampai hari pembalasan.
‘Iblis berkata: Ya Tuhanku! Beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan’
`Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh
`Sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat)’
‘Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka”
(Shaad:77-83)
‘Allah berfirman:”Ini adalah jalan yang lurus; kewajipan Aku lah (menjaganya). Sesunggunya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat’ (Al Hijr:41-42)
‘Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya’ (Shaad:85)
Diriwayatkan melalui Hadis Rasulullah saw, apabila Iblis diberi tangguh, lalu Ibis berkata:
Demi kemuliaan Engkau! Sesungguhnya tidak aku keluar dari hati anak Adam, selama ia masih bernyawa
Maka Allah Taala berfirman” “Demi kemuliaanKu! Sesungguhnya tidak terdinding dari anak Adam itu taubat, selagi ia masih bernyawa”(Ihya 6:138)
Iblis berada di dalam hati anak Adam sehingga ke hujung nyawa dan apabila gagal memahami bisikan dan perdayaannya, iblislah yang memerintah di hati. Apabila iblis menguasai singgahsana hati, runtuh berserakanlah Istana Allah. Firman Allah.
Hai anak-anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu (Adam dan Hawa) dari syurga’
(Al A`aaf:27)
`Dia (Iblis) adalah ia dari golongan jin . Maka ia mendurhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan turunan-turunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim’ - (Al Kahfi:50)
‘Barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya (An Nisaa:4:38)
Perdayaan syaitan dapat dirmuskan melalui firman Allah yang berikut :
‘Orang-orang Arab Badui itu berkata: “ Kami telah beriman”,Katakanlah (kepada mereka): “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah ‘kami telah tunduk’, kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu’ - Al-Hujuraat:14
Sesuailah juga dengan Firman Allah swt.
Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.
Manusia yang tidak pernah bertanyakan soalan ‘siapa AKU’ terhijab dari menyedari siapa hakikat dirinya, tidak menyedari siapa yang memiliki dirinya, lantas merasakan dirinya adalah dirinya, bukan selainnya lantas hidup bersultan di mata dan beraja di hati. Dialah dirinya, dialah tuhannya, dialah nafsu yang menjadi tuhannya. Golongan ini akan asyek dengan nafsunya serakahnya, asyek dengan dunia asyek-maksyuknya, sibuk memburu wang ringgit dan harta-benda, menghambakan diri kepada kerjaya dan dunianya, hamba nafunya atau hamba manusianya.Bagi mereka luputlah secara relatif Iman Majmal ‘Laailaha Illallah Muhammadar Rasulullah’, kerana keengganan menjadikan Kitab Allah dan Sunnah Rasul dalam seluruh kemampuannya. Allah Taala berfirman :
‘Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tidak dipergunakan untuk memahami, dan mereka mempunyai mata, tidak dipergunakan untuk melihat, dan mereka mempunyai telinga, tidak dipergunakan untuk mendengar.Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi’ – Al-Araf :179
‘Dan barangsiapa buta (hatinya) di dunia ini, nescaya di akhirat nanti ia akan lebih buta dan lebih sesat dari jalan’ – Al Isra :72.
Bagi golongan manusia yang sentiasa berusaha mengenal dirinya – dalam istilah Tasauf dipanggil ‘salik’ - akan menempuh Jalan Syariat dan Jalan Tarekat dengan penuh istiqamah untuk mencapai kesempurnaan di Jalan Makrifat dan seterusnya memperoleh bahagia pada Jalan Hakekat. Orang yang ingin mengenali dirinya akan menelusuri secara mendaki tujuh gunung lautan nafsu – amarah, lawamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamaliah.Maqam mutmainnah adalah permulaan maqam bahagia. Firman Allah Taala :
‘Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhaiNya.Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu’ ( Al Fajr:27-30)
Maqam selepas mutmainnah dan yang tertinggi ditempuhi dalam ‘fana’ di Alam Lahut.Di sinilah diperolehi pengertian yang paling sempurna mengenai maksud ayat :
`Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin’ (Al Hadid:3)
Hadis Nabi saw melanujtkan :
Ya Allah.Engkaulah Yang Awal, tidak ada apa-apa pun sebelumMu.Engkaulah Yang Terakhir, yang tidak ada apa pun selepasMu.Engkaulah Yang Zahir yang tidak ada apa pun atas Mu. Eangkaulah Yang Batin yang tiada ada apa pun di bawahMu’
Begitulah juga dengan Firman Allah Taala :
Sesungguhnya Tuhanmu meliputi segala manusia’ (Al Israa:60)
Ingatlah bahawa sesungguhya Dia Maha Meliputi segala sesuatu’ (Fusysyilat:54)
Persoalan-persoalan ini bukan sekadar diketahui dan difahami, tetapi dibatini pada satu pengalaman batin pada jiwa terdalam – satu hadap hati yang berterusan dan berkekalan terhadap KEESAAN WUJUD sehingga semuanya fana dan ‘lebur’ dan ‘tiada’ dan ‘nirvana’ dan ‘moksya’ - selain Zat Allah YANG MAHA ESA. Mengenai inilah maksud Rasulullah saw :
Matikan diri kamu sebelum kamu mati’
Sabda Nabi saw.
Aku mengenal Tuhanku oleh Tuhanku’, yakni dengan cahaya dari Tuhanku. Firman Allah dalam Hadis Qudsi :
Manusia adalah rahsiaKu dan Aku lah rahsianya’.
‘Aku ciptakan Muhammad dari wajahKu’.
Pada tahap ini juga menjadi jelaslah firman Allah Taala :
Katakanlah: Yang hak telah datang dan yang batil telah lenyap”, (Al Israa:81)
Tiap-tiap sesuatu pasti binasa ,kecuali Allah’, (Al Qasas:88)
Dan Hadis Qudsi:
`Bilamana Aku bersangatan mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadi pendengarannya, penglihatannya, lidahnya, tangannya dan kakinya. Maka olehKu dia mendengar, olehKu dia melihat, olehKu dia berbicara, olehKu dia marah dan olehKu dia berjalan’
Perhatikan kenyataan Imam Ghazali ra mengenai empat tingkat tauhid:
· Tingkat Pertama: Ucapan LA ILAAHA ILLAL LAAHU dan hatinya lalai atau memungkiri seperti tauhid orang-orang munafik
· Tingkat Kedua: Dibenarkan oleh hatinya akan makna lafal seperti umumya kaum muslimin - iktikad orang awam.
· Tingkat Ketiga: Dipersaksikan dengan jalan kasyaf (Terbuka hijab) dengan perantaraan nur kebenaran – makam orang-orang muqarrabin.
· Tingkat Keempat : Tiada dilihatnya pada yang wujud selain Yang Esa –Ihya Ulumiddin Jld. 7 hal.281-282.
Inilah yang dimaknakan oleh Imam Al Ghazali : ‘Maka barangsiapa mengenal kebenaran nescaya melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu.Kerana tiap-tiap sesuatu itu adalah daripadaNya, kepadaNya, dengan Dia dan untuk Dia. Maka Dialah semua, menurut yang sebenarnya. Dan barangsiapa tidak melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu yang dilihatnya, maka seolah-olah dia tidak mengenalNya. Dan barangsiapa mengenalNya, nescaya mengenal bahawa tiap-tiap sesuatu selain Allah itu batil dan tiap-tiap sesuatu itu binasa selain wajahNya. Bukan sesuatu itu akan batil dalam keadaan yang kedua nanti (kiamat), tetapi sekarang juga batil, kalau dipandang kepada dirinya dari segi diri itu sendiri.Kecuali dipandang adanya (wujudnya) sesuatu itu, dari segi adanya dengan sebab Allah Azzwajalla dan dengan QudrahNya’ (Jld 2 hal 130)
Demikian penjelasannya lagi:
‘Orang yang tidak melihat Allah Taala pada tiap-tiap sesuatu, tentu melihat lainNya. Dan tiap apa saja yang dipandang oleh hamba kepadanya selain Allah Taala, nescaya pandangannya itu mengandung sesuatu syirik yang tersembunyi kerana tauhid yang bersih adalah tidak melihat pada tiap-tiap sesuatu selain Allah Azzawajalla’ (Ihya 2 hal.144).
Manusia yang telah menempuh fanafillah dan baqabillah adalah insan kamil-mukamil yang telah ‘terbangun’ sejak di dunia lagi. Agama Sanatara-Dharma mengistilahnya ‘jivanmukta’, iaitu bagi insan yang mencapai moksya semasa hayatnya di dunia lagi, atau nirvana dalam ajaran Gautama Buddha.
Bertemu hakikat diri adalah kerinduan bagi yang mengenal dan mencintaiNya.
Syeikh Hamzah Fansuri dalam Kitabnya Syarbul –‘Asyikin’, pada Bab Ketujuh Pada Menyatakan Berahi dan Syukur”, menyatakan:
“Ketahui bahawa pangkat berahi terlalu tinggi daripada segala pangkat, kerana berahi tiada dapat diperbuat melainkan anugeraha Allah Taala juga. Adapun alamat orang berahi, tiada takut akan mati. Apabila takut ia akan mati, tiada berahi hukumnya, kerana kehendak orang berahi itu mati.Seperti sabda Rasulullah saw:
Man mata minal-ishqi faqad mata syahidan
Yakni barangsiapa mati daripada berahinya,
Maka bahawa sesungguhnya mati syahid.
Sabda Rasulullah saw.
Man ashaqa wa ushiqa fa mata
Minal isy faqad mata syahidan
Yakni:
Barangsiapa berahi dan bersungguh-sungguh,
Diberahikannya, maka mati ia daripada
Berahi [itu], maka bahawa sesungguhnya
Mati syahid.
Firman Allah Taala:
Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah’ – Al-Baqarah:165
Cinta Allah membawa kepada rindu dan asyek dan selepasnya mencapai fana iaitu dengan anugerah kasih-sayangNya. Dalam fana dan lebur; dalam asyek dan maksyuk; dalam cinta yang apinya membakar, akan terlatahlah bahasa-bahasa yang idak difahami oleh Syariat.
Imam Junaid al Baghdadi dalam fananya menjawab pertanyaan:’Tidak ada di dalam jubahku selain Allah’
Mansur Hussin al Hallaj dalam fananya menyebut: Ana al Haq yang bererti Akulah Yang Hak atau Akulah Allah’
Selain itu terdapat juga kalimat seperti:
‘Aku adalah Aku’
‘Aku adalah Engkau dan Engkau adalah Aku’
Demikian contoh bahasa-bahasa dalam fanafillah apabila berada dalam ‘tiada’ dalam kekosongan yang tiada perbatasan, apabila berada di kejauhan yang terdekat dalam konsep Lamaujud Ilallah. Pada tahap ini AKU, DIA dan KAMI adalah KEESAAN. Lao Tze menyebutkan yang berikut dalam tulisannya:
· Tao itu kosong, tapi berisi, dan tak pernah penuh.
· Anda memandang kepadanya, tapi Dia tidak tampak. Namanya: Bukan Bentuk
· Mencari Tao itu kehilangan dari hari ke hari, kehilangan di atas kehilangan, sampai tiba pada tenang damai.
· Siapa yang tahu, tidak berbicara; dan yang tidak tahu banyak bicara.
Memahami Hakikat bererti mengetahui bahawa dunia hanyalah sebuah fatamorgana. Alam dunia adalah alam ilusi dan fantasi sebagaimana alam-alam yang mendahuluinya - Lahut, Jabarut dan Malakut – kerana yang hak, hakiki dan realiti ialah hakikatNya – Zat Wajibul Wujud yakni Akhirat. Justru dunia sekadar permainan bukan kenyataan. Dunia sekadar pengkalan transit bagi seorang pengembara, bukan destinasi kerana akhir perjalanan ialah kembali ke HadratNya untuk bertemu denganNya. Oleh kerana itulah Penghulu Junjungan saw bersabda.
Manusia itu tidur. Maka apabila mereka telah mati, nescaya mereka terbangun’ (Ihya Ulumiddin Jld. 6 hal.160)
Benarlah Socrates (470-399sm) apabila mentakrifkan kematian adalah ‘satu tidur tanpa mimpi yang tentunya baik atau roh berhijrah ke dunia lain’
Jalan Makrifat dan Jalan Hakikat adalah umpama ‘menikmati isi dan rasa manisnya’ Islam dan Iman dalam Tauhid Keesaan yang berakhir dengan syurga. Maqam makrifat dan hakikat yang tinggi adalah golongan muqarrabin dan maqam tertinggi – khusus bagi yang terkhusus ialah sebagaimana Sabda Rasulullah saw:
‘Allah memiliki syurga yang tanpa bidadari dan istana serta tanpa madu dan susu. Kenikmatan di syurga itu hanya satu iaitu melihat Zat Allah’
Hal ini dijelaskan oleh al Quran:
Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri – A-Qiyamah:22.
Juga dijelaskan dalam Hadis Nabi saw:
‘Kamu sekalian akan melihat Tuhanmu seperti kamu melihat sinar bulan purnama’
Adapun bagi yang tidak ada makrifat dan tidak tahu hakikat dirinya akan berserakan dan bercemperakan, akan bertaburan berterbangan dan bergelandangan tak ketahuan oleh angkara iblis laknatullah pada kala sakaratulmaut, dan binasa sengsara di dalam neraka sebagai haiwan dan syaitan selama-lamanya, kecuali ada sezarrah benih iman. Firman Allah Taala:
Sesungguhnya haiwan yang paling buruk di sisi Allah ialah orang-orang yang kafir, kerana mereka itu tidak beriman…’ (Al Anfaal:5-56)
Sesungguhnya orang-orang kafir yakni Ahli Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahanam; mereka kekal di dalamnya.Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk’ – Al Bayyinah:6
Hadis Nabi saw:
‘Orang yang mengoyak-ngoyakkan kehormatan orang lain dibangkitkan sebagai anjing yang galak.Orang yang loba kepada harta-benda orang lain dibangkitkan sebagai serigala yang ganas. Orang yang menyombong terhadap orang lain dibangkitkan dalam bentuk harimau. Dan orang yang mencari jadi kepala dibangkitkan dalam bentuk singa’